fbpx

Polis Perancis mula terima kereta peronda Alpine A110

alpine a110 polis perancis 01

KIRA-KIRA enam bulan yang lalu, Kementerian Dalam Negeri Perancis menyatakan minat untuk mendapatkan kereta baharu untuk pasukan polis negara itu.

Setelah melalui proses rundingan, Alpine akhirnya dipilih untuk membekalkan kereta sport dua tempat duduk mereka iaitu A110.

Daripada 26 unit yang ditempah, dua telah pun diserahkan kepada polis Perancis baru-baru ini, manakala baki selebihnya akan dihasilkan dalam tempoh empat tahun. Penghantaran unit-unit selebihnya ini dijangka bermula awal tahun hadapan.

A110 akan digunakan oleh pasukan Gendarmerie untuk tugas-tugas campur tangan pantas (rapid intervention), kejar-mengejar dalam operasi narkotik dan juga misi-misi lain yang sesuai.

Berbeza dengan Police Nationale yang menjaga Paris dan bandar-bandar besar lain, Gendarmerie merupakan pasukan polis Perancis yang bertanggungjawab ke atas bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang dari 20,000 orang.

Berbalik kepada A110 itu, setiap unit didatangkan dalam warna biru gelap, dengan pelekat reflektif, tulisan ‘Gendarmerie’ pada bahagian depan, sisi dan belakang, serta slogan dalam bahasa Perancis yang bermaksud “Komitmen Kami, Keselamatan Anda”.

Sudah tentu, sebagai kereta polis, ia dilengkapi dengan lampu siren berwarna biru di atas bumbung. Apa yang menarik, A110 didatangkan standard dengan rim berukuran 17-inci namun untuk pembelian ini, kerajaan Perancis memilih untuk mendapatkan rim 18-inci.

Ruang dalamannya pula seperti yang boleh dijangka dengan mana-mana kereta jabatan penguatkuasa. Ia telah dinaik taraf dengan sistem radio polis dan juga tablet untuk memberikan akses kepada pengkalan data.

Bagaimanapun, tiada sebarang penambahbaikan diperlukan untuk enjinnya. Ini kerana A110 sudah cukup berkuasa, dengan 252PS dan 320Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.8-liter empat silinder.

Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Sebagai pengeluar kenderaan dari Perancis, ini bukanlah kali pertama Alpine atau Renault Group dipilih sebagai pembekal kereta untuk pasukan polis negara itu.

Model asal A110 pernah menjadi kenderaan Rapid-Intervention Brigade yang pertama pada 1966, diikuti dengan A310 dan Renault 18 Turbo serta beberapa lagi model lain.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved