fbpx

Honda Malaysia serah HR-V kepada pemilik pertama

pemilik honda hr-v 01

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan penyerahan HR-V baharu kepada pemiliknya yang pertama, cik Nurul Hafida Binti Mhd Jais dalam satu majlis di MJN Motors Sdn Bhd di Cheras, Selangor.

Selain dari menjadi pemilik pertama Honda HR-V RS e-HEV, Nurul Hafida juga dihadiahkan dengan Honda Authorised Accessories, Ultra Glass Body Coating, dan Honda Official Merchandise bernilai RM5,700 sebagai penghargaan dari pihak Honda Malaysia.

Bercakap di majlis penyerahan itu, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata: “Maklum balas yang kami terima untuk HR-V serba baharu sangat positif, dan kami yakin model ini berjaya seperti sebelumnya.”

“Hari ini, kami menyerahkan HR-V baharu kepada pemilik pertamanya, Nurul Hafida. Tambahan itu, Honda Malaysia juga telah menyerahkan lebih 1,300 unit HR-V dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya.”

“Kami ingin menggunakan peluang ini untuk menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan kami di atas sokongan mereka terhadap Honda,” tambahnya.

Sementara itu, Nurul Hafida dan keluarganya yang turut hadir berkata, “Saya telah membuat kajian sebelum pelancaran rasmi Honda HR-V di Malaysia. Gaya luarannya menarik perhatian saya dan sebab itulah saya menempah kereta ini sebaik sahaja ia dibuka untuk tempahan.”

“Saya sangat terkejut apabila mengetahui yang saya menjadi pelanggan pertama yang menerima kereta ini. Apa yang lebih mengujakan ialah hadiah tambahan yang diterima dari Honda!”

Rekaan luaran HR-V diberikan pembaharuan menyeluruh yang menjadikannya lebih bergaya dan premium. Ini boleh dilihat menerusi bentuk keseluruhannya yang sedikit lebih bersegi berbanding model terdahulu, serta rekaan fastback dan lampu LED yang memanjang pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, RS mendapat kit badan RS yang merangkumi kemasan hitam pada bampar depan dan belakang serta skirt sisi, logo RS pada gril dan juga efek ‘smoked’ pada lampu belakang.

Untuk model generasi baharu ini, HR-V didatangkan dalam empat varian dengan tiga pilihan enjin. Varian S dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC, manakala varian E dan V mendapat enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo. Varian flagship e:HEV RS pula hadir dengan trenkuasa hibrid.

Dari segi kuasa, varian S mempunyai 121PS dan 145Nm, sementara E dan V pula mempunyai 181PS dan 240Nm. Dengan enjin 1.5-liter i-VTEC dan dua buah motor elektrik, varian e:HEV RS tampil dengan 131PS dan 253Nm. Varian ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive.

Untuk maklumat lanjut mengenai crossover popular ini, anda boleh baca laporan penuh pelancarannya di sini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved