Ini bukanlah satu cerita seram yang dipetik daripada majalah Mastika, akan tetapi ia sebenarnya satu amalan yang telah lama dipraktikkan oleh sebilangan pengeluar kenderaan di pasaran Eropah.
Van berkepala dua yang diperlihatkan ini merupakan sebuah (atau dua buah?) Citroen Relay Back to Back, versi ‘rebadge’ daripada model Fiat Ducato.
Nampak pelik. Tapi kebiasaannya, dua kepala van Relay ini akan dipasang pada sebuah struktur casis sementara sebelum dihantar kepada pihak ketiga, seperti syarikat pengeluar motorhome/campervan dan pembina kenderaan kecemasan.
Disebabkan tiada keperluan untuk membina struktur pada bahagian belakang, Citroen dapat menjimatkan kos pengeluaran. Kos penghantaran juga dapat dikurangkan kerana Relay Back to Back ini tidak memerlukan ruang yang besar berbanding sebuah Relay Chassis Cab standard.
Selain itu, van-van komersial ini juga biasanya mempunyai sistem pacuan roda depan, jadi tiada sebarang aci pemacu yang perlu dibuka atau dibuang selepas penghantaran dibuat.
Dengan adanya Relay Back to Back ini juga, syarikat pihak ketiga mempunyai kebebasan untuk menentukan binaan belakang kustom yang tersendiri tanpa perlu bergantung kepada bahagian belakang yang biasanya dibekalkan oleh pengeluar.
Selain daripada Citroen, sebuah lagi jenama di bawah Stellantis, Peugeot juga turut menghasilkan binaan van berkepala dua menerusi model Boxer Back to Back untuk dihantar kepada syarikat pembina campervan/motorhome.
KITA sebagai peminat mainan kenderaan pastinya sering terbayang jika kita boleh memandu kereta itu di dunia sebenar. Salah satu cara untuk merealisasikannya ialah dengan menjelmakan kenderaan itu dalam bentuk saiz skala 1/1.
Itulah yang dibuat oleh Tamiya baru-baru ini. Pengeluar mainan itu membawakan Lunchbox saiz sebenar untuk dipamerkan di acara Shizuoka Hobby Show 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
Tiada perincian teknikal didedahkan, tetapi monster van ini mempunyai badan yang sangat mirip dengan versi kawalan radio (RC) skala 1/12.
Lunchbox sebenar ini tampil dengan warna kuning yang ikonik, bar perlanggaran di depan, gril dan ekzos krom, grafik “Vanessa’s Lunchbox” di sisi, malah wheelie bar di belakang juga dihasilkan serupa seperti versi RC.
Paling kelakar ialah terdapat juga pek bateri di bahagian bawah casis, walaupun trak sebenar ini pastinya menggunakan enjin petrol.
Cuma tayarnya sahaja tidak cukup besar, bukan menggunakan tayar monster truck gergasi. Sebaliknya versi sebenar ini menggunakan tayar off-road biasa dan casisnya nampak seperti pacuan empat-roda (4WD) jika dilihat pada gandar depan dan belakang.
Versi RC skala 1/12 adalah pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor di gandar belakang. Tetapi versi sebenar ini tetap tinggi dan sekali lihat, peminat RC Tamiya akan terus mengenalinya.
Tamiya sebelum ini pernah menjelmakan model Monster Beetle saiz sebenar, manakala sebuah syarikat luar pula pernah menawarkan buggy Wild One MAX.
Tahun lepas Mercedes-Benz pernah berdepan kesukaran untuk menjual model sedan berprestasi tinggi plug-in hybrid (PHEV) Mercedes-AMG C 63 S E Performance di pasaran Eropah disebabkan oleh ketiadaan nadi V8.
Ini kerana kebanyakan pembeli tradisional AMG tidak begitu menggemari sistem rangkaian kuasa E Performance PHEV yang menggandingkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dan motor elektrik pada gandar belakang, walaupun atas kertas enjin tersebut jauh lebih bertenaga berbanding pesaingnya BMW M3.
Spyshot Mercedes-AMG CLE 63 oleh Autocar
Pengeluar itu nampaknya sudah mula sedar akan pentingnya nadi tersebut, di mana penawaran nadi V8 4.0 liter petrol M177 dengan teknologi hibrid ringan itu akan dikembalikan semula pada model Mercedes-AMG CLE 63 akan datang.
Menurut laporan Autocar lagi, model CLE 63 itu akan diposisikan sebagai model tertinggi di atas model CLE 53 Coupe & Cabriolet, di mana kedua-dua model itu dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 442 hp.
Mercedes-AMG C 63 S E Performance PHEV
Sumber Mercedes-Benz memberitahu, keputusan untuk mengembalikan semula enjin V8 itu bukan sahaja disebabkan oleh respons pembeli terhadap model GLC 63 dan C 63 PHEV, akan tetapi ia juga berdasarkan maklum balas daripada jaringan pengedar di seluruh dunia.
Berdasarkan respons daripada pengedar, tindakan Mercedes memposisikan model AMG 63 dengan enjin empat silinder di atas model berenjin enam silinder dikatakan mampu untuk mengelirukan golongan pelanggan berpotensi pada masa akan datang.
Mengikut spesifikasi, Mercedes-AMG C 63 S E Performance (versi sedan dan wagon) dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dan motor elektrik pada gandar belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 671 hp dan 1,020 Nm.
Cuma bezanya, nadi inline-4 itu tidak mempunyai karakteristik bunyi yang lebih mengujakan berbanding enjin V8.
Sepanjang tempoh produksi dari tahun 2016 hingga 2023, Bugatti telah pun selesai menghasilkan kira-kira 500 unit kereta hiper Chiron termasuklah beberapa model edisi istimewa yang turut menarik perhatian golongan berada.
Menjadikan Bugatti Chiron salah satu item yang cukup mencuri tumpuan di atas muka bumi ini ialah nadi bentangan WR16 di mana dalam versi yang paling bertenaga mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,600 PS.
Dalam perkembangan terkini, Bugatti mengesahkan enjin WR16 tersebut akan digantikan dengan nadi hibrid yang lebih cekap untuk dipadankan pada model pengganti Chiron.
Bukan enjin V12, bukan juga nadi V10 atau V8 turbo, akan tetapi ia sebuah enjin bentangan V16!
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan nadi V16 yang bakal muncul kelak:
1. Dimensi lebih panjang berbanding enjin Chiron
Menurut Bugatti, enjin V16 baharu ini dikatakan memiliki ukuran dimensi sepanjang hampir 1 meter, atau 400 mm lebih panjang berbanding enjin Chiron.
2. Kuasa mencecah 1,800 hp
Buat masa ini, Bugatti masih lagi merahsiakan spesifikasi teknikal enjin baharu untuk pengganti Chiron.
Namun, laman Auto Motor und Sport mendedahkan beberapa perincian menarik:-
Enjin V16 tersebut dibangunkan dengan kerjasama Cosworth
Sesaran 8.3 liter
Putaran enjin setinggi 9,000 rpm
Kuasa enjin sahaja mampu mencapai angka 1,000 hp
Selain itu, enjin tersebut akan dipadankan dengan sistem hibrid yang terdiri daripada tiga motor elektrik, setiap satu berkuasa 340 hp.
Jadi, secara keseluruhannya pengganti Chiron ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,800 hp, sebelum disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi klac berkembar automatik.
3. ‘Top speed‘ lebih 400 km/j
Sumber yang sama turut mendedahkan hypercar Bugatti itu mampu memecut sepantas 2 saat dari 0-100 km/j, 0-200 km/j dalam masa kurang lima saat, 300 km/j dalam masa bawah 10 saat dan mampu mencapai kelajuan 400 km/j dalam masa bawah 25 saat sahaja.
Sebagai perbandingan, rekod masa 0-400 km/j terpantas di dunia kini dipegang oleh Koenigsegg Regera dalam tempoh 20.68 saat.
4. Enjin aspirasi semula jadi, tiada induksi paksaan turbo!
Lebih menarik, bos Bugatti-Rimac, Mate Rimac dalam satu kenyataan rasmi turut mengesahkan nadi tersebut tidak akan mengikut tetapan quad-turbo seperti model EB110, Veyron dan Chiron.
Sebaliknya, ia akan ditawarkan dalam versi enjin aspirasi semulajadi (NA) untuk menjadikan penawaran model baharu itu lebih beremosi untuk sebuah Bugatti.
Lebih banyak info bakal diketahui dalam masa terdekat, di mana Bugatti akan memperlihatkan dengan lebih terperinci model hypercar yang bakal menggantikan tempat Chiron kelak.
Datang ke tempat orang bukanlah satu lesen untuk kita berbuat apa sahaja sesuka hati, terutama di negara Jepun yang mempunyai undang-undang jalan raya yang sangat ketat.
Di laman media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter), seorang pengguna @pja_chan mendedahkan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang disebut dalam berita Jepun memarkir kereta secara bertindih sehinggakan perkara itu turut dilaporkan dalam siaran berita utama.
Rakyat Malaysia di mention dalam news dekat Jepun ni sebab parking dekat parking space macam ni dan menimbulkan kemarahan rakyat Jepun. Ini parking berbayar yang dah ada space utk setiap kereta, dan tak boleh double park macam ni. Kenapa buat camni sampai menyusahkan orang ya 😩 https://t.co/E396MRjyQrpic.twitter.com/t92bQVC6zH
Kejadian tersebut dikatakan berlaku berhampiran Matsumoto Castle, Aichi Prefecture di mana kereta tersebut disewa oleh sekumpulan wanita yang berasal dari Malaysia dan didapati menghalang jalan utama.
Tindakan wanita tersebut meletakkan kenderaan yang disewa sesuka hati itu telah menimbulkan kemarahan warga negara Jepun, memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan parkir berbayar yang telah dikhususkan untuk kereta yang telah didaftarkan.
Menurut @pja_chan, undang-undang ketat di Jepun tidak membenarkan rakyatnya untuk meletakkan kenderaan sebarangan tempat.
“Ada tempat letak kereta yang ditetapkan berbayar. Tak ada istilah parkir bertindih. Sebab hal ni, ramai orang Jepun marah-marah rakyat Malaysia di internet. Kesannya terpalit dekat rakyat negara ini yang duduk di sana terutamanya kerana sudah mempunyai pandangan buruk. Silap-silap pelancong Malaysia pun mereka sudah tidak suka selepas ini.
“Parkir di sana sudahlah mahal, disebabkan hal ini kena memanjangkan masa tiga jam lagi. Berganda-ganda jadi mahal. Buang masa orang lagi. Kena panggil orang jek lagi. Memang menyusahkan orang, manalah orang tak marah,” ujarnya.
BARISAN BMW M4 generasi G82 kini lengkap dengan kehadiran varian terbaru iaitu Competition Sport atau lebih dikenali sebagai CS.
Diposisikan antara M4 Competition dan M4 CSL yang ekstrem, M4 CS tampil dengan talaan spesifik bagi menjadikan ia seimbang untuk kegunaan harian dan pemanduan di litar.
Dalam erti kata lain, ia tidak ubah seperti M3 CS G80 yang diperkenalkan pada 2023. Jentera ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo inline-six yang sama yang menghasilkan 550 PS dan 650 Nm.
Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang memacu semua roda menerusi sistem M xDrive, M4 CS boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j.
Selain enjin, prestasi hebat kereta ini turut disumbangkan oleh pengurangan berat yang telah dilakukan oleh BMW.
Antara langkah yang dilakukan adalah menggunakan CFRP yang ringan untuk bumbung, bonet, splitter depan, air intake depan, cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler.
Di dalam, bahan ringan itu turut digunakan secara meluas dan boleh dilihat pada konsol tengah, paddle shifter dan kerusi bucket M Carbon.
Bukan itu sahaja, M4 CS juga dilengkapi dengan penyenyap titanium yang dikatakan 4 kg lebih ringan berbanding sistem ekzos standard.
Secara keseluruhannya, BMW berjaya menjadikan M4 CS 20 kg lebih ringan berbanding M4 Competition M xDrive.
Jentera ini didatangkan standard dengan sistem gantungan adaptif M dan stereng elektromekanikal M Servotronic, namun untuk pengendalian yang lebih mantap, pelanggan boleh mendapatkan strut brace depan yang ditawarkan secara berasingan.
Untuk brek pula, ia menggunakan cakera M Compound yang boleh dinaik taraf kepada cakera karbon seramik. Rim aloi tempaan didatangkan dalam saiz berlainan iaitu 19 inci di depan dan 20 inci di belakang, bersama tayar litar secara standard.
Pelanggan boleh mendapatkan tayar ultra litar atau tayar prestasi yang lebih sesuai untuk kegunaan harian tanpa sebarang bayaran tambahan.
VOLKSWAGEN Commercial Vehicles secara rasminya memperkenalkan California generasi ketujuh untuk pasaran Eropah.
Ia dibina berasaskan Multivan versi long wheelbase dan akan ditawarkan dalam lima versi iaitu Beach, Beach Tour, Beach Camper, Coast dan Ocean apabila dilancarkan pada Jun depan.
Menurut Volkswagen, mereka telah mereka semula semua aspek California bagi menjadikan ia lebih luas, pintar, versatil dan lestari berbanding model terdahulu.
Sebagai contoh, van camper itu kini didatangkan secara standard dengan pintu gelongsor pada bahagian kiri dan kanan, serta bumbung pop-up.
Apabila bumbung tersebut ditutup, ruang dalaman mempunyai ketinggian 1,297 mm dan apabila ia dibuka, ketinggian bertambah kepada 2,108 mm.
Pelanggan juga boleh mendapatkan sengkuap (awning) yang boleh dipasang pada sebelah kiri dan kanan kenderaan sebagai perlindungan daripada cahaya matahari atau hujan.
Di dalam, kerusi belakang jenis bangku telah digantikan dengan tempat duduk individu yang boleh ditanggalkan. Ini membolehkan pelanggan menyimpan basikal mereka di dalam van.
Jangan risau kerana seperti kerusi sebelum ini, tempat duduk berkenaan boleh dibaringkan untuk dijadikan sebagai katil.
Tidak cukup dengan itu, setiap tempat duduk termasuk pemandu dan penumpang hadapan didatangkan dengan laci sendiri yang praktikal. Beberapa port pengecas USB-C 45 watt turut dipasang di dalam ruang kabin.
Versi Beach Camper dilengkapi dengan dapur mini dengan dua laci untuk menyimpan tong gas dan perkakasan, sementara Coast dan Ocean mempunyai dapur yang lebih fleksibel, berserta peti sejuk.
California dibina di atas platform MQB dan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk TDI empat silinder dengan 150 PS dan TSI empat silinder dengan 204 PS, kedua-duany pacuan roda hadapan.
Selain itu, ia juga boleh didapati dengan trenkuasa hibrid plug-in eHybrid dengan pacuan 4Motion yang menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 245 PS.
Sistem bantuan pemandu seperti Travel Assist turut disertakan bagi memberikan pengalaman pemanduan jarak jauh yang lebih selamat dan selesa.
Ucapkan selamat datang kepada Honda Freed generasi baharu, MPV bersaiz kecil dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang akan mula dijual di pasaran Jepun pada bulan Jun tahun ini.
Tidak seperti model terdahulu, Honda Freed generasi ketiga ini tampil dengan rekaan yang lebih minimalis, dan dalam masa yang sama terus menawarkan praktikaliti yang diperlukan oleh golongan pembelinya yang pelbagai.
1. Rekaan luar yang lebih ringkas
Sekali imbas, rekaan luaran Freed ini mengingatkan kita pada sebuah lagi model MPV bersaiz lebih besar, iaitu Honda Stepwgn.
Anda boleh lihat pendekataan rekaan yang lebih ringkas pada struktur keseluruhan Freed, dan dalam masa yang sama mengekalkan penawaran pintu gelangsar kiri dan kanan.
2. Nadi hibrid e:HEV
Tidak banyak informasi didedahkan oleh Honda berhubung unit rangkaian kuasa yang digunakan pada model Freed.
Apa yang pasti, Freed sah menerima unit enjin hibrid dengan sistem pacuan roda depan atau sistem pacuan semua roda (4WD).
Berkemungkinan besar ia merupakan unit hibrid 1.5 liter e:HEV yang sama digunakan pada model City e:HEV, City Hatchback e:HEV, Fit e:HEV dan HR-V e:HEV.
3. Dua stail badan
Sama seperti penawaran terdahulu, Honda Freed generasi ketiga boleh didapati dalam varian Air yang lebih kemas, atau varian Freed Crosstar yang dilengkapi dengan elemen SUV.
Secara standard, Honda Freed menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk.
Sementara varian Freed Crosstar pula datang dalam pilihan tiga baris/enam tempat duduk atau dua baris/lima tempat duduk dengan ruang kargo yang lebih praktikal.
4. Ruang kabin nampak luas
Bergantung kepada spesifikasi, Honda Freed datang dengan kelengkapan seperti skrin kluster digital, serta tidak ketinggalan skrin infohibur bersaiz besar yang menyokong fungsi seperti Wi-Fi, kawalan jauh, sistem pemetaan dan kunci digital.
Seperti yang kita tahu, Honda merupakan pakar dalam menghasilkan ruang dalaman yang nampak luas.
Menurut Honda, ruang kabin Freed direka supaya penumpang dapat merasai keselesaan yang tersendiri.
Selain itu, Honda Freed nyata lebih praktikal untuk kegunaan keluarga dengan kehadiran dulang barangan kecil pada papan pemuka, rekaan lantai yang hampir rata, serta corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Tatkala ruang kabin Freed Air lebih mementingkan aspek kemewahan, ruang kabin Freed Crosstar pula menekankan penggunaan bahan yang lebih nampak lasak.
5. Ciri keselamatan Honda SENSING
Sama seperti model-model Honda yang lain, Honda Freed turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda SENSING, merangkumi fungsi-fungsi seperti informasi titik buta, bantuan kesesakan trafik, sistem mitigasi brek pelanggaran, kawalan jelajah adaptif, serta bantuan suluhan tinggi automatik.
Tahukah anda, kira-kira 14 tahun yang lepas, Honda menawarkan model MPV kecil Honda Freed untuk pasaran Malaysia sebagai alternatif kepada Toyota Sienta.
Sayang sekali disebabkan permintaan yang kurang memberangsangkan, Honda Malaysia terpaksa menamatkan penjualan model tersebut, tanpa digantikan dengan model generasi kedua.
Menariknya, pengguna di sini masih boleh terus mendapatkan model pesaingnya Toyota Sienta sebelum jualan model tersebut turut ditamatkan pada tahun 2019.
Nissan Jepun mengumumkan koleksi terbaharu barangan dan aksesori original musim bunga/musim panas yang boleh didapati di seluruh Jepun bermula 16 Mei ini.
Antara yang mencuri tumpuan penulis ialah model diecast Nissan GT-R NISMO 2024.
Di bawah pengawasan pakar, model GT-R tersebut telah dibina dengan teliti, sebelum diakhiri dengan layangan warna NISMO Stealth Gray dan kemasan gentian karbon pada sesetengah tempat.
Selain daripada itu, pemilik dan peminat GT-R juga boleh mendapatkan jam tangan chronograph GT-R berharga 71,500 yen (RM2,181) yang menampilkan binaan casis dan tali jam keluli dan muka jam yang dilindungi oleh kaca sapphire.
Difahamkan, jam tangan chronograph GT-R ini akan ditawarkan secara rasmi bermula bulan depan.
Antara barangan yang turut disenaraikan termasuklah beg tote berlogo warisan Datsun, T-shirt dengan grafik Skyline GT-R R32, R33 dan R34, keychain berbentuk penutup rim klasik, t-shirt polo, patung beruang, sandal kulit, dompet, jam dinding dan bermacam-macam lagi.
Terdapat lebih daripada 180 barangan eksklusif bertemakan Nissan, GT-R, Datsun dan NISMO yang boleh dibeli menerusi jaringan pusat pengedar Nissan, galeri ibu pejabat global, Nissan Boutique di NISSAN CROSSING, serta tidak ketinggalan kedai dalam talian Nissan.
Takde idea untuk mencantikkan lagi penampilan Civic Type R anda?
Usah risau, kerana syarikat penala terkenal Honda, Mugen telah pun melancarkan pakej naik taraf aerodinamik yang dihasilkan khusus untuk Civic Type R FL5, dan boleh didapati di pasaran Jepun dalam masa terdekat.
Sebahagian daripada komponen yang disebutkan itu telah pun diperlihatkan sebelum ini di Tokyo Auto Salon 2023 menerusi model konsep yang dipamerkan.
Antara barangan yang ditawarkan termasuklah struktur sayap belakang boleh laras yang telah direka semula, di mana ia kini mempunyai plet hujung yang diperbuat daripada gentian karbon, serta spoiler dagu di hadapan.
Mugen menyarankan pembeli untuk memasang kedua-dua komponen ini serentak untuk keseimbangan daya mendap yang lebih optimum, selain menawarkan kemasan bampar depan dan splitter sisi belakang, di mana perubahan aerodinamik itu dikatakan mampu menambah baik daya mendap sebanyak 25 peratus.
Tidak ketinggalan, set rim aluminium tempa BBS bersaiz 19 inci yang jauh lebih ringan berbanding rim standard, dan boleh dipadankan dengan lock nut perlumbaan.
Untuk ruang kabin, terdapat juga kemasan gentian karbon untuk konsol tengah, tombol gear Alcantara, serta sepasang tempat duduk jenis Bucket Recaro.
Mugen juga turut memperlihatkan rekaan lampu belakang LED serba baharu, tip ekzos tunggal serta roda stereng gentian karbon serba baharu, namun tiada sebarang maklumat lanjut didedahkan buat masa ini.
Harga jualan bagi setiap barangan adalah seperti berikut:
sayap belakang: 308,000 yen (~RM9,393)
spoiler dagu hadapan: 110,000 yen (~RM3,355)
splitter sisi belakang: 99,000 yen (~RM3,019)
kemasan bampar hadapan: 77,000 yen (~RM2,348)
rim aluminium BBS: 176,000 yen/pcs (~RM5,368/pcs)
kemasan gentian karbon konsol tengah: 71,500 yen (~RM2,181)
tombol gear Alcantara: 22,000 yen (~RM671)
tempat duduk Recaro: 279,000 yen/sepasang (~RM8,509/sepasang)
Awal tahun ini, Amerika Syarikat telah pun meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan aplikasi media sosial TikTok di negara itu susulan mendakwa aplikasi tersebut berkait dengan kerajaan China.
Terbaru, Amerika Syarikat bercadang untuk turut mengharamkan pengeluar dron dan ‘action camera’ DJI.
Menurut laporan Digital Trends, kongres Amerika Syarikat mendakwa terdapat isu sekuriti pada perisian DJI yang membolehkan data pengguna diakses dan dimasukkan ‘malware’ sekaligus mengancam keselamatan rakyat negara itu.
Kongres menuduh DJI sebagai kontraktor tentera bagi kerajaan China dan berisiko menggunakan kelengkapan DJI sebagai medium intipan.
DJI menyelar dakwaan AS dan berkata, “pengamal undang-undang yang membawa perundangan ini terus menerus membuat rujukan yang tidak tepat dan tidak berasas berkenaan dengan operasi DJI di samping mengamalkan xenofobia demi menyokong pengeluar dron tempatan dan menghapuskan pesaingan.”
Produk DJI sememangnya sinonim dengan dunia automotif yang bergantung pada kelengkapan seperti dron dan ‘action camera’ untuk membuat rakaman.
Sama ada kita sedar atau tidak, SUV mewah buatan Rolls-Royce kini sudah pun mencecah usia enam tahun sejak ia mula muncul pada tahun 2018.
Kini, Rolls-Royce Cullinan versi facelift telah pun dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kedudukan di kalangan pesaing seperti Aston Martin DBX, Bentley Bentayga, dan Ferrari Purosangue.
Apa yang berubah?
1. Kuasa enjin masih sama
Sayang sekali, Rolls-Royce tidak langsung menyentuh aspek rangkaian kuasa Cullinan.
Bermakna, Cullinan versi asas masih lagi dibekalkan dengan nadi V12 6.75 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 563 hp.
Sementara varian Black Badge yang lebih sporti pula berupaya menghasilkan kuasa 592 hp (600 PS) dan 900 Nm.
2. Penuhi citarasa pembeli muda
Tahukah anda, Rolls-Royce banyak belajar daripada golongan pemilik sebelum mereka menghasilkan model facelift ini.
Untuk memastikan ia kena dengan jiwa dan citarasa demografik pelanggan yang rata-ratanya muda (usia 43 tahun), Rolls-Royce menawarkan perubahan seperti unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk seperti misai nipis yang diinspirasikan daripada bangunan pencakar langit.
Struktur jeriji besar di hadapan SUV ini kini dilengkapi dengan fungsi pencahayaan latar.
Selain daripada itu, rekaan bampar depan dan belakang juga telah dikemas kini untuk model facelift tahun 2025 ini.
3. Arca Spirit of Ecstasy dalam ruang kabin
Tidak cukup dengan kehadiran figurine Spirit of Ecstasy di hujung hud enjin, terdapat juga struktur Spirit of Ecstasy yang sama bersaiz lebih kecil yang boleh didapati pada bahagian bawah jam analog.
Susun atur papan pemuka adalah hampir sama sahaja dengan model pra-facelift, namun boleh dibezakan dengan skrin kluster digital, serta akses penuh kepada aplikasi Whispers yang dikhususkan untuk para pemilik Rolls-Royce dan tiada kaitan langsung dengan lagu Careless Whisper.
Rolls-Royce turut menawarkan kemasan bahan baharu termasuklah kayu Grey Stained Ash, fabrik rayon yang diperbuat daripada kayu buluh, serta corak tempat duduk yang diinspirasikan daripada awanan di Goodwood.
4. Mahukan versi sporti? Pilih varian Black Badge
Penawaran Cullinan varian Black Badge masih lagi dikekalkan untuk model tahun 2025.
Berbanding model asas, versi Black Badge lebih sporti dengan kemasan hitam pada jeriji, Spirit of Ecstasy dan trim tingkap, diikuti dengan kemasan krom hitam pada tip ekzos dan rim bersaiz 23 inci.
Pengaruh warna hitam turut diterapkan pada ruang kabin, dimulakan dengan arca Spirit of Ecstasy diikuti dengan kemasan trim karbon terdiri daripada 23 kepingan yang memerlukan enam lapisan lakuer dan memakan masa 21 hari untuk disiapkan.
Seperti yang disebutkan di atas, Cullinan Black Badge mampu menghasilkan kuasa 600 PS dan 900 Nm, dibantu dengan talaan kepada sistem pendikit, transmisi dan brek untuk pemanduan yang lebih sporti.
Kami syak walaupun ia sebuah varian sporti, majoriti pemilik Cullinan Black Badge ini mungkin tidak akan sekali-kali masuk ke dalam litar lumba sepanjang hayat mereka.
Bentley bakal mengakhiri produksi enjin bentangan W12 pada tahun ini dengan lebih 100,000 unit telah berjaya dihasilkan oleh kilang Dream Factory, Crewe sejak nadi tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2003.
Salah satu unit enjin terakhir tersebut kini sedia untuk dinikmati oleh para peminatnya menerusi pengenalan model cabriolet Bentley Mulliner Batur Convertible.
1. Antara model Bentley W12 terakhir berkuasa 740 hp
Nadi bentangan W12 6.0 liter turbo berkembar yang dimuatkan pada Batur Convertible ini mampu menjana kuasa setinggi 740 hp dan daya kilas setinggi 1,000 Nm.
Angka kuasa kuda dan daya kilas tersebut mampu dicapai, terima kasih kepada beberapa perubahan ekstensif termasuklah sistem kemasukan yang telah disemak semula, unit turbo yang dinaik taraf, serta sistem ekzos titanium.
Kuasa itu kemudian dilampiaskan ke jalan raya menerusi transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang telah ditala untuk pemanduan stail grand tourer.
2. Hanya dua tempat duduk sahaja
Walaupun dibina berdasarkan model Continental GT, Batur Convertible ini hanya menawarkan konfigurasi dua tempat duduk sahaja, berbanding 2+2 pada model asal.
Antara ciri lain yang dimuatkan pada Batur Convertible ini termasuklah spoiler ekor itik terbina, ‘Airbridge’ di belakang tempat perehat kepala, serta struktur bumbung lembut yang boleh dilipat.
Menurut Bentley, struktur bumbung tersebut boleh dilipat dalam masa 19 saat pada kelajuan sehingga 48 km/j.
3. Angka produksi sangat terhad
Hanya 16 unit sahaja Bentley Batur Convertible yang akan dihasilkan, berbanding 18 unit yang diperuntukkan untuk model Batur berbumbung kekal.
Kena cepat berebut, mungkin sekali semasa anda sedang mengira wang dalam tabung MAE, model ini sudah pun habis ditempah.
4. Unit prototaip #0 pun cukup cantik
Model yang dipamerkan ini merupakan unit prototaip #0 (tiada kaitan dengan smart) dengan penampilan yang cukup anggun dan elegan.
Antara ciri unik yang dimuatkan termasuklah kemasan cetakan 3D rose gold untuk ruang kabin, serta gandingan warna Vermillion Gloss, Satin, Carbon Fiber dan Gloss Dark Titanium untuk kemasan luaran.
Bentley juga menyediakan sejumlah pilihan gandingan warna yang tidak terhingga bagi membolehkan para pemilik Batur Convertible ini menyesuaikan kereta mengikut cita rasa masing-masing.
5. Harga
Buat masa ini, Bentley masih belum mengumumkan harga jualan asas bagi model Mulliner Batur Convertible.
Namun sebagai perbandingan, harga untuk sebuah Batur Coupe bermula dari £1.65 juta (RM8.41 juta), manakala model Bacalar yang dihadkan sebanyak 12 unit pula bermula dari £1.5 juta (RM7.65 juta) untuk setiap satu.
Biarpun genre kenderaan coupe dua pintu makin mengecil, ia tidak pernah menghalang Mercedes-Benz daripada terus memperkenalkan model terbaharu yang mampu memenuhi keperluan pasaran niche tersebut.
Berita baik, model grand tourer CLE AMG kini boleh didapati dalam versi bumbung yang boleh dilipat, iaitu Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Cabriolet sebagai pelengkap kepada model hardtop yang diperkenalkan tahun lepas.
Perinciannya adalah seperti berikut:
1. Nadi enam silinder sebaris + sistem hibrid ringan
CLE 53 AMG versi cabriolet ini dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar yang dibantu dengan sistem hibrid ringan (mild-hybrid).
Secara keseluruhan, nadi tersebut mampu menjana kuasa setinggi 443 hp dan daya kilas sehingga 600 Nm dengan menggunakan fungsi Overboost.
Sistem starter-generator 48V pula menyumbang kuasa tambahan sebanyak 22 hp dan 205 Nm, sekaligus menambah baik aspek kecekapan rangkaian kuasa pada CLE AMG ini.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi transmisi 9G Speedshift.
2. Pecutan sepantas 4.2 saat
Secara standard, CLE 53 Cabriolet ini mampu memecut sepantas 4.4 saat dari 0-100 km/j, atau sepantas 4.2 saat menggunakan fungsi Race Start
Sesudah itu, anda boleh memandu CLE 53 Cabriolet ini pada kelajuan sehingga 250 km/j yang dihadkan secara elektronik, atau sehingga 270 km/j yang boleh dinyahkunci dengan tambahan bayaran.
3. Kelengkapan standard
Daripada kilang, Mercedes-AMG melengkapkan model CLE 53 Cabriolet ini dengan ciri seperti sistem suspensi adaptif AMG Ride Control, stereng tiga fasa AMG Parameter, sistem brek berprestasi tinggi, diikuti dengan sistem stereng gandar belakang.
Selain daripada itu, coupe grand tourer cabriolet ini juga dipadankan dengan kit badan penuh AMG, rim bersaiz 19 inci (atau 20 inci).
Terdapat pilihan untuk memadankan pakej tambahan seperti pakej aerodinamik AMG Styling, AMG Night dan juga Carbon.
4. Ruang kabin yang luas melangit
Terima kasih kepada sistem bumbung fabrik yang boleh dilipat dalam masa 20 saat (boleh dibuka dan dipasang kembali pada had kelajuan 60 km/j), pembeli boleh menikmati ruang kabin yang sangat luas, serta ruang kepala yang infiniti.
Susun atur ruang kabin adalah hampir sama sahaja dengan model CLE versi hardtop, termasuklah skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 11.9 inci dengan fungsi larasan sudut bagi mengurangkan kesan silau, salutan khas pada upholsteri kulit bagi mengelakkannya terlampau panas dalam cuaca bahang, serta sistem pencahayaan ambien.
5. Aspek keselesaan ditambah baik
Untuk memastikan penumpang berasa selesa walaupun dalam keadaan bumbung terbuka, Mercedes telah menambah beberapa fungsi yang berguna.
Seperti contoh, pemesong angin berkuasa elektrik Aircap, serta sistem aliran dan pemanas leher Airscarf.
Bukan itu sahaja, Mercedes turut memperkukuhkan lagi struktur casis termasuklah sistem perlindungan gulingan (rollover), tiang yang lebih tegar, serta penambahan beg udara untuk memastikan keselamatan penumpang dalam situasi yang tidak diingini.
SUBARU akhirnya memperkenalkan pakej kombinasi idaman ramai peminat tegarnya; WRX, wagon, dan manual. Ia hadir dalam bentuk Subaru WRX Sportwagon.
Masalahnya, seperti anda baca pada tajuk, kita tidak boleh membelinya. Subaru WRX Sportwagon ini hanya ditawarkan untuk Mexico. Ya, untuk Jepun atau Amerika Syarikat pun tiada.
Kenderaan prestasi tinggi wagon ini akan mula dijual di Mexico tidak lama lagi, dan tempahan sudah mula dibuka.
WRX Sportwagon dikuasakan oleh enjin 2.4-liter boxer 4-silinder turbo dengan output 271hp dan 350Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.
Ciri standard wagon adalah pintu but berkuasa dan tempat duduk belakang dengan lipatan 40/20/40.
Subaru WRX Sportwagon ini akan dijual pada harga MX$819,900 (RM230k). Sementara itu WRX tS berharga MX$919,900 (RM258k) manakala WRX dengan kotak gear CVT dijual pada MX$899,900 (RM252k).
Ramai peminat WRX wagon manual di sini? Adakah kemungkinan kita boleh beli dari Mexico dan import ke Malaysia? Tinggalkan pendapat anda di ruangkan komen.
PORSCHE Taycan Turbo GT dipilih menjadi safety car (kereta keselamatan) bagi Formula E. Dua unit EV paling berkuasa Porsche itu akan membuat kemunculan umum pertama di perlumbaan Berlin pada 11 dan 12 Mei akan datang.
Thomas Laudenbach, Naib Presiden Porsche Motorsport berkata: “Kelestarian dan elektrifikasi adalah cukup penting bagi Porsche, dimana ia dizahirkan melalui aktiviti sukan permotoran kami – termasuk pemilihan Taycan Turbo GT sebagai safety car.
“Ini simbolik dari perkara yang kami belajar dari sukan permotoran untuk pelbagai kegunaan. Dalam Formula E, ianya sangat penting untuk kereta sports elektrik, sebagai contoh pengurusan tanaga.
Taycan Turbo GT baharu ini hadir dengan lebih kuasa dan jarak pemanduan selain boleh dicas dengan lebih pantas. Ia telah memecahkan beberapa rekod di litar Nurburgring dan Laguna Seca.
Dengan pakej Weissach, ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 2.2 saat, dan mencapai kelajuan maksima 305km/j.
Attack Mode pula menghamburkan sehingga 120kW kuasa tambahan. Ini merupakan teknologi dari Porsche 99X Electric, iaitu jentera Formula E yang memenangi kejuaraan terkini.
Untuk pertama kali, dua versi jentera EV ini akan memikul tugas safety car. Kereta pertama ialah Taycan Turbo GT dengan warna Purple Sky Metallic, manakala satu lagi dengan warna Shade Green Metallic.
Bike Specialist di Sheffield, United Kingdom sedang menjual jentera Ducati MotoGP yang pernah ditunggang Troy Bayliss pada musim 2003
.
Jentera Desmosedici GP3 989cc itu – yang dikendalikan Bayliss dan Loris Capirossi – merupakan mesin yang ikonik kerana menandakan kembalinya Ducati pada kelas premier perlumbaan GP selepas 30 tahun.
“Jentera Desmosedici yang kami tawarkan adalah model GP3TB1 (yang merujuk kepada tahun 2003),” jelas Bike Specialist.
Pada musim 2003, Ducati mendakwa jentera GP3 ini menawarkan lebih 200hp pada 16,000rpm dan mampu mencapai kelajuan lebih 320km/j dengan berat hanya 145kg.
Menurut Bike Specialist, jentera Ducati MotoGP ini dibuka untuk jualan dengan harga GBP350,000 (RM2.08j).
SHELL dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Saudi Aramco untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia.
Reuters yang memetik empat sumber industri berkata ia melibatkan perjanjian bernilai kira-kira empat hingga lima bilion ringgit.
Shell enggan mengulas mengenai rundingan itu tetapi berkata Malaysia adalah negara penting kepada syarikat itu. Saudi Aramco juga enggan mengulas.
Shell yang berpangkalan di London memiliki sekitar 950 stesen minyak di seluruh Malaysia, menjadikan ia syarikat petroleum dengan rangkaian kedua terbesar di negara ini selepas Petronas.
Rundingan bermula pada akhir 2023 dan perjanjian mungkin dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, kata satu sumber.
Dua sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu meletakkan potensi saiz urus niaga pada kira-kira empat bilion hingga lima bilion ringgit ($844 juta hingga $1.06 bilion).
Di samping stesen minyak, Shell turut menjual pelincir industri, mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di luar pesisir negeri Sarawak dan Sabah, dan merupakan rakan usaha sama dalam dua usaha niaga gas asli cecair (LNG).
Penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha Ketua Pegawai Eksekutif, Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan.
Shell berkata ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen minyak tahun ini dan seterusnya. Syarikat itu juga sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura.
Satu sumber turut berkata bahawa usaha Shell untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia konsisten dengan langkahnya untuk menjual loji penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang merupakan pembekal rangkaian itu.
Saudi Aramco, yang dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi, tidak mempunyai stesen minyak di Malaysia namun memiliki 50% daripada 300,000 tong sehari (bpd) loji penapisan Pengerang dalam satu usaha sama dengan Petronas.
Aramco mengendalikan stesen minyak di Arab Saudi dan juga mengendalikan stesen minyak di tempat lain dalam usaha sama dengan TotalEnergies di Perancis dan S-Oil Corp di Korea Selatan.
Sukan berprestij Formula Satu nampaknya telah berjaya menarik minat golongan pengikut baharu (terutama di Amerika Syarikat) selepas siri dokumentari Drive to Survive ditayangkan di Netflix sejak tahun 2019.
Terkini, Netflix dilapor bakal menerbitkan siri dokumentari mini enam episod berkisarkan kisah hidup juara F1 dari Brazil, Ayrton Senna yang bakal ditayangkan pada tahun ini.
Berdasarkan trailer acah yang disiarkan, dokumentari Senna itu bakal mengisahkan kerjaya Ayrton Senna sebagai pelumba F1, kehidupan serta hubungan dalam dunia sebenar.
Trailer itu turut memaparkan kesukaran yang dialami oleh Ayrton Senna dalam usaha untuk membawa pulang kejayaan semasa GP Brazil pada tahun 1991, selain mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau dalam dunia perlumbaan sejak usia muda.
Dokumentari Senna ini bakal dibintangi oleh Gabriel Leone sebagai Senna, Pâmela Tomé (teman wanita Senna), serta beberapa bintang antarabangsa yang bakal membawakan watak penting seperti Niki Lauda, James Hunt dan Osamu Goto.
Untuk makluman, Ayrton Senna juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam menyempurnakan karakteristik pemanduan kereta sports berenjin tengah Honda NSX generasi pertama.
Syarikat pengeluar kenderaan elektrik Tesla Inc baru-baru ini telah menyaman sebuah syarikat pengeluar bateri yang menggunakan nama yang hampir sama di pasaran India, iaitu Tesla Power USA.
Tindakan saman tersebut dibuat setelah mendapati syarikat Tesla Power USA terus menggunakan nama tersebut untuk produk keluarannya walaupun sudah menerima notis cease-and-desist (C&D) pada April 2022.
Menurut laporan Reuters, peguam Tesla Power telah memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu hanya mengeluarkan bateri asid plumbum yang ringkas, dan tidak merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) seperti Tesla.
Namun, berdasarkan semakan di laman web rasmi Tesla Power USA jelas sekali mendedahkan penjenamaan yang digunakan oleh syarikat itu, serta turut menyertakan lokasi ibu pejabat yang terletak di Delaware – negeri sama di mana Tesla Inc diperbadankan.
Pihak mahkamah telah memberikan tempoh masa sehingga tiga minggu kepada syarikat India tersebut untuk mengemukakan jawapan balas.
Tesla Power USA juga dilarang daripada terus menggunakan tanda dagangan yang dimiliki oleh Tesla Inc sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 22 Mei ini.