Arkib Kategori: BERITA

Recall bagi Nissan X-Trail 2.0L Hybrid untuk isu kabel elektrik

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhn (TCEAS) mengumumkan kempen recall (panggil semula) bagi model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid. Recall ini bertujuan penukaran Engine Room Harness – Hybrid Power Line.

Unit yang terlibat adalah yang dikilangkan dari Jun 2018 hingga Mei 2021 dan pelanggan berkenaan akan dimaklumkan melalui surat, SMS atau Whatsapp. Mereka akan disarankan untuk ke wakil servis terdekat untuk temujanji.

Kenderaan yang dikeluarkan bermula Jun 2021 tidak terlibat dengan kempen ini. Semua kos dan caj melibatkan komponen dan upah di bawah kempen ini akan ditanggung sepenuhnya oleh TCEAS.

Beberapa cawangan pusat servis TCEAS juga akan melanjutkan oeprasi mereka dan dibuka 365 hari setahun bagi memudahkan pelanggan membuat temujanji hari minggu atau semasa cuti umum.

Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline di 1-800-88-3838.

Selamba! Brabus G700 6×6 berharga RM3.2 juta digunakan untuk misi bantuan banjir

HUJUNG minggu lepas telah berlakunya banjir di beberapa kawasan seperti Kuantan dan Temerloh kerana hujan berterusan selama beberapa hari.

Lebih menyulitkan, banjir juga berlaku di kawasan-kawasan di yang tidak dijangka seperti di Shah Alam, Hulu Langat dan Bentong.

Pelbagai agensi kerajaan bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja penyelamatan serta agihan bantuan. Dan dengan semangat muhibbah rakyat Malaysia, terdapati juga individu dan badan-badan NGO yang ‘turun padang’ memberi bantuan.

Antaranya adalah Datuk Seri Sunny (DS Sunny) dan menariknya, beliau menggunakan sesuatu yang luar biasa untuk bantuan menyelamat iaitu sebuah Brabus G700 6×6!

Trak pikap dan kenderaan SUV pacuan empat-roda (4×4) dengan kelegaan tanah tinggi memang berguna dalam situasi banjir tetapi untuk menggunakan sesuatu yang eksotik seperti supertruck ini sememangnya menarik perhatian ramai.

Perkara ini mula dikongsi oleh Nedim Nazri Aziz di Twitter miliknya sebelum tular di media sosial. Dia berkongsi gambar menunjukkan Brabus G700 6×6 itu diisi dengan barang-barang di ruang kargo belakangnya dengan keadaan paras air hampir separuh tayar.

Oh ya, tayarnya bukan bersaiz 17- atau 20-inci, tetapi 37-inci! Dengan jarak kelegaan tanah 460mm, kenderaan pacuan enam-roda 6×6 ini mampu mengharungi air sedalam 1,000mm!

Untuk pengetahuan, Brabus G700 6×6 ini diasaskan dari Mercedes-AMG G63 6×6 yang merupakan trak pikap gergasi dengan enjin berprestasi tinggi.

Versi AMG G63 dikuasakan oleh enjin V8 twin-turbo 5.5-liter yang menjana 543hp dan 759Nm tork. Tetapi untuk Brabus G700, enjin sama ini telah ditala untuk menghamburkan sehingga 700hp dan 960Nm.

Enjin ini menghantar kuasa ke semua enam roda melalui kotak gear automatik 7-kelajuan AMG Speedshift Plus 7G-Tronic. Oh ya, sistem pacuan 6×6 ini juga menggunakan lima pengunci pembeda atau differential lock!

Dari segi prestasi, enjin berkuasa itu cukup untuk membantu trak gergasi seberat 3.8 tan ini untuk mencapai 100km/j dalam hanya 7.4 saat. Kelajuan maksima? Dihadkan pada 160km/j, tapi siapa mahu pandu trak pikap gergasi eksotik ini laju-laju, bukan?

Satu fakta menarik ialah Mercedes-AMG G63 6×6 asalnya hanya dihasilkan dalam versi pemanduan kiri. Tetapi atas permintaan Naza, terdapat 15 unit G700 6×6 telah dikeluarkan dalam versi pemanduan kanan untuk pasaran Malaysia.

Harga? Ia dijual pada 2015 dengan harga RM3.2 juta sebelum cukai.

Syabas DS Sunny kerana menggunakan G700 6×6 untuk bantuan banjir. Ya lah, masa sebegini lah paling sesuai digunakan trak gergasi dengan pacuan enam-roda, bukan? Selamba!

Subaru XV facelift 2022 kini dengan EyeSight, harga dari RM140k

MULA membuat kemunculan pertama rantau ini di Thailand, Subaru XV facelift kini tiba di Malaysia. Antara naiktaraf ketara kali ini adalah pakej sistem keselamatan termaju EyeSight yang diberikan buat pertama kali untuk crossover ini.

Dengan itu, maka lengkaplah empat cabang Subaru pada XV ini iaitu enjin Boxer, Symmetrical All-Wheel Drive, Subaru Global Platform, dan EyeSight.

Subaru XV facelift dijual pada harga seperti berikut:

Subaru XV 2.0i-P EyeSight: RM139,788
Subaru XV 2.0i-P EyeSight GT Edition: RM146,788

Jadi, pakej EyeSight memberikan fungsi seperti Pre-Collision Braking, Pre-Collision Throttle Management, Adaptive Cruise Control, Lead Vehicle Start Alert, Lane Departure Warning dan Lane Sway Warning.

Perubahan lain pada XV facelift ini adalah dari segi rupa, dimana crossover ini mendapat gril, bampar dan rim 17-inci rekaan baharu.

Di dalam juga ada sedikit perubahan iaitu tempat duduk pemandu dengan pelarasan berkuasa 8-arah dan memori, serta penggera tali pinggang keledar.

Ciri lain dikekalkan seperti lampu depan LED, keyless entry, tempat duduk balutan kulit dengan jahitan oren, sistem infotainmen Panasonic dengan skrin 8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta tujuh beg udara.

Dari segi mekanikal juga tiada perubahan. Jadi Subaru XV masih menggunakan enjin 2.0-liter FB20 naturally-aspirated 4-silinder dengan bentangan Boxer. Enjin ini menjana 156hp dan 196Nm, dan kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear CVT Lineartronic dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

Enam warna ditawarkan untuk Subaru XV facelift ini: Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl, Pure White dan Cool Grey Khaki.

Polis Australia guna BMW M3 Competition untuk penilaian, lebih kuasa 480hp

GRIL ‘kidney’ yang terlebih besar menyebabkan BMW M3 generasi G80 terjerumus dalam kontroversi sejak hari pertama ia diperkenalkan. Ada yang boleh menerima penampilan unik itu dan tidak kurang juga yang menganggap ia sebagai sesuatu yang jelik.

Namun, walau apa pun tanggapan anda terhadap sedan berprestasi tinggi itu, tidak dapat dinafikan yang ia kelihatan lebih garang dan menggerunkan dengan livery polis dan bar lampu merah dan biru.

Terbaru, pasukan polis Australia telah mengumumkan ketibaan sebuah M3 Competition sebagai ‘anggota’ terbaru pasukannya. Model itu menyertai BMW 530d, Mercedes-Benz E400d dan Volkswagen Passat R-Line dalam barisan kereta peronda lebuhraya polis daerah Victoria.

M3 Competition secara asasnya merupakan versi yang lebih berkuasa berbanding M3 ‘standard’. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama namun kuasanya telah dipertingkatkan dari 480PS dan 550Nm kepada 510PS dan 650Nm.

Dengan transmisi M Steptronic lapan-kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.9saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Di Australia, M3 Competition dijual pada harga AUD154,471 (kira-kira RM463,889) namun kehadirannya dalam skuad polis Australia langsung tidak membabitkan wang cukai rakyat kerana menurut laporan, kereta itu dipinjamkan sementara oleh BMW untuk proses penilaian.

Ini bukanlah kali pertama BMW meminjamkan kereta mereka kepada polis Australia. Dua tahun yang lalu, pasukan itu menerima sebuah BMW M5 Competition yang turut dijadikan sebagai kereta peronda lebuhraya untuk kontinjen Victoria.

Selain itu, antara kenderaan berkuasa tinggi yang pernah digunakan oleh polis Australia termasuklah Kia Stinger, Lexus RC-F, Honda Civic Type-R dan Holden Commodore SS.

BMW C400 X ‘Golden Age’ NMoto kustom hampir menyerupai Vespa

SEKILAS pandang, skuter gaya retro ini tampak seperti produk keluaran Vespa. Namun percayakah anda bahawa jentera yang diberi jolokan ‘Golden Age’ ini asalnya adalah sebuah BMW C400 X?

Sukar untuk percaya namun inilah hasil tangan terbaharu syarikat kustom terkenal dari Florida, NMoto. Dengan bantuan Zillers Motorcycles, sebuah garaj motosikal kustom yang berpengkalan di Moscow, C400 X yang asalnya kelihatan seperti robot makhluk asing dari planet Cybertron kini kelihatan seperti Volkswagen Beetle beroda dua.

Walaupun begitu, Beetle bukanlah inspirasi untuk Golden Age. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMoto Alex Niznik, rekaan era pra-perang jentera ini diilhamkan oleh motosikal Henderson Streamliner yang dibina oleh O.Ray Courtney pada 1936.

Kit badan unik ini dihasilkan oleh Zillers dan diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon komposit bagi memastikan ia tidak terlalu berat. Keringanan kit ini, serta permukaannya yang licin dan aerodinamik, membolehkan Golden Age mencapai kelajuan maksimum 144km/j, kira-kira 6km/j lebih tinggi berbanding C400 X.

Bagaimanapun, NMoto tidak menyatakan sama ada enjin asal C400 X itu telah diubah suai atau tidak. Atas kertas, enjin silinder tunggal bersesaran 350cc dengan teknologi penyejukan cecair itu menjana 34hp pada 7,500rpm dan 35Nm tork pada 6,000rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear jenis CVT.

Menariknya, walaupun tampil dengan bentuk badan yang berbonjol, Golden Age dikatakan mempunyai sudut condong maksimum yang mencecah 35 darjah, lebih 1 darjah jika dibandingkan dengan sudut condong Harley-Davidson Sportster S.

Antara modifikasi lain yang telah dilakukan pada skuter ini termasuklah penggunaan subrangka hadapan dan belakang baharu dan perumah lampu isyarat membelok baharu. Haluan sistem ekzos turut diubah suai, di mana ekzos gas kini keluar melalui bukaan gril kecil pada bahagian bawah fairing belakang.

Semua kelengkapan dari kilang masih dikekalkan, termasuk ABS, Automatic Stability Control, paparan 6.5-inci dengan sambungan Bluetooth dan ruang storan di bawah tempat duduk. Tempat duduk itu mempunyai ciri pemanas dan sistem penguncian sentral.

Sasaran NMoto adalah untuk menawarkan 100 kit Golden Age, sama ada dalam versi yang telah siap dipasang atau kit DIY. Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti upholsteri kustom, suspensi udara, rak bagasi, sistem pencahayaan LED serta cermin sisi, lampu utama dan lampu membelok yang direka khusus berdasarkan pasaran yang berlainan.

Banjir: Perodua tawar bantuan pemeriksaan percuma, tunda dan diskaun untuk pemilik terjejas

PERODUA menawarkan bantuan, termasuk rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kenderaan kepada semua pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

Setakat 19 Disember 2021, beberapa bahagian di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah terkesan akibat banjir.

“Para pelanggan kami amat penting buat kami dan perkhidmatan tambah nilai ini disediakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka semasa bencana ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Walaupun beberapa pusat servis kami turut terjejas akibat banjir, para pelanggan kami amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan kami yang  lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.”

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyambung semula operasi kami (di kawasan terjejas) secepat mungkin,” tambah beliau lagi.

Imej: Bernama

Mengenai bantuan yang diberikan, pelanggan Perodua boleh membuat tuntutan untuk perkhidmatan menunda kenderaan maksimum sehingga RM100 di pusat servis Perodua berhampiran mengikut kepada terma dan syarat.

Selain itu, Perodua juga turut menawarkan potongan 20 peratus untuk alat-alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

“Alat-alat ganti tulen kami disertakan dengan jaminan pengeluar dan kami meminta para pelanggan kami untuk tidak menggunakan sebarang alat ganti tiruan kerana ini boleh menjejaskan prestasi kenderaan mereka,” kata Dato’ Zainal .

Alat-alat ganti tersebut termasuk semua barangan elektronik, gasket baik pulih enjin, tempat duduk kenderaan, kemasan pintu dan permaidani.

Pelanggan Perodua, yang kenderaannya mengalami kerosakan akibat banjir digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan bebas tol Perodua di 1-800-88-5555 untuk bantuan menunda (tertakluk kepada terma dan syarat).

Touch n Go dan SmartTag dimansuh terus atau boleh guna lagi? PLUS beri penjelasan

PLUS kelmarin mengumumkan bahawa mereka akan mula mengadaptasi RFID di semua plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Kenyataan itu walaubagaimanapun menimbulkan persoalan dan kekeliruan di kalangan orang awam sama ada pembayaran menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTag masih boleh dibuat selepas 15 Januari.

Ada berpendapat selepas tarikh itu, hanya pembayaran tol menggunakan RFID boleh dilakukan kerana PLUS berkata bahawa Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan secara berperingkat.

Jadi, PLUS hari ini telah mengeluarkan kenyataan susulan berkenaan isu ini. Menurut PLUS, pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih ditawarkan walaupun transaksi RFID diperkenalkan di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan RFID ketika ini adalah pilihan tambahan kepada platform kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada.

Transaksi menggunakan RFID juga langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong – MLFF) pada masa depan.

Azman berkata; “Kami mendengar dan faham kebimbangan yang disuarakan sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan torong Touch ‘n Go dan SmartTag dan ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi dan hanya satu lorong RFID akan disediakan di plaza-plaza tol di laluan Juru-Skudai kelak.

“Dengan pembukaan lorong RFID bermula 15 Januari 2022 nanti, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan platform pembayaran tol bagi melengkapkan transaksi tol mereka.”

PLUS bagaimanapun menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem transaksi RFID kerana ia lebih pantas dan akan memudahkan perjalanan di plaza tol.

Tag pelekat RFID boleh diperoleh di 39 pusat pemasangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengguna juga boleh mendapatkan tag Touch ‘n Go RFID secara atas talian menerusi Touch ‘n Go eWallet atau portal Touch ‘n Go untuk memasangnya sendiri.

Transaksi tol menggunakan RFID di lebuh raya sistem tertutup seperti PLUS sudah diuji terlebih dahualu di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua di Kedah dan Pulau Pinang sejak Julai tahun lalu dan kadar penerimaan semakin meningkat sejak mula diperkenalkan.

Pengeluar Vietnam, VinFast akan tayang tiga EV baharu di CES 2022

VINFAST agak menonjol di Los Angeles Auto Show dengan pengenalan VF e35 dan e36, tetapi untuk pameran CES akan datang, mereka akan mempamerkan barisan penuh lima model elektrik (EV).

VinFast VF e36

Dari kesemua itu, tiga darinya adalah model baharu. Sumber mengatakan ianya crossover elektrik yang akan bersaing dalam segmen A, B dan C. Jadinya model-model ini akan diposisikan di bawah e35 dan e36.

Pengeluar Vietnam itu tidak mendedahkan secara terperinci, tetapi mereka berkata model-model akan datang bakal mendapat gaya elegan Pininfarina dan Torino Design.

Model-model ini juga menjanjikan rekaan yang mengoptimakan aerodinamik tetapi pada masa yang sama “mengekalkan ciri aestetik yang menggambarkan ciri unik setiap segmen”.

VinFast turut berkongsi model-model baharu ini akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan terkini termasuk parkir automatik sepenuhnya, Lane Assist dan Front Collision Warning. Ciri lain adalah arahan suara dan bantuan maya.

Menurut VinFast, teknologi itu dibangunkan oleh jurutera mereka sendiri dan beberapa jenama besar dalam industri teknologi kenderaan.

Mantap, makin ke depan mereka walaupun mula lambat dari Malaysia. Mungkinkah kita dapat melihat model-model Proton dan Perodua juga dijual di pasaran mencabar seperti Amerika Syarikat?

RFID untuk semua tol PLUS, tiada lagi Touch n Go dan SmartTag?

TEKNOLOGI Radio Frequency Identification (RFID) akan mula didapati untuk pembayaran tol untuk kenderaan persendirian Kelas 1 di lebuh raya PLUS bermula 15 Januari 2022.

Menteri Kerja Raya berkata kementeriannya sedang bersedia ke arah memansuhkan penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTag.

“Akan terdapat satu lorong RFID sepanjang lebuh raya di pantai barat untuk membantu mengurangkan kesesakan trafik, dan ini sejajar dengan pembangunan pesat teknologi,” kata kementerian itu.

Menurutnya lagi, pembayaran tol menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTag masih boleh dibuat. Tetapi kedua-duanya akan dimansuhkan secara berfasa kerana lorong-lorong RFID akan dibina menggunakan Intelligent Transport System (ITS) untuk Multi-Lane Free Flow (MLFF).

RFID, berserta dengan MLFF, akan memberikan lebih kelancaran dan pembayaran tanpa-sentuh (contactless) kepada pengguna jalan raya.

Sistem ini akan diperkukuhkan dengan Touch ‘n Go eWallet dan kebolehan menambah nilai secara digital yang juga mengurangkan interaksi di kaunter.

Apa pendapat anda mengenai langkah ini?

Bagaimana proses VTA dibuat? JPJ jalankan demo pada BMW iX 2022

SELAIN dari menguatkuasakan undang-undang seperti anda biasa lihat di jalan raya, skop tugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga melibatkan aktiviti menguji dan membuat kelulusan kenderaan, lebih tepat lagi VTA.

VTA (Vehicle Type Approval) atau kelulusan jenis kenderaan ialah suatu prosedur wajib dilalui dan dipatuhi oleh semua model baharu kenderan bermotor sebelum ianya layak dipasarkan ke dalam negara ini.

Model kenderaan yang telah melalui dan lulus prosedur VTA akan diberikan pensijilan khas yang mengesahkannya untuk berada dalam pasaran. VTA dilakukan bagi memastikan kenderaan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedahnya.

Jadi, bagaimana prosedur VTA dilakukan? Engear berpeluang melihat sendiri demonstrasi ringkas yang dikatakan pertama kali diadakan untuk para media. Sesi demonstrasi ini adalah kerjasama pihak JPJ dan BMW Group Malaysia dan ia dibuat pada model iX xDrive40i 2022 serba baharu.

Menurut JPJ, prosedur VTA biasanya mengambil masa 20 hingga 30 hari dari proses penyerahan dokumen, pemeriksaan fizikal kenderaan, ujian dinamik (pandu uji) hingga homologasi pengesahan.

Antara aspek yang disemak semasa pemeriksaan fizikal kenderan adalah identiti kenderaan (nombor casis dan enjin), nombor motor elektrik (EV sahaja), dimensi kenderaan, spesifikasi tayar, komponen isyarat dan lampu, tali pinggang keselamatan, roda stereng, panel meter, dan ketelusan cahaya pada cermin.

Pemeriksaan fizikal kenderaan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua pegawai JPJ dari bahagian kejuruteraan automotif dan boleh mengambil masa kira-kira sejam.

Kesemua penilaian VTA akan berdasarkan rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29) yang menghimpunkan 63 negara di bawah satu perjanjian.

Di bawah perjanjian ini, satu peraturan teknikal yang dikenali sebagai peraturan United Nations (UN) telah dibangunkan dan digunapakai secara seragam oleh semua negara anggota termasuklah Malaysia.

Sebarang ujian yang sah dilakukan oleh mana-mana negara anggota akan terus boleh diterima dan diguna pakai di kesemua 63 negara anggota.

Sebagai contoh, model Proton atau Perodua yang pertama kali diuji oleh VTA JPJ, jika lulus, pensijilannya juga sah untuk kegunaan di negara-negara anggota seperti Jerman, Sweden, Itali, Korea Selatan, dan Jepun.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami berbesar hati kerana JPJ telah mempertimbangkan kami di BMW Malaysia sebagai rakan kongsi bagi pendemonstrasian proses VTA dan homologasi kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Zailani Hj Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan berkongsi, “Sebagai badan berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian, ujian dan kelulusan kenderaan di Malaysia, prosedur VTA adalah diwajibkan bagi semua kenderaan sebelum ia dibenarkan untuk menyusuri jalan raya Malaysia.

“Saya berharap penglibatan media serta publisiti yang diberikan ke atas demonstrasi hari ini dapat membekalkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan dan fungsi Jabatan Kejuruteraan Automotif, JPJ serta prosedur VTA, yang turut menggambarkan peranan kerajaan dan JPJ untuk menjamin tahap keselamatan yang optimum bagi pengguna jalan raya di dalam negara.”

Hyundai Palisade ini sebuah SUV saiz Amerika, pilihan enjin 2.2 diesel dan 3.8 petrol, dari RM329k

ANDA rasa Hyundai Santa Fe sudah cukup besar? Hari ini Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) melancarkan sebuah SUV yang lebih besar, iaitu Palisade.

Boleh dikatakan Palisade ini SUV bersaiz Amerika kerana di benua sana, ia bersaing dengan model-model seperti Honda Pilot, Kia Telluride, Toyota Highlander dan Ford Explorer. Di Malaysia, ia bersaing dengan Mazda CX-9.

Hyundai Palisade ialah SUV tiga-baris tempat duduk dengan kapasiti tujuh atau lapan penumpang, dan hadir dengan dua pilihan enjin.

Palisade Exec
R 2.2-liter CRDi turbodiesel
200hp pada 3,800rpm
400Nm pada 1,750 hingga 2,750rpm
Automatik 8-kelajuan
Pacuan semua-roda
0-100km/j dalam 10.2 saat
Kelajuan maksima 190km/j

Palisade Luxe
Lambda II 3.8-liter V6 naturally-aspirated petrol
295hp pada 6,000rpm
355Nm pada 5,200rpm
Automatik 8-kelajuan
Pacuan roda-depan
0-100km/j dalam 7.8 saat
Kelajuan maksima 210km/j

Model tujuh penumpang menggunakan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 manakala untuk lapan penumpang menggunakan susunan 2-3-3. Tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat 60:40.

Harga bergantung kepada pilihan enjin dan kapasiti tempat duduk, seperti berikut:

Exec 8: RM328,888
Exec 7: RM348,888
Luxe 8: RM338,888
Luxe 7: RM358,888

Harga adalah selepas pengecualian cukai 50 peratus untuk kenderaan CBU yang sah sehingga 30 Jun 2022.

Dari segi saiz, seperti dikatakan tadi, Palisade lebih besar dari Santa Fe. Ia mempunyai ukuran 4,980mm panjang, 1,975mm lebar dan 1,750mm tinggi. Jarak roda pula ialah 2,900mm.

Kelengkapan luaran terdiri dari rim aloi 20-inci dengan tayar 245/50, brek parkir elektronik, lampu LED depan dan belakang termasuk DRL, rak bumbung, dan cermin sisi berkuasa dengan lampu lopak air dan fungsi pemanas.

Di dalam pula, Hyundai Palisade dilengkapi ciri seperti dua bumbung suria, tempat duduk berkuasa, paparan instrumen 7-inci, sistem infotainmen 8-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay, serta head-up display.

Terdapat juga empat mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Sport dan Smart, sama seperti model Hyundai lain.

Anda juga boleh memilih antara tiga jenis balutan kulit termasuklah hitam, Burgundy dan Warm Grey Nappa. Sementara itu, pilihan warna luaran pula adalah Timeless Black, White Cream, Lagoon Silver dan Steel Graphite.

Ciri keselamatan juga cukup lengkap, seperti enam beg udara, ABS, EBD, ESC, Vehicle Stability Management, traction control, hill start assist, Downhill Brake Control, Trailer Stability Assist, dan tyre pressure monitoring system.

Apa pendapat anda mengenai SUV besar ini? Untuk harganya, berbaloi ambil SUV besar atau terus ke sedan jenama premium?

BMW DC Fast Charger di Ara Damansara ini boleh diguna oleh orang awam

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan beberapa pengecaj pantas DC Fast Chargers di Auto Bavaria Ara Damansara dan ia boleh digunakan oleh orang awam. Ini merupakan yang pertama, dimana akan ada banyak lagi bakal dipasang di pengedar BMW i seluruh negara.

Usaha ini adalah sebahagian dari komitmen BMW untuk menyediakan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.

“Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, dan sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen tersebut bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi – bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah begitu juga dengan para pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.”

BMW Group Malaysia antara peneraju EV di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang telah menyaksikan BMW i yang pertama dilancarkan di sini.

Sejak itu, lebih daripada 21,000 buah kenderaan BMW dan MINI berelektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.

Toyota dan Lexus buat kejutan tayang 15 kenderaan EV!

NAMPAKNYA Toyota telah membuat kerja secara senyap-senyap, ramai tidak menyangka mereka akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) dalam masa terdekat.

Mereka telah memperkenalkan model EV baharu. Bukan satu, bukan dua, tetapi 15 model!

Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda mempersembahkan 15 model EV Toyota dan Lexus yang meliputi kesemua segmen kenderaan, termasuklah kereta sports!

Toyoda memulakan pembentangan barisan model EV itu dengan bZ4x sebelum beralih kepada crossover elektrik di sebelahnya.

SUV kompak bZ ini akan berubah sedikit untuk versi produksi tetapi rekaan bumbung coupe dan warna dwi-tona akan dikekalkan. Mungkin ini akan menjadi C-HR versi elektrik masa depan?

Kebanyakan model konsep yang dipersembahkan mempunyai cermin depan dan sisi yang ditinta gelap, bermakna Toyota belum bersedia menunjukkan rekaan kabin.

Antara yang menarik juga adalah SUV bZ bersaiz besar yang mungkin akan menjadi model Lexus. Ia akan diposisikan di atas model bZ4x.

Paling menarik perhatian pastinya model sports, dimana terdapat satu model coupe rendah dengan bumbung agak dramatik.

Coupe ini dikatakan akan mampu memecut ke 100km/j kurang tiga saat dan mempunyai jarak pemanduan hingga 700km.

Terdapat juga trak pikap yang menyerupai Tacoma, serta sebuah SUV seakan FJ Cruiser untuk era elektrik.

Penutup pembentangan barisan EV itu dibuat dengan dua kenderaan kecil iaitu Mid Box dan Micro Box. Kedua-dua ini sesuai untuk kenderaan harian emisi sifar serta kenderaan penghantaran dalam bandar.

Toyota dan Lexus sebelum ini pernah berkata bahawa mereka mensasarkan jualan 3.5 juta unit kenderaan EV setahun. Mereka akan memperkenalkan 30 model EV menjelang hujung dekad ini dengan pelaburan USD70 juta (RM296 juta).

Ini rangkaian produk Petronas original di Lazada! Tak perlu risau lagi

APABILA membeli-belah di platform atas talian (online), kita mungkin risau akan keaslian produk kerana tiada siapa yang mengesah ketulenannya. Tetapi kini anda tidak perlu risau lagi.

Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) kini mengumumkan mereka mempunyai rangkaian produk bendalir Syntium (untuk kereta) dan Sprinta (untuk motosikal) di Lazada.

Minyak enjin itu telah mula dijual di platform Shopee sejak pertengahan tahun lalu melalui Petronas Official Store dengan pelbagai produk mengikut keperluan kenderaan sama ada sintetik penuh, semi, atau mineral.

Kali ini mereka mengembangkan Petronas Official Store di platform Lazada pula.

“Ini merupakan sebahagian dari usaha kami bagi memastikan para pelanggan sentiasa mendapatkan minyak enjin Petronas yang tulen dan berkualiti tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB Hardeep Singh.

“Menerusi platform e-dagang, para pelanggan kini boleh mendapatkan pelbagai minyak enjin Petronas dengan lebih mudah, cepat, dan diyakini.”

Selain itu, baucar perkhidmatan servis kereta Petronas AutoExpert juga diperkenalkan di platform e-dagang Lazada, bermula 12 December 2021.

Keseluruhan transaksi dan urusan janji temu dilakukan atas talian dan melalui platform rasmi Petronas Official Store.

Dengan harga yang berpatutan, para pelanggan juga bakal menerima hadiah eksklusif seperti beg tahan sejuk, beg pinggang, payung dan pelekat bagi setiap pembelian produk Petronas Syntium dan Sprinta serta perkhidmatan di Petronas AutoExpert.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan barangan rasmi seperti T-Shirt pasukan PSRT MotoGP dan AMG Mercedes F1, jaket, topi, dan beg sandang, kini boleh layari kedai rasmi Petronas Official Store.

Petronas Official Store di Shopee: https://shopee.com.my/petronas.os

Petronas Official Store di Lazada: https://www.lazada.com.my/shop/petronas

Saga facelift segmen-A terlaris, terjual lebih 100,999 unit dalam 30 bulan

DUA tahun enam bulan model Saga facelift di pasaran, Proton memaklumkan berjaya menjual lebih 100,999 unit setakat ini.

Ia sekaligus menjadikan Saga sebagai model sedan segmen-A terlaris di Malaysia!

Walaupun negara berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun kebelakangan ini, momentum permintaan terhadap Saga terus menunjukkan peningkatan.

Foto ihsan Proton

Hal ini terbukti apabila Saga pernah menerima lebih 500 tempahan sehari dan ini merupakan suatu kejayaan yang amat membanggakan bagi Proton.

Terdapat pelbagai faktor Saga menjadi pilihan kebanyakan pengguna selain daripada harganya yang berbaloi.

Model Saga facelift mempunyai beberapa spesifikasi menarik termasuk lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) dan rim aloi 15-inci bagi varian Premium.

Foto ihsan Proton

Selain itu, Saga ini juga mempunyai skrin sesentuh tujuh-inci dengan storan dalaman 16GB termasuk fungsi hubungan Bluetooth.

Mempunyai enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS dan tork maksima 120 Nm, apa lagi yang anda perlukan dengan harga serendah RM32,800?

Tepuk dada tanya selero!

Stark Future lancar motocross elektrik dengan 80hp, harga RM50,366

INDIVIDU berminat mendapatkan motocross elektrik keluaran syarikat Stark Future boleh berbuat demikian hanya menerusi tempahan secara dalam talian.

Syarikat berpangkalan di Sepanyol itu berkata, penghantaran model diberi nama Varg tersebut dijangka bermula pada September tahun depan.

Varg merupakan sebuah motocross dipacu oleh motor elektrik dan bateri 6 kWh.

Foto ihsan Stark Future

Menariknya, Stark Future berjaya menghasilkan sebuah jentera agak ‘padu’ yang mana ia mampu menghasilkan 80 kuasa kuda dan 938 Nm tork walaupun hanya dijana menggunakan kuasa elektrik.

Penunggang yang gemarkan cabaran di hutan juga tidak perlu bimbang kerana jentera ini boleh bertahan selama enam jam menerusi pengecasan bateri penuh!

Antara spesifikasi menarik terdapat pada motocross ini adalah ia agak ringan dengan berat keseluruhan 110 kilogram selain mempunyai kuasa 30 peratus lebih daripada model 450 cc lain.

Foto ihsan Stark Future

Stark Future juga mendakwa kerangka jentera ini 50 peratus lebih ringan berbanding motocross biasa.

Suspensi yang digunakan adalah daripada Kayaba dengan jarak gerak 310 mm di hadapan.

Bagaimana pula harganya?

Varg dijual pada harga USD11,900 (RM50,366) dan pembeli boleh memilih spesifikasi sesuai untuk kegunaan mereka.

Foto ihsan Stark Future

Mercedes S-Class serba baharu tiba di Malaysia, 502hp, 750Nm, CKD

MERCEDES S-Class cukup sinonim dengan simbol kejayaan dan dikatakan antara kereta terbaik di dunia. Dan Mercedes sentiasa memberikan yang terbaik juga untuk sedan flagship ini dengan segala teknologi dan sistem terkini yang mereka ada.

Jadi Mercedes S-Class terbaharu telah tiba di Malaysia, dengan satu varian iaitu S580e dan ianya dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti Mercedes di Pekan, Pahang. Malangnya, harga Mercedes S580e baharu ini belum diumumkan kerana masih menunggu pengesahan.

S-Class ini merupakan generasi ketujuh dengan kod nama W223 dan mula dilancarkan secara global pada September tahun lepas.

Rekaannya mirip E-Class terkini dengan gril depan baharu yang lebih besar, diapit oleh lampu lebih lebar dan nipis. Lampu LED Digital Light ini terdiri dari 1.3 juta cermin mikro di setiap unit untuk nyalaan tepat tanpa menyilaukan pengguna jalan raya dari arah bertentangan.

Di bahagian sisi, S-Class ini mendapat pembuka pintu flush yang akan masuk kemas ke dalam badan bila tidak digunakan, memberikan permukaan minimalis selain menambahbaik aerodinamik.

Lampu belakangnya kini terdiri dari unit two-piece seperti CLS dan dihubungkan dengan bar krom di tengah. Menurut Mercedes, rekabentuk baharu badan S-Class ini memberikan pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.22.

Konsep minimalis diteruskan ke bahagian dalam, dimana S-Class ini menampilkan papan pemuka dengan skrin sesentuh besar di tengah. Jadi di sini terdapat kebanyakan kawalan kenderaan.

Untuk pemandu pula, terdapat satu skrin khas di depan stereng untuk paparan instrumen yang juga boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu (Discreet, Sporty, Exclusive, Classic). Terdapat juga tiga mod iaitu Navigation, Assistance dan Service.

Dan seperti biasa, segala keselesaan dan kemewahan diutamakan untuk bahagian belakang dimana pemilik sebuah Mercedes S-Class selalu duduk. Di sini, terdapat bahan premium seperti kulit Nappa dan kayu Anthracite.

Tidak kurang juga dengan teknologi, Mercedes S-Class mendapat kelengkapan seperti:

Mercedes-Benz User Experience (MBUX)
E-Active Body Control
Rear-wheel Steering
Sistem audio Burmester
Pakej keselamatan PRE-SAFE

Mercedes S580e ini dipacu oleh enjin 3.0-liter 6-silinder turbo yang menjana 367hp dan 500Nm tork. Enjin ini mendapat bantuan sistem elektrik berkuasa 110kW (147hp) dan 440Nm, menjadikan output total S580e ini setinggi 502hp dan 750Nm.

Semua kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic. Ini membolehkan Mercedes S580e memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat, dan kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

Apa pendapat anda mengenai Mercedes S-Class 2022 setakat ini? Atau anda lebih gemarkan BMW 7-Series, Audi A8 dan Lexus LS?

Promosi beli Suzuki Swift Sport, faedah serendah 1.18 peratus

INFORMASI menarik untuk anda sedang ‘memburu’ kenderaan baharu!

Naza Eastern selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Suzuki di Malaysia kini sedang melakukan promosi jualan bagi model Swift Sport.

Para pelanggan berpeluang mendapatkan Suzuki Swift Sport dengan kadar faedah serendah 1.18 peratus sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Sdn Bhd berkata, setakat ini model Swift Sport mendapat permintaan luar biasa daripada pelanggan.

Jelas Datuk Nik Hamdan Nik Hassan, pihaknya akan terus memberi pengalaman luar biasa kepada para pelanggan menerusi promosi dijalankan ini.

“Kami gembira menawarkan promosi terbaharu kadar faedah rendah untuk Suzuki Swift Sport.

“Pengenalan semula model Swift Sport telah mendapat sambutan memberangsangkan dikalangan peminatnya, jadi kami membawakan promosi yang menarik ini,” katanya.

Foto ihsan Suzuki

Harga bagi Suzuki Swift Sport bermula dari RM139,900 sahaja.

Sementara itu, pelanggan mendapatkan model ini dalam tempoh promosi layak menerima pakej tinted cermin dan body coating bernilai RM4,000.

Suzuki Swift Sport dikuasakan dengan enjin 1.4L Boosterjet yang dapat menghasilkan 140 kuasa kudan dan 230 Nm.

Ia juga mempunyai sistem transmisi automatik enam kelajuan dan berat badan sekitar 970 kilogram.

Jadi, tunggu apa lagi? Jom ramai-ramai dapatkan Suzuki Swift Sport!

Chiow!

Tanah runtuh: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

JALAN Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup sebelum ini akan dibuka kepada kenderaan awam tidak lama lagi.

Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia dijangka dibuka pada Jumaat ini bergantung kepada kerja-kerja pembersihan jalan berkenaan.

Jelasnya, pihak kontraktor kini sedang giat menyelesaikan kerja pembersihan dan saluran longkang yang terjejas akibat runtuhan tanah pada 2 Disember lalu.

“Pihak konsesi sedang membersihkan jalan dan pembinaan longkang aliran air di tepi jalan bagi mengelakkan pergerakan tanah berlaku,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zolkafly mengingatkan orang ramai berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan yang keadaannya berbukit dan bercerun.

Pada awal Disember lalu, dua maut selepas kenderaan dinaiki iaitu Toyota Alphard dan sebuah lori tertimbus dalam runtuhan tanah.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak juga telah diarah menjalankan kerja pembaikan mendapan tanah di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang.

Difahamkan, ia telah berlanjutan hampir dua bulan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Ia berikutan keperluan mendesak oleh pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa,” katanya lagi.

Honda Civic 2022 serba baharu dibuka untuk tempahan, lancar pada Q1 tahun depan!

INI berita yang mungkin dinanti-nantikan oleh ramai peminat Honda Civic di Malaysia, kerana tempahan untuk sedan segmen-C popular itu kini dibuka! Pelancarannya dijangka pada suku pertama tahun depan.

Civic generasi ke-11 dengan kod nama FE membawakan teknologi terkini ditemani “gaya, pengendalian dan prestasi terbaik dalam kelasnya” menurut Honda.

Kita lihatkan ukuran badannya dulu. Dari segi dimensi, Civic FE ini berukuran 4,678mm panjang, 1,802mm lebar, dan 1,415mm tinggi. Ia juga mempunyai jarak roda (wheelbase) 2,735mm dan dikatakan lebih besar dan lebar berbanding Civic sebelum ini untuk memberikannya profil sporti.

Untuk penampilannya, Civic tampil lebih elegan dan lebih matang, hampir seperti sedan mewah Jerman. Jika dilihat di belakang khasnya, tiada lagi rupa Civic ‘ketam’.

Buat pertama kali, Civic RS akan diperkenalkan. Berbanding varian biasa, Civic RS akan mendapat cermin sisi hitam, antena sirip jerung, dan rim aloi hitam 18-inci. Ciri standard di bahagian luar termasuklah lampu LED sepenuhnya berserta DRL.

Pada varian RS seperti dalam gambar ini, Civic dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC turbo yang menjana 182PS dan 240Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT. Nampaknya seperti tiada lagi enjin 1.8-liter, tapi perkara ini masih belum dapat lagi dipastikan.

Terdapat mod pemanduan Econ, Normal dan Sport yang boleh dipilih dari suis Drive Mode. Sudah pasti, mod Sport akan memberikan respon pecutan paling tinggi jika anda mahukan prestasi maksimum Civic FE ini.

Honda Civic 2022 juga akan didatangkan dengan selambak teknologi di bawah ‘payung’ Honda SENSING termasuk sistem terbaharu Lead Car Departure Notification System. Ciri lain adalah:

Adaptive Cruise Control (ACC)
Low-Speed Follow (LSF)
Collision Mitigation Braking System (CMBS)
Forward Collision Warning (FCW)
Lane Keep Assist System (LKAS)
Road Departure Mitigation (RDM)
Lane Departure Warning (LDW)
Auto High Beam (AHB)

Berminat? Honda Civic 2022 boleh ditempah sekarang di semua cawangan pengedar Honda seluruh negara.