fbpx

Porsche 911 Carrera T untuk mereka yang tak mahu kuasa melampau, tapi pentingkan nikmat pemanduan

porsche 911 carrera t thumb

APA dia Porsche 911 Carrera T ini? Tak cukup lagi dengan berbagai varian 911? Baik, Carrera T ini diibaratkan seperti mengambil varian asas 911 dan kemudian menyumbatkan komponen prestasi padanya.

T bermaksud touring, dan Porsche memposisikan model ini di antara 911 Carrera standard dengan Carrera S yang lebih berkuasa. Bercakap mengenai kuasa, Carrera T dipacu oleh enjin 3.0-liter twin-turbo flat-six dengan 379hp dan 449Nm tork.

Kotak gear standard pada Carrera T ini ialah manual 7-kelajuan, yang mana tidak didapati pada 911 Carrera biasa. Tetapi untuk pilihan tanpa sebarang penambahan kos, anda juga boleh memilih automatik PDK dwi—klac 8-kelajuan untuk Carrera T ini.

Dengan manual 7-kelajuan, Carrera T mampu mencapai 100km/j dalam masa 4.3 saat, manakala pecutan ini disingkatkan kepada 3.8 saat dengan kotak gear PDK. Tetapi adakah ini penting bagi anda yang mahukan sensasi pemanduan manual?

Kelajuan maksima untuk kedua-dua jenis kotak gear adalah 291km/j. Model sporti ini juga mendapat LSD dan Porsche Torque Vectoring sebagai standard.

‘Jajan’ prestasi lain yang diberikan kepada Carrera T termasuklah Porsche Active Suspension Management (PASM) yang merendahkannya sebanyak 10mm. Sport Chrono Package dan sistem ekzos sport juga standard. Tetapi sistem stereng roda belakang adalah pilihan.

Sementara itu untuk mengurangkan berat kereta, Porsche telah memberikan kedapan bunyi yang kurang, cermin lebih nipis, dan bateri lebih kecil. Tempat duduk belakang juga tiada. Tetapi anda boleh menambahnya semula tanpa sebarang kos tambahan.

Secara keseluruhan, Porsche Carrera T ini 45.36kg lebih ringan dari Carrera biasa.

Dari segi astetik pula, 911 Carrera T mendapat kemasan Agate Gray pada perumah cermin sisi dan lencana. Ekzosnya berwarna hitam, dan rim Titanium Grey Carrera S berwarna gelap berukuran 20-inci di depan dan 21-inci di belakang.

Di dalam, jentera ini dilengkapi roda stereng GT Sport serta tempat duduk Sport Plus, dan kemasan kabin hitam berkilat disulami kelabu.

Anda juga boleh menambah Carrera T Interior Package yang memberikan pilihan warna Slate Grey atau Lizard Green untuk tali pinggang keledar, belang tempat duduk, jahitan, dan logo 911 pada perehat kepala.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved