Arkib Tag: manual

Rasmi: Volkswagen Golf GTI dan R generasi baharu takkan dapat manual

VOLKSWAGEN mempamerkan Golf GTI 2025 di acara CES Las Vegas bulan depan, dan para pengamal media telah bertanyakan pihak pengeluar akan hala tuju hot hatch itu.

Satu perkara utama yang ditanya adalah berkenaan penawaran kotak gear manual, dan perkara paling ditakuti telah berlaku. Tiada lagi kotak gear manual 6-kelajuan selepas model tahun 2024 ini.

Dalam satu emel kepada Motor1, Pakar Komunikasi Produk Volkswagen Amerika, Jerohn Anderson berkata, “Saya boleh maklumkan bahawa transmisi manual tidak akan ada lagi selepas Golf GTI dan Golf R MY2024.”

Itu dia tuan-tuan dan puan-puan.

Ada yang berkata VW mungkin berubah fikiran dengan piawaian Euro 7 yang kurang ketat, tetapi Golf GTI yang didedahkan untuk pasaran Eropah baru-baru ini hanya datang dengan DSG.

Walaupun dengan Euro 7 yang kini dilonggarkan, perubahan itu sedikit lewat untuk mengekalkan manual. Golf GTI Mk8.5 telahpun hampir siap pembangunannya.

Hal yang sama akan berlaku untuk Golf R, tiada lagi manual terutamanya untuk Eropah dan Amerika Utara.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna tiada langsung manual untuk Golf 8. Beberapa pasaran akan mendapat versi lebih murah dengan enjin 1.5 TSI petrol dan 2.0 TDI diesel yang digandingkan dengan tiga-pedal.

Berakhirnya penawaran manual ini pastinya suatu kekecewaan buat peminat tegar yang mahu membeli GTI atau R.

Dalam perkembangan lain, VW belum bersedia mendedahkan Golf R facelift yang dijangka membuat premier global pada pertengahan tahun ini. Golf R wagon juga belum dipastikan untuk pasaran Eropah.

GTI dan R yang dikemaskini ini akan menjadi Golf terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE). VW akan menggantikan Golf Mk8 dengan model elektrik sepenuhnya.

Mereka telahpun mendaftarkan tanda nama GTI baharu dengan huruf terakhir digantikan dengan simbol petir.

Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV, boleh sampai 14 gear!

TOYOTA akan membawakan kotak gear manual simulated (maya) untuk kenderaan elektriknya (EV). Tetapi nampaknya ia akan menjadi agak menyeronokkan, kerana ianya tidak akan terhad kepada enam atau tujuh kelajuan sahaja.

Dalam satu permohonan paten yang diterbitkan beberapa hari lepas, ia menunjukkan tiada had untuk berapa banyak ‘gear’ transmisi itu boleh punyai.

Imej-imej yang diterbitkan bersama dokumen teknikal menunjukkan ia boleh mempunyai sehingga 14 gear. Bagaimana pula cara ia berfungsi? Toyota juga ada berikan penerangan.

Paten itu menunjukkan banyak perincian berkenaan sistem ini. Senang kata, pemandu akan boleh memilih berapa banyak nisbah gear pun yang mereka mahu.

“Jumlah peringkat gear maya boleh menjadi enam atau lebih, atau kurang dari enam,” tulis dokumen itu. “Pemandu akan dapat memilih bentuk yang dimahukan mengikut kehendak mereka.”

Tetapi Toyota tidak menjelaskan apa-apa sistem elektro-mekanikal yang akan membentuk lorong gear fizikal.

Sebaliknya, akan ada jumlah tetap berapa gear, kemungkinan enam tetapi Toyota menggunakan empat sebagai contoh. Gear dimasukkan seperti manual biasa, walaubagaimanapun tombol gear akan kembali ke tempat asal selepas digunakan.

Kemudian, semasa pemandu menukar gear, bentuk laluan maya bertukar kepada set nisbah seterusnya. Jadi sekiranya ada corak enam gear dan gear keenam dipilih, suatu paparan akan menukar nisbah yang membolehkan pemandu menukar kepada gear tujuh dan seterusnya, atau turun ke gear lima dalam set yang sama.

Mengelirukan? Sebenarnya susunan ini lebih kurang gear manual lori treler, jadi geng Pilot Darat pasti mudah faham.

Apa pun, mesti ada sebab kenapa pengeluar kereta tidak menawarkan gear manual dengan nisbah gear terlalu banyak. Kotak gear 14-kelajuan tidak praktikal dengan enjin pembakaran dalaman.

Tetapi untuk EV, lain pula ceritanya. Toyota berpendapat apa salahnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Toyota GR Yaris bakal dapat lebih kuasa, tapi auto!

TOYOTA dilaporkan sedang membangunkan versi lebih berprestasi untuk GR Yaris yang sudah cukup mantap. Menurut Motor1 yang memetik majalah Best Car, hatchback AWD itu akan diperkenalkan dengan versi baharu lebih berkuasa pada musim luruh ini, bermakna dalam masa terdekat.

Ia juga dikatakan bakal mendapat reka bentuk yang lebih ‘segar’ berbanding versi mula dilancarkan pada 2020. Menurut sumber tadi, enjin 1.6-liter 3-silinder turbo itu akan ditala supaya menjana 300hp dan 370Nm tork.

Tetapi pembaharuan yang paling mendapat perhatian ialah penawaran kotak gear baharu untuk GR Yaris 2024, iaitu automatik! Ya, Toyota akan memberikan kotak gear automatik 8-kelajuan baharu, malah prorotaipnya telahpun dipertontonkan pada Mac 2022 lalu.

Laporan mengatakan kotak gear itu bakal dilengkapi dengan paddle-shifter dan “lock-up system” baharu, bermakna ianya torque-converter dan bukan dwi-klac.

Pembaharuan lain termasuklah brek dan suspensi yang ditala semula, berserta ketegaran badan yang dipertingkatkan. GR Yaris ini juga akan mendapat bampar dan spoiler belakang lebih besar.

Di bahagian dalam pula, skrin tengah adalah dari GR Corolla, walaupun kita tidak memerlukannya dalam model sebegini.

Apa pendapat anda mengenai GR Yaris automatik? Adakah ianya menjadikan hatchback ini kurang ‘umph’ atau lebih baik kerana lebih ramai dapat menikmatinya?

Pendapat kami, model istimewa seperti Toyota GR Yaris patut dikekalkan dengan manual 6-kelajuan. Tetapi mungkin juga Toyota mahu melihat sejauh mana had GR Yaris ini dengan transmisi baharu.

Volkswagen Golf GTI 380 sebagai ucap selamat jalan kepada transmisi manual

VOLKSWAGEN Golf GTI dengan kotak gear manual bakal ditamatkan, jadi untuk meraikan transmisi itu sebelum ia pupus sepenuhnya, pengeluar Jerman itu memberikan satu edisi khas.

Semua model dengan manual bakal mendapat pakej Golf GTI 380 sebagai satu penghormatan dan mungkinucapa selamat jalan kepada transmisi tiga-pedal itu.

Pakej 380 merangkumi beberapa penambahan kosmetik, antaranya rim 19-inci aluminium-aloi hitam berkilat, tayar prestasi, kemasan hitam pada bumbung dan cermin sisi, serta kemasan merah standard GTI.

Warna badan pula khas untuk GTI 380, antaranya Graphite Gray Metallic, Blue Metallic, Deep Black Pearl, Kings Red Metallic, Moonstone Gray, Opal White Pearl, dan Reflex Silver Metallic.

Di dalam, tombol gear berbentuk bola golf dikekalkan. Untuk varian GTI S dan GTI SE, Volkswagen menawarkan tempat duduk fabrik Scalepaper Plaid sebagai standard. Tempat duduk kulit Vienna pula standard untuk Autobahn, tetapi opsyen bagi SE.

Pakej ini mendapat namanya dari kod dalaman Mk8, dan juga merupakan satu peringatan kepada GTI 337 2022, yang menggunakan nama designasi GTI Mk1.

Di bawah hud Golf GTI 380 ialah enjin 2.0-liter EA888 turbo petrol 4-silinder dengan 241hp dan 273Nm tork. Selain manual, Volkswagen akan terus menawarkan DSG automatic untuk GTI dan Golf R.

Ya, Golf R juga bakal kehilangan versi manual bermula tahun depan. Walaupun GTI 380 tidak mendapat penambahan kuasa, ia kini hadir standard dengan sistem suspensi DCC.

Volkswagen Golf GTI 380 akan bermula pada harga USD32,485 (RM150,519) untuk varian S, sehingga USD40,625 (RM188,236).

Walaupun diperkatan model GTI dengan kotak gear manual akan ditamatkan, yang penting ia bukan satu penamat untuk model hot hatch prestasi ini.

Beberapa minggu lepas, kami melaporkan bahawa Volkswagen telah mendaftar tanda nama baharu GTI tetapi huruf “I” digantikan dengan simbol panahan petir, menandakan elektrifikasi untuk model prestasi ikonik ini.

Hampir separuh Toyota GR Supra yang terjual di AS adalah manual!

HAMPIR separuh dari Toyota GR Supra 2023 yang terjual di Amerika Syarikat (AS) adalah dari unit dengan kotak gear manual. Perkara ini diberitahu oleh jurucakap Toyota kepada Road & Track.

Sebanyak 1,216 unit GR Supra yang terjual sejak model 2023 dilancarkan adalah dengan model tiga-pedal, bersamaan 43 peratus.

GR Supra yang mula dilancarkan pada 2019 tidak datang dengan pilihan manual, sebaliknya hanya dengan automatik 8-kelajuan. Tetapi para peminat telah menyuarakan kehendak mereka yang mahukan kotak gear untuk pemandu sejati.

Kotak gear yang digunakan ialah unit manual 6-kelajuan (6MT) dari BMW 3-Series tetapi nisbah gear dari M3, menurut jurutera Toyota. Linkage dan tombol gear adalah baharu, dan Toyota membangunkan sendiri perisian rev-matching iMT.

Enjin dikongsi dengan model automatik, iaitu 3.0-liter 6-silinder sebaris dengan output 388hp dan 500Nm tork. Konsol tengah pula telah direka semula untuk memuatkan kotak gear itu. Selain itu, nisbah gear akhir dinaikkan dari 3.15 kepada 3.46.

Kami amat teruja dengan berita sebegini, menunjukkan Toyota mendengar kata peminat dan para penggiat kereta. Hal ini juga sama dengan Porsche yang menurut kehendak peminat mereka yang mahukan pilihan manual dalam model prestasi seperti 911 GT3 dan Cayman GT4.

Buat peminat pula, mereka benar-benar beli kereta sebegini, bukan sekadar sembang “Save the manuals” atau “Real men drive three-pedals”. Diharapkan lebih banyak model sports bertransmisi manual dengan harga mampu milik memasuki pasaran Malaysia.

Perodua Axia E dilancarkan – nah versi Rahmah manual, RM22k sahaja

SEPERTI yang dijanjikan, Perodua akhirnya melancarkan Axia versi manual yang dikenali secara rasmi sebagai Axia E. Seperti yang boleh dilihat, varian ini tidak menggunakan badan Axia generasi baharu yang dilancarkan pada Februari lalu, sebaliknya ia adalah berasaskan model tahun 2017.

Disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga sekolah-sekolah memandu, Axia E dijual pada harga RM22,000 tidak termasuk insurans.

Ia boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver dan warna baharu yang dikenali sebagai Granite Grey.

“Perodua Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal kami untuk menyediakan mobiliti yang mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau lagi, berdasarkan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kos ansuran bulanan untuk memiliki Axia E hanya sekitar RM300, sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu.

Dari segi spesifikasi, Axia E dikuasakan oleh enjin 1KR-VE 1.0-liter tiga silinder, iaitu enjin sama yang boleh ditemui pada Axia generasi baharu. Enjin ini menghasilkan 67 hp dan 91 Nm, yang disalurkan ke roda depan oleh transmisi manual lima kelajuan.

Selain itu, ia didatangkan dengan dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan jaminan selama lima tahun. Ia juga mendapat penarafan 4-bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Walaupun kami tidak menentukan siapa pelanggan kami, kami percaya bahawa model ini menjadi pilihan yang dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Perodua Axia E telah diuji dan terbukti dalam pasaran selama bertahun-tahun dan kami percaya varian ini akan memenuhi peranan semasanya untuk member peluang kepada pemilik motosikal bagi memiliki kereta baharu,” tambah Dato’ Zainal.

Honda Elevate dilancar di India: SUV kompak dengan 1.5 i-VTEC, pilihan 6MT

PASARAN SUV dan crossover segmen-B di India kini begitu hangat. Baru-baru ini Hyundai Exter dilancarkan, bersaing dengan model-model lain seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, dan Maruti Suzuki Grand Vitara.

Kini pemain terbaharu pula dilancarkan iaitu Honda Elevate, dan India merupakan negara pertama di dunia mendapat model itu. Honda Elevate ini mempunyai saiz mirip Perodua Ativa di negara kita.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol buat masa ini, tetapi dikhabarkan varian EV akan menyusul dalam masa tiga tahun. Dari segi dimensi, ia berukuran 4,312mm panjang, 1,790mm lebar, dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.

Honda berkata rekaan Elevate menggunakan tema “bold and masculine” atau lantang dan maskulin. Oh ya, walaupun bersaiz kompak, kapasiti kargonya tidak mengecewakan, sekitar 458 liter.

Elevate dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC dengan 119hp dan 145Nm tork, dihantar ke roda depan. Pelanggan di India boleh memilih sama ada menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.

Walaupun merupakan model bajet dan kompak, spesifikasinya cukup tinggi. Ia dilengkapi bumbung suria berkuasa, pengecas telefon tanpa-wayar, skrin infotainmen 10.25-inci, dan pendingin hawa belakang.

Terdapat juga soket kuasa 12V di depan dan belakang, kamera undur, serta pelbagai ciri keselamatan terkini di bawah Honda Sensing. Tempahan Elevate akan dibuka pada Julai, dan harga juga kan diumumkan kemudian.

Berminat? Untuk pasaran Malaysia, Honda akan menawarkan model kompak WR-V dan pelancarannya tidak lama lagi. Nantikan laporan kami bila kami mendapat info lanjut.

5 Toyota GR baru mendarat di Malaysia – Supra 6MT, GR Corolla, GR86, Hilux dan Corolla Cross GR Sport

HARI ini pastinya menjadi highlight buat UMW Toyota Motor (UMWT) untuk tahun 2023, kerana mereka bukan melancarkan satu atau dua, tetapi lima model sekaligus. Dan kesemua model ini adalah GR dan GR Sport.

Mari kita lihatkan satu per satu.

GR Supra 6MT

Hero kepada pelancaran kali ini sudah tentu Toyota GR Supra 6MT, iaitu dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Jika anda masih ingat, Supra A90 pada 2019 mula dilancarkan dengan kotak gear automatik sahaja, tetapi April 2022 Toyota telah memperkenalkan varian manual kepada model ini.

Tetapi bagi anda yang malas untuk menggunakan kaki kiri terlalu kerap, masih boleh memilih kotak gear automatik 8-kelajuan seperti sebelum ini.

Enjin: 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris
Output: 382hp, 500Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan
Ciri utama: iMT rev-matching, Adaptive Variable Suspension, mod pemanduan Sports dan Normal, rim 19-inci, Head Up Display, sistem audio JBL
Harga: RM645,000 (manual), RM655,000 (automatik)

GR Corolla

Seterusnya ialah GR Corolla. Hm mungkin model ini juga boleh menjadi hero pelancaran, penulis pun sudah keliru kerana kebanyakan model kali ini cukup mengujakan.

GR Corolla ialah hot hatch dengan mekanikal yang diambil dari GR Yaris, bermakna ia mendapat enjin 1.6-liter turbo, pacuan semua-roda GR-Four dan hanya hadir dengan kotak gear mandatori: manual 6-kelajuan.

Enjin: 1.6-liter turbo 3-silinder
Output: 300hp, 370Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan
Ciri utama: Sistem pacuan GR-Four, iMT rev-matching, LSD Torsen, rim 18-inci, tayar Yokohama Advan, Toyota Safety Sense
Harga: RM355,000

GR86

Model ketiga ialah generasi serba baharu untuk coupe sports kecil dua-pintu Toyota, iaitu GR86. Dibangunkan bersama Subaru, model ini menawarkan pemanduan lebih pure, iaitu enjin naturally-aspirated tanpa turbo seperti Supra dan GR Corolla, selain pacuan roda-belakang dan casis seimbang.

Antara pembaharuan berbanding generasi sebelum ini ialah enjin boxer 4-silinder yang kini bersesaran lebih besar, kini 2.4-liter berbanding 2.0-liter sebelum ini. Ia menjurus kepada peningkatan kuasa dan tork, serta mungkin juga lebih seronok dipandu.

Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated boxer
Output: 232hp, 250Nm
Kotak gear: Manual atau automatik, 6-kelajuan
0-100: 6.3 saat
Ciri utama: Paparan infotainmen 8-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk suede-kulit, tujuh beg udara, pakej sistem keselamatan aktif
Harga: RM296,354 (manual), RM306,354 (automatik)

Hilux GR Sport

Ya, anda tidak salah baca. Hilux juga kini mendapat sentuhan GR, apa salahnya, bukan? Malah terdapat banyak versi Hilux GR Sport di seluruh dunia, tetapi kita mendapat versi yang agak serupa dengan Thailand.

Hilux ini bukan hanya membawa imej GR, ia tetap mendapat beberapa komponen seperti penyerap hentak monotube sport dan paddle-shifter.

Enjin: 2.8-liter turbodiesel
Output: 204PS, 500Nm
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Ciri utama: Penyerap hentak sport, kit GR Sport pada gril, fender, sports bar dan antena, kaliper brek merah, rim aloi 18-inci
Harga: RM159,880

Corolla Cross GR Sport

Akhir sekali, talaan GR Sport diberikan kepada SUV popular Toyota, iaitu Corolla Cross. Ia hadir dengan warna badan dwi-tona; kemasan hitam pada cermin sisi, bumbung, spoiler, dan gril depan untuk rupa lebih sporti.

Enjin: 1.8-liter naturally-aspirated 4-silinder
Output: 139hp, 172Nm
Kotak gear: CVT
Ciri utama: Badan dwi-warna, kemasan GR Sport, rim 18-inci, ECU sport, suspensi sport, Toyota Safety Sense
Harga: RM142,000

Galeri

MINI tawar lebih banyak model manual, tapi untuk pasaran US sahaja

MEMANDU kereta manual adalah satu ‘seni’ yang masih diingati oleh ramai pemandu, namun atas beberapa faktor, hanya segilintir yang memilih untuk mengamalkannya.

Untuk lebih memahami pandangan pengguna tentang transmisi manual, MINI USA baru-baru ini menjalankan satu kaji selidik yang melibatkan 1,012 orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.

Kaji selidik tersebut mendapati 63 peratus responden bersetuju bahawa mempelajari cara memandu kereta manual merupakan satu kemahiran hidup yang penting. Karakteristik utama yang responden kaitkan dengan kereta transmisi manual adalah “seronok untuk dipandu”.

Berkenaan pengetahuan pengguna tentang cara memandu transmisi manual, 49 peratus daripada semua responden Gen Z dan 42 peratus daripada semua responden wanita menyatakan bahawa mereka tidak tahu cara memandu kereta manual.

Walaupun begitu, 53 peratus responden mengatakan mereka berminat untuk belajar. 67 peratus daripada responden berumur 18 hingga 34 tahun pula paling berminat untuk belajar memandu kereta manual.

MINI berkata keputusan kaji selidik ini menunjukkan bahawa terdapat peluang untuk menyuntik elemen keseronokan dalam memandu kereta manual untuk pemandu generasi sedia ada dan akan datang.

Untuk itu, MINI USA mengumumkan pilihan transmisi manual untuk empat lagi model iaitu Cooper Convertible, Cooper S Convertible, Cooper 4-Door Hardtop dan Cooper S 4-Door Hardtop. Dengan pengumuman ini, MINI USA kini menawarkan tujuh model dengan pilihan transmisi manual.

Tidak cukup dengan itu, syarikat itu juga menjalinkan kerjasama dengan BMW Group Performance Center West bagi melancarkan sekolah memandu manual. Ia kini dibuka untuk pendaftaran dengan bayaran sebanyak $499 (~RM2,161).

Sekolah memandu itu mensasarkan untuk menjadikan pemandu lebih selesa dengan transmisi manual sambil mempertajamkan kemahiran mereka. Ia menggunakan silibus yang memfokuskan kepada kawalan kenderaan, mencari titik geseran, gerak dan henti, pecutan dan banyak lagi.

Prototaip EV Lexus dengan transmisi manual tiruan, boleh ‘mati enjin’ jika silap ‘tukar gear’

TRANSMISI manual dikira hampir pupus. Malah jika anda tolak ke tepi kereta dengan kotak gear manual yang kini hanya berada kira-kira dua peratus dalam pasaran, anda harus terima bahawa EV akan mengambil alih kenderaan di atas jalan.

Tetapi Toyota nampaknya mahu mengubah hakikat ini, atau setidak-tidaknya melambatkan peralihan ke arah EV. Maka sebab itulah mereka kini sedang membangunkan prototaip EV dengan kotak gear manual tiruan.

Mereka baru-baru ini mempertontonkan kepada media di Eropah versi istimewa bagi Lexus UX300e. Crossover EV ini nampak biasa, tetapi ia dilengkapi dengan penukar gear dan klac tiruan untuk memberikan sensasi ‘hubungan’ kita dengan kereta secara old-school.

Pemandu akan dapat menukar gear berbeza apabila mereka sampai ke hujung redline tachometer tiruan. Malah, jika pemandu ‘tersilap menukar gear’ ia boleh menyebabkan EV itu terhenti.

Anda boleh tonton demonstrasi pemanduan EV dengan kotak gear manual ini oleh EVO:

Kenderaan elektrik (EV) jarang mempunyai lebih dari satu atau dua gear. Tetapi Lexus berkata mereka membangunkan konsep ini untuk pemanduan EV yang lebih menyeronokkan, dan mungkin menggunakannya pada model-model hibrid produksi jika mempunyai potensi.

Kami tidak pasti jika transmisi manual tiruan sebegini akan memberikan kepuasan seperti memandu manual sebenar, tetapi yang pasti kami mahu mencubanya!

Porsche 911 Carrera T untuk mereka yang tak mahu kuasa melampau, tapi pentingkan nikmat pemanduan

APA dia Porsche 911 Carrera T ini? Tak cukup lagi dengan berbagai varian 911? Baik, Carrera T ini diibaratkan seperti mengambil varian asas 911 dan kemudian menyumbatkan komponen prestasi padanya.

T bermaksud touring, dan Porsche memposisikan model ini di antara 911 Carrera standard dengan Carrera S yang lebih berkuasa. Bercakap mengenai kuasa, Carrera T dipacu oleh enjin 3.0-liter twin-turbo flat-six dengan 379hp dan 449Nm tork.

Kotak gear standard pada Carrera T ini ialah manual 7-kelajuan, yang mana tidak didapati pada 911 Carrera biasa. Tetapi untuk pilihan tanpa sebarang penambahan kos, anda juga boleh memilih automatik PDK dwi—klac 8-kelajuan untuk Carrera T ini.

Dengan manual 7-kelajuan, Carrera T mampu mencapai 100km/j dalam masa 4.3 saat, manakala pecutan ini disingkatkan kepada 3.8 saat dengan kotak gear PDK. Tetapi adakah ini penting bagi anda yang mahukan sensasi pemanduan manual?

Kelajuan maksima untuk kedua-dua jenis kotak gear adalah 291km/j. Model sporti ini juga mendapat LSD dan Porsche Torque Vectoring sebagai standard.

‘Jajan’ prestasi lain yang diberikan kepada Carrera T termasuklah Porsche Active Suspension Management (PASM) yang merendahkannya sebanyak 10mm. Sport Chrono Package dan sistem ekzos sport juga standard. Tetapi sistem stereng roda belakang adalah pilihan.

Sementara itu untuk mengurangkan berat kereta, Porsche telah memberikan kedapan bunyi yang kurang, cermin lebih nipis, dan bateri lebih kecil. Tempat duduk belakang juga tiada. Tetapi anda boleh menambahnya semula tanpa sebarang kos tambahan.

Secara keseluruhan, Porsche Carrera T ini 45.36kg lebih ringan dari Carrera biasa.

Dari segi astetik pula, 911 Carrera T mendapat kemasan Agate Gray pada perumah cermin sisi dan lencana. Ekzosnya berwarna hitam, dan rim Titanium Grey Carrera S berwarna gelap berukuran 20-inci di depan dan 21-inci di belakang.

Di dalam, jentera ini dilengkapi roda stereng GT Sport serta tempat duduk Sport Plus, dan kemasan kabin hitam berkilat disulami kelabu.

Anda juga boleh menambah Carrera T Interior Package yang memberikan pilihan warna Slate Grey atau Lizard Green untuk tali pinggang keledar, belang tempat duduk, jahitan, dan logo 911 pada perehat kepala.

Koenigsegg CC850 ini ialah kereta manual terpantas dan paling berkuasa di dunia – 1,385hp

SEDAR-sedar sudah 20 tahun berlalu sejak Koenigsegg CC8 mula memasuki pasaran. Legasi ini diteruskan dengan Koenigsegg CC850, hypercar moden yang nampak mirip kereta asal yang dikeluarkan pada 2002.

Walaubagaimanapun, di bawahnya sangat berbeza, termasuk kotak gear manual 9-kelajuan. Sekejap, biar betul?! Ya, anda tak salah membaca.

Kami akan terangkan selepas ini. Apa pun, beberapa angka. Koenigsegg berkata enjin pada CC850 ini adalah unit 5.0-liter V8 twin-turbo dari Jesko, dan ia menjana 1,385hp dengan bahan api E85.

Dengan petrol biasa, kuasanya menurun sedikit kepada 1,185hp. Tork pula adalah 1,385Nm dan menariknya, berat hypercar ini juga 1,385kg.

Baik, untuk kotak gear tadi. Sama seperti enjin dari Jesko, kotak gear juga dari model ini, yang merupkan “Light Speed Transmission”.

Di dalam kabin, tombol gearnya menampilkan rekaan gated shifter tetapi sedikit berbeza dari Jesko yang merupakan transmisi automatik sequential. Bagi CC850, terdapat pedal klac, bermakna kotak gear ini perlu anda tukar sendiri.

Walaubagaimanapun, ianya bukan sistem manual tradisional. Koenigsegg memasang sistem lebih moden untuk manual ini.

Hasilnya, sebuah kereta yang Koenigsegg gelarkan sebagai – TWMPAFMPC. Fuh, apa maksudnya? The World’s Most Powerful And Fastest Manual Production Car.

Dalam mod manual, CC850 boleh dipandu seperti kereta biasa. Klac perlu ditekan untuk menukar gear, dan jika anda melepaskan klac terlalu laju seperti anda lakukan pada Perodua Axia semasa di sekolah memandu, enjinnya akan termati.

Hanya enam kelajuan dari sembilan gear boleh digunakan pada satu-satu masa, dan gearnya bergantung kepada mod pemanduan. Hanya mod tertentu yang akan membolehkan anda akses kepada semua sembilan gear.

Untuk prestasi, Koenigsegg belum bersedia untuk mendedahkan sebarang angka. Dengan kuasa sedikit rendah berbanding Jesko, ia bukanlah jentera yang akan memecahkan rekod kelajuan tertinggi dunia.

Tetapi dengan lebih dua kali ganda kuasa dari CC8S asal, ia tidaklah perlahan juga.

Hanya 50 unit Koenigsegg CC850 akan dibina, sempena ulang tahun ke-50 pengasas jenama Sweden itu, iaitu Christian von Koenigsegg.

Toyota GR Supra edisi A91-MT diperkenal dengan transmisi manual 6-kelajuan!

AKHIRNYA, pemandu Toyota GR Supra boleh menukar gear mereka sendiri. Model tahun 2022 telah diperkenalkan, lengkap dengan pedal ketiga.

Sebelum masuk ke dalam kereta pun anda boleh kenal pasti ianya model manual 6MT melalui tulisan “Supra” berwarna merah di bampar belakang.

Untuk pasaran Eropah, Supra A91-MT ini telah mengalami ‘diet’ yang menurunkan beratnya sekitar 40kg dengan versi Lightweight yang dilengkapi rim 19-inci ringan.

Diet ini juga merangkumi tempat duduk kini tanpa balutan kulit, pelarasan berkuasa dan sokongan lumbar. Sistem audio juga telah ditukar.

Menurut Toyota, kotak gear iMT (intelligent Manual Transmission) mendapat perisian khas yang mengutamakan prestasi. Apa maksudnya di sini?

Tork dari enjin dioptimakan semasa anda melepaskan minyak untuk menekan klac dan menukar gear, dan iMT juga akan memberikan auto-blip semasa downshifting. Ciri auto-blip ini walaubagaimanapun dipadamkan secara automatik dalam mod Sport.

Nisbah gear akhir juga ditala semula untuk manual, iaitu 3.46 untuk pecutan lebih baik berbanding 3.15 pada model automatik.

Toyota juga memberi perincian kepada tombol gearnya yang seberat 200 gram, mengatakan bahawa nisbah tombolnya direka untuk mengurangkan daya diperlukan untuk menukar gear.

Toyota GR Supra manual ini juga hanya boleh didapati dengan pilihan enjin 3.0-liter 6-silinder sahaja, maka enjin 4-silinder buat masa ini hanya dikhaskan untuk kotak gear automatik. Enjin 3.0-liter turbo ini menjana output kira-kira 388PS dan 500Nm tork.

Selain itu, Toyota juga dikatakan telah menala semula stereng, suspensi dan mod Track pada Supra ini untuk drift lebih mudah.

Paling menarik, terdapat satu ciri baharu Hairpin+ yang akan membolehkan ‘wheelspin’ lebih banyak untuk lebih keseronokan memandu.

Hanya 500 unit akan dibina untuk Supra A91-MT ini dengan dua pilihan warna iaitu CU Later Gray dan Matte White. Di beberapa pasaran, sistem audio JBL dengan 12 pembesar suara akan diberikan secara standard.

Kereta manual ‘sedap’ dengan bajet RM10,000

TAK sangka rupanya ada ramai juga di kalangan penonton Engear yang sukakan kereta manual, sama dengan penulis!

Kereta manual di sini bukanlah transmisi automatik dengan paddle-shifter atau kotak gear tiptronic, atau sebarang simbol “+” dan “-”, sebaliknya kotak gear manual sebenar dengan tiga pedal kaki.

Ya, kereta dengan kotak gear manual bukanlah paling laju kerana dalam zaman sekarang dimana ‘otak’ atau sistem komputer kenderaan mampu menjadikan kotak gear dwi-klac atau automatik biasa sekalipun menukar gear dengan cukup pantas dan efektif.

Dalam zaman ini, seseorang yang mahukan kotak gear manual hanyalah kerana dia mahukan keseronokan atau kepuasan memandu, merasa lebih kawalan.

Jadi, mari kita lihatkan beberapa kereta manual pilihan dengan bajet RM10,000. Oh ya, ada yang bukan kereta.

1. Nissan Terrano – RM10,000

Ya, yang pertama ini sebenarnya sebuah SUV pacuan empat-roda 4X4 iaitu Nissan Terrano. Ianya merupakan alternatif kepada Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper pada zaman 90-an.

Menurut Abang Syamsul kita, Terrano ini dengan RM10,000 agak mahal, macam biasa, jangan lupa ‘tenyeh’.

2. Proton Satria Neo – RM10,000

Seterusnya, kereta buatan Malaysia iaitu Proton Satria Neo, tahun 2009. Satria Neo yang dikeluarkan dari 2006 hingga 2010 menggunakan enjin Campro 1.6 dan terdapat juga versi 1.3, sebelum kehadiran Campro CPS pada 2011.

Satria Neo bukanlah kereta yang berkuasa, tetapi menawarkan satu platform yang cukup sempurna untuk anda melatih diri menjadi pemandu berkemahiran. Di samping itu, Neo mempunyai banyak potensi untuk naik taraf atau modifikasi.

Harga macam ok untuk umurnya, tetapi apa salahnya ‘nego’ sikit lagi.

3. Nissan AD-Resort – RM10,000

Ini merupakan model yang menjadi pilihan Abang Syamsul kita, Nissan AD Resort. Sebuah wagon mampu milik; ia boleh bawa banyak barang seperti van, boleh dinaiki lima orang dengan selesa, dan pengendalian seperti sebuah sedan.

Unit yang kami jumpa ini hadir dengan enjin SR18, dan AD Resort ini juga sesuai dijadikan kereta hobi. Rasanya kelab dan ahli AD Resort ini masih agak aktif di Malaysia.

4. Hyundai Accent – RM10,000

Seterusnya, kereta yang Abang Syamsul kurang berkenan, iaitu Hyundai Accent tahun 2007. Harga pun seperti agak mahal, mungkin disebabkan ada bulu-bulu di atas papan pemukanya.

Tetapi kereta ini memang nampak agak cantik dan terjaga. Apa pun, jika berminat, jangan lupa untuk tanya, nego, tenyeh, tekan, anda tahu apa nak buat…

5. Honda Civic Ferio – RM10,000

Akhir sekali, dalam senarai pendek kali ini, Honda menjadi pilihan kami iaitu Civic Ferio. Ia merupakan Civic generasi EG dengan badan gaya sedan.

Honda Civic EG merupakan satu model popular untuk kegunaan sukan permotoran seperti drag dan track day.

Kereta ini didaftar pada 1996, dengan enjin 1.6-liter manual. Dalaman nampak elok, tetapi luaran agak lusuh.

Jika berkenan, pastikan anda buat pemeriksaan menyeluruh, dan Honda Civic EG ini memang satu kereta yang sedap dipandu.

Apa macam senarai kami kali ini, ada yang sangkut?

Mana satu jadi pilihan anda?

Jika mahu lagi senarai-senarai sebegini nanti, jangan lupa komen untuk sebarang cadangan. Jika sesuai, kami akan usahakan. Terima kasih!

Ford bangunkan transmisi manual tanpa perlu tekan klac

FORD kini sedang membangunkan sistem klac elektronik yang akan membolehkan pemandu “menukar gear” tanpa menekan pedal klac.

Idea asasnya ialah sistem untuk penukaran gear tanpa sambungan fizikan antara pedal klac, silinder utama, bearing throw-out, dan pelbagai komponen lain. Segala sambungan ini akan digantikan dengan pengesan atau sensor.

Menurut artikel Muscle Cars & Trucks, transmisi manual ini akan serupa dengan unit pada Ford Mustang dan Bronco dengan hanya dua perbezaan utama.

Pertamanya, walaupun masih mempunyai pedal klac, ia tidak akan bersambung dengan apa-apa melainkan pengesan dan aktuator.

Perbezaan lain adalah tombol gear itu sendiri akan mempunyai pengesan terbina dalam, yang mana apabila digunakan oleh pemandu, akan memutuskan klac bila ia digerakkan. Jadi anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac dengan kaki kiri.

Walaubagaimanapun, akan terdapat juga cara untuk ‘melawan’ sistem ini. Anda masih boleh gunakan klac untuk mula memecut kenderaan seperti atau untuk pemandu tegar menggunakannya seperti biasa.

Terdapat banyak kenderaan hari ini dengan dilengkapi transmisi manual yang juga didatangkan dengan fungsi anti-stall dan rev-matching.

Menariknya, fungsi-fungsi ini boleh dinyahaktifkan, dan kami yakin transmisi baharu yang dibangunkan Ford ini juga akan mempunyai ciri sama.

Sebuah transmisi manual moden yang mudah digunakan tetapi masih mempunyai ciri old-school.

Berminat cari kereta transmisi manual dengan harga mampu milik? Boleh tengok senarai kami di bawah:

BMW henti jualan Z4 dengan transmisi manual di Australia, 2 unit saja terjual sejak 2019!

BMW Z4 menjadi model terkini yang dihentikan penawaran transmisi manualnya di Australia, hanya dua unit sahaja terjual sejak 2019. Ini menjadikannya antara versi paling rare pernah dijual di negara itu.

“Disebabkan hanya dua unit BMW Z4 sDrive20i terjual dengan transmisi manual sejak suku pertama 2019, kami tidak akan jual lagi varian ini,” kata jurucakap BMW di Australia.

“Walaubagaimanapun, Z4 sDrive20i masih akan ditawarkan dengan kotak gear standard automatik 8-kelajuan Steptronic Sport,” tambahnya.

Gambar oleh: BMW Blog

Varian Z4 dengan kotak gear manual 6-kelajuan ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk model asas sDrive20i yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder, menghasilkan 195hp dan 320Nm tork. Ia berharga AUD89,900 (RM276k) sebelum pilihan tambahan lain.

Model Z4 dengan tiga-pedal itu mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.8 saat (0.2 saat lebih perlahan dari automatik), dan mempunyai kelajuan maksima 241km/j.

Penyingkiran model manual dari Z4 itu mengikut jejak langkah 2-Series Coupe dan M2 Competition yang menerima nasib sama awal tahun ini.

Ini menjadikan hanya M3 dan M4 yang kekal ditawarkan dengan kota gear manual di Australia. Manual juga merupakan pilihan khas untuk 118i dan 218i Gran Coupe.

DSG jimat bahan bakar, lebih praktikal

PERKEMBANGAN teknologi automotif seantero dunia berjaya menghasilkan pelbagai jenis enjin kenderaan yang canggih selain memenuhi cita rasa pengguna.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan beberapa jenis enjin yang muncul bermula daripada sistem manual, automatik dan sehingga CVT (Continuously Variable Transmission).

Tidak dinafikan, enjin kenderaan menggunakan transmisi manual mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam penjimatan bahan api.

Bagaimanapun, penggunaan enjin transmisi manual semakin dilupakan dalam kalangan pengguna memandangkan ia agak rumit untuk dikendalikan apatah lagi ketika jalan raya sesak.

Ramai mula beralih arah menggunakan enjin automatik namun, terpaksa berdepan sedikit peningkatan kos bahan api.

Berdasarkan kedua-dua ‘permasalahan’ ini, maka satu ciptaan enjin telah dihasilkan bagi mencapai kelebihan yang ada pada enjin jenis manual atau automatik.

Penciptaan Enjin DSG

Direct Shift Gearbox atau DSG telah dihasilkan bagi mendapatkan kelebihan terdapat pada enjin manual dan automatik.

Secara bahasa mudah, DSG adalah kenderaan mempunyai kotak gear manual yang ditukar menjadi automatik.

Ketika DSG diperkenalkan oleh Porsche pada 1980-an, ramai beranggapan gear yang dihasilkan agak ‘kasar’ ketika dikendalikan.

Seiring perkembangan automotif, DSG kini lebih ‘lembut’ dana mat selesa dikendalikan ketika memandu.

Mengimbas semula sejarah penggunaan DSG, ia telah lama digunakan dalam perlumbaan rally.

Pada tahun 2000, sistem ini kemudian diperluaskan dalam pasaran komersial.

Mengapa DSG lewat dikomersialkan?

Kos yang mahal menjadi punca utama DSG lewat dikomersialkan. Selain itu, pembuatan DSG adalah lebih rumit berbanding enjin transmisi manual atau automatik.

Walau begitu, penggunaan DSG kian diperluaskan selepas banyak pengeluar kenderaan mendapati penggunaan DSG lebik praktikal.

Jika dibandingkan dengan transmisi automatik, DSG dapat menjimatkan bahan bakar lebih 15 peratus!

Terdapat beberapa sebab mengapa hal ini berlaku iaitu:

1) DSG boleh boleh beroperasi pada RPM tinggi tanpa perlu memutuskan sambungan antara sistem dual clutch dan enjin
2) Tiada masalah power loss ketika enjin melakukan penukaran
3) Tork yang dihasilkan oleh enjin dihantar terus pada transmisi tanpa gangguan

Sistem ini bagaimanapun ada keburukannya. Selain sukar dihasilkan ia juga terlalu kompleks sekaligus memakan kos yang tinggi.