fbpx

Shell tutup kesemua tujuh stesen pengisian hidrogen di California

SHELL HYDROGEN

Kenderaan berkuasa hidrogen, terutama kereta sel bahan api hidrogen (FCEV) masih lagi membentuk peratusan komuniti yang agak kecil dalam industri automotif global.

Disebabkan penggunaan yang tidak begitu meluas, tidak banyak tempat di dalam dunia yang menawarkan infrastruktur pengisian hidrogen.

Shell merupakan antara pemain industri utama yang mengoperasikan stesen pengisian hidrogen.

Namun, disebabkan faktor tertentu, syarikat itu membuat keputusan untuk menutup kesemua tujuh stesen pengisian hidrogen di California, Amerika Syarikat.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Shell Hydrogen, Andrew Beard seperti yang dilaporkan oleh Hydrogen Insight, penutupan kekal kesemua stesen tersebut adalah disebabkan oleh komplikasi bekalan hidrogen serta beberapa faktor luaran yang lain.

Selain daripada waktu operasi majoriti stesen pengisian yang telah dikurangkan atau offline, Hydrogen Insight turut melaporkan terdapat masalah gangguan bekalan hidrogen yang kerap menghantui pengguna sejak Ogos lepas.

Iwatani, salah satu syarikat gas Jepun yang mengoperasikan stesen pengisian hidrogen di Amerika dilapor telah menyaman syarikat pembekal teknologi teras stesen hidrogen kerana masalah kebolehpercayaan yang serius.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan masa depan kenderaan sel bahan api hidrogen di Amerika Syarikat berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Sudahlah teknologi tersebut masih lagi terhad, pengguna juga terpaksa berdepan dengan kos bahan api hidrogen yang sangat mahal selepas tamat tempoh subsidi yang diberikan oleh pengeluar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved