fbpx

10 fakta ‘tak masuk akal’ Bugatti Chiron Super Sport

Bugatti Chiron Super Sport 01

Meneruskan legasi model yang luar biasa hebatnya seperti Bugatti Veyron bukanlah sesuatu yang mudah namun sebagai model pengganti, Chiron langsung tidak mengecewakan.

Dalam varian ‘asas’, Chiron mempunyai 1,479 hp dan 1,600 Nm tork yang dibekalkan oleh enjin 8.0-liter W16 dengan empat pengecas turbo. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 420 km/j (261 bsj).

Sudah tentu, jentera mewah dengan kemampuan seperti Chiron tidak murah dan jumlahnya juga terhad. Harganya bermula dari $2.6 juta (kira-kira RM11.6 juta) dan hanya 500 unit dihasilkan. Daripada jumlah tersebut, 30 unit dijadikan model yang paling ekstrem dalam barisannya iaitu Chiron Super Sport 300+.

Dengan kelajuan maksimum mencecah 490 km/j, model ini mungkin terlalu hardcore untuk kebanyakan pelanggan Bugatti yang rata-rata mengutamakan kemewahan. Oleh itu, pada tahun lalu Bugatti telah memperkenalkan model yang diposisikan antara varian asas dan Super Sport 300+ iaitu Chiron Super Sport.

Berikut adalah 10 fakta yang ‘tak masuk akal’ tentang model ini:

1. Ia mempunyai 1,580 hp

Ia dikuasakan oleh enjin quad turbo W16 yang sama dengan Chiron standard namun untuk model ini, beberapa komponen seperti pengecas turbo, pam bahan api dan kepala silinder telah ditambah baik. Hasilnya, enjin tersebut menghasilkan 1,580 hp dan 1,600 Nm, manakala redline juga lebih tinggi.

2. Ia masih sebuah kereta yang selesa

Tidak seperti kebanyakan hypercar eksotik, Chiron Super Sport tidak perlu mengorbankan kemewahan semata-mata untuk prestasi. Ruang dalamannya masih dihiasi dengan upholsteri kulit mewah, manakala ciri-ciri kemudahan lain seperti sistem pendingin hawa, ciri pelarasan dan pemanas tempat duduk serta dua bumbung suria turut disediakan. Walaupun mempunyai berat sekitar dua tan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.3 saat

3. Ada kunci untuk mencapai kelajuan maksimum

Kunci yang dimaksudkan adalah kunci fizikal kedua yang perlu dimasukkan ke dalam lubang khas yang terdapat pada pintu sebelah pemandu. Hanya dengan kunci ini pemandu boleh mencapai kelajuan maksimum Chiron Super Sport sekitar 440 km/j.

4. Ia tribut kepada EB110 Super Sport

Jika anda perhatikan dengan teliti, fender depan Chiron Super Sport mempunyai sembilan lubang. Ini mungkin memberikan kesan dari segi aerodinamik namun sebab sebenar lubang-lubang ini dibuat adalah sebagai tanda penghormatan kepada model EB110 Super Sport yang ikonik.

5. ‘Ekor’ yang panjang

Bagi mereka yang kurang mengikuti perkembangan Bugatti, mungkin sukar untuk membezakan antara Chiron standard dan varian Super Sport ini. Bagaimanapun, peminat tegar model ini pastinya tahu bahawa Chiron Super Sport memilik ‘ekor’ yang lebih panjang berbanding model standard untuk mengoptimumkan aerodinamik. Secara spesifiknya, ukuran panjang model ini bertambah sebanyak 25 cm.

6. Lengkungan tunggal di dalam kabin

Chiron sememangnya terkenal dengan elemen melengkung pada bahagian kiri dan kanan yang digunakan sebagai perumah kepada sistem ambilan udara, tetapi model Super Sport ini membawanya ke tahap lebih tinggi dengan membawa elemen yang sama ke dalam kabin. Ia bertindak untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang, selain menempatkan bar lampu untuk sistem pencahayaan ambien.

7. Ia mempunyai dua lubang isian tangki minyak

Ramai di antara kita yang sering terlupa di sebelah mana terletaknya penutup tangki minyak kereta kita. Masalah ini tidak akan timbul dengan Chiron Super Sport kerana ia mempunyai bukan satu tetapi dua lubang isian. Bagaimanapun, hanya lubang sebelah kanan yang boleh digunakan untuk mengisi petrol. Lubang sebelah kiri sebenarnya adalah untuk mengisi minyak pelincir enjin.

8. Ruang kabin tidak lapuk ditelan zaman

Kebanyakan supercar atau hypercar zaman kini sarat dengan kelengkapan yang canggih dan moden. Dengan Chiron, Bugatti ingin menghasilkan ruang kabin yang bukan sahaja mewah namun mampu bertahan lama. Oleh itu, Sebab itulah mereka menggunakan speedmeter analog dan empat dial kecil pada papan pemuka. Anda tidak akan menemui sebarang skrin sentuh atau butang sensitif sentuhan di sini.

9. Apa yang anda bayar, itulah yang anda dapat

Benar, dengan harga yang mencecah belasan juta ringgit, Chiron Super Sport adalah antara kereta yang paling mahal pernah dihasilkan oleh mana-mana pengeluar kenderaan. Namun seperti yang sering diperkatakan, “you get what you pay for”, bermakna dengan harga yang tidak masuk akal itu, anda mendapat sebuah hypercar yang ‘gila’ dari semua aspek – baik reka bentuk, prestasi mahupun kemewahan.

10. Bugatti dengan enjin petrol yang terakhir

Jika anda terlepas, Bugatti pada tahun lalu mengesahkan bahawa Chiron akan menjadi modelnya yang terakhir yang dikuasakan oleh enjin petrol tulen. Menerusi kerjasamanya dengan pengeluar kenderaan elektrik Rimac, syarikat itu dikatakan akan membangunkan model-model hibrid plug-in pada masa depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved