fbpx

Bentley Mulliner Batur Convertible, nadi W12 740 hp, 16 unit sahaja

bentley-batur-convertible 2

Bentley bakal mengakhiri produksi enjin bentangan W12 pada tahun ini dengan lebih 100,000 unit telah berjaya dihasilkan oleh kilang Dream Factory, Crewe sejak nadi tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2003.

Salah satu unit enjin terakhir tersebut kini sedia untuk dinikmati oleh para peminatnya menerusi pengenalan model cabriolet Bentley Mulliner Batur Convertible.

 

1. Antara model Bentley W12 terakhir berkuasa 740 hp

Nadi bentangan W12 6.0 liter turbo berkembar yang dimuatkan pada Batur Convertible ini mampu menjana kuasa setinggi 740 hp dan daya kilas setinggi 1,000 Nm.

Angka kuasa kuda dan daya kilas tersebut mampu dicapai, terima kasih kepada beberapa perubahan ekstensif termasuklah sistem kemasukan yang telah disemak semula, unit turbo yang dinaik taraf, serta sistem ekzos titanium.

Kuasa itu kemudian dilampiaskan ke jalan raya menerusi transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang telah ditala untuk pemanduan stail grand tourer.

 

2. Hanya dua tempat duduk sahaja

Walaupun dibina berdasarkan model Continental GT, Batur Convertible ini hanya menawarkan konfigurasi dua tempat duduk sahaja, berbanding 2+2 pada model asal.

Antara ciri lain yang dimuatkan pada Batur Convertible ini termasuklah spoiler ekor itik terbina, ‘Airbridge’ di belakang tempat perehat kepala, serta struktur bumbung lembut yang boleh dilipat.

Menurut Bentley, struktur bumbung tersebut boleh dilipat dalam masa 19 saat pada kelajuan sehingga 48 km/j.

 

3. Angka produksi sangat terhad

Hanya 16 unit sahaja Bentley Batur Convertible yang akan dihasilkan, berbanding 18 unit yang diperuntukkan untuk model Batur berbumbung kekal.

Kena cepat berebut, mungkin sekali semasa anda sedang mengira wang dalam tabung MAE, model ini sudah pun habis ditempah.

 

4. Unit prototaip #0 pun cukup cantik

Model yang dipamerkan ini merupakan unit prototaip #0 (tiada kaitan dengan smart) dengan penampilan yang cukup anggun dan elegan.

Antara ciri unik yang dimuatkan termasuklah kemasan cetakan 3D rose gold untuk ruang kabin, serta gandingan warna Vermillion Gloss, Satin, Carbon Fiber dan Gloss Dark Titanium untuk kemasan luaran.

Bentley juga menyediakan sejumlah pilihan gandingan warna yang tidak terhingga bagi membolehkan para pemilik Batur Convertible ini menyesuaikan kereta mengikut cita rasa masing-masing.

 

5. Harga

Buat masa ini, Bentley masih belum mengumumkan harga jualan asas bagi model Mulliner Batur Convertible.

Namun sebagai perbandingan, harga untuk sebuah Batur Coupe bermula dari £1.65 juta (RM8.41 juta), manakala model Bacalar yang dihadkan sebanyak 12 unit pula bermula dari £1.5 juta (RM7.65 juta) untuk setiap satu.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved