Wing Hin Motorsports buru podium pada penutup Super Taikyu 2026 di Fuji Speedway

Eneos Super Taikyu Series 2026

Wing Hin Motorsports menyasarkan keputusan terbaik pada pusingan ketujuh dan terakhir Eneos Super Taikyu Series 2026 di Fuji Speedway, Ahad ini.

Pasukan Malaysia itu mempertaruhkan Naquib Azlan, Amer Harris dan pelumba Jepun, Shuji Maeshima, bagi perlumbaan ketahanan empat jam menggunakan Toyota GR Supra GT4 EVO2 #338.

Wing Hin kini menduduki tempat ketujuh keseluruhan kelas ST-Z dengan 54 mata, selepas menamatkan empat daripada enam perlumbaan dalam kelompok lima terbaik.

Podium sulung di Sugo

Sepanjang musim debutnya, pasukan itu merekodkan keputusan berikut dalam kelas ST-Z:

  • Pusingan 1, Motegi: Ketujuh
  • Pusingan 2, Suzuka: Kelima
  • Pusingan 3, Fuji 24 Jam: Ke-11
  • Pusingan 4, Sportsland Sugo: Kedua, podium sulung pasukan
  • Pusingan 5, Autopolis: Kelima
  • Pusingan 6, Okayama: Keempat

Menurut Naquib, musim pertama ini memberi banyak pengalaman dalam memahami jentera GT4, termasuk pengurusan tayar, tetapan kereta serta penyesuaian gaya pemanduan ketika berdepan pasukan kilang berpengalaman.

Keutamaan di Fuji ialah menamatkan perlumbaan sebelum memaksimumkan potensi jentera untuk memburu satu lagi podium.

Amer, 22, pula berharap pasukan mampu membawa pulang podium atau kemenangan sulung.

Beliau yakin keputusan di Sugo membuktikan mereka mempunyai kelajuan untuk mencabar kelompok hadapan, meskipun berdepan pelumba berpengalaman termasuk dari SUPER GT GT300 dan GT500.

Super Taikyu merupakan siri perlumbaan ketahanan pro-am utama Jepun, melibatkan kereta berasaskan model produksi dalam perlumbaan antara empat hingga 24 jam.

Penyertaan ini sebahagian daripada peluasan Wing Hin Motorsports dalam sukan permotoran serantau serta pembangunan pelumba muda Malaysia.

Pasukan itu turut bersaing dalam Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup Clubman Series di Jepun sebagai juara bertahan, selain Thailand Super Series.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved