fbpx

Toyota Aygo X – Bukan lagi hatchback kecil tetapi crossover serba baharu

toyota aygo x 04

SEBELUM ini, Toyota membangunkan Aygo dengan bantuan dua pengeluar Perancis iaitu Peugeot dan Citroen.

Namun setelah menyertai pakatan Stellantis, kedua-duanya memutuskan untuk tidak lagi bersaing dalam segmen-A yang semakin tidak popular. Oleh itu, Aygo versi terbaharu ini adalah 100 peratus usaha Toyota.

Bukan itu sahaja, Aygo juga telah bertukar dari sebuah hatchback kepada sebuah crossover dan ini ditandakan menerusi penggunaan huruf ‘X’ pada namanya.

Walaupun masih didefinisikan sebagai model segmen-A di Eropah, saiznya jelas lebih besar berbanding model terdahulu.

Dengan ukuran panjang 3,700mm, lebar 1,740mm dan tinggi 1,510mm, Aygo X adalah 235mm lebih panjang, 125mm lebih lebar dan 50mm lebih tinggi jika dibandingkan dengan Aygo yang digantikannya.

Ukuran tapak roda turut bertambah sebanyak 90mm. Ini bukan sahaja menghasilkan ruang kabin yang lebih luas, malah meningkatkan kapasiti ruang but sebanyak 60 liter kepada 231 liter.

Walaupun bersaiz lebih besar, penggunaan platform TNGA (GA-B) memberikan Aygo X radius putaran yang kecil iaitu 4.7 meter, sesuai untuk jalan-jalan yang sempit di Eropah. Karakter crossovernya pula diserlahkan menerusi kemasan plastik hitam pada gerbang roda, jarak pelepasan tanah yang lebih besar (+11mm) dan rim 18-inci.

Bukan itu sahaja, ketinggian tempat duduk hadapan juga dinaikkan sebanyak 55mm, memberikan pemandu sudut pandangan yang lebih tinggi dan jelas seperti sebuah crossover sebenar.

Aygo X diposisikan sebagai model entry-level namun ruang dalamannya menampilkan kelengkapan canggih yang biasanya terdapat pada model-model yang lebih mahal seperti skrin sentuh sembilan inci, pencahayaan ambien dan pengecas wayarles.

Ia juga dilengkapi dengan Toyota Smart Connect yang mempunyai sistem navigasi berasaskan awan dan aplikasi MyT yang membolehkan memantau data pemanduan, baki bahan api, amaran dan lokasi kenderaan menerusi telefon pintar. Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem keselamatan tidak kurang hebatnya, dengan Toyota Safety Sense didatangkan secara standard. Ia merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Pedestrian Detection, Cyclist Detection, Collision Mitigation Support, Intelligent Adaptive Cruise Control, Lane Trace Assist serta Emergency Steering Assist.

Terletak di bawah hud adalah enjin petrol 1KR-FE 1.0-liter 3-silinder yang menghasilkan 72hp pada 6,000 rpm 93Nm pada 4,400 rpm. Boleh didapati dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT, ia dikatakan mampu mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 4.7 liter/100 km dan pelepasan emisi CO2 serendah 107 g/km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved