fbpx

Kerajaan cadang bina litar drag di setiap negeri – PM

litar drag terengganu – facebook
Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

KERAJAAN bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Setakat ini, hanya terdapat dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Litar Permotoran Drag Strip di Gong Badak, Sabtu lepas.

Perdana Menteri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, membabitkan pembangunan sukan motosikal dan kereta, yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional,” kata Ismail.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

“Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal. Ketika banjir banyak kelab motor terbabit dengan kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan, dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022, yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara itu.

Pada perhimpunan itu, penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved