fbpx

Proton akhiri suku ketiga dengan jualan melebihi 100,000 unit

proton saga mc2 official 2022 13

PROTON mengakhiri suku ketiga tahun 2022 dengan bulan jualan kukuh yang menyumbang kepada suku terbaik tahun ini.

Dengan jualan sebanyak 14,872 unit pada bulan September, pengeluar kereta nasional itu mempunyai jumlah jualan terkumpul (YTD) sebanyak 102,353 unit. Ia menunjukkan penambahan sebanyak 40.2 peratus berbanding sembilan bulan pertama pada tahun 2021.

Tambah Proton lagi, ia merupakan tahun keempat berturut-turut sasaran 100,000 unit telah dicapai dan pada tahun ini, ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021.

Syarikat itu juga kekal di tempat kedua dalam jadual jualan dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8% untuk bulan September.

Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi September dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, jumlah keempat terbaik tahun ini di mana pasaran automotif Malaysia dijangkakan akan mencatat tahun jualan terbaiknya.

Meskipun memulakan tahun 2022 dengan isu ketersediaan alat ganti akibat kesan berlarutan daripada banjir tahun lalu, Covid-19, dan kekurangan cip mikro global, volum pengeluaran Proton kini telah stabil.

Ini dapat dilihat dengan X50 yang mencapai penyerahan sebanyak 4,517 unit diserahkan pada bulan lalu, menyumbang kepada jumlah terkumpul YTD sebanyak 29,591, satu peningkatan sebanyak 78.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Saga juga mencatatkan angka yang mengagumkan dengan penyerahan mencecah 6,442 unit, jumlah tertinggi sejak Oktober 2013. Jumlah YTD sebanyak 40,603 unit juga 49.3 peratus lebih tinggi berbanding pencapai tahun pada tahun 2021, membuktikan model itu kekal sebagai pilihan relevan pelanggan.

X70 terus menerajui pasaran SUV segmen C dengan 1,730 unit diserahkan manakala Exora menunjukkan popularitinya walaupun dengan kehadiran pesaing baharu dengan penyerahan sebanyak 418 unit.

Sementara itu, Persona mencatatkan penyerahan sebanyak 1,159 unit, manakala Iriz sebanyak 606 unit pada bulan lalu, masing-masing merosot 2.3 peratus dan 13.2 peratus. Namun angka tersebut dijangka pulih pada suku terakhir tahun ini memandangkan bekalan cip dan pengeluaran yang semakin stabil.

“Prestasi suku ketiga Proton adalah suku terbaik bagi tahun ini, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos. Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved