fbpx

I.T. Box BM-400 sebuah MPV elektrik dengan jarak pemanduan lebih 400km

it box bm-400 04

SABAN tahun ada sahaja syarikat ‘startup’ dari China yang menceburi industri automotif, terutamanya dalam segmen kenderaan elektrik atau EV.

Pada 15 Disember lalu, pendatang baharu dalam industri iaitu I.T. Box memperkenalkan dua model EV yang disasarkan untuk pasaran perkongsian kenderaan (ride-sharing).

Model-model tersebut dikenali sebagai BM-400 dan BM-600, yang mana masing-masing dikatakan akan memasuki fasa pengeluar pada 2023 dan 2024.

Menurut pengasas I.T. Box, Zhang Shuguang, syarikat itu telah menerima lebih 42,000 tempahan untuk BM-400.

Dari segi penampilan, BM-400 hadir dalam bentuk MPV konvensional dengan elemen-elemen rekaan yang futuristik.

Ia mempunyai dimensi ukuran 4,530mm panjang, 1,900mm lebar dan 1,790mm tinggi, dengan tapak roda sepanjang 2,850mm. Sebagai gambaran, lebih pendek namun lebih lebar dan tinggi berbanding Proton Exora.

Apa yang menarik, model ini direka dengan keupayaan penyelenggaraan kendiri, yang bermaksud 75 hingga 80 peratus kerosakan kecil seperti calar atau kemek boleh dibaiki dengan menukar panel tersebut, termasuk bampar hadapan dan belakang. Dengan cara ini, pemandu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

Ruang dalaman BM-400 pula menampilkan susunan tempat duduk berbentuk ‘L’ dengan satu tempat duduk pada barisan pertama dan kedua, dan tiga tempat duduk pada barisan ketiga. Menurut syarikat itu, kabinnya direka sedemikian bagi menghasilkan ruang untuk muatan seperti kerusi roda, papan selaju dan sebagainya.

Sistem infohibur terdiri daripada dua buah skrin besar, satu disusun secara menegak pada konsol tengah dan satu lagi diletakkan secara melintang pada papan pemuka.

Spesifikasi teknikal seperti bilangan motor elektrik, kapasiti bateri dan sebagainya tidak dinyatakan, namun menurut syarikat itu, BM-400 boleh didapati dalam dua versi jarak pemanduan iaitu 420km dan 530km.

Sementara itu, BM-600 pula boleh dipandu sejauh 600km. Kedua-dua model menyokong pengecasan pantas 600 volt.

Bagaimanapun, dari segi saiz, BM-600 lebih panjang sebanyak 400 mm, manakala tapak rodanya pula berukuran 3,100 mm. Ia juga menyokong teknologi penukaran bateri.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved