fbpx

Kereta manual ‘sedap’ dengan bajet RM10,000

kereta manual thumb

TAK sangka rupanya ada ramai juga di kalangan penonton Engear yang sukakan kereta manual, sama dengan penulis!

Kereta manual di sini bukanlah transmisi automatik dengan paddle-shifter atau kotak gear tiptronic, atau sebarang simbol “+” dan “-”, sebaliknya kotak gear manual sebenar dengan tiga pedal kaki.

Ya, kereta dengan kotak gear manual bukanlah paling laju kerana dalam zaman sekarang dimana ‘otak’ atau sistem komputer kenderaan mampu menjadikan kotak gear dwi-klac atau automatik biasa sekalipun menukar gear dengan cukup pantas dan efektif.

Dalam zaman ini, seseorang yang mahukan kotak gear manual hanyalah kerana dia mahukan keseronokan atau kepuasan memandu, merasa lebih kawalan.

Jadi, mari kita lihatkan beberapa kereta manual pilihan dengan bajet RM10,000. Oh ya, ada yang bukan kereta.

1. Nissan Terrano – RM10,000

Ya, yang pertama ini sebenarnya sebuah SUV pacuan empat-roda 4X4 iaitu Nissan Terrano. Ianya merupakan alternatif kepada Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper pada zaman 90-an.

Menurut Abang Syamsul kita, Terrano ini dengan RM10,000 agak mahal, macam biasa, jangan lupa ‘tenyeh’.

2. Proton Satria Neo – RM10,000

Seterusnya, kereta buatan Malaysia iaitu Proton Satria Neo, tahun 2009. Satria Neo yang dikeluarkan dari 2006 hingga 2010 menggunakan enjin Campro 1.6 dan terdapat juga versi 1.3, sebelum kehadiran Campro CPS pada 2011.

Satria Neo bukanlah kereta yang berkuasa, tetapi menawarkan satu platform yang cukup sempurna untuk anda melatih diri menjadi pemandu berkemahiran. Di samping itu, Neo mempunyai banyak potensi untuk naik taraf atau modifikasi.

Harga macam ok untuk umurnya, tetapi apa salahnya ‘nego’ sikit lagi.

3. Nissan AD-Resort – RM10,000

Ini merupakan model yang menjadi pilihan Abang Syamsul kita, Nissan AD Resort. Sebuah wagon mampu milik; ia boleh bawa banyak barang seperti van, boleh dinaiki lima orang dengan selesa, dan pengendalian seperti sebuah sedan.

Unit yang kami jumpa ini hadir dengan enjin SR18, dan AD Resort ini juga sesuai dijadikan kereta hobi. Rasanya kelab dan ahli AD Resort ini masih agak aktif di Malaysia.

4. Hyundai Accent – RM10,000

Seterusnya, kereta yang Abang Syamsul kurang berkenan, iaitu Hyundai Accent tahun 2007. Harga pun seperti agak mahal, mungkin disebabkan ada bulu-bulu di atas papan pemukanya.

Tetapi kereta ini memang nampak agak cantik dan terjaga. Apa pun, jika berminat, jangan lupa untuk tanya, nego, tenyeh, tekan, anda tahu apa nak buat…

5. Honda Civic Ferio – RM10,000

Akhir sekali, dalam senarai pendek kali ini, Honda menjadi pilihan kami iaitu Civic Ferio. Ia merupakan Civic generasi EG dengan badan gaya sedan.

Honda Civic EG merupakan satu model popular untuk kegunaan sukan permotoran seperti drag dan track day.

Kereta ini didaftar pada 1996, dengan enjin 1.6-liter manual. Dalaman nampak elok, tetapi luaran agak lusuh.

Jika berkenan, pastikan anda buat pemeriksaan menyeluruh, dan Honda Civic EG ini memang satu kereta yang sedap dipandu.

Apa macam senarai kami kali ini, ada yang sangkut?

Mana satu jadi pilihan anda?

Jika mahu lagi senarai-senarai sebegini nanti, jangan lupa komen untuk sebarang cadangan. Jika sesuai, kami akan usahakan. Terima kasih!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved