Arkib Tag: sedan

Pengalaman Pandu Uji Proton S70 Flagship X Yang Kurang Memuaskan

Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.

Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.

Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.

 

 

Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.

Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.

Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.

 

 

Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.

Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.

Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).

 

Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.

Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?

Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:

 

1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal

Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.

Canggih bermakna lebih baik?

Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.

 

Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.

Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.

Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.

 

2. Posisi pemanduan yang tidak selesa

Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.

Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.

Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?

Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.

Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.

 

3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan

Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.

Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.

Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.

Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.

Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.

Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.

 

 

Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…

 

4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap

Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.

Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.

Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.

Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.

 

5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan

Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.

Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.

Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.

Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!

 

Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.

S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.

 

Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.

Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.

Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.

Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).

Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.

 

Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.

Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.

Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.

 

6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3

Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.

Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.

Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.

 

Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.

Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.

Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.

Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.

 

7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70

 

Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.

Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.

Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.

Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.

Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.

 

Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:

 

1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton

Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.

Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.

Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.

Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

 

2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata

 

Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.

Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.

Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.

Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?

Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.

Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.

Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.

Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?

 

4. Tidak kedekut ruang

 

Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.

Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.

Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.

 

5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi

Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.

Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.

Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.

Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).

Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!

Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?

 

Spesifikasi ringkas Proton S70 2024

Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800

 

Toyota Corolla GR Sport – Sekadar tepek emblem?

BAGUS sebenarnya sesebuah pengeluar mempunyai ‘halo car’ atau kereta yang terhebat dalam barisan model mereka. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi aspirasi pengguna yang belum cukup bajet dengan membeli model-model yang lebih mampu milik.

Sebagai contoh, Honda ada Civic Type R, maka peminat yang belum mampu boleh membeli Civic FE. Proton dulu ada Satria GTi, peminat boleh membeli Satria biasa. Dan Mazda dulu ada RX-7, peminat yang sedang menabung boleh membeli Mazda3 dahulu.

Toyota pula sekarang ada barisan kenderaan prestasi tinggi seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra. Jadi adakah ia mampu melariskan jualan Corolla dan Vios?

Eh ada juga model pertengahan, iaitu Corolla GR Sport. Ya, GR Sport sama seperti AMG Line untuk Mercedes atau M Sport untuk BMW; bukan all-out high performance, tetapi masih dapat ‘jajan’ sporti.

Kenapa perlu ada GR Sport?

Memandangkan Toyota Corolla sedan sudah berada dalam pasaran sejak 2019, maka bersesuaian untuk UMW Toyota memperkenalkan versi GR Sport sebagai pembaharuan atau facelift. Corolla GR Sport dilancarkan pada Ogos 2023, kira-kira empat tahun selepas pelancaran Corolla sedan.

Ini juga susulan pengenalan lima model GR secara serentak tahun lepas – GR86, GR Supra 6MT, GR Corolla, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport. Maka, Corolla sedan juga ibaratnya menunggu masa sahaja untuk di-GR-kan.

Dari sudut persaingan segmen-C pula, bagi penulis ini mungkin jawapan Toyota kepada Honda Civic FE di Malaysia. Jika dulu Honda Civic FC facelift pernah diberikan tayar Michelin Pilot Sport kerana Corolla mendapat Michelin Primacy, penulis anggap pengenalan GR Sport ini juga jawapan kepada Honda.

Sekadar tepek emblem?

Adakah ini sekadar tepek emblem GR? Tidak juga, lebih dari itu. Toyota Corolla GR Sport ini dilengkapi dengan bampar depan lebih agresif, bampar belakang dengan kemasan diffuser, tulisan-tulisan GR di merata badan luar dan dalam, dan grafik meter baharu yang lebih sporti.

Paling penting dan paling penulis suka, ialah rim lebih besar 18-inci, berbanding 17-inci pada model biasa. Kemudian tayar Dunlop SP Sport Maxx 225/40 yang nampak lebih sporti berbanding Michelin Primacy 225/45.

Akhir sekali ialah suspensi yang – menurut UMW Toyota – telah ditala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-olengnya.

Banyak juga ya? Cukup lazat? Oh ya, enjin tidak diusik, masih mengekalkan penggunaan 1.8-liter 2ZR-FE naturally-aspirated dengan 138hp dan 172Nm, dipadankan dengan CVT.

Kira ok juga lah, sebab harga pun bertambah RM5,000 sahaja berbanding Corolla biasa. Versi GR Sport ini dijual pada harga RM152,800. Bagi penulis, memberikan nilai wang yang cukup menarik jika dilihat perubahan dan talaan yang diberikan.

Cuma grafik meter ada satu perkara kurang memuaskan. Bila anda tukar mod, terdapat animasi Toyota Corolla bergerak tetapi dari rekaan rim yang dipaparkan, seperti Corolla biasa dan bukannya GR Sport. Sekadar komen untuk perkara yang tidak berapa penting.

Jadi, memang seronok dipandu?

Ya, seronok dipandu. Penulis masih ingat Toyota Corolla biasa dulu memang senyap, sangat refined, tetapi boleh dikerah laju jika anda mahu bergegas. Toyota Corolla GR Sport ini pula kebanyakan kawalannya lebih keras dan jitu.

Disebabkan suspensinya ditala semula pada agak banyak komponen, anda boleh terus merasainya. Sebagai contoh bila melalui bonggol, wah keras dan mantap juga serapan suspensinya.

Stereng juga sangat menerus atau direct. Sedikit input anda berikan ke kiri atau kanan, terus input ini dipindahkan ke badan kereta. Hampir tiada langsung free play di tengah stereng.

Talaan stereng yang tepat ini memberikan anda sensasi kepuasan semasa memandu di kelajuan tiga digit. Pada masa yang sama, ada rasa keyakinan memandu dan menjurus kepada meningkatnya tahap keselamatan.

Casis TNGA (Toyota New Global Architecture) pada Corolla biasa pun sudah boleh membuatkan kereta itu stabil dan senyap, dengan versi GR Sport ini ia menyerlahkan lagi kemampuan casis.

Cuma bila anda pandu Corolla GR Sport ini, jangan guna mod Sport kerana penulis dapati tetapan CVT-nya terlalu sensitif. Pedal minyak memang sedap dalam Sport. Tetapi untuk kepuasan dalam semua situasi, guna sahaja mod Normal.

Pedal minyak masih mengikut ‘input’ kaki, dan tindak balas CVT pula lebih semula jadi. Pemanduan secara keseluruhan lebih tenang tetapi kekal sporti.

Boleh pakai daily?

Dengan jiwa GR, sudah tentu Toyota Corolla ini masih boleh digunakan seharian! Ia bukanlah jentera prestasi tinggi yang terlalu fokus. Ia masih 80 peratus sedan keluarga, mungkin 20 peratus sahaja bersifat kereta sport.

Anda masih dapat praktikaliti harian sebuah sedan segmen-C. Seperti penulis katakan, kereta ini senyap, stabil, penulis berjaya pandu dengan lebih laju dari kebiasaan tetapi semua empat penumpang lena tidur. Magik casis TNGA dan input lancar penulis kot, ehem.

Corolla GR Sport masih sebuah sedan biasa, cuma pengalaman pemanduannya disuntik sedikit elemen sporti.

Dengan pemanduan seperti biasa, ada memecut, duduk dalam kesesakan trafik, bawa penumpang dan barangan, penulis masih dapat 9.0L per 100km, bersamaan 11.11km/liter.

Untuk siapa?

Bagi penulis, ada dua jenis pembeli sesuai untuk Toyota Corolla GR Sport ini. Pertama, mereka yang rasa segmen-C terlalu dibanjiri dengan Honda. Nak pilih Mazda, masih di luar bajet.

Jadi Corolla GR Sport di tengah-tengah. Sedikit kelainan, tetapi harga masih boleh tengok, orang kata.

Kedua, adalah jenis pembeli yang taksub dengan jenama Toyota atau Gazoo Racing. Pembeli ini berminat untuk menyambar GR Yaris bila harga terpakai kurang RM180,000 nanti, jadi sementara itu ambil Corolla GR Sport dahulu. Buat raso-raso

Spesifikasi Toyota Corolla GR Sport

Harga: RM152,800
Enjin: 2.0-liter naturally-aspirated 4-silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 138hp @ 6,400rpm
Tork: 172Nm @ 4,000rpm

Toyota USA lancar sedan Corolla FX, edisi khas imbau hot hatch FX16 era 80-an

Secara asasnya, Toyota Corolla merupakan nama yang digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan penumpang seperti sedan, hatchback, wagon dan juga yang terbaharu crossover Corolla Cross.

Biarpun sinonim dengan kereta penumpang, nama Corolla juga pernah pernah dikaitkan dengan versi yang lebih panas, seperti contoh Sprinter Trueno AE86, Corolla Levin GT Apex (AE101) dan tidak ketinggalan hot hatch GR Corolla yang lebih moden.

 

 

Di Amerika Syarikat, Toyota memperkemaskan penawaran keluarga Corolla dengan melancarkan model edisi khas yang digelar sebagai Corolla FX.

Ia merupakan satu penghormatan kepada hot hatch Corolla FX16 yang muncul pada tahun 1987.

Walaupun datang dengan nama sporti, Corolla FX 2025 ini sayang sekali hanya ditawarkan dalam bentuk badan sedan dan pacuan roda hadapan sahaja.

 

 

Spesifikasi enjin juga masih standard, di mana nadi Dynamic Force 2.0 liter itu masih lagi mampu menjana kuasa setinggi 169 hp dan 205 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Dibina berdasarkan gred SE yang ditawarkan di US, Corolla FX ini membawakan rupa luaran yang sedikit agresif, dimulakan dengan rim aloi hitam satin bersaiz 18 inci, bumbung hitam untuk penampilan dua tona, lencana warna hitam dan tidak ketinggalan perumah cermin sisi, juga berwarna hitam.

Tidak ketinggalan, sedan ini turut dipadankan dengan spoiler belakang membawakan imej yang lebih sporti.

 

 

Penggunaan platform TNGA-C pada Corolla menawarkan struktur casis yang lebih tegar dan titik graviti yang lebih rendah, namun untuk Corolla FX ini Toyota telah membawakan spring gegelung yang lebih rendah, diikuti dengan talaan yang lebih sporti pada sistem stereng elektrik.

Susun atur papan pemuka masih lagi sama tidak berubah, namun Corolla FX kini membawakan skrin infohibur baharu sebesar 10.5 inci secara standard, skrin kluster digital tujuh inci, pengecas peranti pintar tanpa wayar yang diambil daripada trim XSE, dan tempat duduk sport balutan fabrik Moonstone.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Corolla FX, iaitu Midnight Black Metallic, Ice Cap dan Underground.

 

 

Toyota Corolla FX16 1987

Spesifikasi sedan Mazda EZ-6 EV terdedah, 255 hp, jarak gerak 600 km

Mazda menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China Changan bakal melancarkan sedan baharu Mazda EZ-6 di pasaran China dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menerusi informasi yang diperoleh daripada laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, Mazda EZ-6 bakal ditawarkan dalam dua pilihan unit rangkaian kuasa, motor elektrik (EV), atau sistem rangkaian kuasa penambah jarak (EREV).

Berikut merupakan fakta ringkas berkenaan Mazda EZ-6:

 

1. Dimensi

Ketiga-tiga versi sedan EZ-6 itu membawakan ukuran yang hampir sama, sepanjang 4,921 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,485 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,895 mm.

Difahamkan, jarak antara roda Mazda EZ-6 itu adalah lebih pendek 5 mm berbanding model sedan Deepal SL03 yang digunakan sebagai asas pembangunan.

 

2. EV atau EREV?

Versi EV dibekalkan dengan unit rangkaian kuasa yang dipinjamkan daripada model Deepal SL03, terdiri daripada motor elektrik berkuasa 255 hp, dengan pek bateri lithium iron phosphate CATL yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

Selain itu, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Sementara versi penambah jarak (EREV) pula menggandingkan nadi 1.5 liter (94 hp), motor elektrik berkuasa 215 hp, dan pek bateri lithium iron phosphate, di mana EZ-6 EREV ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

Walaupun dengan penambahan enjin, Mazda EZ-6 EREV mempunyai berat sehingga 1,862 kg sahaja, berbanding EZ-6 EV dengan berat sekitar 1,855 hingga 1,962 kg.

 

3. Perbezaan rekaan

 

Secara keseluruhan, kedua-dua versi EZ-6 EV dan EREV membawakan reka bentuk yang hampir sama sahaja, dengan bahasa rekaan yang diselarikan dengan apa yang digunakan pada model-model Mazda masa kini.

Cuma bezanya, model EZ-6 EV mempunyai struktur jeriji hadapan yang tertutup tanpa sebarang bukaan, sementara versi EZ-6 EREV pula datang dengan rekaan jeriji konvensional.

 

4. Kelengkapan ruang kabin

Mazda EZ-6 bakal membawakan ciri-ciri seperti skrin tengah terapung sebesar 14.6 inci, skrin kluster instrumen LCD, roda stereng rekaan bawah rata, cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155, sistem bunyi Sony dan tempat duduk graviti sifar untuk pemandu dan penumpang hadapan.

 

Mazda EZ-6

Selepas 36 tahun, legasi sedan Subaru Legacy ditamatkan di Amerika Syarikat

Subaru Legacy merupakan salah satu daripada model terpenting Subaru yang direka untuk pasaran Amerika Syarikat.

Diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1989, generasi pertama Subaru Legacy dilancarkan untuk bersaing dengan model sedan seperti Honda Accord, Mazda 626, serta Toyota Camry.

 

Setelah 36 tahun menjadi sebahagian daripada barisan model Amerika Utara, Subaru terpaksa membuat keputusan sukar dengan menamatkan penawaran model Legacy melihatkan kepada peralihan pasaran yang lebih menggemari segmen crossover dan SUV.

Produksi sedan tersebut akan ditamatkan pada musim bunga tahun 2025.

 

Sepanjang suku pertama tahun 2024, Subaru sekadar menjual 4,398 unit Legacy dengan penurunan sebanyak 13.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ini menjadikan Subaru Legacy sebagai model ketiga paling kurang laku dijual di belakang Subaru Solterra dan Subaru BRZ.

 

Malah sepanjang tempoh tahun lepas, sebanyak 25,000 unit Subaru Legacy telah terjual, di mana angka tersebut jauh lebih rendah berbanding angka jualan wagon crossover Subaru Outback untuk tempoh yang sama, iaitu lebih 160,000 unit.

 

Kia K4 Hatchback 2025, penampilan lebih garang!

Kebanyakan pengeluar automotif utama dunia menawarkan model kenderaan penumpang kompak (segmen C) dalam pelbagai bentuk badan termasuklah sedan dan hatchback.

Kia juga tidak ketinggalan menggunakan pendekatan yang sama untuk model Forte (atau nama lainnya Cerato).

Selepas kemunculan model Kia K4 Sedan beberapa hari yang lepas, pengeluar dari Korea Selatan itu turut mengesahkan K4 versi hatchback dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Untuk makluman, generasi Forte yang terdahulu hanya ditawarkan dalam versi sedan sahaja di pasaran tersebut, dan ini merupakan kali pertama versi hatchback turut dibawa masuk oleh Kia.

 

 

Secara asasnya, kedua-dua model Kia K4 sedan dan hatchback berkongsi rekaan yang serupa untuk bahagian hadapan.

Namun, bermula dari tiang B ke belakang, Kia K4 hatchback menampilkan rekaan bumbung jenis terapung, namun lampu belakang masih lagi membawakan rekaan yang hampir sama dengan model sedan.

Selain itu, bentuk pintu tailgate yang hampir menegak itu memberikan petunjuk ruang kargo yang jauh lebih praktikal.

Untuk versi sedan, Kia menawarkan pilihan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter berkuasa 147 hp, atau versi paling berkuasa 1.6 liter turbo (190 hp) untuk varian yang lebih tinggi.

 

 

Berkemungkinan besar enjin yang sama akan turut dimuatkan pada K4 versi hatchback.

Menurut laporan media antarabangsa, Kia K4 sedan akan mula dijual di Amerika Syarikat pada separuh kedua tahun ini, dan berkemungkinan besar versi hatchback akan muncul menjelang akhir tahun ini atau awal tahun 2025.

 

Kia K4 Hatchback 2025

 

Kia K4 Sedan

Mazda3 2.0 Liftback: Persaingan makin sengit, masih ‘king’? – Pandu uji

MAZDA3 generasi sekarang semasa mula dilancarkan pada 2019 dulu dikatakan mempunyai pemanduan mantap, cukup berbeza berbanding pesaing-pesaingnya pada masa itu. Ia menerima pujian dari media-media permotoran, malah dibandingkan dengan model seperti Mercedes A-Class, bukan model Jepun.

Walaupun mempunyai suspensi torsion beam di belakang, jurutera-jurutera Mazda berjaya menggunakan magik Jinba-Ittai untuk menala suspensi, stereng, bunyi, dan segalanya untuk menjadikan Mazda3 sedan segmen-C paling sporti.

Tetapi itu cerita lima tahun lepas.

Pada 2019 juga, Toyota telah membawakan Corolla serba baharu dengan casis TNGA dan tayar Michelin Primacy, suatu pakej yang tidak boleh dipandang rendah.

Mungkin tayar pada Corolla ini telah ‘trigger’ Honda untuk memberikan Michelin Pilot Sport 4 pada Civic FC facelift 2021.

Jadi, kini, Toyota dan Honda memperbaharui lagi penawaran mereka untuk sedan segmen-C walaupun SUV semakin popular. Corolla menerima sedikit pembaharuan dengan varian GR Sport, manakala Civic generasi baharu FE mendapat pilihan enjin turbo atau hibrid. Semakin sengit?

Maka penulis pun minta semula unit pandu uji Mazda3 terbaharu kerana model ini beberapa bulan lepas mendapat kemaskini (akhirnya).

Jadi, bagaimana kedudukan Mazda3 dalam segmen ini, masih ‘king’ untuk pemanduan mantap? Bagaimana pula dengan spesifikasi untuk nilainya? Jom kita lihatkan.

Pembaharuan 2024

Antara pembaharuan pada Mazda3 untuk 2024 ini adalah hanya enjin 2.0-liter sahaja ditawarkan kini (tiada lagi 1.5-liter), paparan infotainmen 10.25-inci, pengecas tanpa-wayar, soket USB-C, Apple Carplay tanpa-wayar, Mazda Radar Cruise Control dengan Cruising & Traffic Support, dan sistem audio Bose.

Tetapi ciri-ciri di atas bukanlah standard, hanya varian-varian teratas sahaja yang menerimanya. Apa pun, penulis rasakan pembaharuan ini sangat signifikan untuk Mazda3 2023/2024, terutamanya paparan infotainmen lebih besar dan Apple Carplay tanpa-wayar. Sangat praktikal dan berguna.

Penulis yakin bakal-bakal pemilik Mazda3 baharu ini juga akan menghargainya, kerana paparan infotainmen pada model sebelum ini tidak begitu memuaskan dari segi saiznya.

Dari segi harga, Mazda3 2024 secara umumnya kira-kira RM6,000 lebih mahal berbanding sebelumnya, penulis rasakan agak berbaloi. Satu, dengan kadar inflasi dan tukaran mata wang asing, keduanya adalah dengan pertambahan dari segi spesifikasi.

Mazda3 kini berharga dari RM156,059, tetapi unit yang penulis uji ini ialah High Plus Liftback, berharga RM166,059.

Pesaing-pesaingnya juga meningkat dari segi harga ini. Toyota Corolla GR Sport berharga RM152,800 (RM5,000 lebih dari varian biasa) manakala Civic turbo varian tertinggi berharga RM151,900, e:HEV hibrid pula RM167,900.

Ini merapatkan jurang harga Mazda3 dengan pesaing-pesaing Jepun, tidak jauh seperti sebelum ini. Pembelian atau pemilihan Mazda3 juga akan menjadi lebih ‘masuk akal’, pada pendapat penulis.

Secara umum, Mazda3 masih terasa lebih premium, bukan kerana banyak spesifikasi atau gajet, tetapi entah kenapa cara binaannya, pemilihan warna dalam kabin, rasa bahan-bahan sentuhan, seolah-olah ia ‘menyambut’ anda sebagai pemandu.

@engear.tv #mazda 3 Hatchback 2024-Apa yang dapat? #hatchback #2024 #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Masih syahdu

Bila memandu Mazda3 ini, terus penulis mengalami ‘throwback’ dan teringat semula saat memandu model 2019 dulu.

Walaupun Toyota Corolla sedan dan Civic (generasi FE) telah ditambah baik dan kini sangat sedap dipandu, entah kenapa Mazda3 ini terasa lebih ngam, anda lebih terhubung dengan kereta, terus masuk dalam dunia sendiri.

Sterengnya tepat, seolah-olah tangan anda sejengkal sahaja dengan tayar depan. Input yang diberi pada stereng terus membuatkan badan kereta mengikut, dan segala yang berlaku pada tayar depan terus anda dapat rasa.

Sama ada selekoh di jalan cengkaman tinggi, jalan berpasir, atau anda hampir sampai ke had brek, anda akan lebih peka, seterusnya lebih mudah merancang tindak balas atau respon seterusnya. Ini bukan sahaja memberikan nikmat pemanduan, tetapi juga meningkatkan keselamatan.

Enjin 2.0-liter SkyActiv-G pada model Liftback (hatchback) ini menjana 162hp dan 213Nm tork, suatu angka yang dikira okey. Tidak terlalu berkuasa, atau tidaklah ‘underpower’.

Tetapi yang menarik ialah cara enjin itu rev dan menyampaikan kuasa. Tork maksima dicapai pada 4,000rpm kemudian ‘disambut’ oleh kuasa maksima 162hp pada 6,000rpm, hampir dengan redline 6,800rpm.

Ini bermakna anda perlu ‘perah’ sedikit enjin ini untuk dapatkan kenikmatannya. Dan bila rev tinggi menghampiri 6,000rpm, kereta menjadi ultra-responsif; contoh bila anda lepaskan minyak sebentar memasuki selekoh, sebelum sambung menekan pedal minyak.

Kuasa pada masa ini terasa seperti lebih dari 162hp dan kereta seolah-olah mengajak anda untuk tekan dan tukar gear seterusnya. “Mari laju lagi, boleh ni.”

Bunyi pada rev tinggi ini cukup merdu dan syahdu, anda dapat rasakan yang jurutera Mazda sengaja mereka karakter enjin sebegini. Kuasa puncak di hujung rpm, bunyi merdu, dan enjin terasa selesa di sini, langsung tidak terasa seperti ia mengerang atau terseksa.

Kemudian bab gear. Mazda3 satu-satunya model dalam segmen ini dengan kotak gear automatik konvensional, bermakna ada gear planetary sebenar di dalamnya. Tidak seperti pesaing-pesaingnya yang menggunakan CVT.

Tetapi pembeli-pembeli Honda dan Toyota tidak kisah akan hal ini…

Mazda3 mempunyai gear sebenar dengan 6-kelajuan, jadi setiap pertukaran gear itu terasa jelas dan telus, bukannya tarik paddle-shift tetapi hanya ratio CVT yang ditukar.

Mazda3 Liftback ini mempunyai paddle-shift di stereng, tetapi tombol gear di konsol tengah menggunakan konfigurasi seperti kereta lumba sebenar. Mengapa? Kerana dalam mod manual, upshift (logo +) adalah di belakang, manakala downshift (tombol -) di depan.

Ini susunan sama yang digunakan oleh kereta-kereta sports lebih mahal seperti Porsche atau BMW M. Susunan ini juga lebih semulajadi, kerana semasa memecut badan anda ke belakang, dan anda lebih selesa menarik tombol gear ke belakang untuk upshift. Begitu juga sebaliknya.

Tetapi, bukan hari-hari kita pandu macam berlumba, bukan? Saja lah, ianya sesuatu yang “good to have”, orang putih kata. Manalah tahu balik kerja malam kita nak layan Lebuh Raya DASH ke…

@engear.tv #mazda 3 Hatchback 2024-Perfromance, Okay? #hatchback #2024 #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Jadi, kena beli ke?

Sebenarnya, kualiti pemanduan model-model sedan segmen-C sudah menjadi sangat bagus. Toyota Corolla sangat senyap dan stabil, Honda Civic lebih mengujakan bab powertrain kerana ada pilihan enjin turbo, malah posisi duduk pun rendah dan sporti.

Tetapi Mazda3 paling sporti dan segalanya ditala begitu halus, dari segi feel stereng, tempat duduk, dan ergonomik. Malah untuk harganya, anda akan dapati banyak aspek Mazda3 ini dibuat ‘lebih’, sebagai contoh nyalaan lampu signal, jenis pedal minyak, dan nyalaan instrumen meter.

Mazda3 Liftback ini menjadi salah satu contoh mengapa kita tidak boleh menilai kereta dari atas kertas sahaja, sebaliknya perlu alami sendiri untuk faham.

Spesifikasi Mazda3 2.0L High Plus Liftback

Harga: RM166,059
Enjin: 2.0-liter SkyActiv-G petrol, naturally-aspirated
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 162hp @ 6,000rpm
Tork: 213Nm @ 4,000rpm

7 penemuan kami selepas pandu Proton S70 untuk kali pertama

PROTON S70 boleh dikatakan sebuah model yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana ia model baharu yang akan jadi berita nasional, tetapi juga disebabkan dua sebab utama yang lain.

Yang pertama ialah S70 merupakan model paling mampu milik Proton hasil dari kerjasama dengan Geely. Ia ditawarkan pada harga bermula RM73,800 untuk varian 1.5T Executive, lebih rendah dari harga X50 dan X70. Kalau X90 usah ceritalah…

Yang kedua ialah kerana ia sedan pertama Proton yang serba baharu sejak sekian lama, dan sedan pertama hasil kerjasama dua syarikat itu. Kali terakhir Proton memperkenalkan sedan serba baharu ialah pada 2016, dengan Persona dan Perdana.

Penting dan bermakna juga Proton S70 ini, bukan? Malah penulis sendiri menerima banyak pertanyaan berkenaan sedan ini dari kalangan rakan dan saudara-mara terdekat.

Kini, penulis telah pun dapat memandu uji Proton S70 baru-baru ini. Walaupun hanya beberapa jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, tapi rasanya cukup untuk penulis kongsikan tujuh penemuan dari sesi tanggapan pertama ini.

1. Rekabentuk keluarga Proton

Walaupun Proton S70 dibangunkan dari Geely Emgrand, tetapi seperti ada pula persamaan reka bentuk dengan model-model Proton sebelum ini.

Sebagai contoh pada sesetengah sudut dari belakang, lapisan menegak bahagian atas dan bawah but yang dipisahkan oleh lampu belakang ada mirip permukaan Proton Saga. Ini rekaan yang lazim dibuat oleh pengeluar-pengeluar masa kini, tetapi ia tetap ‘menghubungkan’ S70 dan abang-abangnya.

Begitu juga bahagian tingkap kecil di sisi berdekatan tiang-C, ada iras Proton Waja – ini bahagian kegemaran penulis pada S70.

2. Kabin paling premium untuk harganya

Pada pendapat penulis, kabin dan papan pemuka Proton S70 terasa paling premium dan moden berbanding pesaing-pesaingnya seperti Honda City, Toyota Vios, dan Nissan Almera.

Walaupun kereta-kereta Jepun di atas penulis tetap suka, direka kemas, dengan mutu binaan tinggi, ruang dalaman Proton yang minimalis ini terasa seperti kereta berharga RM200,000 ke atas.

Jika enjin tidak dihidupkan, segala paparan terpadam, dan anda hanya akan nampak skrin-skrin, ini memberikan impresi seperti kereta premium yang mempunyai paparan digital sepenuhnya. Tiada langsung meter fizikal pada S70 ini.

Tengok sahaja tombol gear, Proton S70 menggunakan jenis joystick dimana gear ini akan kekal ke posisi tegak walau apa gear pun anda masuk. Model-model lain dalam julat harga ini masing menggunakan tombol gear konvensional yang bergerak dalam alur atau laluannya.

3. Tempat duduk depan ‘kureng’, tapi belakang sangat selesa!

Penemuan seterusnya masih sekitar ruang kabin, tetapi khas berkenaan tempat duduk. Peliknya, penulis rasakan tempat duduk pemandu Proton S70 ini agak janggal dan susah untuk penulis cari posisi pemanduan ideal dan ergonomik.

Masalah ini mungkin pada orang yang mempunyai ketinggian atau postur badan sama dengan penulis, tetapi dengan ketinggian 165cm, penulis rasakan seperti kurang sokongan di bawah peha jika duduk agak rendah.

Mungkin Proton mahu kita duduk sedikit tinggi dan hanya ada ruang sebesar penumbuk antara kepala dengan siling kereta. Tetapi penulis mahu acah-acah sporti dengan memandu Proton S70 ini…

Lain pula ceritanya di belakang, penulis rasa tempat duduk S70 ini sangat-sangat selesa! Ia mempunyai kontur menarik, agak suportif jika pemandu di depan memandu sedikit laju di selekoh. Tempat duduk belakang ini ‘memegang’ tubuh anda dengan cukup baik.

Secara keseluruhan, balutan kulit pada tempat duduk S70 ini nampak cukup premium dan kemas.

4. 1.5 je? Tiada masalah

Proton S70 mungkin mempunyai kapasiti enjin yang sama dengan pesaing-pesaingnya iaitu 1.5-liter. Dari segi berat pula, Proton S70 paling ‘gemuk’ dengan 1,319kg.

Vios jika ditimbang hanya sekitar 1,015kg, manakala City lebih sedikit pada 1,100kg hingga 1,250kg (City e:HEV RS).

Tetapi Proton S70 dengan janaan turbo multi-point injection (MPI) memberikannya output 150PS dan 226Nm tork, jauh lebih tinggi berbanding City dan Vios yang mempunyai sekitar 97hp hingga 104hp dan 127Nm hingga 138Nm.

Ditambah dengan padanan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, ini memberikan Proton S70 pecutan yang senang-senang boleh ‘tapau’ pesaing-pesaing Jepun tersebut. Mungkin ini tidak begitu adil, tetapi sejak bila dunia ini adil?

Hakikat tetap hakikat, dan persaingan segmen RM100,000 ini memang sudah menjadi lebih kompleks selepas kehadiran Proton S70. Sedan segmen-B Proton ini tiada masalah memecut hingga melebihi had laju kebangsaan, begitu bersahaja.

Kereta terasa ringan, malah kuasanya juga dengan mudah mengatasi had cengkaman tayar depan. Beberapa kali penulis lihat rakan media yang lain ‘membuat aksi secara tidak sengaja’ sebaik melepasi palang tol.

Oh ya, Proton S70 ini juga membuat pecutan dengan agak senyap, tiada bunyi angin melampau pada kelajuan biasa. Dan tiada juga isu tiga silinder. Anda takkan terasa jika anda lupa atau tidak memikirkannya.

5. Pengendalian bukan seperti yang anda sangkakan

Kini kita ke aspek yang penting untuk Proton – pengendalian. Macam mana dengan pengendalian Proton S70 ini?

Walaupun S70 mengekalkan setup MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang sama seperti Geely Emgrand, difahamkan Proton telah membuat talaan di bahagian ini untuk menyesuaikan S70 dengan situasi pemanduan di Malaysia.

Hasilnya, suatu pengendalian yang sedikit premium dan mewah, tidak terlalu sporti. Jika anda mengharapkan S70 mempunyai pengendalian sporti seperti Waja atau Preve, maka ini tidak menepati jangkaan anda.

Tetapi ini tidak bermakna pengendaliannya tidak bagus. Casis S70 penulis rasakan sangat tegar dan sofistikated, seperti diuji di jalan berliku dari Georgetown menghala ke Batu Ferringhi dan Empangan Teluk Bahang.

Dengan jalan berselekoh dan permukaan tar yang cantik, jelas terasa suspensi, stereng, dan casis Proton S70 ini bekerja dengan harmoni. Ia mengikut sahaja input anda tanpa banyak kerenah, malah maklum balas stereng juga agak baik dan tepat.

Cuma respon pedal minyak kurang tepat bila dipandu lebih agresif, walaupun dalam mod Sport. Mod ini hanya memberikan tindak balas lebih banyak, tetapi masih secara amnya ia tidak begitu linear, dan ini perkara biasa untuk enjin turbo dengan lengkuk tork melengkung (jika dilihat pada graf dyno).

Bila sampai di had cengkaman sama ada memasuki selekoh atau mula menekan minyak keluar selekoh, tayar depan akan ‘menyerah’ dahulu – lebih mudah understeer – juga talaan biasa untuk sedan sebegini. Sesuai untuk kebanyakan pemandu, dan lebih mudah dikawal.

Inginkan respon dan feel lebih sporti? Tukar sahaja tayar lebih berprestasi tinggi. Tetapi tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 pada S70 ini lebih dari mencukupi. Ia seimbang antara cengkaman, prestasi, dan penjimatan.

6. Lebih jimat dari jangkaan

Bercakap mengenai penjimatan, satu lagi subjek sensitif untuk Proton. Ramai yang bertanya bab ini bila kami memuatnaik gambar Proton S70 di Instagram Story. Penulis juga agak skeptikal dengan bab ini disebabkan pengalaman penulis dengan model-model Proton yang lepas.

Tetapi surprise! Penulis dapati enjin Proton S70 ini lebih menjimatkan dari yang dijangkakan. Kami reset bacaan komputer sebelum bertolak dari Shah Alam, dan selepas rakan media yang berkongsi kereta dengan penulis ‘melenjan’ S70 ini sampai tak ingat dunia, ia masih mencatatkan 8L/100km.

Ini bersamaan 12.5km per liter, bacaan yang diambil di salah satu R&R sebelum Ipoh (maaf sudah lupa). Harus diketahui, kereta ini bukan dilenjan biasa-biasa ya, tetapi kelajuan lebih 50 peratus dari had laju (tidak boleh didedahkan terperinci atas sebab-sebab tertentu).

Penulis tidak sempat menguji penjimatan jika dipandu secara malar pada 110km/j kerana kesuntukan masa. Tetapi pastinya jauh lebih jimat, dan bacaan lebih baik dari 12.5km per liter. Not bad untuk enjin turbo, bukan?

7. Teknologi – positif dan negatif

Penemuan terakhir kami ialah dari segi teknologi. Proton S70 varian Flagship X yang kami uji ini padat dengan segala jenis sistem seperti lampu LED automatik, paparan instrumen digital, infotainmen dengan skrin 12.3-inci, sambungan Wifi dan 4G, mod pemanduan, pilihan mod berasingan untuk stereng, dan barisan sistem ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, dan Lane Centering Control.

 

Malah kamera Proton S70 juga mampu ‘mengenal pasti’ papan tanda, dan beberapa varian mempunyai paparan bawah lantai melalui kamera 540-darjah.

Kebanyakan teknologi dan sistem ini pastinya membantu anda memandu dengan lebih baik dan selamat, selain memberikan lebih nilai untuk wang.

Tetapi bumbung suria pada Flagship X ini perlu menggunakan skrin infotainmen tengah untuk membuka dan menutupnya, penulis dapati sedikit melecehkan. Lebih baik jika fungsi sebegini dikawal dari suis pada siling seperti kereta biasa.

Teknologi adakalanya mengorbankan praktikaliti. Mungkin ini sindrom kereta premium, kerana Volvo dan Volkswagen Golf Mk8 juga ada isu ini. Dari sudut lain, anda bolehlah katakan Proton S70 ini premium dan canggih.

Jadi, sekian sahaja tujuh penemuan kami mengenai Proton S70 dalam pemanduan singkat ini. Apa pendapat anda? Pengguna S70 ada perkongsian tambahan lain?

@engear.tv

7 #Rahsia #Proton #S70 #engeartv #malaysia #fyp #carstiktok #tiktokmalaysia #sedan

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

 

Mazda6 akan dihentikan pengeluaran bermula pertengahan April

NAMPAKNYA, populariti SUV yang terus meningkat saban tahun telah ‘membunuh’ satu lagi model sedan dalam pasaran automotif global iaitu Mazda6.

Menurut syarikat itu, pengeluaran domestik untuk kedua-dua Mazda6 sedan dan wagon akan dihentikan pada pertengahan April tahun ini. Ia kemudiannya akan digantikan dengan barisan crossover dan SUV daripada siri CX.

Bagaimanapun, mereka yang berminat untuk mendapatkan model ini masih boleh membuat tempahan sehingga syarikat itu mencapai kuota pengeluaran untuk tahun ini.

Mazda6, yang juga dikenali sebagai Atenza di Jepun, diperkenalkan buat pertama kali pada 2002 sebagai sedan saiz pertengahan yang membawakan mesej “Zoom-Zoom” dan DNA jenama Mazda.

Model generasi ketiga ini dilancarkan ke pasaran pada 2012, bermakna ia telah mengetuai barisan sedan Mazda selama lebih sedekad tanpa sebarang penambahbaikan berskala besar.

Menurut ketua pegawai eksekutif jualan domestik Mazda, Kazuyoshi Todo, Atenza dan Mazda6 mempunyai tempat di hati peminatnya sejak sekian lamanya, dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 226,437 unit di Jepun.

Di Malaysia, kali terakhir model itu ditambah baik adalah pada Oktober 2023. Ia boleh didapati dengan dua pilihan enjin petrol, dengan harga bermula dari RM180,359 untuk varian 2.0 Mid Sedan, RM230,848 untuk 2.5 High Touring dan RM240,848 untuk 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition.

Alfa Romeo janji kekalkan penawaran sedan dalam era EV

Berita baik buat para peminat jenama Alfa Romeo, di mana pengeluar itu dijangka akan mengekalkan penawaran bentuk badan sedan klasik bagi model Giulia yang dijangka muncul tahun 2026.

Giulia EV merupakan satu daripada dua kereta segmen D Alfa Romeo yang bakal dilancarkan kelak, sebuah lagi merupakan pengganti kepada Stelvio.

Bercakap kepada Autocar sewaktu acara pratonton crossover baharu Milano, CEO-nya Jean Philippe Imparato menegaskan pengganti Giulia akan tetap mengekalkan bentuk sedan tradisional, biarpun mengetahui segmen tersebut semakin mengecil.

Beliau berkata, “bentuk badan (sedan) akan membuat kemunculan semula. Saya tidak mahu Alfa Romeo menjadi sebuah jenama SUV.”

 

Giulia EV juga berkemungkinan besar akan membawakan profil yang menggandingkan elemen sedan dan wagon, sama seperti model shooting brake Genesis G70 dan Mercedes CLA.

“Saya tidak mahu berputus asa dalam pasaran sedan. Ia adalah DNA Alfa untuk mempunyai sebuah sedan sporti. Namun saya juga mengakui terdapat cadangan untuk menghasilkan Giulia versi station wagon (estate).”

Alfa Romeo juga turut memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik GTV dan Duetto dalam era EV.

“Langkah seterusnya yang sedang kami lakukan ialah: apakah jawapan untuk model GTV, dan apakah jawapan untuk model Duetto? Namun ia belum muktamad, dan saya tidak mahu mengulas tentangnya.

 

Mercedes A200 Progressive Line: Boleh jadi kereta premium pertama? – Pandu uji

BAYANGKAN anda mula bekerja dalam sesebuah syarikat dengan jawatan eksekutif, setelah lebih enam atau tujuh tahun, kini memegang jawatan pengurus muda. Wahh.

Untuk menghadiahkan diri sendiri atau ‘reward’ diri atas kerja keras, anda pun mula mencari kereta premium pertama untuk dimiliki. Bila cakap premium, mestilah Mercedes, bukannya ‘hitam itu premium’. Kan?

Jadi dalam rangkaian Mercedes-Benz di Malaysia, ada banyak model ikut selera dan ketebalan poket anda. Sedan klasik Mercedes paling kecil tentunya C-Class, dengan bentuk elegan, rear-wheel drive.

Tapi jika anda belum bersedia masuk ‘terlalu dalam’, nak cuba dulu, pastinya anda akan nampak A-Class. Untuk masa sekarang, tiada lagi A-Class hatchback (kecuali AMG A45), hanya sedan ditawarkan.

Tetapi barisan A-Class yang terkini telah ditambah baik menjadikannya model yang boleh membuatkan anda tergugat. Kuat iman? Teruskan membaca.

Pakej lebih baik

Walaupun sebuah A-Class dianggap sebagai model permulaan atau entry level, anda tidaklah terasa kekurangan seperti generasi ketiga W176 sebelum ini. Terasa seperti hatchback atau sedan kecil yang ditepek logo Mercedes.

Dengan generasi keempat W177 ini, A-Class hatchback dan sedan lebih ‘matang’ dan aspek keselesaan terutamanya mendapat peningkatan banyak. Kereta lebih senyap dan selesa.

Unit pandu uji ini merupakan varian paling mampu milik iaitu A200 Progressive Line dengan harga RM238,888. Tetapi untuk facelift ini, semua varian mendapat sistem infotainmen Mercedes Benz User Experience (MBUX) NTG7 generasi baharu yang canggih dan lebih seronok digunakan.

Ia boleh diakses dari skrin melintang yang mempunyai dua skrin – instrumen untuk pemandu di sebelah kanan, dan infotainmen di sebelah kiri.

Anda boleh kustom paparan instrumen dengan mod Classic, Sporty, Discreet, Understated, ikut mood anda pada masa itu. Penulis biarkan dalam mod Classic kerana terasa betul feel Mercedes. Kalau mod Sporty seperti tidak berapa kena.

Di bahagian kiri, ia penuh dengan pelbagai kandungan dan paparan seperti navigasi, media, sambungan telefon pintar, sistem kenderaan, dan banyak lagi. Mercedes mahu menjadikan kabin ini minimalis, ‘sorok’ terus apa yang tidak diperlukan.

Tetapi untuk benda seperti kemasan papan pemuka dan corong pendingin hawa, Mercedes menjadikannya cukup cantik untuk kita lihat dan pegang.

Papan pemuka ada bahagian lembut dan keras, lengkap dengan lampu ambien 64 warna sama seperti model yang lebih besar. Anda tak rasa kekurangan, bukan? Corong pendingin hawa pula seperti diperbuat dari sejenis logam kerana ia menjadi sejuk bila pendingin hawa dihidupkan.

Kabin Mercedes A200 ini cukup luas, selesa, dan paling penting terasa moden. Anda lihat permukaan, bahan, dan paparan skrin, seakan sepadan dengan iPhone 14 yang anda gunakan. Seperti satu tema.

Oh ya, bercakap mengenai iPhone, A200 ini didatangkan dengan sambungan telefon pintar Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Masuk kereta, terus disambung secara auto, dan mulakan perjalanan. Mudah. Paling penting, tiada wayar berselirat.

Terdapat juga beberapa soket pengecas tetapi pastinya USB-C, sudah menjadi kelaziman kereta-kereta premium.

Tempat duduk belakang sangat selesa untuk sebuah sedan kompak, paling sesuai diduduki dua orang dewasa dan satu kanak-kanak. Tiga dewasa tidak berapa selesa untuk perjalanan jauh.

Cuma pintu belakang terasa sedikit ‘kosong’ bila ditutup. Untuk kita kaki kereta yang faham kejuruteraan dan proses pembuatan, tiada masalah. Tetapi untuk rakyat Malaysia dengan mentaliti 90-an, mungkin mereka risau kereta ini tidak cukup selamat.

Aduh kemonlah…. Ini dah 2023. Ini kereta Jerman kot. F1 yang komponen badan harga berjuta pun ringan dan terasa kosong.

Pemanduan semakin mantap

Semasa penulis mula memandu A200 hatcback sebelum facelift beberapa tahun lepas, satu masalah paling ketara yang dirasakan adalah suspensi belakang yang kurang selesa. Seakan keras atau tidak sesuai dengan permukaan jalan raya Malaysia.

A200 menggunakan suspensi belakang torsion beam, manakala A250 diberikan suspensi independent. Mungkin salah jalan raya Malaysia turap tak ikut standard, atau mungkin salah kereta… Tapi di luar negara sana elok je mereka pakai A200 ni kan.

Tetapi untuk A200 Progressive Line 2023 ini, penulis rasa seperti keseluruhan suspensinya jauh lebih baik walaupun masih menggunakan torsion beam di belakang. Boleh jadi faktor sedan yang mempunyai berat lebih di belakang untuk memberikan kesan suspensi lebih padu.

Atau boleh jadi juga jurutera Mercedes telah menala semula spring dan penyerap hentak belakang A200 ini. Yang penting, penulis lebih berani menyarankan A200 kali ini untuk sesiapa yang mahu berjinak-jinak dengan kereta premium. Jika sebelum ini, penulis mungkin hanya akan menyarankan A250 terus.

Kesenyapan kabin juga cukup mantap, penulis sempat memandu A200 ini dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan sepanjang perjalanan jauh, penulis langsung tidak berasa penat. Ini biasanya disumbangkan oleh kabin yang senyap dan kualiti ‘ride’ yang baik.

Enjin pula, tidak seperti A250 yang dipacu enjin 2.0-liter turbo, A200 sebaliknya dikuasakan oleh enjin 1.33-liter turbo sahaja. Dan tahukah anda, enjin 1.33-liter ini enjin Renault, bukannya Mercedes sendiri?

Tetapi jangan terpedaya dengan angka kapasiti, sudah tentu Myvi 1.5 takkan dapat tapau Mercedes A200 ini, kerana enjin 1.33-liter ini menghasilkan 163hp dan 270Nm tork.

Nadi ini digandingkan pula dengan kota gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, maka pecutan 0-100 oleh dibuat dalam masa 8.3 saat sahaja.

Sama seperti A200 sebelum facelift dulu, yang penulis suka mengenai enjin ini ialah ia cukup berkuasa untuk kegunaan harian tetapi pada masa yang sama begitu efisyen.

Sepanjang memandu Mercedes A200 ini, penulis dengan mudah mendapat 13 hingga 14km per liter, walaupun ada memandu laju. Ini dikira laju macam Mercedes, tapi jimat macam Myvi! Inilah pentingnya teknologi pada enjin canggih.

Kawalan badan A200 ini juga cukup baik semasa melalui selekoh-selekoh panjang di Lebuhraya Karak, tetapi ia tetap memberikan keselesaan apabila melalui kawasan bandar dan perumahan dalam seharian. Penulis boleh katakan Mercedes A200 Progressive Line ini senang dan mudah digunakan.

Kira jadi?

Kereta ini sememangnya boleh jadi calon sesuai untuk anda masukkan dalam senarai pendek “Kereta Premium Pertama Saya”. Wajib pandu uji walaupun tidak jadi meneruskan pembelian.

Ia tidak rasa seperti terlalu menunjuk, kerana rupa luarannya yang relaks dan bersahaja, tetapi anda masih boleh mendapatkan kualiti pemanduan premium dan sebuah kabin yang cantik serta selesa untuk diduduki.

Mercedes A200 ini padat dengan teknologi dan ciri terkini, jika digunakan lebih lima tahun pun anda masih akan rasa ia relevan dalam pasaran, walaupun pada masa itu anda sudah menggunakan iPhone 19.

Spesifikasi Mercedes A200 Progressive Line

Harga: RM238,888
Enjin: 1.33-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 161hp @ 5,500rpm
Tork: 270Nm @ 2,000rpm

Mazda2 dapat facelift 2023, kelengkapan dipertingkat, dari RM109k

SELAIN CX-3, Bermaz Motor juga memperkenalkan kemaskini bagi sedan kompak mereka, iaitu Mazda2. Ia kini ditawarkan dengan dua varian, dan harga seperti berikut:

Mazda2 1.5 Sedan/Hatchback – RM108,670
Mazda2 1.5 Sedan/Hatchback warna Soul Red Crystal – RM109,170

Anda boleh mengenal pasti Mazda2 2023 ini dari gril depan baharu dengan corak honeycomb dan kemasan merah, rekaan bampar baharu, dan rim 16-inci hitam-krom yang menaikkan kontra. Ia juga kini datang standard dengan lampu depan automatik, cermin sisi berkuasa, dan pengelap cermin auto.

Pembaharuan di bahagian dalam pula merangkumi cermin pandang belakang auto-malap, Cruise Control, selain kemasan papan pemuka baharu dan tempat duduk balutan kulit dengan jahitan merah. Bahagian lain seperti papan pemuka tidak berubah, bermakna semua suis dan butang kekal seperti sebelumnya.

Model segmen-B pesaing Honda City dan Toyota Vios ini juga mendapat peningkatan dari segi keselamatan. Ia dilengkapi ABS, EBD, Brake Assist, Traction Control, penggera tali pinggang keledar, Emergency Stop Signal, Cruise Control, Hill Launch Assist dan Walkaway Lock.

Enjin SkyActiv-G 1.5-liter dikekalkan, dengan output 114hp pada 6,000rpm dan 149Nm tork pada 4,000rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 6-kelajuan dengan paddle-shifter dan mod pemanduan manual.

Sistem start/stop automatik dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga hadir sebagai standard.

Anda boleh memilih Mazda2 2023 dari beberapa warna berbeza iaitu Platinum Quartz, Snowflake White Pearl, dan Soul Red Crystal dengan tambahan RM500. Warna Polymetal Grey dan Airstream Blue pula khas untuk hatchback sahaja, manakala Aero Gray khas untuk sedan.

Semua Mazda2 hadir dengan jaminan 5-tahun, 100,000km serta penyelenggaraan percuma.

Proton S70 dapat 5-bintang bagi ujian perlanggaran ASEAN NCAP

SEDAN terbaharu Proton yang baru sahaja dilancarkan, S70 telah memperoleh penarafan 5-bintang bagi ujian keselamatan yang dijalankan oleh ASEAN NCAP (ASEAN New Car Assessment Program). Keputusan itu disiarkan dalam laman web rasmi organisasi itu.

Unit yang diuji merupakan varian permulaan iaitu Executive, dan mendapat penarafan 5-bintang dengan skor keseluruhan 82.95 mata.

Proton S70 dinilai berdasarkan protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025 yang merangkumi empat perkara iaitu Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP), Safety Assist Technology (SAT), dan Motorcycle Safety (MS).

Berikut adalah skor bagi setiap perkara dalam penilaian terkini:

  • AOP – 36.46 mata
  • COP – 17.02 mata
  • SAT – 15.71 mata
  • MS – 13.75 mata

Proton S70 datang standard dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Vehicle Safety Assist, Anti-lock Braking System, Electronic Brake Distribution, Brake Assist, Hill-hold Assist, Rear Collision Warning, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning, dan pengesan undur.

Tetapi varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Proton S70 dilancarkan semalam, dengan empat varian, dan harga permulaan RM73,800 untuk Executive hingga RM94,800 untuk Flagship X. Anda boleh baca laporan pelancaran penuh di sini.

Proton S70 dilancar secara rasmi – 4 varian, harga dari RM74k-RM95k

RASANYA ramai yang menunggu sedan terbaharu Proton, apatah lagi apabila kali terakhir pengeluar kenderaan nasional itu melancarkan model sedan adalah menerusi Persona pada 2016.

Nampaknya penantian mereka berakhir hari ini dengan pelancaran rasmi Proton S70 ke pasaran tempatan. Ia merupakan keempat yang terlahir dari kerjasama antara Proton dan Geely selepas X70, X50 dan X90.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 boleh didapati dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.

Keeempat-empat varian menampilkan gabungan enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm.

Untuk pengetahuan, ini merupakan enjin port injection dan transmisi yang sama seperti yang digunakan oleh X50 Standard, Executive dan Premium.

Enjin 1.5-liter turbo TGDi dengan 177 PS dan 255 Nm yang terdapat pada X50 Flagship dan X70 baharu tidak ditawarkan pada S70, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA), S70 mempunyai ukuran panjang 4,602 mm, lebar 1,809 mm, tinggi 1,466 mm dan jarak roda 2,637 mm, sedikit lebih kecil berbanding Geely Emgrand.

Dari segi kelengkapan, varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.

Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.

Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Flagship X yang merupakan varian tertinggi dalam barisan S70 mendapat hanya satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.

Varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Untuk warna, terdapat tujuh pilihan semuanya. Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, manakala Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.

Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.

Harga jualan bermula dari RM73,800 untuk Executive, RM79,800 untuk Premium, RM89,800 untuk Flagship dan RM94,800 untuk Flagship X.

Pakej standard untuk S70 merangkumi lima perkara iaitu waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima tahun, kos buruh percuma sebanyak enam kali, kadar faedah pembiayaan dari 2.34 peratus dan program insurans Proton.

Bukan itu sahaja, 3,000 pemilik pertama yang mendaftarkan kereta mereka sebelum 29 Februari 2024 akan mendapat kit badan aero bernilai RM3,130 (Flagship X sahaja), servis baucar RM500 (Premium dan Flagship sahaja) dan program insurans Proton yang dinaik taraf.

Proton S70: Apa yang kami tahu setakat ini

SETAKAT ini, kerjasama antara Proton dan Geely telah menyaksikan kemunculan tiga model SUV iaitu X70, X50 dan X90.

Bagi kami Proton S70 agak istimewa kerana ia merupakan sedan pertama yang terlahir daripada kerjasama antara dua syarikat ini dan juga sedan pertama bagi pengeluar kereta nasional itu sejak Persona yang dilancarkan pada 2016.

Dalam satu sesi prebiu eksklusif media yang diadakan baru-baru ini, Proton telah mendedahkan perincian lanjut mengenai sedan itu.

S70 sedan lokal sebenar

Ya, umum tahu bahawa S70 adalah berasaskan Geely Emgrand yang dijual beberapa pasaran luar termasuk China dan Filipina. Namun S70 bukanlah sekadar model rebadge kerana menurut Proton, ia memerlukan 453 pembangunan parts baharu melibatkan 283 pembekal tempatan.

Bukan itu sahaja, proses pembangunannya juga mengambil masa kira-kira 260,000 jam kejuruteraan.

Platform segmen B tapi saiz segmen C

Seperti Emgrand, S70 dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA) yang turut digunakan oleh Proton X50, namun dengan ukuran (mengikut Emgrand) panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm, saiznya lebih dekat dengan sedan segmen C berbanding sedan segmen B.

Malah, ruang butnya yang berkapasiti 500 liter sebenarnya lebih besar berbanding Honda Civic dan Toyota Corolla.

Enjin turbo

Dalam siaran media sebelum ini, Proton mengesahkan S70 akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Sesi eksklusif baru-baru ini mendedahkan bahawa enjin tersebut menghasilkan 150 PS dan 226 Nm, bermakna ia enjin turbo multi-port injection (MPI) dan bukannya TGDI. Ia mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan Comfort.

Ride & handling mantap

Proton mendedahkan bahawa mereka menghabiskan masa selama kira-kira 75,000 jam dengan jarak perjalanan sejauh 1.2 juta km untuk menguji sistem suspensi.

Seperti X90, sistem stereng S70 menawarkan tiga mod iaitu Normal, Comfort dan Sport.

Empat varian

S70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.

Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.

Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Sebagai varian tertinggi, Flagship X mendapat satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.

ADAS

Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, S70 menggunakan 12 sensor. Ini termasuk satu kamera monocular, dua radar belakang, empat kamera keliling dan lima sensor ultrasonik.

Terdapat 13 sistem keselamatan semuanya iaitu:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Warna

Secara asasnya, terdapat tujuh warna luaran yang ditawarkan oleh Proton namun ia bergantung kepada varian yang anda pilih.

Warna Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, namun Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.

Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.

Harga? 

Buat masa ini, harga rasmi S70 masih belum didedahkan namun bagi mereka yang berminat, sedan ini sudah dibuka untuk tempahan dengan bayaran RM500.

S70 sah nama rasmi sedan baharu Proton

SEDAN baharu Proton yang dilaporkan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini nampaknya akan dikenali sebagai Proton S70 dan bukannya S50 seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Menurut laporan rakan media paultan.org, sedan yang bakal menggantikan Preve itu dilihat sedang menjalani penggambaran di jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

Seperti yang boleh dilihat, logo ‘S70’ terpampang jelas pada bahagian tailgate, ditemani dengan tulisan ‘PROTON’ di bawah jalur lampu.

Bagaimanapun, pemegang nombor plat memaparkan tulisan ‘PROTON S 0’, bermakna nombor 7 yang sepatutnya terletak selepas huruf S sengaja ditinggalkan. Mungkin untuk tujuan teaser?

Bukan itu sahaja, unit yang menjalani penggambaran itu juga dilihat mempunyai kit badan yang merangkumi skirting pada bahagian hadapan dan sisi, diffuser belakang serta spoiler.

Keputusan Proton untuk menamakan sedan ini sebagai S70 memberikan petanda bahawa model itu akan dipasarkan sebagai sedan segmen C, walaupun ia dibangunkan menggunakan platform BMA yang sama dengan X50 yang merupakan crossover segmen B.

Gambar oleh: The Ajerul

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 adalah berasaskan Geely Emgrand, yang mempunyai ukuran panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm.

Ini menunjukkan Emgrand lebih besar berbanding sedan-sedan segmen B yang ada dalam pasaran seperti Proton Persona, Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 114 PS dan 147 Nm.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan yang S50 juga akan ditawarkan dengan enjin 1.5-liter TGDI yang dipasang di Tanjung Malim.

Mazda6 2023 facelift diperkenal – 2.0 dan 2.5, sedan dan wagon, dari RM180k

SELAIN Mazda3, Bermaz Motor juga memperkenalkan Mazda6 yang dikemas kini untuk 2023. Sedan segmen-D ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin serta pilihan badan sedan dan Touring (wagon). Harga adalah seperti berikut:

Mazda6 2.0 Mid Sedan – RM180,359
Mazda6 2.5 High Touring – RM230,848
Mazda6 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition – RM240,848

Kita lihatkan bab mekanikal dulu, iaitu enjin. Model dengan enjin 2.0 menjana 162hp dan 213Nm tork manakala model dengan enjin 2.5-liter mempunyai output 192hp dan 258Nm tork. Transmisi adalah standard untuk semua, iaitu automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, memacu roda depan.

Ciri luaran pada Mazda6 2023 ini termasuklah lampu LED dengan Signature Illumination, DRL LED, lampu kabus LED, pengesan parkir, dan rim 17-inci bagi 2.0 Sedan, tetapi 19-inci untuk 2.5 Touring dan Sedan.

Kemasan dalaman pula terdiri dari brek parkir elektronik, paparan instrumen digital 4.6-inci, stereng balutan kulit, paparan HUD untuk dua varian atas, pendingin hawa dwi-zon, corong pendingin hawa belakang, dan tempat duduk berkuasa.

Mazda6 juga dilengkapi dengan skrin infotainmen 8-inci, sambungan Android Auto, Apple Carplay tanpa-wayar, kamera 360-darjah, dan 6 pembesar suara atau sistem audio Bose dengan 11 pembesar suara (bergantung kepada varian).

Ciri keselamatan adalah standard untuk semua varian, seperti ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control System, Emergency Stop Signal, dan Hil Launch Assist.

Varian dengan enjin 2.5-liter mendapat tambahan sistem bantuan pemandu seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Mazda6 ditawarkan dengan tujuh warna iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Polymetal Gray, dan dua warna baharu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium.

Versi 20th Anniversary Edition 2.5 Sedan datang dengan warna eksklusif Artisan Red Premium serta kemasan-kemasan kosmetik lain.

Kesemua Mazda6 di Malaysia dilindungi dengan jaminan lima-tahun berserta pakej penyelenggaraan lima-tahun termasuk upah, alatganti, dan bendalir. Tetapi jaminan ini terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.

Mazda3 akhirnya terima facelift – Enjin 2.0 sahaja, sedan dan hatchback, dari RM156k

AKHIRNYA selepas empat tahun berada dalam pasaran, Mazda3 telah menerima facelift dan kemas kini. Bukanlah hendak kata ia benar-benar perlu facelift kerana Mazda3 tetap nampak cantik dan baharu, tetapi ia mungkin memerlukan kemas kini dari segi spesifikasi dan kelengkapan.

Mazda3 yang dikemas kini bagi 2023 ditawarkan dengan empat varian untuk pasaran Malaysia, seperti berikut:

Mazda3 2.0 High Sedan – RM156,059
Mazda3 2.0 High Plus Sedan – RM166,059
Mazda3 2.0 High Plus Liftback – RM166,059
Mazda3 2.0 Ignite Edition Liftback – RM175,059

Seperti dapat anda lihat di atas, kesemua varian kini hadir dengan enjin 2.0-liter sahaja untuk sedan dan Liftback (hatchback), bermakna enjin 1.5-liter digugurkan. Enjin 2.0 SkyActiv-G untuk semua model, dengan output 162hp dan 213Nm tork.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear SkyActiv-Drive 6-kelajuan berserta mod manual. Angka kecekapan bahan api adalah sehingga 6.2L/100km bagi model sedan, manakala 6.3L/100km untuk hatchback.

Bagi kelengkapan luaran, semua varian mendapat lampu depan LED, tetapi DRL LED hanya untuk tiga varian teratas, model sedan High dilengkapi DRL mentol. Lain-lain boleh dikira sama, seperti lampu kabus LED, cermin sisi auto-lipat, penggilap cermin auto, dan pengesan undur depan serta belakang.

Rim bagi High Sedan adalah 16-inci dengan tayar 205/60, manakala tiga lagi varian lebih tinggi dilengkapi rim 18-inci dibaluti tayar 215/45.

Ciri dalam kabin bagi kesemua model termasuklah tempat duduk kulit dengan pelarasan 10-arah untuk pemandu, brek parkir elektronik, paparan instrumen 7-inci, head-up display (HUD) berwarna, dan pendingin hawa dwi-zon.

Sistem infotainmen pula terdiri dari paparan tengah 10.25-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, lapan pembesar suara, dan dua soket USB Type-C. Kamera undur juga standard, tetapi varian tertinggi Mazda3 2.0 Ignite Edition hatchback mendapat tambahan kamera 360-darjah.

Bagi sistem keselamatan, semua varian hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist, dan ISOFIX.

Tetapi hanya tiga varian tertinggi didatangkan dengan sistem bantuan maju seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Kesemua varian Mazda3 2023 ini masih diimport sepenuhnya, maka sebab itulah harganya masih lebih tinggi berbanding model-model seperti Honda Civic dan Toyota Corolla. Apa pendapat anda, berbaloi memilih Mazda3?

Bagi kami, model ini sentiasa nampak dan rasa lebih premium berbanding pesaingnya, dan walaupun nampak ‘segar’ dalam pasaran, ia sememangnya wajar mendapat kemas kini kelengkapan.

Kia K3 2024 tampil dengan rekaan fastback, enjin 1.6L dan 2.0L

KIA telah memperkenalkan sedan subkompak K3 serba baharu di Mexico City, di mana ia dilaporkan akan menggantikan tempat Rio.

Untuk pengetahuan anda, K3 asalnya merupakan nama alternatif kepada Forte dan Cerato yang digunakan untuk pasaran-pasaran tertentu termasuk Korea Selatan.

Namun dengan kemunculan model baharu ini, sedan kompak itu berkemungkin besar akan menggunakan nama lain apabila model generasi baharu tiba kelak.

Berbalik kepada K3, ia tampil lebih berani berbanding Rio sedan dengan bentuk badan fastback, gril Tiger Nose yang lebih menonjol serta rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian hadapan dan belakang.

Ukuran dimensinya juga lebih besar iaitu 4,545 mm panjang, 1,765 mm lebar, 14,75 mm tinggi, manakala jarak antara roda adalah 2,670 mm. Ruang but adalah 544 liter.

Lukisan konsep Kia K3

Model yang ditampilkan ini merupakan versi GT-Line yang mempunyai reka bentuk lebih agresif dengan liang saluran udara yang besar pada bahagian bampar, rim 17 inci dan paip ekzos berkembar.

Di dalam, terdapat papan pemuka yang minimalis dan moden, stereng ala EV6, serta kluster instrumen digital yang disekalikan dengan skrin sentuh sistem infohibur.

Skrin sentuh berkenaan mempunyai paparan berdefinisi tinggi 10.25 inci, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri Bluetooth yang boleh menyambungkan sehingga dua telefon sekali gus dan port USB Type C pada bahagian hadapan dan belakang.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa automatik dua zon, corong pendingin hawa belakang dan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Untuk enjin, K3 boleh didapati dengan enjin 1.6-liter empat silinder yang menghasilkan 123 PS. Enjin ini boleh dipadankan dengan transmisi automatik atau manual enam kelajuan.

Versi GT-Line didatangkan dengan enjin 2.0-liter empat silinder dengan 152 PS dan transmisi automatik enam kelajuan berserta paddle shifter. Enjin 1.4-liter juga akan ditawarkan untuk pasaran eksport.

Dari segi keselamatan pula, K3 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dan ESC sebagai kelengkapan standard. Varian-varian tertentu akan mendapat sistem bantuan pemandu ADAS seperti Front Collision Avoidance (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Driving Attention Warning (DAW).

Menurut Kia, K3 akan dipasang di Nuevo Leon, Mexico dan akan memasuki pasaran-pasaran terpilih bermula suku keempat tahun ini.

Honda Accord generasi ke-11 tidak akan dijual di Malaysia

SEMASA pelancaran Honda City facelift, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa syarikat itu tidak akan menawarkan Honda Accord generasi ke-11.

Dalam erti kata lain, Accord generasi ke-10 yang sedia ada akan menjadi model Accord terakhir yang dijual di pasaran tempatan.

Keputusan Honda Malaysia untuk menghentikan jualan model itu tidak terlalu mengejutkan memandangkan pasaran sedan segmen D yang semakin mengecil dan pelanggan juga dilihat lebih gemar mendapatkan crossover dan SUV.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan Accord masih sempat berbuat demikian kerana model itu akan dijual sehingga stok habis.

Dipasang di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, Accord ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 TC (RM187,400) dan 1.5 TC-P (RM197,400).

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 201 PS dan 260 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.