fbpx

DSR lancar Proton Satria Neo S2000 Supercharged – Konsep yang menjadi realiti selepas 10 tahun

dsr proton 2022 06

DREAM Street Restoration (DSR) baru-baru ini telah mendedahkan kepada umum sebuah Proton Satria Neo S2000 Supercharged binaan khas oleh mereka.

Satria Neo S2000 itu mengambil inspirasi dari jentera rali yang pernah berentap di kejuaraan Asia Pacific Rally Championship sekitar 2009 hingga 2011.

Disebabkan unit Satria Neo ini bukan untuk perlumbaan rali, ia tidaklah dilengkapi komponen seperti enjin dan kotak gear perlumbaan, sistem all-wheel drive, suspensi rali dan sangkar guling (roll-cage). Tetapi, ia masih diberikan beberapa elemen dan penghalusan khas oleh DSR.

Proton Satria Neo CPS R3 standard.

Pertamanya, Satria Neo ini menggunakan warna kuning khas yang berbeza dari CPS R3 yang pernah dikeluarkan oleh Proton. Berbanding CPS R3 yang menggunakan kod warna Canary Yellow, Satria Neo S2000 oleh DSR menggunakan kuning yang sedikit berbeza.

Menurut pemilik DSR, Suriya Sankaran, “Warna kuning pada Satria Neo ini ialah warna sebenar yang digunakan pada jentera rali S2000.”

Kemudian, DSR menggunakan kepakaran mereka untuk ‘menanam’ kristal holografik di dalam cat kereta dengan imej-imej dan grafik bertemakan Proton, R3, dan rali APRC.

Ini dapat dilihat pada kawasan-kawasan seperti bampar depan, hud, bumbung, spoiler, bampar belakang, pintu but, dan sisi. Kristal ini juga lebih jelas dilihat dengan kehadiran cahaya.

Selain itu, perubahan visual pada Satria Neo ini termasuklah bezel lampu berwarna hitam, unit lampu LED projektor, bampar depan dan belakang S2000, dan skirting sisi DSR.

Rim pula adalah 17-inci dibaluti tayar 215/45 serta brek Brembo di depan. Untuk suspensi, Satria Neo S2000 ini mendapat sistem boleh-laras dari Fawster Motorsport.

Kini kita ke bahagian enjin, unit 1.6-liter Campro CPS pada Satria Neo ini tidak melalui proses ‘blueprint’ seperti projek-projek lain DSR sebelum ini kerana enjin ini masih agak baharu, dengan perbatuan kira-kira 40,000km.

Tetapi enjin Satria Neo ini telah dipasang dengan unit supercharger, kotak udara gentian karbon DSR, dan sistem ekzos R3 sepenuhnya dari ekstraktor hingga muffler. Ini cukup untuk melonjakkan kuasa enjinnya dengan tambahan sekitar 40hp.

Enjin CPS pada Satria Neo ini dengan keadaan standard kilang menghasilkan 125hp. Dengan pemasangan supercharger, DSR akan menjalankan ujian dyno tidak lama lagi. Semasa lawatan Engear, Satria Neo S2000 ini belum menjalani dyno tetapi Suriya mensasarkan output sekitar 165 hingga 170hp.

Di bahagian dalam, perubahan terhad kepada tempat duduk Recaro SR3 dengan jahitan tulisan S2000, roda stereng Momo, tali pinggang keledar kuning, serta warna kuning pada beberapa panel papan pemuka.

Realisasi selepas 10 tahun

Menariknya, unit konsep Proton Satria Neo S2000 Supercharged yang pertama oleh Proton pernah dipertontonkan kepada umum dalam satu acara di Johor Bahru, pada 14 Julai 2012 iaitu genap 10 tahun lepas.

Proton Satria Neo S2000 konsep yang dipertonton pada 2011. Imej oleh: Apabila Jari Bergoyang

Sebanyak 300 unit dirancang untuk dibina, edisi terhad sebagai sambutan kemenangan Proton dalam kejuaraan rali APRC 2011. Walaubagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, model itu tidak dapat direalisasikan dan tidak pernah dijual kepada umum.

Kini genap 10 tahun kemudian, Satria Neo S2000 Supercharged berjaya dihasilkan oleh DSR, dan ia mempunyai pemilik yang akan memandunya di jalan raya.

Pelancaran Proton Satria Neo S2000 itu dibuat bersempena dengan pembukaan fasiliti baharu DSR di USJ, Subang Jaya.

Fasiliti dua tingkat ini menempatkan tiga ruang utama iaitu Street Performance Hub, Dream Hub dan Restoration Hub.

DSR mempunyai kepakaran merestorasi model-model Proton dengan casis C99 seperti Satria GTi, Putra dan Wira 1.8 EXi. Walaubagaimanapun seiring peredaran masa, mereka juga menambah rangkaian model yang boleh menjadi projek seperti Satria Neo ini, dan Proton Saga generasi pertama.

Dream Street Restoration (DSR) Services terletak di 13, Jalan TS 6/4, Taman Industri Subang, 47600 Subang Jaya, Selangor. Anda juga boleh melawat laman sosial DSR di Facebook dan Youtube.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved