fbpx

Rolls-Royce Phantom Orchid edisi khas untuk pelanggan Singapura, satu sahaja di dunia!

rolls-royce phantom orchid 01

ROLLS-Royce telah pun menguji Phantom facelift tetapi jabatan Bespoke di Goodwood kini mempersiapkan Phantom istimewa one-off (satu sahaja) berdasarkan model semasa.

Unit istimewa itu dinamakan Phantom Orchid, direka khas untuk seorang pelanggan di Singapura hasil kerjasama Rolls-Royce dengan artis Helen Amy Murray.

Seperti pada namanya, Rolls-Royce Phantom Orchid diinspirasikan dari bunga orkid yang membawa simbol ketahanan, kecantikan dan kekuatan.

Pembangunan limo “satu dari satu” ini sebenarnya mengambil masa dua tahun dimana Helen Amy Murray menghabiskan lebih 200 jam bersama pasukan terdiri dari enam orang.

Rekaan asalnya mula dicetak di atas sutera satin crepe, diikuti dengan bunga-bunga yang diolah dengan tangan, kemudian lapisan tambahan fabrik untuk kesan 3D. Hasilnya dipaparkan di Gallery Phantom meliputi sebahagian besar papan pemuka.

Artis itu mengambil inspirasi beberapa jenis orkid termasuklah Orkid Singapura. “Saya bermula dengan fokus kepada orkid sebenar yang kemudiannya membawakan saya kepada warna yang penting kepada spesis itu,” katanya.

“Saya pernah membuat hasil seni orkid sebelum ini, tetapi idea saya untuk Gallery ialah untuk mencipta sesuatu yang realistik yang menyebabkan kami memperhalusi kemahiran cetakan digital.”

Disebabkan ini Phantom one-off, kustom padanya tidak berakhir pada rekaan orkid itu. Ia menampilkan meja boleh lipat pada bahagian belakang tempat duduk depan, dengan permukaan hitam piano berserta elemen orkid oleh pereka Rolls-Royce, Yohan Benchetrit.

Motif sama juga dibuat pada lantai dan fender depan kereta. Bahagian lain pada ruang dalaman menggabungkan warna Grace White, Havan dan balutan kulit Smoke Gray dengan jahitan Dark Olive.

Model istimewa ini diasaskan dari Phantom Extended iaitu versi panjang yang memberikan lebih ruang kaki pada penumpang belakang.

Warna luarnya menggunakan cat unik dengan asas Arctic White dan lapisan ungu serta kaca halus untuk hasil kilatan yang berubah warna bergantung kepada pencahayaan dan sudut pandangan.

Tiada sebarang harga didedahkan untuk Rolls-Royce Phantom Orchid ini. Tetapi sebagai perbandingan, Rolls-Royce Phantom biasa berharga sekitar RM2.2 juta semasa ia dilancarkan di Malaysia, sudah pastinya edisi khas Orchid ini berharga jauh lebih mahal.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved