fbpx

Toyota Fortuner, Hilux, Innova dikemaskini untuk 2021 dengan ciri dipertingkat

toyota fortuner 2021 02

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan mula mengambil tempahan model kemaskini terbaru bagi Toyota Hilux, Fortuner dan Innova, bermula sejak 22 Oktober 2021.

Harga (tanpa insurans) bagi semua model baharu berkenaan adalah seperti berikut:

Toyota Hilux (5 varian) — dari RM92,880
Toyota Fortuner (3 varian) — dari RM169,167
Toyota Innova (3 varian) — dari RM115,553

Bagi Fortuner dan Innova, harga ditawarkan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan jualannya akan bermula pada Januari 2022.

Ketiga-tiga model berkenaan telah diberikan kemaskini dan penambahbaikan dari aspek keselesaan dan kelengkapan, dengan enjin petrolnya ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat lebih awal sebelum pelaksanaan standard Euro4 pada 2022 nanti.

Toyota Hilux yang merupakan trak pikap paling laris di Malaysia ini didatangkan dalam lima varian dan dua pilihan enjin turbodiesel empat-silinder, 2.4-liter dan 2.8-liter.

Kini, untuk perjalanan yang lebih selesa dalam Hilux 2.8 Rogue dan 2.4 V, sistem pendingin hawa di depan telah dipertingkat menjadi jenis dua zon berbanding zon tunggal sebelum ini.

Dengan ciri terbabit, pemandu dan penumpang depan boleh menentukan suhu secara berasingan.

Fortuner pula yang merupakan SUV saiz sederhana dan lasak ini hadir dalam tiga varian — Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4.

Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ kini juga dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan.

Pad pengecas tanpa wayar untuk telefon yang serasi juga kini standard untuk semua varian. Slot USB belakang pada Fortuner 2.8 VRZ juga telah ditukar kepada jenis Type C, menjadikannya lebih mudah untuk mengecas telefon pintar generasi terbaru.

Akhir sekali untuk Innova yang kini dalam generasi kedua, ditawarkan dalam tiga varian — Innova 2.0X, 2.0G dan 2.0E.

Walaupun saiz kabin untuk semua varian ini sama, Innova 2.0X datang dengan kerusi kapten saiz besar di tengah. Dengan senarai kelengkapan standard yang banyak, penumpang Innova boleh duduk selesa di sepanjang perjalanan.

Bagi yang memiliki telefon pintar yang serasi, pad pengecasan tanpa wayar kini ada untuk semua varian.

Beberapa slot USB juga disediakan dalam kabin, memudahkan lagi keperluan pengecasan peranti elektronik penumpang.

Kesemua tiga model ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, dengan maksimum 150,000 km bagi Hilux (tertakluk terma dan syarat).

UMW Toyota Motor juga menawarkan pelbagai pelan pembiayaan, termasuk pelan langganan, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari toyota.com.my atau berkunjung ke mana-mana bilik pameran sah Toyota di seluruh negara.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved