fbpx

Audi S1 Hoonitron Ken Block – Jentera gymkhana kali ini elektrik pula

audi s1 hoonitron ken block 03

SEJAK sekian lamanya, nama Ken Block cukup sinonim dengan bunyi letupan dari ekzos dan geseran tayar yang terhasil ketika melakukan pelbagai stunt untuk siri Gymkhana beliau di Youtube.

Bagaimanapun, selepas ini yang tinggal hanyalah bunyi geseran tayar kerana ‘senjata’ terbaru pemandu dari Colorado itu tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman.

Dikenali sebagai S1 e-tron quattro Hoonitron, ia merupakan jentera pertama yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Block dan Audi yang diumumkan pada September lalu.

S1 Hoonitron ini mungkin tidak mempunyai enjin V8 1,400hp seperti yang terdapat pada Ford Mustang Hoonicorn RTR, namun reka bentuknya yang agresif seolah-olah memberi amaran yang ia bukanlah sebuah EV yang boleh dipandang enteng.

Menurut Audi, penampilan luaran S1 Hoonitron diinspirasikan oleh Audi Sport Quattro S1 yang pernah menjuarai perlumbaan Pikes Peak edisi 1987 di tangan Walter Rohrl.

Pengaruh kereta lumba berstatus lagenda itu dapat dilihat dengan jelas menerusi elemen-elemen seperti spoiler besar pada bahagian hadapan dan belakang, serta bukaan udara pada fender hadapan.

Apa yang mengagumkan, pasukan Audi Design di Ingolstadt hanya mengambil masa kira-kira empat minggu untuk menyiapkan reka bentuk jentera ini dari lakaran awal hingga ke rekaan akhir.

Selepas itu, projek ini diambil alih oleh Audi Sport untuk fasa pembangunan di Neckarslum, di mana R8 dan e-tron GT dihasilkan.

Tidak banyak perincian teknikal yang didedahkan oleh Audi mengenai S1 Hoonitron, namun ia pastinya mampu mengujakan peminat Block dan siri Gymkhana.

Setakat ini, syarikat itu memberitahu yang ia dikuasakan oleh sepasang motor elektrik dan mempunyai casis gentian karbon yang dibina berdasarkan spesifikasi FIA.

Block dilaporkan sudah merasa kehebatan permainan terbarunya ini pada November lalu. Bagi peminat di luar sana, mereka bakal melihat S1 Hoonitron beraksi buat pertama kali dalam video bertajuk Elektrikhana yang akan disiarkan dalam masa beberapa bulan lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved