fbpx

Singer Porsche 911 Turbo Study kali ini model cabriolet, enjin sejukan cecair dengan 510hp

singer 911 turbo cabriolet study 02

MERAH, whale tail, rim hitam, semuanya cukup. Tidak banyak kereta yang begitu menarik perhatian pada 1980an dengan Porsche 911 Turbo generasi 964. Dan tidak banyak juga syarikat yang menghasilkan semula jentera klasik dengan prestasi moden seperti Singer.

911 Turbo Study terbaharu mereka ialah Porsche generasi 964 ini, dan ia juga merupakan model pertama Singer dengan badan cabriolet.

“Porsche pertama iaitu Sport 356/1 yang dikenali sebagai ‘Number 1’ merupakan cabriolet, dan glamor bumbung terbuka dengan prestasi tinggi ini telah menjadi sebahagian dari kisahnya sejak itu,” kata pengasas dan pengerusi eksekutif Singer, Rob Dickenson.

“Saya telah lama mahu meraikan aspek Porsche ini di Singer dan dengan Turbo Study kami menghasilkan semula keseronokan supercar pertama Porsche sambil mengekalkan prestasi serta penghalusannya.”

“Kami teruja kerana pemilik-pemilik kini dapat menikmati aspek-aspek ini dengan bumbung terbuka.”

Badan Singer 911 Turbo Study baharu ini ‘memakai’ warna Cadiz Red, dan ia dipacu oleh enjin flat-six yang masih menggunakan sejukan udara. Tetapi ia kini bersesaran 3.8-liter dan menjana 510hp, hasil sepasang pengecaj turbo.

Kuasa kekal disalurkan ke roda belakang, dan ia disalurkan melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Brek pula adalah karbon-seramik untuk ‘menjinakkan’ kuasa tadi.

Setiap unit 911 oleh Singer mendapat kemasan dalam yang cukup menawan, tetapi ianya pasti lebih mudah dilihat bila bumbung dibuka.

Untuk 911 Turbo Study ini khasnya, ia menampilkan bumbung fabrik yang dilipat dan disimpan di belakang, mendedahkan kabin berwarna hitam dengan kemasan plaid merah pada panel pintu dan tempat duduk.

Warna ini digandingkan dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah. Ciri moden pada 911 Turbo ini termasuklah pengecaj telefon tanpa-wayar untuk pemandu dan penumpang.

Sayangnya, jika anda mahu menempah 964 Cabriolet ini atau sebarang Singer 911, ia akan mengambil masa sedikit lama. Singer berkata tempahan kini penuh sehingga beberapa tahun akan datang, mereka tidak mampu menerima sebarang tempahan baharu buat masa ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved