iCaur V25 debut di peringkat global, pilihan BEV & REEV, kuasa cecah 455 PS
Bertempat di Wuhu, China, SUV gaya klasik iCaur V25 membuat kemunculan rasmi di peringkat global sebagai pelengkap kepada model siri V sedia ada.
iCaur V25 akan diposisikan di atara model V23 dan V27.
Pilihan BEV & REEV
iCaur V25 ditawarkan dalam versi pacuan elektrik sepenuh masa (BEV) dan versi EV dengan penambah jarak (REEV).
Versi REEV dilengkapi dengan sistem Golden REEV dengan konfigurasi dua motor elektrik menghasilkan kuasa 455 PS dan 505 Nm.
Dengan sistem pacuan semua roda i-AWD, V25 boleh menawarkan konfigurasi pacuan dua roda atau semua roda mengikut keadaan jalan.
Terdapat lima mod pengurusan tenaga iaitu Forced EV, EV Priority, Hybrid, Fuel First dan Forced Charge.
Sistem Golden REEV ini juga mencatatkan kecekapan terma maksimum 44.5% dan kadar penukaran bahan api kepada elektrik 3.71 kWh bagi setiap liter.
Rekaan klasik
Sama seperti V23 dan V27, V25 mengekalkan identiti rekaan Future Classic iCaur, dengan elemen seperti:
- bentuk badan berkotak
- lampu utama LED bulat
- cermin hadapan tegak
- bonet jenis clamshell
- fender lebar
- rim 21 inci
- pemegang pintu mekanikal separa sembunyi
- pintu tailgate bukaan sisi dengan tayar simpanan saiz penuh
Rekaan badan yang tegak dan rata itu turut membantu memaksimumkan ruang kabin serta ruang kargo.
Kelengkapan kabin
Susun atur ruang kabin V25 dilihat agak serupa dengan apa yang ditawarkan pada model V23.
Terdapat skrin kluster digital, skrin infohibur sebesar 15.4 inci, empat tombol kawalan yang besar di tengah termasuk tombol penukaran mod pemanduan, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.
Selain itu, terdapat ciri seperti:
- tempat duduk pemandu dengan fungsi memori dan sambutan
- sistem audio 15 pembesar suara
- bumbung suria panorama
- penghadang cahaya larasan elektrik
- fungsi larasan elektrik, pengudaraan dan pemanas tempat duduk hadapan
Dari segi praktikaliti, iCaur V25 menawarkan 41 ruang penyimpanan dan kapasiti kargo sebesar 1,549 liter.
Versi BEV turut mendapat ruang simpanan hadapan dan ruang tambahan 22 liter di bawah lantai.
Piawaian keselamatan lima bintang
Struktur badan V25 dibina menggunakan 80% keluli berkekuatan tinggi dan keluli berkekuatan tinggi termaju, dengan ketegaran kilasan 30,000 Nm/darjah.
Bukan itu saja, V25 turut dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 540 darjah serta ciri bantuan pemandu Tahap Dua seperti:
- kawalan jelajah adaptif
- amaran keluar lorong
- amaran pelanggaran hadapan
- brek kecemasan automatik
- sistem pengesanan titik buta
- sistem pemantauan pemandu
Sedia untuk aktiviti luar
V25 menyediakan lebih 20 titik sambungan khas untuk aksesori dan pengubahsuaian, membolehkan pemilik menyesuaikan kenderaan mengikut aktiviti serta cita rasa masing-masing.
Ia turut menawarkan kapasiti tunda 1.8 tan dan bekalan kuasa luaran V2L sehingga 6 kW, sesuai untuk kegunaan perkhemahan serta peralatan elektrik.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.











