fbpx

Rolls-Royce Cullinan facelift dapat DRL bentuk misai nipis, nadi V12 600 PS

Rolls-Royce-Cullinan-Black-Badge-facelift-00015-2048×1152

Sama ada kita sedar atau tidak, SUV mewah buatan Rolls-Royce kini sudah pun mencecah usia enam tahun sejak ia mula muncul pada tahun 2018.

Kini, Rolls-Royce Cullinan versi facelift telah pun dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kedudukan di kalangan pesaing seperti Aston Martin DBX, Bentley Bentayga, dan Ferrari Purosangue.

Apa yang berubah?

 

1. Kuasa enjin masih sama

Sayang sekali, Rolls-Royce tidak langsung menyentuh aspek rangkaian kuasa Cullinan.

Bermakna, Cullinan versi asas masih lagi dibekalkan dengan nadi V12 6.75 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 563 hp.

Sementara varian Black Badge yang lebih sporti pula berupaya menghasilkan kuasa 592 hp (600 PS) dan 900 Nm.

 

2. Penuhi citarasa pembeli muda

Tahukah anda, Rolls-Royce banyak belajar daripada golongan pemilik sebelum mereka menghasilkan model facelift ini.

Untuk memastikan ia kena dengan jiwa dan citarasa demografik pelanggan yang rata-ratanya muda (usia 43 tahun), Rolls-Royce menawarkan perubahan seperti unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk seperti misai nipis yang diinspirasikan daripada bangunan pencakar langit.

Struktur jeriji besar di hadapan SUV ini kini dilengkapi dengan fungsi pencahayaan latar.

Selain daripada itu, rekaan bampar depan dan belakang juga telah dikemas kini untuk model facelift tahun 2025 ini.

 

3. Arca Spirit of Ecstasy dalam ruang kabin

Tidak cukup dengan kehadiran figurine Spirit of Ecstasy di hujung hud enjin, terdapat juga struktur Spirit of Ecstasy yang sama bersaiz lebih kecil yang boleh didapati pada bahagian bawah jam analog.

Susun atur papan pemuka adalah hampir sama sahaja dengan model pra-facelift, namun boleh dibezakan dengan skrin kluster digital, serta akses penuh kepada aplikasi Whispers yang dikhususkan untuk para pemilik Rolls-Royce dan tiada kaitan langsung dengan lagu Careless Whisper.

Rolls-Royce turut menawarkan kemasan bahan baharu termasuklah kayu Grey Stained Ash, fabrik rayon yang diperbuat daripada kayu buluh, serta corak tempat duduk yang diinspirasikan daripada awanan di Goodwood.

 

4. Mahukan versi sporti? Pilih varian Black Badge

Penawaran Cullinan varian Black Badge masih lagi dikekalkan untuk model tahun 2025.

Berbanding model asas, versi Black Badge lebih sporti dengan kemasan hitam pada jeriji, Spirit of Ecstasy dan trim tingkap, diikuti dengan kemasan krom hitam pada tip ekzos dan rim bersaiz 23 inci.

Pengaruh warna hitam turut diterapkan pada ruang kabin, dimulakan dengan arca Spirit of Ecstasy diikuti dengan kemasan trim karbon terdiri daripada 23 kepingan yang memerlukan enam lapisan lakuer dan memakan masa 21 hari untuk disiapkan.

Seperti yang disebutkan di atas, Cullinan Black Badge mampu menghasilkan kuasa 600 PS dan 900 Nm, dibantu dengan talaan kepada sistem pendikit, transmisi dan brek untuk pemanduan yang lebih sporti.

Kami syak walaupun ia sebuah varian sporti, majoriti pemilik Cullinan Black Badge ini mungkin tidak akan sekali-kali masuk ke dalam litar lumba sepanjang hayat mereka.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved