fbpx

BMW M4 CS (G82) tampil dengan 550 PS, kelajuan maksimum 302 km/j!

BMW M4 CS 04

BARISAN BMW M4 generasi G82 kini lengkap dengan kehadiran varian terbaru iaitu Competition Sport atau lebih dikenali sebagai CS.

Diposisikan antara M4 Competition dan M4 CSL yang ekstrem, M4 CS tampil dengan talaan spesifik bagi menjadikan ia seimbang untuk kegunaan harian dan pemanduan di litar.

Dalam erti kata lain, ia tidak ubah seperti M3 CS G80 yang diperkenalkan pada 2023. Jentera ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo inline-six yang sama yang menghasilkan 550 PS dan 650 Nm.

Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang memacu semua roda menerusi sistem M xDrive, M4 CS boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j.

Selain enjin, prestasi hebat kereta ini turut disumbangkan oleh pengurangan berat yang telah dilakukan oleh BMW.

Antara langkah yang dilakukan adalah menggunakan CFRP yang ringan untuk bumbung, bonet, splitter depan, air intake depan, cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler.

Di dalam, bahan ringan itu turut digunakan secara meluas dan boleh dilihat pada konsol tengah, paddle shifter dan kerusi bucket M Carbon.

Bukan itu sahaja, M4 CS juga dilengkapi dengan penyenyap titanium yang dikatakan 4 kg lebih ringan berbanding sistem ekzos standard.

Secara keseluruhannya, BMW berjaya menjadikan M4 CS 20 kg lebih ringan berbanding M4 Competition M xDrive.

Jentera ini didatangkan standard dengan sistem gantungan adaptif M dan stereng elektromekanikal M Servotronic, namun untuk pengendalian yang lebih mantap, pelanggan boleh mendapatkan strut brace depan yang ditawarkan secara berasingan.

Untuk brek pula, ia menggunakan cakera M Compound yang boleh dinaik taraf kepada cakera karbon seramik. Rim aloi tempaan didatangkan dalam saiz berlainan iaitu 19 inci di depan dan 20 inci di belakang, bersama tayar litar secara standard.

Pelanggan boleh mendapatkan tayar ultra litar atau tayar prestasi yang lebih sesuai untuk kegunaan harian tanpa sebarang bayaran tambahan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved