fbpx

Bezza model terlaris Perodua untuk 2023, jualan keseluruhan naik 22 peratus dalam Q3 2023

perodua bezza

PERODUA Bezza menjadi model terlaris dijual sepanjang sembilan bulan 2023, diikuti oleh Axia dan Myvi. Jualan keseluruhan Perodua untuk 2023 setakat ini ialah 233,337 unit.

Perodua juga melaporkan kenaikan jualan sebanyak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini dengan 88,537 unit berbanding 69,011 unit pada suku sama tahun lepas. Ini berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.

Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan keluarkan – iaitu kenaikan sebanyak 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.

“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, pengeluar kereta kompak itu telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus  daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap  aspek kecekapan kos dan kualiti,” tambahnya.

Dato’ Sri Zainal berkata dengan berlakunya semua penambahbaikan ini, jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.

“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai. Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada bulan September 2023, kenaikan sebanyak 17.7 peratus daripada 24,626 pada September 2022.

Manakala dalam aspek pengeluaran, Perodua telah menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan sebanyak 8.2 peratus daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved