Mazda melancarkan produk kerjasama rasmi pertama dengan manga Initial D, sempena ulang tahun ke-60 kenderaan Mazda yang menggunakan enjin rotary.
Model tersebut ialah set dua model kereta skala 1/64 yang menampilkan FC3S Savanna RX-7 dan FD3S ɛ̃fini RX-7, iaitu kereta milik adik-beradik Takahashi.
Produk bernama Initial D RX-7 (FC&FD) Model Car 2-Car Set 1/64 itu akan mula dijual pada 3 Oktober 2026, jam 9 pagi menerusi Mazda Online Shop.
Dua RX-7 Dalam Satu Set
Set ini menampilkan FC3S Savanna RX-7 berwarna putih yang dipandu Ryosuke Takahashi serta FD3S ɛ̃fini RX-7 berwarna kuning milik Keisuke Takahashi.
Kedua-duanya dihasilkan dalam skala 1/64. Kedua-dua model turut disusun secara berperingkat dan pada sudut berbeza bagi menggambarkan aksi ketika melalui jalan gunung.
Reka Bentuk Dengan Latar Jalan Gunung
Bahagian dalam kotak menampilkan jalan gunung ketika waktu subuh.
Gabungan dua model kereta dan latar tersebut membentuk gambaran kedua-dua RX-7 sedang dipandu di jalan gunung.
Reka bentuk ini juga membolehkan set tersebut dipamerkan bersama kotak.
Bahagian belakang pula menampilkan tandatangan Shuichi Shigeno, penulis Initial D, selain dialog daripada Ryosuke Takahashi mengenai enjin rotary.
Dialog tersebut dipilih oleh kakitangan Mazda kerana dianggap mempunyai kaitan dengan sejarah perkembangan enjin rotary serta semangat cabaran tanpa henti yang ditekankan Mazda.
Enjin Rotary Sambut Ulang Tahun Ke-60
Enjin rotary merupakan antara teknologi yang menjadi simbol Mazda.
Pada Mei 2027, genap 60 tahun sejak Mazda memperkenalkan Cosmo Sport, iaitu model pengeluaran pertama Mazda yang menggunakan enjin rotary.
Enjin rotary Mazda terus berkembang selepas melalui pelbagai cabaran dan kini digunakan termasuk sebagai enjin untuk penjanaan kuasa, dan Mazda terus meneroka potensinya.
Kerjasama dengan Initial D dipilih kerana RX-7 dengan enjin rotary memainkan peranan dalam manga tersebut dan telah membawa pengalaman keseronokan memandu kepada ramai peminat.
Model Skala Mazda RX-7 Initial D
Model: Initial D RX-7 (FC&FD) Model Car 2-Car Set 1/64
Tamarit Motorcycles dari Alicante, Sepanyol dinobatkan sebagai juara Triumph Originals 2026.
Pertandingan ini merupakan acara ubah suai motosikal global anjuran Triumph Motorcycles yang menghimpunkan tujuh pasukan dari tujuh negara.
Benua Eropah sekali lagi membuktikan hubungan rapat di antara pengeluar dan pengubahsuai selepas acara Honda Customs beberapa minggu lalu.
Tamarit menggunakan Triumph Scrambler 400 XC untuk menghasilkan binaan bertemakan konsep kapsul masa.
Motosikal itu menerima 33 peratus undian awam dan turut memperoleh markah keseluruhan tertinggi daripada panel juri.
Triumph Originals 2026 Gabungkan Tujuh Negara
Triumph Originals 2026 – Perancis
Triumph Originals 2026 mencabar pasukan dari Kanada, China, Perancis, Itali, Sepanyol, UK dan Amerika Syarikat untuk menghasilkan sebuah Scrambler unik.
Tema kapsul masa memberi kebebasan kepada setiap pasukan untuk mengambil inspirasi daripada era penting dalam sejarah Scrambler.
Ribuan peminat motosikal di seluruh dunia mengundi untuk menentukan pemenang. Undian awam kemudian digabungkan dengan penilaian panel juri antarabangsa.
Triumph Originals 2026 – China
Penilaian mengambil kira tiga aspek utama, iaitu keaslian, pelaksanaan teknikal dan tafsiran terhadap tema Time Capsule.
Panel juri diketuai Steve Sargent, Ketua Pegawai Produk Triumph Motorcycles.
Beliau turut disertai Chase McQueen, cucu Steve McQueen dan anak Chad McQueen, serta penulis dan wartawan Eric Hendricx.
Panel itu turut menampilkan Rolf Henniges, wartawan motosikal dari Jerman dan pengasas majalah FUEL, serta Satoshi, pengasas bersama dan mekanik utama Fonk Motorcycles dari Jepun.
Tamarit Scrambler 400 XC Dinobatkan Juara
Hasil kerja Tamarit menarik perhatian juri menerusi reka bentuk, kejuruteraan dan tahap kemasan keseluruhan.
Menurut Triumph, Scrambler 400 XC berkenaan memberikan tafsiran yang sejati terhadap tema kapsul masa.
Eric Hendricx berkata binaan Tamarit mempunyai hubungan yang kuat antara konsep visual dengan aspek kejuruteraan dan fabrikasi.
Menurutnya, motosikal itu kelihatan lebih ringan, tajam dan berorientasikan prestasi berbanding model asas.
Chase McQueen pula menyifatkan binaan itu sebagai motosikal yang kelihatan ringan, tinggi dan bersedia untuk perlumbaan.
Gabungan warna putih, nombor merah dan elemen Sepanyol turut dikatakan memberikan karakter motosikal perlumbaan gurun pasir klasik.
Satoshi menekankan tahap kemahiran teknikal Tamarit kerana pasukan itu berjaya mengimbangi reka bentuk dan fungsi daripada peringkat konsep sehingga binaan akhir.
Tamarit Motorcycles Bina Lebih 210 Motosikal
Tamarit Motorcycles diasaskan pada 2010 oleh Quique Berna dan Matías Canales yang mahu menjadikan minat terhadap motosikal sebagai kerjaya.
Bengkel itu telah menghasilkan lebih 210 motosikal unik untuk pelanggan di seluruh dunia.
Tamarit memberi tumpuan khusus kepada motosikal Triumph, termasuk pengubahsuaian enjin Bonneville dan penggunaan sistem aksesori tersendiri.
Pendekatan mereka menggabungkan elemen warisan British dengan gaya hidup Mediterranean.
Tamarit juga menekankan kerja tangan dan tidak mengejar trend semasa.
Sebaliknya, mereka mengekalkan karakter asal Triumph sambil meningkatkan reka bentuk serta fungsi motosikal.
Menariknya, Quique sebelum ini menjadi salah seorang juri Triumph Originals pada pertandingan tahun lalu.
Pengalaman itu membantu pasukannya memahami standard kemasan dan penceritaan yang diperlukan sebelum menghasilkan binaan untuk pertandingan tahun ini.
Scrambler Terus Jadi Platform Custom
Menurut Steve Sargent, Scrambler telah menjadi platform untuk pemilik menghasilkan motosikal mengikut cita rasa sendiri selama lebih 60 tahun.
Daripada motosikal desert sled era 1960-an sehingga model Scrambler 400cc, 900cc dan 1200cc hari ini, model tersebut terus digunakan sebagai asas untuk pelbagai binaan custom.
Kemenangan Tamarit dalam Triumph Originals 2026 sekali lagi mengetengahkan kepelbagaian platform Scrambler serta kemahiran komuniti pembina motosikal custom dari seluruh dunia.
Enam Binaan Triumph Originals 2026
Triumph Originals 2026 – AS
Kanada: Motos Illimitées menggunakan Scrambler 1200 XE dengan konsep supermoto berkapasiti besar, diinspirasikan daripada motocross dan tunggangan off-road.
China: BVL Garage menghasilkan BVL-VMX-900 berasaskan Scrambler 900 dengan inspirasi TR7T Tiger Trail 1981 dan gaya VMX era 1980-an.
Perancis: FCR Original menghasilkan Scrambler 1200 XE ‘Red Dust’ yang menggabungkan elemen pengembaraan, habuk, aksi dan gaya Scrambler era 1960-an.
Itali: South Garage Motor Co menghasilkan Dune 400 berasaskan Scrambler 400 XC dengan inspirasi Scrambler asal serta motosikal perlumbaan gurun era 1980-an dan 1990-an.
UK: Stockwell Design menggunakan Scrambler 900 dengan fokus terhadap keseimbangan reka bentuk, kejuruteraan dan penceritaan.
Amerika Syarikat: Triumph Columbia River menghasilkan Scrambler 1200 X bertemakan pengembaraan Pacific Northwest, dengan inspirasi daripada landskap, jalan raya dan aktiviti luar di Portland, Oregon.
Volkswagen bakal memperkenalkan ID. Tiguan pada awal Oktober sebelum SUV elektrik baharu itu memasuki pasaran pada awal 2027.
ID. Tiguan model ketiga Volkswagen yang menggunakan nama sedia ada selepas ID. Polo dan ID. Cross.
Model ini akan menggantikan ID.4 dan ID.5, selain ditawarkan bersama Tiguan yang dipacu rangkaian kuasa enjin pembakaran (ICE) dan hibrid.
Tiguan merupakan model terlaris Volkswagen dan Volkswagen Group dengan lebih 8.3 juta unit Tiguan telah dihasilkan setakat ini.
Dalam tempoh setahun lalu, penghantaran Tiguan dan Tayron melebihi 1 juta unit.
Reka Bentuk Baharu
Meskipun berkongsi nama, ID. Tiguan bukan salinan versi ICE sebaliknya tampil dengan rekaan baharu.
AutoCar berpeluang memandu prototaip ID. Tiguan dan menurut mereka, model ini 44 mm lebih panjang berbanding ID.4.
Meskipun ditutup dengan pelekat, dapat dilihat rekaan keseluruhan yang kemas dan bergaya. Model ini juga lebih cenderung ke arah crossover berbanding SUV seperti Tiguan.
Dua Pilihan Bateri
Menurut AutoCar, ID. Tiguan dijangka mengekalkan dua pilihan bateri, iaitu bateri 58 kWj litium-besi-fosfat (LFP) untuk varian asas dan bateri 77 kWj nikel-mangan-kobalt (NMC).
Kapasiti bateri tidak meningkat berbanding ID.4, tetapi kemas kini pada platform dan sistem pemacu elektrik memberikan peningkatan dari segi kecekapan dan jarak.
Tiga output kuasa dijangka ditawarkan, iaitu:
188 hp
282 hp
295 hp untuk versi dwi-motor 4Motion
Jarak pemanduan pula dianggarkan antara 280 hingga 373 batu (450 hingga 600 km), bergantung kepada varian.
AutoCar menyatakan jarak tersebut membolehkan ID. Tiguan mengatasi Hyundai Ioniq 5, selain merapatkan jurang dengan Tesla Model Y dan Renault Scenic E-Tech.
Pelancaran rasmi Volkswagen ID. Tiguan dijadualkan pada awal Oktober 2026, sebelum memasuki pasaran Eropah pada awal 2027.
Bakal Masuk Malaysia?
Berbanding pengeluar lain, Volkswagen dilihat ketinggalan dalam penawaran kenderaan elektrik di pasaran Malaysia dan Asean.
Di sebalik pergerakan yang perlahan, Volkswagen sentiasa hadir dengan kejutan seperti Golf GTI, Touareg yang dipasang di Pekan, Pahang.
Volkswagen juga memasarkan Tayron yang masih baharu di pasaran antarabangsa.
Berbekalkan penerimaan pasaran yang positif terhadap EV, ID. Tiguan dilihat mempunyai potensi bagi mengisi ruang yang masih kosong dari Volkswagen.
Kali terakhir Mazda menggunakan warna luaran Sunflower Yellow pada MX-5 adalah pada generasi NC, tetapi model itu sudah meninggalkan pasaran lebih sedekad lalu.
Kini, warna kuning ikonik tersebut kembali pada MX-5 generasi ND menerusi MX-5 FSW Ver.2, namun hanya enam unit akan dihasilkan.
Dan untuk mendapatkannya, pembeli perlu menyertai cabutan bertuah secara fizikal di Fuji Speedway.
Bukan sekadar cat semula di pusat pengedar
MX-5 FSW Ver.2 bukanlah model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Mazda Motor Corporation. Ia merupakan projek bersama empat pengedar jenama itu di Jepun, iaitu Koshin Mazda, Shizuoka Mazda, Tokai Mazda Sales dan Kanto Mazda.
Asasnya ialah versi S Special Package dengan kemasan dalaman Jet Black Mica, sebelum diberikan warna Sunflower Yellow yang sebelum ini hanya ditawarkan pada MX-5 generasi NC.
Warna yang sama pernah ditawarkan untuk MX-5 pasaran Amerika Syarikat bagi model keluaratan tahun 2009 dan 2010 namun di sana, ia dikenali sebagai Competition Yellow.
Menariknya, kerja mengecat semula dan proses pengesahan kereta ini dilakukan di Mazda Engineering & Technology (E&T) di Hiroshima, iaitu fasiliti yang sama di mana kereta-kereta konsep dihasilkan.
Setiap satu daripada enam unit FSW Ver.2 didatangkan dengan sijil daripada E&T bagi mengesahkan asal-usul dan proses pembinaannya.
Bukan sekadar beli warna eksklusif
Pakej Sunflower Yellow ini menelan kos tambahan sebanyak 1,452,000 yen atau sekitar RM37,600 berbanding harga sebuah MX-5 biasa.
Namun, pembeli bukan sekadar membayar untuk cat tersebut. Setiap pembeli bakal menikmati pengalaman istimewa lawatan dua hari satu malam ke Hiroshima, termasuk kunjungan ke ibu pejabat Mazda, Mazda Museum serta fasiliti E&T berkenaan.
Nak beli? Kena menang cabutan bertuah di Fuji Speedway
Permohonan untuk mendapatkan MX-5 FSW Ver.2 akan dibuka ketika Mazda Fan Festa 2026 di Fuji Speedway pada 3 dan 4 Oktober ini, dengan tiga unit diperuntukkan bagi setiap hari. Pemohon perlu hadir sendiri ke acara tersebut bagi mengemukakan permohonan.
Pemenang akan diumumkan dari pentas utama sebelum acara berakhir, dan hak pembelian hanya diberikan kepada nama yang didaftarkan.
Model ini juga terhad kepada pasaran Jepun, dengan jualan serta khidmat selepas jualan dikendalikan oleh salah satu daripada empat pengedar yang terlibat.
Nissan telah memperkenalkan model konsep Z Kaze di ZCON, konvensyen tahunan Z Car Club Association yang diadakan di Phoenix, Arizona baru-baru ini.
Dibangunkan berasaskan model Z generasi semasa, ia dihasilkan sebagai penghormatan moden kepada legasi Z dengan elemen reka bentuk serta gaya pemanduan era terdahulu.
Bumbung T-top bertemu gaya tuner era 90-an
Nama Kaze diambil daripada perkataan Jepun yang bermaksud “angin”. Konsep ini dibangunkan oleh pasukan perancang produk dan pereka Nissan sebagai projek ‘suka-suka’ yang menggabungkan warisan kereta sport Nissan dengan budaya modifikasi kereta era 1990-an.
Kemasan luaran menggunakan warna Pacific Teal, dengan beberapa naik taraf untuk memberikan Z penampilan yang lebih agresif. Antaranya ialah bonet gentian karbon ringan dengan lubang pengudaraan, fender yang dilebarkan serta kit aerodinamik badan daripada gentian karbon.
Z Kaze turut menggunakan rim Nismo LMGT2 18 inci yang ditempa dan terdiri daripada beberapa bahagian. Rim ini sebenarnya sudah lama tidak dikeluarkan, jadi Nissan telah mendapatkan satu set asal yang dibina semula khusus untuk konsep ini.
Lebar rim tersebut ialah 10 inci di hadapan dan 11 inci di belakang, sekali gus memberikan penampilan yang lebih berisi pada bahagian sisi.
Di dalam, Z Kaze menampilkan tempat duduk dibalut kulit putih, bersama kemasan gentian karbon untuk memberikan suasana lebih sporty. Tempat duduk tersebut turut dilengkapi pembesar suara Bose Personal Plus pada perehat kepala, membolehkan penumpang menikmati muzik walaupun bumbung ditanggalkan.
Enjin V6 turbo berkembar dapat sentuhan GReddy
Apa yang lebih menarik, bahagian mekanikal Z Kaze turut mendapat beberapa peningkatan, dengan sistem suspensi dinaik taraf menggunakan komponen Nismo.
Enjin asal 3.0-liter turbo V6 dikekalkan, namun sesuai dengan tema konsep ini, beberapa komponen daripada syarikat talaan Jepun GReddy digunakan bagi memberikan kuasa yang lebih mengujakan.
Antaranya ialah sistem ekzos Supreme SP, kit intercooler udara-ke-udara yang dipasang di bahagian hadapan serta kit penapis udara Airinx. Jumlah kuasanya tidak didedahkan namun ia sudah pasti lebih tinggi berbanding versi standard yang menjana 400 hp dan 475 Nm.
Z moden dengan semangat kereta sport klasik
Menurut Nissan, Z Kaze dibangunkan dengan inspirasi daripada pengalaman memandu di sepanjang Pacific Coast Highway, California, pada hari musim panas.
Konsep ini menggabungkan elemen daripada sejarah Z, budaya talaan era 1990-an serta pengalaman pemanduan terbuka yang ditawarkan oleh bumbung T-top.
Buat masa ini, Z Kaze kekal sebagai kereta konsep dan projek khas Nissan, tanpa pengumuman mengenai sebarang rancangan untuk menawarkannya dalam pasaran.
SUBARU mengumumkan harga Impreza 2027 di Amerika Syarikat (AS), dengan harga permulaan AS$24,595 (RM100,324).
Harga itu AS$2,000 (RM8,156) lebih rendah berbanding harga model aras mula Impreza 2026.
Subaru juga memaklumkan Impreza 2027 kini kereta kompak pacuan semua roda (AWD) paling mampu milik yang dijual di AS.
Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Impreza dan Impreza RS.
Subaru Impreza 2027
Antara kelengkapan standard termasuk rim aloi 17 inci kelabu gelap, teknologi bantuan pemanduan EyeSight, Keyless Access dengan butang mula.
Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto melalui sambungan berwayar.
Bahagian dalam menggunakan balutan fabrik Tricot, kawalan pendingin hawa automatik dua zon serta port pengecasan USB-A dan USB-C.
Sistem maklumat hibur menggunakan dua skrin sentuh 7 inci.
Skrin atas mengendalikan fungsi maklumat hibur, manakala skrin bawah digunakan untuk kawalan pendingin hawa dan fungsi kenderaan.
Turut tersedia radio satelit SiriusXM dengan percubaan percuma selama empat bulan, HD Radio dan Bluetooth.
Teknologi bantuan pemanduan EyeSight merangkumi brek praperlanggaran, amaran keluar lorong dan melencong dan bantuan kekal lorong.
EyeSight turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan dengan fungsi mengekalkan kenderaan di tengah lorong serta Bantuan Berhenti Kecemasan.
Lampu utama LED dengan fungsi mengikut arah stereng dan bantuan lampu tinggi turut menjadi kelengkapan standard.
Subaru Impreza RS 2027
Impreza RS kembali untuk tahun model 2027 dengan harga AS$29,495 (RM120,479), sama seperti model sebelumnya.
Varian ini menerima rim aloi 18 inci kelabu gelap, balutan fabrik RS hitam, lampu kabus dan spoiler bumbung Crystal Black Silica.
Kabin menggunakan sistem maklumat hibur Subaru 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ia turut mempunyai SiriusXM dengan 360L, HD Radio dan Bluetooth.
Pengecas telefon pintar tanpa wayar yang dinaik taraf turut ditawarkan sebagai kelengkapan baharu.
Perkhidmatan MySubaru Connected Companion termasuk dalam pakej standard dengan percubaan lima tahun.
Ia menyediakan fungsi seperti panggilan kecemasan SOS, pemberitahuan pelanggaran lanjutan dan semakan keadaan kenderaan.
Pakej MySubaru Connected Services Companion+ pula tersedia untuk tempoh tiga atau lima tahun.
Di antara fungsi seperti menghidupkan enjin dari jauh bersama kawalan suhu, mengunci dan membuka kunci dari jauh serta amaran waktu berkurung dan amaran sempadan.
Pakej semua cuaca juga standard pada Impreza RS.
Ia merangkumi kerusi hadapan dengan pemanas, cermin sisi yang dipanaskan serta penyahbeku pengelap cermin hadapan.
Sistem EyeSight pada varian ini turut ditambah dengan Pengesanan Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang serta Bantuan Kekal Lorong Kecemasan.
Pakej pilihan berharga AS$2,070 (RM8,447) pula menambah sistem audio Harman Kardon 10 pembesar suara dengan penguat setara 432 watt
Turut dilengkapi, bumbung kaca berkuasa dan kerusi hadapan dengan pelarasan kuasa 10 hala serta sokongan lumbar.
Enjin Boxer 2.5 Liter
Kedua-dua varian Impreza 2027 menggunakan enjin Boxer 2.5 liter berkuasa 180 hp.
Enjin itu dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.
Kedua-dua varian turut dilengkapi pedal gear, mod manual lapan kelajuan dengan nisbah pratetap serta sistem SI-Drive dengan mod Intelligent dan Sport.
Kemasan dan Warna
Bahan kemasan dalaman untuk Impreza 2027 turut ditambah baik menerusi jahitan baharu pada konsol tengah dan bahan panel pintu yang dikemas kini.
Impreza ditawarkan dalam pilihan warna Crystal Black Silica, Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic, Sapphire Blue Pearl dan Ignition Red (baharu).
Cat premium Citron Yellow Pearl pula ditawarkan pada harga tambahan AS$395 (RM1,610).
Harga Subaru Impreza 2027
Impreza 2027 dipasang di Gunma, Jepun dan akan tiba di pengedar Subaru di AS pada penghujung 2026.
Impreza: CVT, AS$24,595 (RM100,324)
Impreza RS: CVT, AS$29,495 (RM120,479)
Pakej pilihan Impreza RS berharga AS$2,070 (RM8,447)
BMW Motorrad memperkenalkan tiga motosikal edisi khas 100 Years of Nürburgring sempena ulang tahun satu abad Nürburgring pada 2027.
BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 menjadi wakil untuk edisi ini bersama enam model empat roda BMW M.
Setiap model dihadkan kepada 100 unit di seluruh dunia.
Ketiga-tiga motosikal menerima kemasan Nürburgring Green, grafik ulang tahun serta beberapa komponen dan aksesori khas yang mengaitkannya dengan Nürburgring.
BMW M 1000 RR
BMW M 1000 RR merupakan motosikal supersport yang memberi tumpuan kepada penggunaan di litar.
Untuk edisi ini, ia menerima M Track Package, roda gentian karbon, lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam serta pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100”.
Tangki petrol dicat dengan lakaran bentuk Nordschleife, manakala penutup kotak udara menggunakan reka bentuk ulang tahun bersama tanda “one of 100”.
BMW M 1000 R
BMW M 1000 R merupakan model hyper naked yang membawa prestasi motosikal superbike ke jalan raya dan litar.
Seperti dua model lain, ia menerima kemasan Nürburgring Green, M Track Package, roda gentian karbon dengan riasan Nürburgring Green dan grafik ulang tahun.
Model ini turut menerima M Cover Kit sebagai kelengkapan khas.
BMW M 1000 XR
BMW M 1000 XR pula merupakan motosikal crossover berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa dan kestabilan pada kelajuan tinggi dengan ergonomik untuk perjalanan jarak jauh.
Ia menggunakan kemasan dan kelengkapan edisi yang sama, termasuk roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.
Ciri istimewa lain juga sama seperti pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100” dan lakaran bentuk Nordschleife pada tangki petrol.
Kelengkapan khas edisi Nürburgring
Ketiga-tiga model hadir dengan M Track Package sebagai kelengkapan standard.
Antara kelengkapan lain ialah:
Warna Nürburgring Green.
Grafik 100 Years of Nürburgring.
Sijil ketulenan.
Roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.
Lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam.
Pelana berkemasan Alcantara dengan sulaman “100”.
Tangki bahan api dengan reka bentuk Nordschleife.
Penutup kotak udara dengan reka bentuk ulang tahun dan tanda “one of 100”.
Karpet motosikal M dengan logo 100 Years of Nürburgring.
Paddock stand roda belakang termasuk cagak lengan ayun.
M Cover Kit turut disertakan untuk BMW M 1000 RR dan BMW M 1000 R.
Terhad 100 unit setiap model
BMW Motorrad mengehadkan pengeluaran BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 XR 100 Years of Nürburgring kepada 100 unit bagi setiap model di seluruh dunia.
Laman rasmi BMW M kini menyatakan ketiga-tiga model tersebut boleh ditempah mulai 19 Oktober 2026.
Honda Customs 2026 melabuhkan tirai dengan kemenangan Mugen, sebuah Honda CB750 Hornet yang diubah suai oleh pengedar Honda, Mototrofa dari Portugal.
Untuk makluman, pertandingan Honda Customs sudah memasuki edisi ketujuh dan turut memperkenalkan konsep On Road Vs Off Road pada tahun ini.
Honda CB750 Hornet dan XL750 Transalp menjadi asas kepada projek-projek ubah suai edisi 2026.
Sebanyak 42,119 undian diterima secara dalam talian dari 102 negara, meningkat 39 peratus berbanding edisi 2025.
Mugen Menang Dengan 10,092 Undian
Mugen hasil binaan Mototrofa memenangi kategori On-Road dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Honda CB750 Hornet itu menerima 10,092 undian, hampir 24 peratus daripada keseluruhan undian dan 36 peratus undian kategori On Road.
Mototrofa menghasilkan motosikal tersebut dengan konsep “form should follow function”.
Ia menampilkan gaya streetfighter yang agresif dengan kemasan hijau gelap, perincian emas dan gentian karbon.
Beberapa komponen khas turut digunakan untuk melengkapkan ubah suai tersebut.
Kemenangan ini turut menjadikan Mototrofa pengedar kedua yang memenangi pertandingan Honda Customs sebanyak dua kali.
Mereka sebelum ini menang pada 2021 menerusi CB650R Fenix.
Saharja Menang Kategori Off-Road
Bagi kategori Off-Road, kemenangan menjadi milik Saharja dari Itali.
Dihasilkan oleh DRS Custom Cycles berasaskan XL750 Transalp, motosikal ini mengambil inspirasi daripada perlumbaan Dakar.
Antara perubahan utama ialah navigation tower buatan tangan dengan buku jalan digital dan meter TFT.
Turut dilengkapi lampu LED berkuasa tinggi, pelindung tangan, palang perlindungan keluli serta pelindung bawah aluminium.
Motosikal projek ini turut menerima tangki bahan api sisi aluminium, tayar berjejari kasar dan sistem ekzos dipasang pada kedudukan tinggi.
Saharja memperoleh lebih 4,800 undian, bersamaan 36 peratus daripada keseluruhan undian kategori Off-Road.
Last Lap Di Tempat Kedua
Tempat kedua kategori On-Road menjadi milik Last Lap dari Sepanyol, hasil binaan pengedar Stilmoto.
Projek berasaskan CB750 Hornet itu menggunakan gaya motosikal perlumbaan GP era 1980-an dengan rekaan badan yang lebih berkotak.
Last Lap menerima lebih 6,900 undian, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan undian.
Antara perubahan yang dibuat ialah race fairing penuh di bahagian hadapan, tangki bahan api dan bahagian belakang yang dibina khas.
Ia turut menggunakan lengan ayun satu sisi serta sistem ekzos khas.
Sting Honey Lengkapkan Podium
Tempat ketiga kategori On-Road pula menjadi milik Sting Honey dari Poland.
Projek hasil kerjasama Honda Sokół dan Steel Choppers itu menggunakan CB750 Hornet sebagai asas.
Rekaan bahagian belakang, fairing, tangki bahan api, pelana dan pemegang hendal semuanya dihasilkan khas.
Ia turut menggunakan lampu hadapan CB125R dan roda jejari daripada skuter X-ADV.
’86 Dakar Tribute Di Tempat Kedua Off-Road
Tempat kedua kategori Off-Road dimenangi ’86 Dakar Tribute dari United Kingdom.
Berasaskan XL750 Transalp, projek oleh CJ Ball mengambil inspirasi daripada kemenangan Cyril Neveu dalam perlumbaan Dakar 1986 menggunakan NXR750.
Antara perubahan yang dibuat ialah sistem ekzos berkembar kedudukan tinggi, suspensi dengan jarak gerakan lebih panjang, pelindung lumpur hadapan yang dinaikkan serta tayar off-road.
Projek tersebut memperoleh 20 peratus undian kategori Off-Road.
Tempat ketiga pula menjadi milik Ocean Nomad dari Perancis.
42,119 Undian Untuk Honda Customs 2026
Jumlah 42,119 undian yang diterima tahun ini merupakan rekod baharu bagi pertandingan Honda Customs.
Daripada jumlah tersebut, kategori On Road menerima 28,775 undian atau 68.32 peratus, manakala kategori Off Road memperoleh 13,344 undian atau 31.68 peratus.
Selain undian orang ramai, projek-projek tahun ini turut dinilai oleh pereka asal CB750 Hornet dan XL750 Transalp dari pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Rome.
Mitsubishi Minicab EV 2027 diperkenalkan di Jepun dengan beberapa perubahan. Van ini mengingatkan kepada Proton Juara namun lebih canggih dengan kuasa elektrik.
Di antara ciri baharu seperti penambahan fungsi connected, sistem keselamatan yang dipertingkat serta beberapa perubahan pada kelengkapan dalaman.
Minicab EV menggabungkan prestasi alam sekitar dengan ciri praktikal sebagai kenderaan komersial ringan.
Ia direka untuk kegunaan seperti operasi penghantaran dan aktiviti jualan, selain menawarkan operasi yang senyap serta pemanduan elektrik yang lancar.
Minicab EV 2027 mula dijual di seluruh Jepun pada 17 September 2026.
Harga ditawarkan dari ¥2,541,000 (RM65,964) hingga ¥2,651,000 (RM68,820) termasuk cukai penggunaan 10 peratus.
Mitsubishi Minicab EV Dengan Fungsi Connected
Bagi kegunaan syarikat dan pengusaha perniagaan, Mitsubishi menawarkan unit komunikasi dalam kenderaan atau Telematics Control Unit (TCU) sebagai pilihan pengeluar.
TCU ini membolehkan Minicab EV menggunakan perkhidmatan sokongan operasi kenderaan yang terdiri daripada Dashboard Service untuk pengurus operasi dan MITSUBISHI CONNECT untuk pemandu.
Dashboard Service mengumpulkan serta menganalisis data seperti sejarah perjalanan, jarak perjalanan dan penggunaan tenaga.
Data operasi juga boleh diurus secara berpusat melalui pelayar web pada komputer bagi membantu pengurusan kenderaan.
Menerusi MITSUBISHI CONNECT pula, pengguna boleh mengawal beberapa fungsi dari jauh.
Antaranya termasuk tetapan pendingin hawa, kunci dan buka kunci pintu, pengurusan pengecasan termasuk tetapan pengecasan mengikut pemasa serta panggilan SOS.
Perkhidmatan ini memerlukan bayaran bulanan berasingan.
Sistem Keselamatan Mitsubishi e-Assist Dipertingkat
Mitsubishi turut meningkatkan fungsi keselamatan pencegahan Mitsubishi e-Assist pada Minicab EV.
Sistem brek mitigasi pelanggaran atau Forward Collision Mitigation System (FCM) kini diperluaskan untuk mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu malam.
Fungsi pencegahan salah operasi ketika bergerak ke hadapan pula turut boleh mengesan pejalan kaki yang tidak bergerak.
Minicab EV juga menerima sistem pengecaman tanda jalan atau Traffic Sign Recognition System (TSR).
Sistem ini boleh mengecam tanda berhenti dan tanda larangan masuk menggunakan kamera hadapan yang dipasang pada bahagian atas cermin depan.
Maklumat tanda jalan kemudiannya dipaparkan pada panel meter bagi memberi peringatan kepada pemandu.
Port USB Type-C Untuk Peranti Mudah Alih
Mitsubishi turut mengemas kini port pengecasan USB yang ditawarkan sebagai pilihan pengeluar.
Konfigurasi terdahulu menggunakan satu port Type-A dan satu Type-C.
Kini, ia ditukar kepada dua port Type-C bagi memenuhi penggunaan peranti mudah alih terkini yang semakin meluas.
Jarak Sehingga 180 km
Mitsubishi Minicab EV menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya dengan konfigurasi 2WD pacuan roda belakang.
Motor elektrik tunggal berkod YA1 menghasilkan kuasa maksimum 31 kW (42 PS) dan tork maksimum 195 Nm.
Motor tersebut mempunyai kuasa berkadar 25 kW.
Bateri jenis litium-ion berkapasiti 20.0 kWj dengan voltan 330V digunakan untuk membekalkan tenaga kepada motor elektrik.
Model ini turut mempunyai keupayaan pengecasan pantas DC.
Berdasarkan ukuran WLTC, Mitsubishi Minicab EV mempunyai jarak pemanduan sehingga 180 km untuk sekali cas.
Kadar penggunaan tenaga purata pula ialah 127 Wh/km, bersamaan kira-kira 7.87 km/kWj.
Pecahan penggunaan tenaga mengikut kitaran WLTC adalah:
WLTC-L (bandar): 102 Wh/km
WLTC-M (luar bandar): 119 Wh/km
WLTC-H (lebuhraya): 142 Wh/km
Harga Mitsubishi Minicab EV 2027
Mitsubishi menawarkan Minicab EV dalam konfigurasi dua dan empat tempat duduk.
CD 20.0kWj (2-tempat duduk): ¥2,541,000 (RM65,964)
CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (2-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
CD 20.0kWj (4-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (4-tempat duduk): ¥2,651,000 (RM68,820)
Harga tersebut tidak termasuk bayaran kitar semula, insurans, cukai selain cukai penggunaan serta kos berkaitan pendaftaran atau pengisytiharan kenderaan.
Minicab EV Layak Terima Subsidi Di Jepun
Mitsubishi Minicab EV merupakan antara kenderaan yang layak menerima skim subsidi kerajaan Jepun.
Bagi pembelian untuk kegunaan persendirian, model ini layak menerima subsidi sebanyak ¥574,000 (RM14,901) di bawah skim subsidi kenderaan tenaga bersih bagi tahun fiskal 2025.
Bagi kenderaan yang digunakan untuk tujuan perniagaan, terdapat juga skim subsidi berasingan berkaitan peralihan kepada struktur ekonomi rendah karbon.
Selain itu, skim subsidi yang ditawarkan kerajaan tempatan turut boleh digunakan bergantung kepada kawasan.
Apabila Ducati memperkenalkan Desmo450 MX dan berdasarkan strategi yang sudah digunakan, syarikat itu tidak akan berdiam dengan satu projek sahaja.
Ini terbukti dengan pelbagai produk lain termasuk Desmo250 MX.
Kepakaran Ducati dalam dunia perniagaan dan perlumbaan diteruskan lagi dengan produk terbaru, Ducati Desmo450 SM.
Diperkenalkan pada 17 September 2026, Ducati Desmo450 SM ialah motosikal supermoto perlumbaan pertama daripada pengeluar yang berpangkalan di Borgo Panigale, Itali.
Model ini dibangunkan berasaskan platform Desmo450 MX yang telah dibangunkan semula secara khusus untuk perlumbaan supermoto.
Suspensi, triple clamp, roda, sistem brek, nisbah pacuan akhir, klac slipper dan sistem elektronik ditala untuk berfungsi secara bersama bagi memberikan ketepatan, kawalan dan prestasi di litar supermoto.
Ducati Desmo450 SM Dibangunkan Untuk Perlumbaan
Ducati Desmo450 SM menggabungkan pelbagai penyelesaian yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan supermoto.
Hasilnya ialah sebuah motosikal yang sesuai digunakan penunggang profesional dan amatur.
Gabungan penyampaian kuasa enjin, casis dan sistem elektronik membolehkan motosikal ini menawarkan prestasi tinggi dengan usaha fizikal yang minimum.
Menurut Ducati, gabungan tersebut direka untuk membantu penunggang mengekalkan konsistensi, kecekapan dan masa pusingan di litar.
Suspensi Showa Khusus Untuk Supermoto
Suspensi menjadi antara fokus utama pembangunan Ducati Desmo450 SM.
Buat kali pertama bagi sebuah motosikal supermoto pengeluaran, Showa terlibat secara langsung dalam pembangunan tetapan suspensi.
Ia bertujuan memberikan sokongan ketika membrek, ketepatan ketika memasuki selekoh dan kawalan dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Di bahagian hadapan, Desmo450 SM menggunakan fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup yang boleh dilaraskan sepenuhnya bagi mampatan dan lantunan.
Fork tersebut menggunakan spring serta tetapan khusus, mempunyai jarak gerakan 280 mm dan salutan Kashima pada tiub luar.
Bahagian kiri fork mempunyai tapak angkup brek jejari.
Plat hendal pula dimesin daripada aluminium dan mempunyai jarak tengah yang dipanjangkan bagi menyediakan ruang mencukupi untuk roda hadapan.
Hasilnya ialah bahagian hadapan yang memberikan sokongan ketika membrek dengan kuat, ketepatan ketika memasuki selekoh dan keyakinan ketika menunggang di jalan raya.
Suspensi ini turut direka untuk kekal berkesan ketika melalui bahagian off-road.
Di belakang, penyerap hentak Showa boleh dilaraskan sepenuhnya dan digabungkan dengan sistem pautan progresif.
Jarak gerakan roda 295 mm dan mempunyai tetapan khusus bagi membantu cengkaman serta keseimbangan motosikal sepanjang tunggangan.
Roda 16.5 Inci dan 17 Inci
Pelindung tangan dan pelindung lumpur yang dipendekkan direka semula mengikut keperluan supermoto.
Pelindung fork juga dipendekkan bagi menyediakan lebih banyak ruang untuk tayar hadapan berukuran 125/75.
Ducati Desmo450 SM menggunakan rim berukuran 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.
Rim aluminium Takasago Excel menggunakan profil Excel bersama sistem Bartubeless.
Sistem tersebut menghapuskan penggunaan tiub dalam dan mengurangkan jisim berputar serta jisim tidak terpegas sebanyak 1.2 kg.
Ducati menyatakan pengurangan tersebut membantu pengendalian dan tindak balas suspensi.
Tayar standard ialah Metzeler Racetec Slick SM yang sama digunakan dalam Kejuaraan Dunia.
Sistem Brek Brembo dan Galfer
Sistem brek Ducati Desmo450 SM dibangunkan untuk memberikan kuasa dan kawalan brek dalam keadaan tunggangan supermoto.
Di hadapan, motosikal ini menggunakan angkup jejari Brembo Stylema bersama cakera terapung Galfer 310 mm dengan bebibir aluminium.
Bahagian belakang pula menggunakan cakera Galfer 240 mm bersama angkup terapung Brembo.
Enjin Desmo450 449.6cc
Ducati Desmo450 SM menggunakan enjin satu silinder Desmo450 berkapasiti 449.6 cc.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 63.5 hp pada 9,400 rpm dan tork maksimum 53.6Nm pada 7,500 rpm.
Teknologi injap Desmodromic membolehkan had putaran enjin ditetapkan pada 11,900 rpm.
Julat operasi yang luas membolehkan penunggang berada lebih lama dalam setiap gear dan mengurangkan pertukaran gear yang tidak diperlukan.
Casis pula menggunakan rangka aluminium twin-spar yang sama seperti motosikal motocross.
Rangka tersebut direka dengan jumlah kimpalan yang minimum bagi mengoptimumkan berat, ketegaran dan kekuatan.
Reka bentuknya turut membolehkan saluran kemasukan udara dibuat selurus mungkin supaya enjin dapat bernafas dengan lebih cekap.
Klac Suter dan QS
Sistem transmisi Ducati Desmo450 SM dilengkapi Penukar Gear Pantas (Quick Shift) aktif untuk pertukaran gear ke atas.
Motosikal ini turut menggunakan klac slipper Suter yang ditala khusus untuk Desmo450 SM.
Klac tersebut membantu penunggang menguruskan keadaan side-slip ketika memasuki selekoh.
Ducati Traction Control Untuk Supermoto
Ducati Desmo450 SM memperkenalkan sistem Ducati Traction Control di dalam segmennya.
Sistem tersebut ditala khusus untuk supermoto dan mampu menganggarkan gelinciran sebenar roda belakang.
Ducati Traction Control mempunyai empat tahap pelarasan dan boleh dinyahaktifkan.
Sistem ini bertindak terhadap parameter enjin bagi meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika keadaan cengkaman permukaan berubah.
Sistem elektronik lain termasuk Kawalan Mula (Launch Control), Kawalan Brek Enjin (Engine Brake Control), dan Penukar Gear Pantas.
Ducati Desmo450 SM turut mempunyai dua mod tunggangan yang boleh dikonfigurasi mengikut keperluan penunggang dan ciri litar menggunakan aplikasi X-Link sebagai aksesori.
Penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM
Jadual penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM ditetapkan mengikut standard kategori ini.
Penggantian omboh dan pemeriksaan kelegaan injap dijadualkan setiap 45 jam.
Baik pulih penuh enjin pula dijadualkan setiap 90 jam, manakala penukaran minyak enjin perlu dilakukan setiap 15 jam.
Bagi memudahkan kerja penyelenggaraan, penutup alternator, klac dan kepala silinder menggunakan sistem gasket.
Gasket logam digunakan pada kepala silinder, manakala gasket getah digunakan pada penutup alternator dan klac.
Desmo450 SM turut tampil dengan sistem penyelenggaraan berasaskan jangkaan untuk memantau tahap kehausan komponen enjin dan tekanan mengikut gaya pemanduan.
Dengan modul Com-Link sebagai aksesori, selang penyelenggaraan rutin boleh diuruskan dengan lebih tepat bagi mengekalkan kecekapan dan prestasi motosikal.
Ducati Desmo450 SM Tiba Disember 2026
Ducati Desmo450 SM ditawarkan dalam warna Ducati Red.
Motosikal ini akan mula tiba di pengedar Ducati terpilih di Eropah mulai Disember 2026.
Ketersediaan di pasaran lain akan menyusul selepas itu.
Spesifikasi Ducati Desmo450 SM 2027
Enjin satu silinder Desmo450, 449.6 cc
Kuasa maksimum: 63.5 hp @ 9,400 rpm
Tork maksimum: 53.6Nm @ 7,500 rpm
Rangka aluminium twin-spar
Tangki bahan api: 7.2 liter
Fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup
Pelarasan mampatan dan lantunan
Jarak gerakan hadapan: 280 mm
Salutan Kashima
Penyerap hentak belakang Showa boleh dilaraskan sepenuhnya
Jarak gerakan roda belakang: 295 mm
Lengan ayun aluminium tuang
Angkup jejari Brembo Stylema
Pam brek jejari PR15x19
Cakera Galfer 310 mm di hadapan dan 240 mm di belakang
Rim aluminium Takasago Excel dengan sistem Bartubeless
Rim hadapan: 16.5 x 3.5 inci
Rim belakang: 17 x 5 inci
Tayar Metzeler Racetec SM 125/75 R16.5 dan 165/55 R17
Rantai transmisi DID
Dua mod tunggangan
X-Link sebagai aksesori untuk konfigurasi mod tunggangan
Ducati Traction Control
Kawalan Mula, Kawalan Brek Enjin, dan Penukar Gear Pantas .
Volkswagen memperkenalkan Mission Efficiency, sebuah prototaip kereta elektrik yang hampir kepada produksi yang dibangunkan untuk menunjukkan potensi kecekapan tenaga menerusi teknologi produksi.
Model ini mencatat tiga rekod dunia, termasuk nilai pekali seretan (drag coefficient) Cd 0.158 dan penggunaan tenaga 6.48 kWj/100 km dalam perjalanan ideal.
Dalam ujian ideal itu, Mission Efficiency dipandu pada kelajuan tetap 68 km/j, tanpa laluan mendaki dan dengan penggunaan tenaga seperti pendingin hawa dimatikan.
Ujian Sebenar Sejauh 1,278 Km
Volkswagen turut menjalankan ujian penggunaan tenaga sejauh 1,278.36 km dari Wolfsburg, Jerman ke Vienna, Austria, melalui Poznań di Poland dan Olmütz di Republik Czech.
Mission Efficiency menggunakan 6.89 kWj/100 km untuk pemanduan. Jika tenaga yang hilang ketika mengecas turut dikira, penggunaan keseluruhannya ialah 7.51 kWj/100 km.
Ciri-ciri ujian tersebut ialah:
Jarak: 1,278.36 km
Kelajuan purata: 67.72 km/j
Kelajuan maksimum: 138 km/j
Kapasiti bateri bersih: 54.9 kWj
Pengecasan sepanjang perjalanan: sekali
Baki jarak ketika tiba di Vienna: 164.0 km
Aerodinamik Jadi Kunci Kecekapan
Dengan nilai Cd 0.158 dan luas permukaan hadapan 2.08 m², aerodinamik menjadi fokus utama Mission Efficiency.
Badan berbentuk titisan dioptimumkan untuk aliran udara. Beberapa ciri utama turut membantu mengurangkan rintangan udara:
Kepak udara penyejukan aktif.
Roda belakang berpenutup.
Bahagian bawah badan ditutup sepenuhnya.
Tingkap tanpa bingkai.
Pembuka pintu disepadukan pada permukaan badan.
Kelebihan reka bentuk ini lebih jelas apabila kereta dipandu pada kelajuan tinggi.
Pada kelajuan melebihi 80 km/j, penggunaan tenaga Mission Efficiency adalah lebih 30 peratus lebih rendah berbanding ID. Polo standard.
Pada 140 km/j, Mission Efficiency menggunakan kira-kira jumlah tenaga yang sama seperti ID. Polo pada 100 km/j.
Reka bentuknya turut mengambil inspirasi daripada Volkswagen XL1, yang diperkenalkan pada 2013 dan ketika itu merupakan kereta produksi paling menjimatkan di dunia.
Berasaskan Teknologi MEB+
Mission Efficiency menggunakan teknologi MEB+ dengan pacuan roda hadapan, sama seperti ID. Polo dan ID. Cross.
Antara teknologi produksi yang digunakan ialah:
Motor elektrik 99 kW (135 PS) daripada ID. Polo.
Bateri voltan tinggi daripada ID. Polo.
Platform MEB+.
Pacuan roda hadapan.
Volkswagen berkata pendekatan ini menunjukkan tahap kecekapan tinggi boleh dicapai menggunakan teknologi produksi berskala besar, bukannya teknologi khusus yang mahal.
Badan Coupé 2+2
Mission Efficiency mempunyai panjang 4,775 mm dan tinggi 1,392 mm. Prototaip ini menggunakan konfigurasi tempat duduk 2+2 dengan ruang bagasi berkapasiti 481 liter.
Ruang tambahan disediakan di bawah tempat duduk belakang dan pada bahagian sisi badan untuk barangan harian serta kabel pengecasan.
Tempat duduk belakang pula direka untuk penumpang dengan ketinggian sehingga kira-kira 1.60 meter.
Struktur badannya menggabungkan komponen ID. Polo dengan:
Struktur aluminium.
Polimer bertetulang gentian karbon (CFRP).
Komposit aramid.
Sistem Brek Elektromekanikal
Bahagian hadapan menggunakan gandar MacPherson dan sistem brek hidraulik daripada ID. Polo.
Bahagian belakang pula menggunakan sistem brek elektromekanikal buat kali pertama.
Sistem ini:
Mengurangkan kehilangan akibat geseran.
Mengurangkan penggunaan saluran dan bendalir brek.
Menyokong agihan daya brek berubah-ubah.
Membantu meningkatkan pemulihan tenaga.
Meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.
Sistem brek ini dibangunkan bersama AUMOVIO, yang turut membekalkan sistem brek untuk ID. Polo.
Mission Efficiency telah mendapat kelulusan jalan raya Kesatuan Eropah dan memenuhi keperluan keselamatan, kekuatan serta ujian pelanggaran berkaitan.
Rim dan Tayar Kurangkan Rintangan
Roda menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus daripada rintangan aerodinamik kenderaan. Justeru, Volkswagen turut memberi perhatian kepada reka bentuk roda dan tayar.
Antara penyelesaian yang digunakan ialah:
Ruang roda hadapan direka rapat mengikut jejari tayar.
Rim deflector dipatenkan digunakan pada bahagian dalam semua roda.
Penutup hab roda menggunakan reka bentuk rata dan dioptimumkan untuk aliran udara.
Tayar konsep dibangunkan bersama Continental berasaskan siri EcoContact 7.
Tayar tersebut mempunyai rintangan gelinciran 4.9 kg/t, kira-kira 25 peratus lebih rendah berbanding ambang untuk kelas label tayar EU A.
Dinding sisi dan sebatian bunga tayar turut dioptimumkan bagi mengurangkan kehilangan tenaga ketika bergolek.
Panel Solar Tambah Jarak Harian
Sistem fotovoltik dengan output 370 W disepadukan pada bumbung kaca dan penutup ruang bagasi.
Ia membekalkan tenaga kepada sistem elektrik dalam kenderaan dan, bergantung pada musim, lokasi serta cuaca, boleh meningkatkan jarak pemanduan sebenar sehingga 30 km sehari.
Kabin pula menggunakan beberapa pendekatan untuk mengurangkan berat:
Panel dalaman ringan.
Pembesar suara Bluetooth mudah alih menggantikan sistem pembesar suara.
Konsep Bring Your Own Device menggunakan telefon pintar atau tablet sebagai paparan maklumat hibur.
Fokus Pada Kecekapan Kereta Elektrik
Mission Efficiency menunjukkan bagaimana setiap bahagian kenderaan boleh menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga.
Antara fokus utamanya ialah aerodinamik, rangkaian kuasa elektrik, tayar, sistem brek, panel solar dan pengurangan berat.
Volkswagen Mission Efficiency ialah prototaip dan bukan untuk dijual.
Ia dibangunkan sebagai demonstrasi teknologi berdasarkan penyelesaian yang boleh digunakan dalam pengeluaran berskala besar.
Ini pula sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan (separuh liter) yang dinamakan sebagai LETBE Punk 500.
Motosikal gaya bobber ini dikuasakan oleh enjin dua-silinder 500 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 51 Nm @ 6,000 rpm.
Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 163 km/j.
Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah sistem lampu LED, struktur pelana tunggal terapung, rim lidi 16 inci dengan tayar yang agak tebal, serta tetapan brek cakera depan dan belakang.
Selain itu, kami difahamkan Punk 500 ini mempunyai sistem kunci jenis NFC.
Mercedes-AMG memperkenalkan CLE 646 Spezialanfertigung, jentera berprestasi tinggi yang dibangunkan dengan satu matlamat utama iaitu menawarkan pengalaman pemanduan yang seagresif mungkin.
CLE 646 Spezialanfertigung merupakan model kedua dalam siri Mythos selepas AMG PureSpeed. Hanya 30 unit akan dihasilkan di seluruh dunia, dan walaupun belum dilancarkan secara rasmi, semuanya telah habis ditempah.
Lebih ringan dan lebih lebar
CLE 646 Spezialanfertigung dibina berasaskan AMG CLE 53, di mana setiap unit dihantar ke ibu pejabat AMG di Affalterbach, Jerman untuk menjalani proses binaan semula.
Berbanding model asas, berat keseluruhan dikurangkan sekitar 170 kg, manakala badan diperkukuh dan dilebarkan. Trek roda depan dan belakang masing-masing bertambah 60 mm, sekali gus meningkatkan kestabilan di selekoh.
Pengurangan berat dicapai menerusi penggunaan komponen gentian karbon secara meluas, termasuk fender depan, bampar, bonet, bumbung, skirt sisi, diffuser belakang dan penutup but. Cermin belakang dan cermin sisi belakang pula menggunakan polikarbonat.
Enjin yang dinaik taraf, dengan pacuan roda belakang
Seperti yang tertera pada namanya, model ini mempunyai 646 PS dan 850 Nm yang dibekalkan oleh enjin M177 Evo 4.0-liter biturbo V8. Ia menggunakan aci engkol satah rata (flat-plane crankshaft) untuk mengurangkan jisim berputar dan memberikan tindak balas enjin lebih pantas.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang menggerakkan roda belakang (sistem AMG Performance 4Matic+ daripada CLE 53 dibuang), serta dipadankan dengan LSD elektronik.
Gabungan ini membolehkan CLE 646 Spezialanfertigung memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 310 km/j.
Suspensi dan brek khusus untuk prestasi
Sistem suspensi terdiri daripada set coilover keluli yang dibangunkan bersama KW Automotive. Ia dipadankan dengan penyerap hentak empat hala yang boleh dilaraskan mengikut keperluan pemanduan.
Brek komposit seramik AMG pula menggunakan cakera 420 x 40 mm dengan angkup enam omboh di depan, serta cakera 360 x 32 mm di belakang.
Aerodinamik ditala untuk litar
Pembahagi udara depan boleh dilaraskan secara manual antara mod “Street” dan “Race”, manakala sayap belakang gentian karbon turut boleh dilaraskan untuk meningkatkan downforce.
Keseluruhan pakej aerodinamik ini dikatakan mampu menghasilkan lebih 250 kg downforce pada kelajuan maksimum. Sistem AMG Traction Control pula menyediakan sembilan tahap kawalan gelinciran roda belakang apabila digunakan di litar dengan ESP dimatikan.
Kabin diringankan
Kabin CLE 646 Spezialanfertigung diubahsuai untuk mengurangkan berat keseluruhan. Tempat duduk belakang, sebahagian bahan penebat bunyi serta beberapa ciri keselesaan telah dibuang bagi menjadikan kereta ini lebih ringan dan lebih berorientasikan pemanduan.
Sebagai ganti, ia menerima tempat duduk perlumbaan ringan, bar keselamatan serta panel pintu gentian karbon. Gabungan ini bukan sahaja membantu mengurangkan berat, tetapi turut memberikan suasana kabin yang lebih sesuai dengan karakter sebuah kereta berprestasi tinggi.
ToyotaGazoo Racing (GR) telah memperkenalkan GR Kart di Jepun, go-kart perlumbaan peringkat permulaan yang dibangunkan untuk menjadikan sukan go-kart lebih mudah diakses bukan sahaja oleh kanak-kanak, malah seisi keluarga.
Ditawarkan pada harga 385,000 yen (sekitar RM11,000), GR Kart direka untuk memudahkan mereka yang mahu mula berjinak dengan sukan ini, termasuk kos, pengangkutan, penyimpanan dan penyelenggaraan.
Mudah dibawa dengan MPV keluarga
Aspek praktikal menjadi antara fokus utama GR Kart. Dengan ukuran, 1,820 mm panjang, 1,160 mm lebar dan 670 mm tinggi, dengan jarak roda 1,045 mm, serta berat 83 kg, ia boleh dimuatkan ke dalam MPV seperti Toyota Noah dan Voxy tanpa perlu dileraikan.
Ini bermakna pemilik boleh membawanya ke litar menggunakan kenderaan biasa tanpa memerlukan treler atau kenderaan pengangkut khas.
GR Kart juga boleh disimpan secara menegak tanpa perlu mengeluarkan petrol atau minyak enjin terlebih dahulu. Ini kerana sistemnya direka untuk mengurangkan risiko kebocoran ketika kart disimpan dalam kedudukan tersebut.
Bukan itu sahaja, pedal gelongsor dan stereng boleh laras membolehkan GR Kart dipandu oleh mereka yang berketinggian antara 135 cm hingga 185 cm. Kotak ballast yang boleh menampung berat sehingga 15 kg untuk perlumbaan turut disediakan.
Penyelenggaraan lebih mudah
GR Kart dikuasakan enjin empat lejang 215 cc dengan sistem pemacu tali sawat dan penegang automatik, jadi ketegangan tali sawat tidak perlu dilaraskan secara berkala. Enjin itu turut mempunyai bateri terbina dalam yang dicas sendiri.
Karburetor jenis diafragma pula direka untuk mengurangkan kesan perubahan paras bahan api ketika mengambil selekoh, manakala pam primer memudahkan bahan api disalurkan ke karburetor sebelum enjin dihidupkan.
GR turut menggunakan aci gandar belakang keluli tahan karat dan saluran bahan api logam di dalam tangki petrol bagi meningkatkan ketahanan.
Ciri keselamatan untuk pemandu baharu
Aspek keselamatan turut dititikberatkan menerusi ciri seperti bampar belakang yang direka untuk mengelakkan kart lain daripada menaiki tayar belakang ketika berlaku pelanggaran, serta pin penahan hab roda belakang bagi mengelakkan hab tercabut.
Selain itu, tempat duduknya mempunyai bahagian khas untuk meletakkan tangan ketika naik atau turun dari kart, selain membantu melindungi tangan daripada terkena peredam ekzos yang panas.
Volvo Cars memperkenalkan kemas kini untuk tiga model 40 series iaitu Volvo XC40, Volvo EX40 dan Volvo EC40.
Perubahan yang dibuat merangkumi reka bentuk luaran dan dalaman, sistem maklumat hibur, bantuan pemanduan serta ciri keselamatan aktif.
Tempahan untuk model 40 series yang dikemas kini, termasuk versi Black Edition, dibuka mulai 10 September 2026 di pasaran terpilih.
Reka Bentuk Gaya Baharu
Volvo EC40, EX40, XC40 2027
Volvo XC40, EX40 dan EC40 menerima reka bentuk luaran yang dikemas kini untuk memberikan penampilan lebih moden.
Antara perubahan utama ialah lampu utama Matrix LED baharu dengan rekaan Thor’s Hammer yang diperhalusi.
Gril, bampar hadapan, bonet dan fender hadapan turut direka semula.
Di bahagian belakang, XC40 dan EX40 menerima lampu LED belakang baharu, pintu but yang dinaik taraf serta bampar belakang baharu.
EC40 pula mengekalkan reka bentuk belakang tersendiri.
Volvo XC40 turut ditawarkan dengan pilihan rim diamond cut berukuran 18, 19 dan 20 inci.
Volvo EX40 Dan EC40 Dengan Jarak Sehingga 584km
Volvo EC40, EX40 2027
Volvo EX40 dan EC40 terus memainkan peranan dalam peralihan Volvo Cars ke arah rangkaian model elektrik sepenuhnya.
Volvo EX40 menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 575km bagi satu pengecasan manakala EC40 sehingga 584km.
Kabin Dengan Skrin 11.2 Inci
Volvo XC40 2027
Bahagian kabin menerima skrin baharu berukuran 11.2 inci yang lebih besar dan jelas.
Skrin ini menggunakan pengalaman pengguna terkini Volvo Cars dengan susun atur yang membolehkan fungsi utama diakses dengan lebih pantas dan kurang sentuhan.
Model 40 series baharu turut dilengkapi pembantu AI generasi seterusnya Google Gemini.
Sistem ini membolehkan pengguna berinteraksi menggunakan bahasa harian untuk perkara seperti merancang perjalanan, mencari lokasi persinggahan dan mengurus mesej ketika memandu.
Pengecas telefon tanpa wayar turut dikemas kini. Kabin juga mendapat pilihan kemasan upholsteri dan dekorasi baharu.
Volvo EX40 2027
Bagi XC40, pelanggan boleh memilih balutan kulit Arianne Cardamom bersama elemen dekorasi kayu Brown Ash.
Pilihan dekorasi Black Ash atau aluminium turut ditawarkan. Pencahayaan kabin juga dipertingkatkan.
XC40, EX40 dan EC40 juga menyokong kemas kini perisian over-the-air.
Kemas kini ini membolehkan perisian dan ciri baharu ditambah dari semasa ke semasa kepada kenderaan yang sudah berada di jalan raya.
Sistem Keselamatan Dinaik Taraf
Volvo EX40 2027
Volvo XC40, EX40 dan EC40 menerima platform perisian serta sensor baharu untuk meningkatkan keupayaan keselamatan dan bantuan pemanduan.
Sistem baharu ini menggunakan:
Radar hadapan dan radar penjuru baharu.
Kamera hadapan baharu.
Radar penjuru belakang baharu.
12 sensor ultrasonik baharu.
Kamera parkir baharu.
Volvo XC40 2027
Gabungan sensor ini memberikan pandangan yang lebih menyeluruh terhadap persekitaran kenderaan.
Jika risiko pelanggaran dikesan, sistem boleh memberi amaran kepada pemandu atau mengambil tindakan bagi mengelakkan atau mengurangkan kesan pelanggaran.
Antaranya termasuk stereng kecemasan automatik dan brek kecemasan automatik.
Fungsi Bantuan Pemanduan Baharu
Volvo EC40 2027
Volvo turut memperkenalkan beberapa fungsi keselamatan dan bantuan pemanduan yang baharu atau dinaik taraf.
Door Opening Alert memberi amaran kepada penumpang sebelum pintu dibuka ke arah laluan trafik.
Pilot Assist pilihan turut ditambah dengan fungsi bantuan pertukaran lorong.
Volvo EC40 2027
Sistem ini juga diperhalusi untuk mengikuti bentuk jalan dengan lebih lancar ketika perjalanan jauh.
Kamera 360 darjah pilihan pula dinaik taraf kepada paparan 3D bagi memudahkan proses parkir dan pergerakan pada kelajuan rendah.
Kehadiran BMW i3 yang merupakan sedan elektrik mungkin menimbulkan rasa tertentu buat peminat sedan BMW sejak sekian lama namun perkembangan BMW 3 Series boleh membangkitkan rasa keterujaan.
Terbaru BMW berkongsi tentang fasa akhir pembangunan 3 Series baharu dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), termasuk varian berkuasa empat dan enam silinder.
Prototaip yang ditutup pelekat penyamaran kini menjalani pusingan terakhir ujian dinamik intensif di pusat ujian BMW Group di Miramas, selatan Perancis.
Fokus utama pembangunannya adalah untuk memastikan tahap keseronokan dan dinamik pemanduan ketika mengambil selekoh.
UWE FISCHER
Pada masa yang sama, ia mengekalkan keselesaan pemanduan yang diharapkan daripada sebuah sedan sport premium BMW.
Generasi baharu ini juga menggunakan pendekatan sistem pacuan yang lebih terbuka dari segi teknologi.
Selain BMW i3 elektrik, keluarga BMW 3 Series baharu turut ditawarkan dengan enjin empat dan enam silinder.
Kesemua enjin pembakaran dalaman tersebut menggunakan teknologi hibrid ringan 48V bagi meningkatkan kecekapan.
BMW 3 Series Baharu Dengan Reka Bentuk Neue Klasse
UWE FISCHER
BMW 3 Series baharu membawa bahasa reka bentuk Neue Klasse yang turut digunakan pada BMW i3.
Antara elemen utamanya ialah tafsiran baharu terhadap wajah BMW dengan rekaan lampu hadapan empat mata yang menjadi identiti model tersebut.
Bahagian luar menampilkan jarak roda yang panjang, juntaian depan dan belakang pendek serta permukaan badan yang lebih menyerlah.
Reka bentuk sedan berkotak 2.5 moden pula mengekalkan perkadaran tipikal BMW 3 Series sebagai sebuah sedan sport.
Walaupun BMW i3 dan model BMW 3 Series dengan enjin pembakaran dalaman mempunyai seni bina pacuan yang berbeza, kedua-duanya berkongsi bahasa reka bentuk Neue Klasse.
Di dalam kabin, BMW 3 Series baharu dilengkapi sistem BMW Panoramic iDrive bersama BMW Operating System X.
Sistem ini direka untuk menawarkan pendekatan baharu terhadap orientasi pemandu, paparan maklumat dan interaksi dengan kenderaan.
Ujian Dinamik Intensif Di Miramas
Pusat ujian BMW Group di Miramas menyediakan pelbagai jenis trek dan permukaan jalan untuk menguji setiap aspek dinamik kenderaan.
Ini termasuk trek oval berkelajuan tinggi serta beberapa litar pengendalian yang membolehkan jurutera menilai tindak balas kereta dalam keadaan berbeza.
Sebelum tiba di Miramas, BMW 3 Series baharu telah melalui program ujian yang lebih luas.
Ia termasuk ujian dalam keadaan bersalji dan suhu rendah di pusat ujian musim sejuk BMW Group di Arjeplog, Sweden, selain ujian di Nürburgring.
Teknologi Casis BMW 3 Series Dipertingkat
UWE FISCHER
BMW mengekalkan konsep casis yang menjadi antara kekuatan utama 3 Series, tetapi dengan beberapa penambahbaikan untuk generasi baharu.
Pengagihan berat antara gandar yang hampir seimbang membantu menghasilkan pengendalian yang lebih tangkas.
Model baharu ini turut mempunyai jarak roda lebih panjang, manakala trek roda hadapan dan belakang yang lebih lebar membantu meningkatkan keupayaan dinamik.
Antara teknologi casis yang digunakan termasuk:
Gandar hadapan double-joint spring strut.
Gandar belakang lima pautan.
Pelekap (mounts) bar anti-oleng dengan pra beban tinggi pada kedua-dua gandar.
Penyerap hentak baharu yang direka untuk mengawal pergerakan badan kenderaan pada suspensi standard.
Suspensi adaptif sebagai pilihan.
Suspensi adaptif M sebagai pilihan untuk tahap dinamik pemanduan dan keselesaan yang lebih tinggi.
Sistem brek bersepadu yang dinaik taraf.
Nisbah stereng yang dilaraskan untuk menghasilkan kawalan kenderaan yang lebih tepat.
Tayar sport pilihan berukuran 245/35 R20 di hadapan dan 275/30 R20 di belakang.
Buat pertama kali, pelanggan juga boleh memilih tayar sport berukuran 245/35 R20 di hadapan dan 275/30 R20 di belakang.
UWE FISCHER
BMW M350 xDrive Jadi Varian Paling Berkuasa
Kemuncak BMW 3 Series dengan enjin pembakaran dalaman ialah BMW M350 xDrive.
Model M Performance ini menerima talaan casis khusus dengan peningkatan pada kekukuhan kilasan (torsional rigidity) dan kekukuhan menegak (vertical rigidity).
Ia juga satu-satunya varian BMW 3 Series baharu yang menggunakan enjin enam silinder.
Kuasa datang daripada enjin 3.0 liter BMW TwinPower Turbo enam silinder sebaris yang digabungkan dengan teknologi hibrid ringan 48V.
Sistem pacuan tersebut menghasilkan kuasa gabungan 443 PS dan tork maksimum 580 Nm.
BMW M350 xDrive turut dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan BMW Steptronic serta sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive sebagai kelengkapan standard.
UWE FISCHER
Spesifikasi utama:
Enjin: 3.0 liter BMW TwinPower Turbo enam silinder sebaris
Teknologi: Hibrid ringan 48V
Transmisi: BMW Steptronic lapan kelajuan
Kuasa maksimum: 443 PS
Tork maksimum: 580 Nm
0-100 km/j: 4.1 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Pacuan: BMW xDrive semua roda
Suspensi: Suspensi adaptif M
Diferensial: M Sport differential
Stereng: Variable sport steering
BMW M350 xDrive mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 250 km/j.
Drift Moment Bawa Pacuan Belakang Atas Permintaan
UWE FISCHER
Salah satu ciri paling menarik pada BMW M350 xDrive ialah fungsi baharu dikenali sebagai Drift Moment.
Fungsi ini direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih agresif dengan membolehkan kuasa daripada enjin dihantar sepenuhnya ke roda belakang.
Drift Moment boleh diaktifkan melalui Central Display.
Sistem ini digabungkan dengan kawalan klac berbilang plat berorientasikan M serta sistem DSC yang dimatikan.
Hasilnya, ia membolehkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan oversteer yang lebih ekstrem.
BMW menyifatkan fungsi tersebut sebagai pengalaman baharu yang sebelum ini lebih sinonim dengan model berprestasi tinggi BMW M GmbH.
Drift Moment akan diperkenalkan sepanjang 2027.
Menariknya, fungsi tersebut juga akan diaktifkan pada kereta yang sudah dihantar kepada pelanggan melalui Remote Software Upgrade.
UWE FISCHER
BMW Driving Stack Kawal Dinamik Kenderaan
BMW 3 Series baharu menggunakan seni bina elektronik dan perisian yang dibangunkan semula.
Pusat kepada sistem ini ialah BMW Driving Stack, iaitu sistem perkakasan dan perisian bersepadu yang membolehkan fungsi berkaitan pemanduan bekerja secara lebih terselaras.
BMW turut membangunkan sistem kawalan khusus mengikut jenis sistem pacuan.
Bagi model enjin pembakaran dalaman, BMW menggunakan BMW Driving Stack yang dioptimumkan khusus untuk konfigurasi tersebut.
Sistem pengurusan dinamik melintang menggabungkan fungsi berkaitan ketangkasan kenderaan, termasuk sistem pacuan semua roda dinamik.
Pada BMW i3 serba elektrik pula, Heart of Joy bekerjasama dengan BMW Dynamic Performance Control Driving Stack untuk mengawal pengalaman pemanduan.
Walaupun pendekatannya berbeza, kedua-dua sistem dibangunkan dengan matlamat yang sama, iaitu mengekalkan prinsip Sheer Driving Pleasure BMW.
Fokus Kepada Kecekapan Dengan BMW EfficientDynamics
UWE FISCHER
Selain prestasi, BMW turut mengoptimumkan kecekapan keseluruhan BMW 3 Series baharu.
Teknologi BMW EfficientDynamics merangkumi sistem pacuan, aerodinamik dan elektronik kenderaan.
Antara ciri yang digunakan ialah:
Sistem elektrik kenderaan 48V.
My Mode Efficient untuk meningkatkan kecekapan.
Efficiency Coach yang memberikan cadangan pemanduan lebih menjimatkan.
Kawalan active air flap.
Sistem pengurusan tenaga dan komponen kenderaan yang dioptimumkan.
Pendekatan ini membolehkan BMW mengimbangkan prestasi dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap tanpa mengabaikan karakter sporti 3 Series.
Pengeluaran Bermula Separuh Kedua 2026
UWE FISCHER
BMW M350 xDrive akan menjadi model paling tinggi dalam rangkaian BMW 3 Series dengan enjin pembakaran dalaman.
Pengeluaran dijadualkan bermula pada separuh kedua 2026.
BMW 3 Series generasi terkini tampil dengan pilihan enjin 4-silinder dan 6-silinder yang dipadankan bersama teknologi 48V hibrid ringan.
Dilengkapi casis yang dipertingkat serta sistem kawalan digital baharu, model ini dijangka bakal meneruskan popularitinya dalam segmen sedan sport premium.
Pada masa sama, kehadiran fungsi Drift Moment memberikan BMW M350 xDrive satu lagi ciri yang lebih berorientasikan keseronokan pemanduan.