Feytech jalin kerjasama dengan dua syarikat China, teroka pengeluaran sistem stereng dan brek di Malaysia

Feytech sistem stereng dan brek

Feytech Holdings Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Zhejiang Libang Hexin Intelligent Brake System dan Wuhu Sterling Steering System untuk meneroka penubuhan usaha sama di Malaysia.

Usaha sama yang dicadangkan itu akan menumpukan pengeluaran komponen casis automotif termasuk sistem stereng dan brek bagi menyokong program penyetempatan kenderaan Chery serta memperkukuh keupayaan pembuatan komponen tempatan.

Kaji potensi pengeluaran tempatan

Menerusi MoU tersebut, ketiga-tiga syarikat akan:

  • Menjalankan kajian kebolehlaksanaan
  • Mengenal pasti komponen yang sesuai untuk pengeluaran tempatan
  • Meneroka pembangunan bersama komponen baharu atau khusus untuk pasaran Malaysia

Libang mempunyai kepakaran dalam sistem brek, manakala Sterling menghasilkan komponen sistem stereng.

Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen Chery untuk meningkatkan perolehan komponen tempatan, sekali gus membuka peluang kepada pengeluar Malaysia memperluas penglibatan dalam rantaian bekalannya.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Dato’ Connie Go, Malaysia mempunyai asas pengeluar komponen tempatan yang kukuh, termasuk pembekal OEM yang berkembang sejak bertahun-tahun.

Beliau berkata, perubahan rantaian bekalan automotif global membuka peluang untuk meningkatkan keupayaan menerusi kerjasama strategik dengan pengeluar China serta memperluas peranan dalam industri antarabangsa.

Teruskan hubungan dengan Chery

Hubungan Feytech dengan Chery bermula pada 2023 dan kemudian membawa kepada usaha sama bersama Wuhu Ruitai, pengeluar tempat duduk di bawah Chery Group untuk menghasilkan sistem tempat duduk automotif.

Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri wakil pengurusan Feytech, Libang dan Sterling, pegawai kanan MITI, MIDA serta MARii, selain wakil Chery Automobile dan Jetour Automobile Malaysia.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved