Ferrari Luce EV dapat rekaan kabin sentuhan bekas pereka iPhone
Ferrari akhirnya mendedahkan nama rasmi bagi model kenderaan elektrik pertama (EV) mereka, iaitu Ferrari Luce yang sebelum ini digelar sebagai Elettrica.
Luce membawa maksud cahaya dalam bahasa Itali.
Serentak dengan pengumuman nama tersebut, Ferrari turut sama mendedahkan rekaan sebenar kabin Luce.
Sentuhan bekas pereka iPhone pada kabin Ferrari Luce
Ferrari bekerjasama dengan LoveForm, sebuah firma rekaan yang diasaskan oleh bekas pereka Apple Jony Ive.
Jony Ive sebelum ini memainkan peranan penting untuk produk seperti Apple Watch, iMac, iPhone, Macbook serta sistem operasi iOS.
Tidak menghairankan bila kita lihat susun atur kokpit Luce lebih mirip kepada sebuah kereta buatan Apple berbanding jenama Ferrari itu sendiri.
Fob kunci unik
Bermula dengan fob kunci itu sendiri, ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dengan paparan E Ink.
Apabila dimasukkan ke dalam dok konsol tengah, kunci itu akan berubah warna daripada kuning ke hitam, dalam masa yang sama panel kawalan akan dihidupkan.
Kokpit klasik moden
Berbanding trend EV masa kini yang dipengaruhi skrin besar, Luce menekankan pendekatan kawalan fizikal yang lebih natural.
Roda stereng klasik tiga jejari gaya Nardi 50-60an itu dibina daripada aluminium 100 peratus kitar semula, dan 400 gram lebih ringan berbanding stereng Ferrari biasa.
Terdapat dua modul analog yang diinspirasikan daripada F1, dan setiap butang diuji bagi memastikan rasa mekanikal dan bunyi yang memuaskan.
Meter kluster & stereng bergerak seiring
Di sebalik stereng terdapat skrin kluster digital, terdiri daripada dua panel paparan bertindih untuk efek tiga dimensi gaya aviasi.
Skrin paparan tersebut akan turut bergerak sama ketika kedudukan stereng dilaras.
Walaupun digital, Ferrari tetap mengekalkan paparan gaya analog yang ringkas dan mudah dibaca sepintas lalu.
Skrin tengah boleh laras
Uniknya skrin tengah ini, ia boleh dilaras kedudukan supaya menghadap ke arah pemandu atau penumpang.
Terdapat palm rest untuk operasi yang lebih stabil dan ergonomik.
Ia turut menampilkan kawalan fizikal untuk sistem iklim kabin, dan empat mod paparan iaitu jam, kronograf, kompas dan launch control.
Sedia memandu?
Pada konsol tengah, anda akan melihat tuil transmisi yang terletak bersebelahan dengan lokasi dok kunci itu tadi.
Ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dan mempunyai efek grafik yang tersendiri.
Tombol Launch Control pula terletak pada panel atas kepala.
Spesifikasi teknikal Ferrari Luce
Unit rangkaian kuasa Ferrari Luce dibangunkan sepenuhnya secara dalaman menampilkan tetapan empat motor elektrik.
Dua pada gandar depan menghasilkan kuasa 141 hp setiap satu, manakala dua di belakang menghasilkan 416 hp setiap satu.
Kuasa keseluruhan mencecah 986 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat.
Pek bateri NMC (buatan SK On) 122 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 529 km mengikut data WLTP.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




















