BMW Malaysia telah mengumumkan harga baharu untuk X5 xDrive45e M Sport, iaitu RM457,498. Harga ini adalah sekitar RM6,000 lebih tinggi berbanding sebelumnya, tetapi SUV plug-in hybrid (PHEV) ini juga menerima peningkatan dari segi spesifikasinya.
Perlu diketahui juga bahawa harga ini termasuk dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan ditambah semula menjelang Julai depan, serta jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
Baik, untuk peningkatan pada X5 xDrive45e, ia kini mendapat lampu depan LED Laserlight. Terdapat juga penambahan fungsi bad weather (cuaca buruk) menggantikan lampu kabus yang kini tidak ditawarkan pada SUV ini.
Rimnya kini lebih besar, iaitu 21-inci dengan rekaan Y-spoke Style 741M berwarna Orbit Grey.
Untuk keselamatan, X5 xDrive45e M Sport mendapat beg udara belakang sisi, menjadikan lapan beg udara kesemuanya. Terdapat juga Active Protection yang akan menutup tingkap dan bumbung suria serta mengetatkan tali pinggang keselamatan sekiranya ia mengesan akan berlaku perlanggaran.
Ciri lain dikekalkan, seperti instrumen Live Cockpit Professional dengan skrin 12.3-inci, Driving Assistant, Parking Assistant Plus, Rear Seat Entertainment, serta balutan kulit Vernasca.
Teknologi lain pula termasuklah BMW Display Key, kamera 360-darjah, sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, dan pintu but berkuasa.
Aspek mekanikal juga tidak berubah, bermakna X5 xDrive45e masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris B58 yang menjana 286hp dan 450Nm tork. Enjin ini dibantu dengan motor elektrik berkuasa 113hp dan 265Nm, menjadikan jumlah output SUV ini 394hp dan 600Nm.
Kotak gear ialah automatik 8-kelajuan dari ZF. Ini membolehkan BMW X5 ini mencapai 100km/j dalam 5.6 saat, dan kelajuan maksima pada 235km/j. Memandangkan ia sebuah PHEV, SUV ini mampu mencapai kecekapan bahan api serendah 2.5liter per 100km (40km per liter).
PERODUA hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk Alza 2022 serba baharu yang akan menggantikan model sebelumnya yang telah berada dalam pasaran sejak 2009.
Alza baharu dengan namakod D27A ini hadir dengan penambahbaikan ketara dari segi spesifikasi dan teknologi.
Menurut risalah rasmi yang dikongsi Perodua, Alza 2022 ini ditawarkan dengan pilihan tiga varian, iaitu X, H dan AV manakala harga tentatif adalah antara RM62,000 hingga RM75,000. Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan cukai jalan.
Tentatif harga ini juga nampaknya serupa dengan imej yang tular awal pagi ini iaitu RM62,000 untuk X, RM68,000 untuk H, dan RM75,000 untuk AV.
Alza 2022 akan menawarkan ruang lebih besar berbanding model terhadulu, terutamanya di barisan ketiga, serta dilengkapi dengan pendingin hawa di barisan ketiga.
Untuk ruang kargo, Alza 2022 mempunyai kapasiti sebanyak 137 liter. Tetapi dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat, ruang ini ditambah menjadi 498 liter.
Seperti dijangka sebelum ini, Perodua Alza D27A 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Dual VVTi dan kotak gear D-CVT sama seperti Myvi 2021.
Padanan powertrain ini mampu memberikan penjimatan sehingga 22km/liter untuk Alza, lantas memberikan MPV ini penarafan EEV.
Ciri-ciri terkini bagi model Perodua termasuk Panoramic View 360⁰, Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, brek cakera belakang, dan mod pemanduan (Normal, Eco, Power).
Ciri keselamatan lain adalah standard untuk semua varian seperti 6 beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.
Ciri Advanced Safety Assist (ASA) juga standard, yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.
Semua varian juga mempunyai sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist.
Perodua Alza 2022 didatangkan dalam 5 warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.
“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik ground clearance (kelegaan tanah) Perodua Alza baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” tambahnya.
“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” kata Dato’ Zainal.
Berminat? Anda boleh mula membuat tempahan dengan mengunjungi mana-mana 188 bilik pameran Perodua seluruh negara atau layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut.
DENGAN negara memasuki fasa endemik, acara-acara mula giat dijalankan selepas SOP dilonggarkan, termasuklah acara sukan permotoran. Baru-baru ini, berlangsungnya VTK Drag Battle di Terengganu Drag Strip, Kuala Terengganu.
Ia diadakan pada 21 dan 22 Mei lepas, dianjurkan dengan Kerjasama Gabungan Ipoh Motorsport (GIM).
Sebanyak 12 kategori untuk motosikal dipertandingkan, dan tujuh kategori bagi kereta. Setiap kategori menawarkan empat pemenang dengan hadiah berupa piala dan wang tunai termasuk sijil penyertaan.
Menurut penganjur, bilangan peserta kali ini mencatatkan sedikit penurunan. Walaubagaimanapun, acara berjalan lancar.
Penganjur juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat sepanjang dua hari acara berlangsung.
ASET terbaharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter penyerang MD 530G pamer keupayaannya semasa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.
Helikopter yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) melakukan penembakan dengan menggunakan gatling gun M134D dan pod mesin gan berat FN Herstal 12.7mm.
Aksi yang dipamerkan oleh MD 530G itu sebahagian daripada demonstrasi keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa LKT 2022.
Penyerahannya dilaksanakan selepas kesemua enam unit MD 530G selesai menamatkan Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test).
Latihan tahunan LKT 2022 disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-panglima perkhidmatan.
Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, “Pengujian helikopter MD 530G sekaligus memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM untuk menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi keupayaan aset pada masa akan datang.”
Menyentuh MD 530G, Hishammuddin menjelaskan isu perolehan helikopter tersebut telah selesai.
“Hari ini kita semua dapat saksikan helikopter MD530G telah pun dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini
“Isu mengenai helikopter ini telah dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user (Tentera Darat) yang sangat memerlukannya iaitu PUTD,” katanya dalam kenyataan.
Pengedar tunggal Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Foton dan Foton Auman di Malaysia, Angka-Tan Motor Sdn Bhd, memperkenalkan Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 serba baharu ke pasaran Malaysia. Angka-Tan Motor Sdn Bhd ialah subsidiari kepada Warisan TC Holdings dan ahli Tan Chong Group.
Trak Light Duty itu ditawarkan dalam dua versi – VDJD4 dan VDJD6, dengan jarak roda 2,800mm dan 3,360mm untuk setiap varian.
Aumark S City Flyer hadir selepas setahun setengah pelancaran rasmi Aumark S Super Truck 6-Roda pada Disember 2020.
Trak ini dibina berasaskan platform SUPER Foton. Ia mewakili lima elemen utama sebagai asas pembinaan dan rekabentuk trak Foton – keselamatan, utiliti, kuasa, kecekapan, dan reliabiliti.
Aumark S City Flyer dikuasakan enjin 2.8-liter turbo Euro3 generasi baharu, mampu menghasilkan 129hp pada 3,200rpm dan 310Nm tork antara 1,600 hingga 2,700rpm.
Enjin Cummins ISF ini digandingkan dengan transmisi manual 5-kelajuan ZF yang menampilkan binaan aluminium serta rekabentuk turbin untuk mengurangkan bunyi bising.
Kabin City Flyer ini direka semula dan ditambah baik supaya pemandu dan rakan pemandu lebih selesa, serta mengurangkan keletihan ketika memandu lama.
Antaranya, kerusi dipertingkat dengan hayat busa lebih tahan lama dan fabrik jenis kalis haus. Ia juga didatangkan dengan platform pemegang cawan dan kabinet fail atas.
Dari segi keselamatan, Aumark S City Flyer dibina dengan rekabentuk casis dikemas kini dan patuh standard keselamatan Eropah serta diuji mengikut regulasi keselamatan ketat Suruhanjaya Ekonomi Eropah (ECE) R29.
Ia dilengkapi dengan ABS, EBD, dan Brake Assist untuk prestasi membrek optimum dalam semua keadaan.
Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065VDJD4 dijual pada harga cadangan RM93,900, manakala BJ1065VDJD6 dijual pada harga RM95,900 untuk Semenanjung Malaysia.
Bagi Malaysia Timur, harga BJ1065VDJD4 ialah RM100,900, manakala BJ1065VDJD6 berharga RM102,900.
Setiap City Flyer dilindungi waranti lima tahun atau 200,000km, mana satu tiba dahulu. Bagi maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran Foton atau hubungi 03-56386888.
HONDA Malaysia mengumumkan panggil semula (recall) beberapa produk merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V atas tujuan keselamatan. Sejumlah 1,527 kenderaan terlibat, dengan perincian seperti berikut:
Situasi A
City (2021) dan City Hatchback (2022) – 1,068 unit
Situasi B
HR-V (2020) – 343 unit
BR-V (2021) – 116 unit
Untuk Situasi A, recall melibatkan pemeriksaan nat pada Alternating Current Generator (ACG) pada wayar enjin. Ini mungkin menyebabkan sentuhan kurang baik pada terminal dan bateri yang boleh menjurus kepada enjin tersengguk atau mati semasa memandu, atau enjin tidak boleh dihidupkan selepas berhenti.
Untuk Situasi B pula, pemeriksaan diperlukan untuk memeriksa bolt earth grounding yang boleh menyebabkan kelonggaran wayar enjin. Ini juga boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa semasa memandu atau sukar untuk dihidupkan selepas berhenti.
Honda Malaysia memohon maaf di atas kesulitan dan menegaskan bahawa model yang sedang dijual tidak terlibat dalam recall ini.
Setakat ini juga, tiada kes atau insiden dilaporkan dari isu ini di Malaysia.
Semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui surat. Honda Malaysia memohon mereka yang terlibat untuk membuat temujanji di mana-mana pusat servis sah untuk memeriksa kenderaan mereka dan membaiki jika perlu.
Seperti biasa, semua pemeriksaan, baik pulih dan penggantian komponen untuk recall ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia sepenuhnya.
TARIKH akhir bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi tempahan kenderaan baharu kekal 30 Jun ini, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Beliau bagaimanapun berkata tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
“Ini bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan,” kata Zafrul.
Katanya, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.
Katanya, sehingga kini sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian itu masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli ekoran gangguan kepada rantai bekalan global membabitkan industri automotif.
Bagaimanapun katanya, sejak pengecualian itu diperkenalkan, sebanyak 868,422 unit kenderaan terjual dan rakyat mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.
Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020.
Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.
Sejak ia diumumkan, kerajaan juga beberapa kali mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit dimana terbaharu sehingga 30 Jun ini.
ART of Speed (AOS), acara yang terkenal dengan ‘Kustom dan Counter Culture’ kembali dengan acara tahunannya yang kesepuluh tahun ini, selepas dua tahun menyepi disebabkan pandemik Covid19.
Acara ini bakal kembali dengan motosikal kustom, kenderaan radikal, pameran restorasi seni dan budaya kustom. Tetapi ia bukan sahaja untuk peminat kereta dan motosikal, tetapi pelbagai aktiviti bakal diadakan untuk semua orang dan seisi keluarga.
Untuk edisi kali ini, ia akan diadakan pada 2 dan 3 Julai 2022 (Sabtu dan Ahad) di lokasi biasa, Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS).
Kembali untuk AOS 2022 adalah tetamu dari luar negara dari komuniti kustom dan juga media antarabangsa, antaranya:
Emi Suganuma, “Sunny” Yano dan Michi “NATQQ” dari MOONEYES (Jepun)
Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show (Amerika Syarikat)
Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday (Amerika Syarikat)
Yaniv Evans dari Powerplant Motorcycles (Amerika Syarikat)
Artis Chopper dan Kustom; Russell Murchie “MOW” (Australia)
Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com (Jepun)
Yasuo Sekijima dan Satoru Ise dari Vibes Magazine (Jepun)
Artis pinstripe Mil dari Millart, Irvine Jasta dan Fahmi Freeflow (Indonesia)
Aekalak Kitdusitpong pembuat model skala diecast dari AKARA (Thailand)
Agenda utama untuk AOS 2022 antaranya adalah:
1. Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 yang akan menyaksikan tujuh pembina khas bersaing untuk merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) dan wang tunai RM5,000.00 (pilihan awam).
2. Jelajah Hot Wheels Legends dimana peserta tahun ini terdiri daripada pembina khas dan pengubahsuai kereta dari rantau Asia Pasifik dan Malaysia – pemenang pastinya bakal teruja apabila mengetahui kereta sebenar mereka akan ditransformasi menjadi salah satu model unik untuk kereta diecast Hot Wheels.
3. Dengan kerjasama NoEqual.co adalah NEAT Fest yang kembali di Dewan C, menampilkan paparan kolektif kenderaan yang terpilih dari seluruh Malaysia dengan nama Garage Life.
4. Hail Vintage kembali untuk AOS 2022 dan akan dihoskan di Dewan C. Bakal menampilkan pameran pakaian kerja vintaj dan 32 vendor terpilih – peningkatan dua kali ganda daripada tahun 2019.
5. The Grid – konsep baharu dalam ‘outdoor lifestyle’ yang akan diadakan di dalam dewan dengan keselesaan berhawa dingin dan banyak aktiviti telah dirancang untuk dinikmati semua pengunjung yang akan membawa seisi keluarga.
6. Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co diwawancara oleh Qhalis Najmi akan berlangsung di dalam Dewan A pada pukul 3:30 petang pada hari Sabtu bersama-sama panel dari luar negara seperti Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show dan Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday. Forum ini akan membincangkan topik-topik terkini di dalam industri permotoran.
Lain-lain aktiviti di AOS 2022 termasuklah Roda Rumble 2022, La Cultura, tapak jualan makanan, pasar lambak vintaj, perhimpunan Pemilik Kereta Alfa Romeo, Hot Wheels Club Malaysia (HWCM) Convention, bazar fesyen moden Streetware Con, demo Mini Crawlers RC, perasmian produk di atas pentas, dan zon tunggang uji motorsikal (Ducati, Royal Enfield, Vespa, Aprilia dan Harley-Davidson).
Turut kembali untuk AOS 2022 adalah Festival Sound Circus yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat hiburan tanah air.
Barisan artis Festival Sound Circus* akan menampilkan Hujan sebagai persembahan utama dengan band-band lain seperti Sekumpulan Orang Gila, SweetAss, Iqbal M., dan Balok People.
Untuk menamatkan acara pada hari Ahad, akan terdapat cabutan bertuah untuk dua pemenang. Hadiah-hadiah adalah dua buah Vespa Klasik EV, masing-masing telah direstorasi khas.
AOS 2022 akan memperkenalkan tiket Speed Lane, yang dibuka satu jam lebih awal pada pukul 9:30 pagi berharga RM55 sah untuk dua hari.
Pengunjung boleh menikmati satu jam tambahan di dalam dewan utama dan juga Dewan C dan D. Tiket hujung minggu biasa (tanpa konsert Sound Circus) berharga hanya RM35 sahaja. Kanak-kanak di bawah 12 tahun masuk secara PERCUMA.
Pemegang Pas OKU juga akan menikmati kemasukan percuma. Tiket Festival Sound Circus (outdoor) telah habis dijual, tetapi tiket kombo Festival Sound Circus + Tiket Hujung Minggu masih lagi dijual di dalam talian. Tiket dalam talian boleh didapati di https://aos.qtic.my/
Art of Speed Malaysia (AOSM) disokong oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang telah dilancarkan YB Dato’ Sri Hajjah Nancy Shukri dengan slogan ‘Cuti-cuti Malaysia 2022’ dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik.
Model utama Isuzu ini ingin memastikan pelanggan menikmati sejumlah ciri yang benar-benar hebat yang akan menjadikan pemanduan mereka lebih selamat dan menyenangkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Antara ciri tambahan baharu pada D-MAX X-Terrain adalah seperti berikut:
Welcome Light LED di bahagian luar kenderaan dengan lampu Follow Me Home
Scuff plate berlampu di bingkai pintu
Around-View Monitor 360-darjah dengan pilihan paparan 3D
Pengecaj tanpa-wayar Qi di konsol tengah
Pilihan warna baharu Silky Pearl White dan Onyx Black, tambahan kepada Valencia Orange sedia ada
Spesifikasi lain pada trak pikap ini dikekalkan. Ia dipacu oleh enjin 3.0-liter diesel turbo yang berkuasa menghasilkan 190hp pada 3,600rpm dan 450Nm tork dari 1,600 hingga 2,600rpm.
Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 6-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda.
Kelengkapan standard di bahagian luaran termasuklah lampu depan bi-LED, lampu kabus LED, rel bumbung, pemijak sisi, Tailgate Assist, dan rim aloi 18-inci.
Di bahagian dalam pula, D-MAX X-Terrain mendapat stereng balutan kulit, panel meter e-LUMAX dengan paparan MID bersaiz 4.2-inci, sistem infotainmen dengan skrin 9-inci dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.
Ciri lain adalah tempat duduk kulit berkuasa, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon, soket USB, dan 18 pembesar suara.
Dari segi keselamatan, selain ciri pasif dan aktif biasa, Isuzu D-MAX X-Terrain juga didatangkan dengan sistem keselamatan maju (ADAS) yang merangkumi sistem seperti Forward Collision Warning, Adaptive Cruise Control, Automatic High Beam, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitor.
Isuzu D-MAX X-Terrain baharu kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah Isuzu dan akan mula diserahkan kepada pemilik pada pertengahan bulan Julai.
Model baru ini dijual dengan kenaikan harga minimum dengan harga atas jalan (tanpa insurans) bermula RM146,938.40 (untuk Semenanjug Malaysia.
PARA pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya perlu bersabar kerana proses membaik pulih dan menyelenggara tren yang menjejaskan waktu ketibaan dijangka siap secara berperingkat November ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, “Sepanjang tempoh tersebut, tempoh frekuensi menunggu LRT telah bertambah daripada tiga minit kepada lima minit dan kini lapan minit sekali gus menimbulkan kesesakan seperti mana berlaku kebelakangan ini.
“Jadi, kita memohon maaf kepada pengguna kerana ini merupakan faktor yang tidak boleh dielakkan, soal keselamatan merupakan keutamaan kita. Kalau masih gunakan, kita tidak mahu risiko tidak diingini berlaku.
“Maka, kita meletakkan dua tempoh iaitu bulan Ogos iaitu mengurangkan frekuensi kepada lima minit dan sepenuhnya pada November (tiga minit) untuk menggantikan semua alat. Seperti sedia maklum, bahawa ada sedikit kekangan dan memerlukan masa menghantar alat ganti.
“Sebab itu kita terpaksa berdepan situasi ini, ada kesulitan kepada penumpang khususnya empat stesen iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni dan KL Sentral,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Gambar oleh: Malay Mail
Beliau mengulas mengenai rungutan orang ramai khususnya warga kota yang mengalami kesesakan pengangkutan LRT ketika waktu puncak sejak kebelakangan ini.
Ka Siong menambah, pihak Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk menuju ke destinasi dituju.
“Oleh itu, saya minta orang awam untuk bersabar sedikit dalam beberapa bulan ini kerana terpaksa buat pembaikan,” katanya.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan kehadiran dua warna baharu untuk MT-09 iaitu Cyan Storm dan Tech Black.
Harga cadangan dikekalkan pada RM54,998 (tanpa insurans can pendaftaran), namun tertakluk kepada perubahan.
Spesifikasi lain untuk motosikal ini juga tidak berubah, dimana ia dikuasakan oleh enjin 890cc 3-silinder sejukan cecair yang menjana 119hp pada 10,000rpm dan 93Nm tork pada 7,000rpm.
Enjin bertaraf Euro 5 ini digandingkan dengan klac multi-plate jenis basah dan transmisi 6-kelajuan.
Bahagian rekabentuk juga dikekalkan dengan lampu depan LED, DRL LED, dan dibina pada kerangka aluminium.
Terdapat paparan TFT bersaiz 3.5-inci untuk penunggang untuk pelbagai maklumat seperti kedudukan gear dan paparan ini boleh diubah menggunakan butang di bahagian kiri hendal.
Yamaha MT-09 mempunyai berat keseluruhan 189kg dan tempat duduk berketinggian 825mm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 14 liter.
MT-09 dilengkapi suspensi teleskopik di depan dengan lengan ayun untuk belakang. Untuk sistem brek, ia didatangkan dengan cakera 295mm berkembar di depan, serta cakera tunggal 245mm di belakang.
Seperti biasa untuk setiap pembelian MT-09, anda akan mendapat kunci cakera khas Yamaha bernilai RM100 secara percuma.
Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.
“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat,” katanya.
“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.
Gambar oleh: Malay Mail
“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” tambah Ismail.
Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.
“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.
“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.
PERODUA nampaknya sudah mula mendedahkan sedikit demi sedikit rupa sebenar Alza baharu dalam satu video yang disiarkan di laman Youtube mereka.
Video itu memfokuskan kepada Perodua Smart Build iaitu konsep kelestarian pengeluar itu. Walaubagaimanapun perincian Alza 2022 itu sangat terhad kerana hanya bayang-bayangnya yang didedahkan.
MPV dengan namakod D27A itu seperti yang ramai ketahui bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Lakaran Perodua Alza D27A.
Berdasarkan maklumat setakat ini, Perodua Alza 2022 akan berkongsi pelantar dengan Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, tetapi dengan beberapa perubahan kecil.
Alza D27A dilihat bakal dilengkapi dengan rupa depan berbentuk-X sama seperti Ativa, manakala lampu depannya lebih bersegi dari kembarnya Avanza dan Xenia.
Rekaan lampu belakang pula tidak jauh berbeza dari Avanza, dimana Alza D27A dilihat mempunyai nyalaan berbentuk-L yang seolah-olah dihubungkan oleh logo Perodua di tengah.
Untuk enjin, ura-ura mengatakan ia berkemungkinan besar dipacu oleh enjin 1.5-liter 2NR-VE dengan teknologi Dual VVT-i. Ya, enjin empat-silinder ini merupakan enjin sama pada Toyota Avanza, dengan output sekitar 106hp dan 138Nm tork.
Transmisi pula dijangka menggunakan D-CVT seperti yang telah diberikan pada Ativa dan Myvi 2021.
Kami akan kongsikan apabila kami mendapat maklumat lanjut mengenai MPV hangat ini. Ramai yang menunggu?
Untuk harga, kami jangkakan Alza serba-baharu ini akan dijual lebih mahal sedikit dari model sedia ada kerana ia kini dibangunkan pada platform berbeza serta mendapat kelengkapan lebih moden.
UMW Toyota Motor terus berada dalam rentak yang baik untuk tahun ini, dimana mereka telah mendaftarkan 7,442 unit kenderaan untuk Mei, dan 137 unit Lexus.
Setakat penghujung Mei 2022, UMW Toyota telah menyerahkan sejumlah 36,972 unit kenderaan Toyota dan Lexus.
Ini merupakan peningkatan sebanyak Sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 34,026 unit kenderaan walaupun jualan kenderaan tahun ini dijangka agak perlahan.
Ini kerana dengan gangguan bekalan semikonduktor, pengeluar agak bergelut untuk meningkatkan jumlah pengeluaran mereka. Tambahan lagi, kembalinya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas Jun 2022 akan turut membantutkan sedikit angka jualan.
Jadi, ada yang mahu mengambil kesempatan sebelum kembalinya SST.
“Dalam kita memasuki separuh masa kedua tahun ini, kami di UMW Toyota sangat menghargai sokongan yang diberikan pelanggan,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.
Untuk itu, UMW Toyota menawarkan penjimatan sebanyak RM4,000 untuk Yaris dan Vios. Bulan ini juga bakal memperlihatkan penjimatan serta rebat untuk pelanggan serta bakal pemilik Toyota.
Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).
MFORCE baru-baru ini menambah penawaran mereka dalam pasaran motosikal kecil dengan pengenalan WMoto SX2-300 baharu. Ia dijual pada harga RM18,800 dan ditawarkan dengan tiga pilihan warna – merah, hitam dan putih.
Dipanggil “Scrambler Model”, SX2-300 ini disasarkan lebih kepada tunggangan off-road. Ia juga kini digunakan oleh pasukan keselamatan Malaysia yang terlibat dalam Ops Benteng.
WMoto SX2-300 dikuasakan oleh enjin 292.4cc silinder tunggal dengan penghidup elektrik, sejukan cecair, menjana 28hp pada 9,000rpm dan 25Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan rantai.
Motosikal ini mempunyai kelegaan tanah 285mm, dengan tinggi tempat duduk 900mm, kapasiti tangki bahan api 11 liter serta mempunyai berat keseluruhan 151kg.
SX2-300 hadir dengan rim 19-inci di depan dan 17-inci di belakang, masing-masing dengan tayar 3.00-19 dan 110/70. Sistem brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan dan belakang dengan ABS dua-saluran.
Untuk suspensoi, SX2-300 dilengkapi fork terbalik di depan serta monoshock tunggal di belakang dengan pelarasan pra-muatan.
Ciri lain pada WMoto SX2-300 termasuklah lampu LED dan paparan LCD monokrom ringkas untuk instrumen. WMoto SX2-300 hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km.
DESTINI Bhd telah menyelesaikan penghantaran dan penyerahan enam helikopter MD 530G kepada tentera Malaysia selepas menamatkan Final Acceptance Test.
Dalam satu kenyataan semalam, Destini berkata penghantaran enam helikopter peninjau/penyerang ringan dengan senjata pelbagai guna, kumpulan itu boleh memanfaatkan kepakarannya dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi mendapatkan perkhidmatan MRO pada helikopter dan aset unit udara tentera yang lain.
“Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB) telah dianugerahkan kontrak penghantaran helikopter itu, bernilai RM321 juta, oleh Kementerian Pertahanan pada 2015.
“Pada 2017, Destini Group memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam HOSB melalui anak syarikat milik penuhnya Destini Prima Sdn Bhd,” kata Destini semalam.
Pada Februari 2022, kesemua enam helikopter itu mengambil masa selama 31 hari untuk tiba di Malaysia selepas pemeriksaan pra-penghantaran selesai pada Disember tahun lalu.
Helikopter MD 530G dihasilkan oleh syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), MD Helicopter Inc.
Helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan pangkalan udara tentera di Kluang, Johor.
JAGUAR Land Rover Malaysia telah melancarkan XF facelift 2022 dan tempahan untuk sedan mewah itu kini dibuka. Ia hadir dengan varian tunggal 2.0L R-Dynamic, dengan harga bermula RM498,800 termasuk SST 10 peratus, sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Enjin 2.0-liter Ingenium turbo 4-silinder ini menjana 250hp dan 365Nm tork, dengan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Ini membolehkan Jaguar XF ini memecut ke 100km/j dalam hanya 7.1 saat.
Untuk facelift kali ini juga, XF 2022 mendapat skrin infotainmen Pivi Pro yang lebih besar dan melengkung, bersaiz 11.4-inci. Unit ini menurut Jaguar memudahkan pengguna, dan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Terdapat juga pengecaj telefon pintar tanpa-wayar serta sistem audio dengan Active Noise Cancellation untuk ruang kabin lebih senyap dan kualiti audio lebih baik.
Dari segi keselamatan, XF 2022 hadir dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, dan Driver Condition Monitor. Sistem pendingin hawa pula menampilkan sistem ‘air ionisation’ dengan penapis PM2.5.
Tempahan untuk Jaguar XF 2022 kini dibuka dengan harga bermula RM489,800 seperti disebut di atas.
PUSAT bandar Kuala Lumpur bingit dengan deruman naturally-aspirated V10 dan V12 apabila sebanyak 112 pemilik Lamborghini menghimpunkan kenderaan masing-masing di depan Mandarin Hotel.
Himpunan ahli-ahli Lamborghini Owners Malaysia (LOM) itu juga bertujuan memecahkan rekod yang pernah dibuat di lokasi sama kira-kira sedekad lalu. Pada 2013, 77 pemilik berhimpun sempena ulang tahun ke-50 Lamborghini.
Dan kini, himpunan terbesar kali ini berjaya memecahkan rekod itu dengan pemilik-pemilik yang hadir dari seluruh semenanjung, dan ia tercatat dalam Malaysia Book of Records.
Bertempat di ruang parkir terbuka Mandaring Hotel, dapat dilihat pelbagai model Lamborghini yang semestinya menarik perhatian pengunjung dan orang awam berdekatan.
Antara yang kelihatan adalah model-model klasik serta Gallardo Malaysia Limited Edition (hanya 20 unit dihasilkan). Tidak lupa juga model-model terkini seperti Huracan Spyder, Aventador SVJ dan Urus.
Kemuncak acara adalah di saat presiden LOM masuk ke perkarangan dengan memandu kereta bernombor 78, disambut dengan tarian singa.
Ahli-ahli LOM dan pengunjung juga bersorak apabila wakil dari Malaysian Book of Records menyerahkan sijil pengesahan rekod baharu itu.
“Detik bermakna dalam sejarah kelab kami ini menunjukkan penghargaan kami terhadap jenama Lamborghini, kata Roslan Rosdi, presiden LOM.
“Rekod ini juga tidak akan berjaya tanpa semangat komuniti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli yang hadir pagi ini,” tambahnya.
Tidak lama selepas itu, kesemua 112 Lamborghini yang berhimpun kemudiannya berkonvoi menuju ke Bukit Tinggi untuk acara seterusnya.
SATU laporan baru-baru ini yang menyatakan jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta adalah keterlaluan dan tidak memberi gambaran sebenar populasi kenderaan semasa.
Ini kerana angka yang dilaporkan merangkumi kenderaan berdaftar sejak zaman penjajahan British.
Ragu-ragu dengan laporan itu, bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata, beliau pasti jumlah kenderaan di jalan awam tidak melebihi jumlah penduduk.
“Tajuk (laporan media) sangat mengelirukan. Tidak mungkin jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk Malaysia,” katanya.
Tahun lepas, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mentadbir 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai Pendaftar dan Pemeriksa Kenderaan Bermotor (RIMV).
Liow menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai perkara itu.
“Mereka mesti meletakkan fakta dalam perspektif yang betul bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” tambah Liow.
“JPJ boleh menggunakan rekod pembaharuan cukai jalan terkini untuk mengesahkan angka tersebut.”
Liow turut mencadangkan JPJ mengeluarkan “sijil kematian” bagi kenderaan yang tidak aktif.
“Ini supaya kita dapat tahu dengan tepat jumlah kenderaan aktif di negara ini,” kata bekas presiden MCA itu.
Tidak seperti di banyak negara maju, tiada polisi “akhir hayat” bagi kenderaan di Malaysia.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, menjadi kelaziman untuk statistik yang diwarisi sejak zaman sebelum merdeka digunakan untuk menggambarkan jumlah kenderaan di seluruh negara.
“Amalan menggunakan angka besar, termasuk yang dikumpulkan sejak zaman British, diterapkan sehingga hari saya bersara. Saya tak faham kenapa ia masih digunakan hari ini,” katanya.
“Angka besar ini sering digunakan untuk menggambarkan representasi dan nisbah kematian di jalan raya berbanding jumlah kenderaan di negara ini.
“Sebagai contoh, ia akan menentukan bilangan ‘x’ kematian berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan pada masa tertentu atau sepanjang tahun.”
Ghafar berkata, kaedah sedemikian tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai indeks keselamatan jalan raya negara.
HARLEY-Davidson Malaysia telah memperkenalkan Low Rider S dan ST untuk pasaran Malaysia, dengan harga bermula RM115,900.
Motosikal kruiser itu kini mendapat casis Softail yang dikenali dengan kelincahannya dan digabungkan dengan enjin ikonik Milwaukee-Eight 117.
Sudah tentu perhatian untuk Harley-Davidson Low Rider ini adalah enjinnya, malah boleh diibaratkan seperti seketul enjin dengan tempat duduk, hendal dan tayar.
Angka 117 pada Milwaukee-Eight ini bermakna kapasitinya 117 cubic-inch (ci), bersamaan 1,917cc. Ia mampu menjana 105hp dan 169Nm tork.
Enjin ini juga dilengkapi dengan penapis udara terdedah Heavy Breather yang menghala ke depan untuk tork di pertengahan julat pusingan enjin, selain memberikan rupa sebuah ‘hot-rod’.
Untuk lebih prestasi, anda boleh memilih komponen naik taraf Screamin’ Eagle Performance Parts dan aksesori-aksesori lain bagi menambah prestasi enjin.
Low Rider ST
Harley-Davidson Low Rider ST mendapat saddlebag yang biasa digunakan semasa tunggangan jarak jauh, tetapi boleh ditanggalkan untuk mehukar motosikal ini kepada mod ‘urban performance cruiser’.
Ia juga dilengkapi dengan lampu depan LED 5.75-inci, fairing baharu yang dipasang pada bingkai, cermin depan 6-inci dengan tint Dark Smoke, tangki minyak berkapasiti 18.9 liter, dan panel instrumen ringkas dengan paparan digital.
Suspensi depan terdiri dari fork terbalik 43mm dengan sudut 28-darjah, sementara di belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pre-load.
Low Rider ST hadir dengan sistem brek Brembo dengan cakera 300mm di depan, serta ABS. Tayar pula adalah Michelin Scorcher 31.
Harley-Davidson Low Rider ST boleh didapati dengan warna Vivid Black dan Gunship Grey.