Arkib Tag: hidrogen

MOSTI teroka potensi hidrogen dalam sektor mobiliti

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata kementeriannya sedang meneroka potensi penggunaan teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti.

Chang berkata, MOSTI akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi hidrogen, seterusnya mewujudkan kumpulan pengguna atau pengguna akhir (end user) di Malaysia.

MOSTI baru-baru ini telah mengadakan satu sesi demonstrasi dan pandu uji di ruang lobi Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sesi itu turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri MITI, Tengku Zafrul.

Sesi pandu uji Toyota Mirai itu diadakan bagi berkongsi mengenai potensi teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, selari dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya tahun 2050.

Ia juga sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Tambah Chang lagi, tahun ini MOSTI dijangka akan membina sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) melalui kerjasama dengan pihak swasta.

“Ini membuktikan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki oleh bakat tempatan dalam menerajui ekonomi hidrogen,” katanya dalam kenyataan.

Gentari, SEDC Energy jalin kerjasama bangunkan hab hidrogen di Bintulu

GENTARI Hydrogen Sdn Bhd baru-baru ini menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan SEDC Energy Sdn bhd (SEDCE) untuk pembangunan hub pengeluaran hidrogen berpusat yang dikenali sebagai ‘Sarawak H2 Hub’ di Bintulu.

Majlis pertukaran dokumen antara Gentari Hydrogen dan SEDCE pada Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

SEDCE ditugaskan untuk memulakan ekosistem tenaga baharu di Sarawak, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk menekankan penggunaan tenaga baharu dan lebih bersih.

Hab pengeluaran hidrogen berskala global yang dirancang di Bintulu itu bertujuan untuk menjadi pembekal tunggal hidrogen hijau untuk kemudahan hiliran di kawasan itu.

Ia akan diuruskan oleh sebuah syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan oleh Gentari dan SEDCE, yang juga bertanggungjawab untuk mengoptimumkan semua projek pengeluaran hidrogen di rantau ini.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab hidrogen yang bersih di ASEAN, diterajui oleh negeri seperti Sarawak dengan sumber mampan yang mencukupi,” kata Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert.

Beliau juga percaya hidrogen adalah jalan ke hadapan dan pihaknya komited untuk menyumbang ke arah Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sebagai tambahan kepada visi dan objektif kerajaan Malaysiad alam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin pula berkata perkongsian strategik antara SEDCE dan Gentari untuk Sarawak H2 Hub akan menjadi akan memacu lebih banyak pembangunan dan menarik pelaburan baharu
terutamanya dalam sektor tenaga baharu.

“Hidrogen akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan seperti yang diketengahkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, peranan Sarawak dalam memajukan pembangunan ini wajar diberi perhatian,” katanya.

Sarawak meletakkan dirinya sebagai pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 dengan visi peralihan negeri kepada ekonomi hidrogen.

Honda CR-V Hydrogen ini boleh bancuhkan kopi anda

HONDA telah bekerjasama dengan General Motors untuk sistem sel bahan api generasi baharu yang akan menjadi pakej FCEV untuk CR-V.

Dipaparkan dalam satu video baharu, ia menunjukkan CR-V itu akan menjadi pengganti tidak langsung kepada Honda Clarity yang telah ditamatkan pengeluarannya pada 2021.

Tetapi Honda akan melakukan sedikit perbezaan kali ini kerana CR-V baharu ini akan menggabungkan sel bahan api dengan pek bateri.

Video promo itu menunjukkan kebaikan pengecasan dua hala dimana pemiliknya mengecas mesin kopinya di kawasan terpencil menggunakan bateri kereta. Kemudian, video menunjukkan beliau pergi ke stesen hidrogen untuk mengisi bahan api itu di tangki H2 belakang.

Sebenarnya sistem pengecasan dua hala ini bukanlah baharu. Banyak kenderaan elektrik (EV) dengan fungsi ini seperti Hyundai Ioniq 5, Kia EV6, Nissan Leaf, Ford F-150 Lightning, dan Chery Omoda E5.

Kemudian, menambah pek bateri pastinya membantu praktikaliti Honda CR-V Hydrogen ini memandangkan stesen pengisian hidrogen masih terlalu sedikit.

Honda tidak berkongsi banyak maklumat lanjut tetapi yang jelas, CR-V Hydrogen ini akan dikeluarkan di kilang Performance Manufacturing Centre (PMC) di Ohio. Ianya kilang yang sama pernah mengeluarkan Honda NSX hibrid.

Prototaip dalam video ini dikenakan balutan biru pada badannya, dan jelas versi Amerika Syarikat (AS) memandangkan ia mempunyai lampu side marker di sisi bampar.

Berbanding dengan CR-V biasa, model ini mempunyai lampu belakang jernih dan port pengecasan di bahagian fender depan.

Shell tutup kesemua tujuh stesen pengisian hidrogen di California

Kenderaan berkuasa hidrogen, terutama kereta sel bahan api hidrogen (FCEV) masih lagi membentuk peratusan komuniti yang agak kecil dalam industri automotif global.

Disebabkan penggunaan yang tidak begitu meluas, tidak banyak tempat di dalam dunia yang menawarkan infrastruktur pengisian hidrogen.

Shell merupakan antara pemain industri utama yang mengoperasikan stesen pengisian hidrogen.

Namun, disebabkan faktor tertentu, syarikat itu membuat keputusan untuk menutup kesemua tujuh stesen pengisian hidrogen di California, Amerika Syarikat.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Shell Hydrogen, Andrew Beard seperti yang dilaporkan oleh Hydrogen Insight, penutupan kekal kesemua stesen tersebut adalah disebabkan oleh komplikasi bekalan hidrogen serta beberapa faktor luaran yang lain.

Selain daripada waktu operasi majoriti stesen pengisian yang telah dikurangkan atau offline, Hydrogen Insight turut melaporkan terdapat masalah gangguan bekalan hidrogen yang kerap menghantui pengguna sejak Ogos lepas.

Iwatani, salah satu syarikat gas Jepun yang mengoperasikan stesen pengisian hidrogen di Amerika dilapor telah menyaman syarikat pembekal teknologi teras stesen hidrogen kerana masalah kebolehpercayaan yang serius.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan masa depan kenderaan sel bahan api hidrogen di Amerika Syarikat berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Sudahlah teknologi tersebut masih lagi terhad, pengguna juga terpaksa berdepan dengan kos bahan api hidrogen yang sangat mahal selepas tamat tempoh subsidi yang diberikan oleh pengeluar.

“Mari terus hasilkan enjin” – Pengerusi Toyota

PENGELUAR kereta terbesar dunia, Toyota, tidak mahu menyerah kalah dalam enjin pembakaran dalaman. Mereka ingin meneruskan komitmen itu dan ianya hasil dari hala tuju oleh pengerusinya yang juga ‘kaki kereta’, Akio Toyoda.

Beliau mahu melindungi jutaan pekerjaan di Jepun dan pada masa yang sama menawarkan pilihan kepada pembeli-pembeli kereta masa depan.

“Kepada mereka yang telah membuat enjin dari dulu hingga sekarang, mari terus hasilkan enjin,” kata Toyoda semasa acara Tokyo Auto Salon 2024 (TAS2024).

“Disebabkan kita pencinta kereta kitab oleh membentuk masa depan. Keinginan saya untuk menikmati kereta membuatkan saya mahu mencuba pelbagai teknologi. Ini satu perkara yang saya serius,” katanya.

Tambahnya, seramai lebih 5.5 juta pekerja terlibat dalam pembuatan enjin di Jepun. “Kita jangan kehilangan mereka ini,” kata Toyoda.

Beliau menggariskan pelan pelbagai hala Toyota dalam mobiliti masa depan.

“Bagaimana cara mencapai neutraliti karbon bergantung kepada negara dan rantau. Walaubagaimanapun, bukankah keinginan kereta yang kita perlukan?”

“Saya mendapati bahawa, di luar negara, kami mempunyai ramai rakan sekerja yang mempunyai minat dan keinginan sama.”

Menurutnya, kenderaan BEV (elektrik bateri) bukanlah satu-satunya cara mencapai neutraliti karbon, Toyota juga sedang menjalankan pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas.

“Tahun lepas, kami mencuba hidrogen cecair dan memandunya di Le Mans. Masih terdapat tugas untuk enjin dalam mencapai neutraliti karbon. Jadi, mari perhalusi teknologi enjin. Mari mulakan projek itu.”

Kawasaki dedah prototaip motosikal hidrogen di Jepun

Kawasaki dengan bangganya mendedahkan prototaip motosikal berkuasa hidrogen pertamanya ketika di persidangan Group Vision 2023, 12 Disember lalu. 

Mengguna pakai Ninja H2 SX sebagai asas utama, prototaip tersebut ternyata hadir dengan reka bentuk yang besar. Menariknya, panniers kiri dan kanan yang sebelum ini berfungsi sebagai tempat letak barang telah bertukar menjadi ruang simpanan hidrogen. 

Prototaip diberi nama Kawasaki H2 HYSE (Hydrogen Small Mobility & Engine) ini masih berada di peringkat awal ujian dan kami jangka beberapa perubahan akan dilaksanakan sekiranya akan dibawa ke peringkat pengeluaran kelak. 

Apa pun, berdasarkan video yang Kawasaki kongsikan, jelas menampakkan H2 HYSE ini sememangnya boleh ditunggang walaupun masih berada di peringkat awal. 

Kawasaki juga tidak mendedahkan spepsifikasi model tersebut termasuk penggunaan bahan api dan jarak yang boleh dicapai. Untuk rekod, projek HYSE ini dibangunkan bersama Honda, Yamaha dan Suzuki. 

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.

Rowan Atkinson pandu Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen di Goodwood

PELAKON British, Rowan Atkinson baru-baru ini telah membuat kemunculan mengejut di acara Goodwood Festival of Speed dengan memandu Toyota GR Yaris. Tetapi beliau memandu GR Yaris berkuasa hidrogen, sebagai salah satu inisiatifnya dalam menyokong emisi sifar.

Toyota sebelum ini memperlihatkan GR Yaris ini dalam pemanduan demonstrasi semasa acara World Rally Championship untuk mengenengahkan enjin turbo 1.6-liter 3-silinder yang telah ditukar kepada hidrogen melalui sistem suntikan khas.

Dalam satu video yang dimuatnaik ke Instagram, Rowan Atkinson mengulas akan keyakinannya terhadap kenderaan hidrogen.

Menurut pelakon dengan kelulusan ijazah kejuruteraan itu, kedua-dua kenderaan (enjin pembakaran dalaman dan hidrogen) boleh menjadi alternatif terhadap kenderaan elektrik (EV).

“Kerana itulah saya berada di sini hari ini, untuk menyokong matlamat membuka mind akita tentang bagaimana kita memacu kenderaan di masa depan,” katanya dalam acara yang disiarkan secara langsung itu.

“Saya rasa khasnya untuk sukan permotoran, kereta lumba elektrik adalah sedikit susah memandangkan ia berbunyi seperti mesin basuh dalam mod ‘spin’.

“Ianya sukar tetapi ramai yang sedang cuba mengekalkan emosi (bunyi enjin) yang mana hanya kereta enjin pembakaran dalaman boleh berikan.

Tambahnya, “Mungkin kita akan membiasakan diri dengan kereta lumba elektrik dan menyukainya, tetapi buat masa ini, ada sekumpulan pembeli yang tidak begitu mahukannya.”

Atkinson – bintang dalam Mr Bean dan Johnny English – dikenali sebagai seorang peminat kereta. Beliau sebelum ini pernah memiliki McLaren F1, Lancia Delta Integrale HF, dan Honda NSX. Antara koleksinya pada masa ini termasuklah Toyota GR Yaris standard berkuasa petrol.

Yamaha, Honda, Kawasaki dan Suzuki bergabung bangunkan enjin hidrogen

EMPAT pengeluar motosikal terbesar Jepun iaitu Yamaha, Honda, Kawasaki dan Suzuki mengumumkan bahawa mereka akan membentuk persatuan penyelidikan teknologi bagi membangunkan enjn hidrogen mobiliti kecil.

Dikenali sebagai HySE (Hydrogen Small mobility & Engine), persatuan itu akan memfokuskan kepada tiga bidang utama seperti berikut:

  • Pembangunan enjin berkuasa hidrogen
  • Kajian sistem pengisian bahan api hidrogen
  • Kajian sistem bekalan bahan api
Sumber gambar: Kyodo News

Menurut perancangan yang telah dibentangkan oleh HySE, Honda akan mengetuai usaha untuk menyelidik pembangunan enjin hidrogen berasaskan, manakala Suzuki akan menjalankan kajian ke atas fungsi, prestasi dan ketahanannya.

Sementara itu, Yamaha dan Kawasaki pula akan menjalankan penyelidikan secara langsung menggunakan enjin hidrogen untuk menilai fungsi, prestasi dan ketahanan enjin tersebut.

Selain itu, Yamaha juga dipertanggungjawabkan untuk mengkaji keperluan untuk sistem pengisian bahan api hidrogen dan tangki hidrogen untuk mobiliti kecil.

Kawasaki juga diberi peranan untuk mengkaji kelengkapan tambahan yang diperlukan untuk sistem bekalan bahan api dan tangki, serta apa yang perlu dipasang di antara tangki dan penyuntik.

Selain empat syarikat ini, dua lagi syarikat iaitu Kawasaki Heavy Industries (KHI) dan Toyota Motor Corporation (TMC) turut akan menyertai sebagai ‘ahli khas’.

Kehadiran KHI dan TMC dilihat penting dalam usaha ini memandangkan kedua-duanya berpengalaman dalam bidang penyelidikan hidrogen dalam bidang masing-masing.

ART Sarawak berkuasa hidrogen yang pertama mula ujian di China

PROJEK Kuching Urban Transportation System (KUTS) kini mendapat satu lagi pencapaian baharu dengan pemasangan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) di Zhuzhou, China.

Menurut satu kenyataan media, kenderaan ART itu kini melalui latihan Proof-of-Concept (POC) peringkat pertama hingga pertengahan bulan ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin juga hadir ke upacara itu untuk memeriksa prototaip yang baru siap dibina di fasiliti CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd, pada Isnin.

Beliau juga meluangkan masa kira-kira empat jam di kenderaan hidrogen itu bersama delegasinya dari Kementerian Pengangkutan Sarawak, Koperasi Pembangunan Ekonomi Sarawak, dan Sarawak Metro Sdn Bhd.

“Ini dalah satu projek baharu dan penting bagi kami dan CRRC kerana ia akan menjadi peluang untuk mempersembahkan kejayaan teknologi ini di luar China,” kata Lee.

“Saya percaya kitab oleh bersandard pada kejayaan projek KUTS untuk menunjukkan kepada negara-negara lain berkenaan manfaat mengadaptasi teknologi ini ke bandar mereka,” tambahnya.

Selepas latihan POC di China, peringkat kedua latihan bagi kenderaan ART ini akan melibatkan ujian di Kuching pada suku ketiga tahun ini.

Prototaip itu mempunyai ukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar, dan 3.7 meter tinggi. Ia mampu mencapai kelajuan 70km/j dengan kapasiti 241 penumpang.

Lima unit Toyota Mirai diserah kepada SEDC Sarawak, sedan RWD berkuasa hidrogen

UMW Toyota Motor telah menyerahkan empat unit Toyota Mirai kepada SEDC Energy. Serentak dengan itu juga, satu unit kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Ini menandakan satu langkah dalam insiatif Mobility For All dan Happiness For All oleh Toyota, ke arah sifar karbon menjelang 2050 berserta Green Mobility dan Green Energy Initiatives oleh kerajaan Sarawak.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020. Sedan pacuan roda-belakang (RWD) itu dibina pada pelantar TNGA (Toyota New Global Architecture) dengan konfigurasi longitudinal (GA-L).

Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.

“Untuk menyambung kemaraan kenderaan elektrik, Toyota telah melabur dalam R&D bagi mengkomersialkan kenderaan sel bahan api hidrogen. Dengan penyerahan Mirai kepada SDEC Energy, kedua-dua pihak dijangka mendapat peluang mengkaji potensi teknologi ke arah membangunkan ekonomi karbon rendah,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Tahun lepas, Petroleum Sarawak (Petros) melancarkan stesen pelbagai bahan api yang pertamanya pada April.

Ia menawarkan stesen pengisian hidrogen selain dari bahan api biasa seperti petrol dan diesel selain pengecaj EV dengan kapasiti 22kW dan 60kW.

UKM perkenal kenderaan hidrogen, boleh dipandu hingga 60km/j

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan dua kenderaan hidrogen yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Sel Fuel UKM dengan kerjasama pihak industri.

Kedua-dua kenderaan ini merupakan kenderaan elektrik pada asalnya sebelum diubahsuai menggunakan teknologi hidrogen.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata dua kenderaan tersebut iaitu kereta golf buggy dibangunkan dengan kerjasama pihak PETRONAS, manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid versi mini pula adalah dengan kerjasama dengan syarikat Myrenergy Sdn. Bhd.

“Buggy mempunyai keunikan tersendiri kerana sumber kuasa elektrik menggunakan bateri telah digantikan dengan sistem sel bahan api untuk meningkatkan kecekapan pengoperasiannya.

“Ia juga boleh berfungsi sebagai penjana kuasa pegun berkuasa 3,000W bagi penggunaan peralatan elektrik,” katanya.

Kenderaan SUV pula adalah kenderaan hibrid sel bahan api dan bateri dengan nisbah 0.5 yang mana setiap sumber kuasa mampu mencapai kapasiti sehingga 10kW, membolehkan kenderaan bergerak lebih jauh dari jarak perjalanan asal.

“Sistem sel bahan api ini dilengkapi dengan unit sokongan seperti pelembap dan pendingin air bagi memastikan prestasi sistem sentiasa berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Selari dengan kemampuan membangunkan kenderaan sel bahan api hidrogen, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata Institut Sel Fuel UKM juga telah diiktiraf sebagai Ketua Program Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) dalam kategori Pengangkutan dan Mobiliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelancaran kenderaan sel fuel hidrogen ini merupakan tanda sokongan dan komitmen UKM terhadap Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 Malaysia untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau sehingga 45 peratus menjelang 2030 dan menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050,” tambahnya lagi.

Toyota bekerjasama dengan Yamaha hasilkan enjin V8 hidrogen, 444hp

TOYOTA telah bekerjasama dengan Yamaha bagi menghasilkan enjin pembakaran dalaman yang dikuasakan oleh gas hidrogen termampat.

Yamaha telah memilih asas enjin petrol 2UR-GSE yang diguna pakai oleh model produksi Lexus RC F 5.0-liter V8 bagi projek ini. Dengan menggunakan blok enjin yang sama, modifikasi dilakukan di bahagian penyuntik bahan api, kepala silinder dan manifold kemasukan.

Kombinasi enjin yang dilengkapi dengan sistem ekzos lapan-kepada-satu, menghasilkan kuasa 444hp, kurang 13hp dari enjin asal. Namun tork yang dihasilkan pula adalah 540Nm, lebih 20Nm berbanding versi petrol.

Apa yang menarik, Lexus RC F versi enjin petrol boleh diubah suai kepada versi hidrogen dengan perubahan minima. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan cagak enjin yang sama seperti versi petrol, hanya sedikit modifikasi diperlukan dari segi tempat simpanan bahan api hidrogen menggantikan tangki petrol yang sedia ada.

Menurut Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha, enjin baharu ini akan membuat pengguna berasa seronok untuk menggunakannya.

“Enjin hidrogen lebih mesra digunakan. Rata-rata yang sebelum ini berasa skeptikal, bertukar seronok setelah memandu uji kereta prototaip,” jelas Yamada. 

Projek ini merupakan sebahagian dari kolabrasi antara Kawasaki, Subaru, Toyota dan Mazda yang diumumkan pada November lalu untuk tujuan penyelidikan serta penggunaan sumber alternatif bagi enjin pembakaran dalaman secara karbon neutral.

Toyota GR Yaris H2 – Hot hatch prestasi tinggi dengan kuasa hidrogen!

TOYOTA merupakan antara peneraju kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) hidrogen menerusi model Mirai yang dijual di pasaran-pasaran utama dunia seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Namun, syarikat itu percaya bahawa selain itu motor elektrik, hidrogen juga mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan bakar utama dalam enjin pembakaran dalaman.

Bagi membuktikannya, Toyota baru-baru ini memperkenalkan sebuah GR Yaris konsep yang dikuasakan oleh enjin pembakaran hidrogen.

Dikenali secara rasmi sebagai GR Yaris H2, hot hatch itu mempunyai enjin G16E-GTS 1.6-liter turbo tiga silinder yang sama dengan GR Yaris standard, namun dengan sistem bekalan bahan api dan suntikan yang telah diubahsuai supaya sesuai dengan hidrogen.

Walapun GR Yaris H2 dan Mirai kedua-duanya menggunakan hidrogen, Mirai bergantung pada tindak balas kimia antara hidrogen dengan oksigen untuk menjana tenaga bagi memacu motor elektriknya, manakala GR Yaris H2 ini, seperti yang diperkatakan, dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman dengan hidrogen sebagai bahan apinya.

Toyota mendakwa bahawa hidrogen terbakar pada kadar yang lebih cepat jika dibandingkan dengan petrol.

Ini secara tidak langsung menjadikan enjin itu lebih responsif dan lebih mesra alam. Pada masa yang sama, ia juga mengekalkan bunyi bagi terus menjadikan pemanduan lebih mengujakan – sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Mirai.

Tambah syarikat itu lagi, enjin tersebut tidak 100 peratus bebas emisi kerana ia masih melepaskan sedikit gas CO2 dan NOX yang terhasil semasa operasi, namun tahap pencemaran yang dihasilkan berkali ganda lebih rendah jika dibandingkan berbanding enjin petrol.

Perincian teknikal mengenai enjin tersebut seperti kuasa dan tork, serta angka prestasinya tidak didedahkan, namun memandangkan ia pernah digunakan pada sebuah kereta lumba, ia pastinya cukup berkuasa.

Ya, enjin hidrogen yang sama sebenarnya pernah digunakan pada sebuah Corolla Sport yang telah bertanding dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun sejak Mei lalu. Apa yang menarik, ia pernah dikemudi sendiri oleh Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda.

Walaupun potensinya sudah terbukti di arena sukan permotoran, Toyota berkata bahawa teknologi enjin pembakaran hidrogen ini masih lagi dalam fasa pembangunan konsep dan eksperimentasi dan masih belum sedia untuk dikomersilkan.

Cawangan Petros di Sarawak ini akan jadi stesen pelbagai bahan bakar pertama di Malaysia

MALAYSIA akan mempunyai stesen pelbagai bahan bakar (multifuel) pertamanya tidak lama lagi, iaitu sebuah cawangan Petros di Darul Hana, Kuching, Sarawak.

Stesen itu akan menempatkan bahan bakar konvensional iaitu petrol, mogas dan diesel, serta tempat pengecasan kenderaan elektrik dan tempat pengisian bahan bakar hidrogen.

Stesen Petros ini akan dibina oleh SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC Energy) yang merupakan sebahagian dari Sarawak Economic Development Corporation (SEDC). Ia diharapkan dapat menjana ke arah alam sekitar lebih bersih serta merancakkan ekonomi hidrogen di Sarawak.

Menurut laporan dari tahun lepas, SEDC Energy dijangka membina enam stesen “3 dalam 1” ini di Sarawak; dua di Kuching, dan satu stesen masing-masing di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Stesen ini juga boleh diubah menjadi tempat pengecas elektrik dan pengisian hidrogen sepenuhnya apabila penggunaan kenderaan EV bateri dan bahan bakar sel meningkat pada masa depan.

Seperti stesen minyak biasa, stesen Petros ini juga akan menyediakan ruang komersial untuk produk tempatan dan global.

Kredit gambar: Jonathan Ding

Chevron, Toyota umum kerjasama teknologi hidrogen

USAHA menjaga alam sekitar terus dipertingkat membabitkan industri automotif.

Kerjasama antara Chevron dan Toyota misalnya menjadi usaha terbaharu ke arah memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Memetik laporan media antarabangsa, kedua syarikat ini menjalin kerjasama strategik dalam penghasilan bahan api mesra alam.

Tiga komponen utama diberi fokus mendalam termasuk dasar awam mempromosi infrastruktur hidrogen dan menilai pasaran kenderaan elektrik.

Selain itu, satu kajian membabitkan komsumsi kuasa baharu turut dijalankan.

Pada Pameran Kenderaan Shanghai lalu, Toyota telah mengumumkan perancangan penghasilan kereta berkuasa elektrik dan bakal berada di pasaran hujung tahun ini.

Antara jenis jentera elektrik yang bakal dikeluarkan termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV).