fbpx

Perodua jual 69,011 kenderaan untuk Q3 2022, rantaian bekalan semakin baik

perodua alza 2022 event 04

PERODUA mencatatkan jualan 69,011 kenderaan untuk suku ketiga (Q3 2022), peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding suku kedua dengan 65,719 unit. Ini adalah berikutan rantaian bekalan automotif yang dilaporkan semakin baik.

“Peningkatan pendaftaran pada suku ini (3Q22), menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami yang dihargai.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5 peratus berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lepas ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19.

Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Bagi perbandingan tahun setakat ini pula, jualan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Perodua Axia

Sementara itu, untuk perbandingan bulan ke bulan, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua sedikit susut iaitu 5.43 peratus kepada 24,626 unit untuk September berbanding 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022.

Ia sebagai sebahagian daripada pelan memaksimumkan pendaftaran kenderaan syarikat kereta kompak itu pada suku keempat tahun ini.

“Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum kami ke suku keempat tahun ini serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan kami yang menempah kenderaan Perodua mereka dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Dato’ Sri Zainal.

Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.

Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah pada 206,837 unit.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved