Wing Hin Motorsports tamat musim Super Taikyu 2026 di tempat ketujuh kelas ST-Z
Wing Hin Motorsports menamatkan musim sulung Eneos Super Taikyu Series 2026 di tempat ketujuh keseluruhan kelas ST-Z dengan 56.25 mata.
Keputusan itu dimuktamadkan selepas hujan memaksa perlumbaan penutup empat jam di Fuji Speedway dibatalkan. Kedudukan kejuaraan ditentukan berdasarkan enam pusingan yang berlangsung.
Trio Naquib Azlan, Amer Harris dan Shuji Maeshima sebelum itu meletakkan Toyota GR Supra GT4 EVO2 bernombor #338 di petak kelapan kelas ST-Z dan ke-18 keseluruhan daripada 68 kereta.
Empat kali dalam kelompok lima terbaik
Sepanjang musim debutnya, Wing Hin mencatat empat keputusan dalam kelompok lima terbaik, termasuk podium sulung di Sportsland Sugo:
- Pusingan 1: Ketujuh kelas ST-Z dan ke-11 keseluruhan
- Pusingan 2: Kelima
- Pusingan 3: Ke-11
- Pusingan 4: Kedua, keputusan terbaik pasukan
- Pusingan 5: Kelima
- Pusingan 6: Keempat
Menurut Naquib, penyertaan sulung ini memberi pengalaman penting dalam aspek pemanduan, persediaan jentera, strategi perlumbaan, disiplin serta pengurusan pasukan.
Persaingan menentang pasukan kilang berpengalaman di Jepun turut membantu mereka memahami platform GT4 dan menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang musim.
Super Taikyu merupakan siri perlumbaan ketahanan pro-am utama Jepun, melibatkan jentera berasaskan model produksi dengan tempoh perlumbaan antara empat hingga 24 jam.
Penyertaan Wing Hin menjadi sebahagian daripada usaha memperluas penglibatan dalam sukan permotoran serantau serta membangunkan pelumba muda Malaysia.
Pasukan itu turut bersaing dalam Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup Clubman Series di Jepun sebagai juara bertahan, selain Thailand Super Series.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



