Ferrari Luce EV didedahkan secara rasmi, kuasa cecah 1,050 hp

Ferrari Luce EV

Mungkin sukar untuk anda percaya, tapi inilah dia kereta elektrik (EV) pertama keluaran Ferrari, iaitu Ferrari Luce.

Sebuah Ferrari dengan rekaan yang tidak agresif, ada empat pintu, dan tiada ngauman ikonik enjin seperti tipikal kereta Prancing Horse.

Platform serba baharu

Ferrari Luce dibina atas platform serba baharu, membawakan ukuran sepanjang 5,026 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,544 mm dengan jarak antara roda 2,961 mm.

Antara resepi utama untuk sebuah EV ialah kadar pekali seretan yang rendah dan untuk Luce EV ini, kadar pekali seretannya adalah serendah 0.254 Cd.

Angka tersebut berjaya dicapai menerusi rekaan panel badan yang licin tanpa garis agresif, bahkan pengelap cermin turut direka semula.

Rekaan bersama firma pereka iPhone

Reka bentuk keseluruhan Ferrari Luce ini sebenarnya disumbangkan bersama oleh Centro Stile Ferrari dan LoveFrom, firma yang diasaskan oleh pereka iPhone generasi pertama Jony Ive.

Boleh dilihat rekaan hadapan yang sopan, diikuti lampu belakang bulat berkembar yang dikelilingi kemasan hitam.

Saiz rim pula merupakan yang paling besar pernah dipadankan pada sesebuah Ferrari, 23 inci di depan dan 24 inci di belakang.

4-motor elektrik

Ferrari Luce EV dibekalkan dengan empat motor elektrik yang dibangunkan sendiri berdasarkan program F80, teknologi F1 dan perlumbaan endurans.

Output kuasa motor belakang 476 hp setiap satu manakala output roda depan pula 141 hp per motor.

Terdapat empat mod E-Manettino:

  • Range: 430 hp RWD
  • Tour: 617 hp AWD
  • Performance: 986 hp AWD
  • Launch Control: 1,050 hp

Dalam mod Launch Control, Luce EV mampu memecut sepantas 2.5 saat dari pegun ke 100 km/j, sementara 0-200 km/j pula dalam masa 6.8 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 260 km/j untuk pemanduan Range, atau sehingga 310 km/j dalam mod Performance.

Bateri 800V

Pek bateri 122 kWh pula dibangunkan bersama SK On dengan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.

Disebabkan ia merupakan sebahagian daripada struktur casis, pusat graviti Luce EV ini 94 mm lebih rendah berbanding Purosangue.

Ditambah dengan ciri stereng gandar belakang, pengendalian Luce EV dikatakan hampir kepada 296 GTB.

EV yang ada bunyi

ferrari luce ev

Disebabkan ketiadaan enjin pembakaran dalaman, Ferrari Luce EV tidak mampu untuk menghasilkan bunyi yang garang seperti Ferrari yang lain.

Untuk Luce ia tidak hadir dengan pakej bunyi palsu.

Namun begitu, Ferrari tetap menyertakan unit penjanaan bunyi yang diambil daripada getaran sebenar daripada komponen yang bergerak.

Sistem yang dipatenkan ini akan menapis frekuensi yang tidak elok dan kemudian menghasilkan bunyi dengan cara yang sama digunakan pada gitar elektrik untuk menjadikan pemanduan yang lebih mengujakan.

Kabin yang boleh muat 5 orang

Kita sudah pun melihat susun atur kabin Luce yang minimalis hasil rekaan pereka iPhone dalam artikel terdahulu. 

Biarpun terdapat kehadiran skrin yang moden, Ferrari turut menyertakan butang fungsi dan tuil fizikal untuk memudahkan urusan pemanduan.

Sebagai sebuah model Ferrari yang paling besar, Luce EV boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa dengan selesa.

Antara ciri lain termasuklah fungsi urut, sistem audio 3,000W dengan 21 pembesar suara terbina, serta kemasan dalaman yang lebih mewah.

Seperkara unik pada Luce EV ini ialah paddle shifter yang wujud tapi bukan untuk melakukan simulasi penukaran gear.

Menurut Ferrari, komponen ini bertujuan untuk mengawal agihan tork (paddle kanan) dan tahap brek regeneratif (paddle kiri) sebanyak lima tahap.

Harga

Harga jualan asas bagi sebuah Ferrari Luce EV bermula sekitar €550,000 (RM2.5 juta) tidak termasuk kos opsyen dan penyesuaian mengikut citarasa peribadi.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved