Semua kiriman oleh Amirul Mukminin

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.

Toyota Yaris Cross GR Sport diperkenalkan untuk pasaran Eropah

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada 2021, Yaris Cross telah menjadi antara model Toyota paling laris di Eropah dengan jualan mencecah 77,000 unit setakat separuh pertama 2021.

Kini, syarikat itu berharap untuk terus memacu jualan SUV segmen B itu menerusi pengenalan varian baharu iaitu Yaris Cross GR Sport. Walaupun bukan jentera Gazoo Racing sepenuhnya seperti GR Yaris atau GR Corolla, model ini tampil dengan beberapa penambahbaikan yang menjadikannya lebih mengujakan.

Untuk bahagian luaran, Yaris Cross GR Sport boleh dibezakan dengan varian standard menerusi kemasan mesh berwarna piano black pada gril, diffuser belakang baharu, lencana GR pada bahagian depan dan belakang serta rim aloi 10-spoke berukuran 18 inci.

Ia didatangkan dalam warna signatur Dynamic Grey dan pelanggan juga boleh mendapatkan skema warna dwi-tona dengan bumbung dan tiang berwarna hitam.

Di dalam, tempat duduk sport pada bahagian depan kini dibalut upholsteri berwarna kelabu dengan jahitan kontras merah, yang turut diaplikasikan pada stereng dan tuil gear. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menaikkan seri kabin dengan memilih upholsteri Ultrasuede hitam yang ditawarkan sebagai opsyen.

Logo GR ditampilkan pada perehat kepala tempat duduk depan, butang penghidup enjin, panel meter dan stereng. Turut disertakan adalah trim perak gunmetal bagi menghiasi pintu dan panel instrumen.

Namun sayangnya, tiada sebarang naik taraf untuk trenkuasa. Yaris Cross GR Sport akan ditawarkan dengan enjin hibrid 1.5-liter tiga silinder Dynamic Force yang menjana 116 hp. Sebagai model flagship, ia juga didatangkan dengan pendingin hawa dwi zon, pemanas tempat duduk depan dan pakej keselamatan aktif dan bantuan pemandu Toyota T-Mate.

Menurut Toyota, tempahan untuk model ini akan dibuka pada suku ketiga tahun ini. Bagaimanapun, harga tidak dinyatakan.

Proton catat jualan 15,880 unit pada Ogos, tertinggi sejak 2013

DENGAN pengeluaran yang semakin pulih, Proton meneruskan peningkatan jualannya pada bulan Ogos apabila menyerahkan sebanyak 15,880 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan import.

Angka tersebut menunjukkan jumlah jualan bulanan terbaiknya sejak bulan Julai 2013 atau dalam tempoh 109 bulan. Ia juga menunjukkan yang syarikat itu sedang menuju ke arah pertumbuhan volum jualan untuk tahun keempat berturut-turut.

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, Proton telah mencatatkan jualan sebanyak 87,481 unit berbanding dengan 62,637 unit pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 39.7 peratus.

Selain itu, Proton juga berjaya mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.7 peratus untuk Ogos. Pegangan pasaran tahunan (YTD) pula meningkat kepada 19.5 peratus.

Jumlah Volum Industri (TIV) bagi bulan Ogos dianggarkan sebanyak 66,900 unit (36.7 peratus lebih daripada Julai) memandangkan semua jenama automotif giat menyerahkan unit kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa insentif SST berkuatkuasa.

Bagi prestasi jualan mengikut model, Proton berkata kedudukannya di tangga teratas segmen SUV masih kukuh. X50 buat pertama kalinya mencatat penyerahan melepasi angka 4,000 unit bagi bulan ketiga berturut-turut dengan 4,329 unit diserahkan pada Ogos.

Sementara itu, X70 menyusul dengan 1,555 unit, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jualan untuk SUV segmen C dan melonjakkan jumlah jualan SUV Proton bagi bulan Ogos kepada 5,884 unit.

Saga juga mendapat manfaat daripada bekalan komponen yang bertambah baik, membolehkan 6,156 unit diserahkan pada bulan lalu. Ini menjadikannya model ketiga paling popular di Malaysia bagi bulan Ogos dan seterusnya mendorong pendaftaran untuk model baharu 2022 kepada 14,154 unit selepas ia dilancarkan pada 12 Mei tahun ini.

Penerima manfaat terbesar daripada peningkatan jumlah pengeluaran ialah Persona dan Iriz. Persona mencatatkan 2,612 unit yang diserahkan, prestasi terbaiknya sejak Februari 2020 manakala Iriz mengakhiri bulan Ogos dengan prestasi terbaik sejak April 2021 selepas mencapai 962 unit.

Exora 2023 yang dilancarkan baru-baru ini mengekalkan kedudukannya di bahagian atas pasaran MPV segmen C dengan 266 unit diserahkan.

Untuk pasaran eksport, Proton berjaya mengatasi volumnya berbanding tahun lepas.Dengan 938 unit dieksport pada bulan Ogos, syarikat itu telah mencapai jumlah bulanan yang tertinggi semenjak Mac 2013. Ini telah meningkatkan jumlah eksport untuk tahun 2022 kepada 4,040 unit dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeksport kenderaan utama Malaysia.

Bagi jualan model individu untuk Ogos, X70 dan X50 mencatat rekod eksport peribadi baharu manakala Saga mencapai angka eksport terbaiknya sejak Mac tahun ini. Pertumbuhan dijangka meningkat pada lewat tahun ini dengan pelancaran rasmi semula Proton di Afrika Selatan dijadualkan pada bulan September.

MODENAS, Allianz General perkenal program lanjutan waranti

MODENAS telah memperkenalkan program lanjutan waranti baharu (EW) yang menawarkan perlindungan tambahan selama dua tahun atau 85,000 km untuk model yang didaftarkan mulai 1 September 2022 dan seterusnya.

Berikut adalah senarai motosikal Modenas yang dilindungi di bawah program EW:

  • Kriss 110
  • Karisma 125S
  • Elegan 250
  • Pulsar RS200
  • Pulsar NS200
  • Dominar D400

Program EW ditawarkan oleh rakan kongsi insurans MODENAS, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) yang berfungsi sebagai penyedia program serta Allianz Partners Malaysia (APM) yang akan menyediakan khidmat tunda. Program ini meliputi kerosakan motosikal yang tidak dijangka bagi semua komponen mekanikal dan elektrikal.

Antara ciri penting program EW termasuklah:

  • Bantuan kerosakan tepi jalan atau Roadside Breakdown Assistance (RBA) 24 jam, 365 hari
  • RBA menawarkan perkhidmatan tunda ke pusat servis sah MODENAS yang terdekat dalam radius 100 km.
  • Pindah milik sepenuhnya atas jualan semula motosikal.
  • Menawarkan nilai jualan semula yang lebih baik untuk motosikal.
  • Penggunaan alat ganti MODENAS tulen: lebih dari 30,000 alat ganti yang disertakan dengan waranti perbatuan tanpa had selama dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz, Sean Wang berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan MODENAS menerusi program EW ini yang menawarkan perkhidmatan yang cepat, mudah dan lancar dari segi penyelenggaraan dan baikpulih. Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai pengesahan rekod prestasi Allianz General sebagai syarikat insuran yang dipercayai dan memberikan khidmat terbaik untuk pelanggannya.”

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Partners Malaysia Elias Wahidi berkata, “Kami gembira kerana MODENAS telah memilih APM untuk menyediakan perkhidmatan EW. Ini akan memberikan impak yang positif kepada pelanggan MODENAS apabila membuat keputusan pembelian, kerana mereka tahu motosikal tersebut dilindungi dengan jaminan tambahan.”

“Jika anda mahukan perlindungan yang lebih daripada apa yang ditawarkan oleh MODENAS, anda mungkin akan mempertimbangkan program EW di mana ia menawarkan perlindungan pelbagai peringkat yang bersesuaian dengan keperluan motosikal anda”, kata Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Aston Martin DBX707 mendarat di Malaysia – RM1.098 juta tidak termasuk cukai

ASTON Martin Kuala Lumpur hari ini melancarkan Aston Martin DBX707 baharu untuk pasaran tempatan. Digelar sebagai SUV mewah paling berkuasa di dunia, ia dijual pada harga bermula dari RM1,098,000 sebelum duti, cukai dan opsyen.

DBX707 mendapat namanya dari jumlah kuasa yang dibawanya. Seperti DBX standard, model ini masih dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG namun outputnya telah ditingkatkan dari 550 PS/700 Nm kepada 707 PS dan 900 Nm.

Menurut Aston Martin, peningkatan kuasa ini dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo galas bebola (ball bearing) dan kalibrasi enjin baharu.

Tugas untuk menyalurkan kuasa ke roda diserahkan kepada transmisi automatik sembilan kelajuan dengan klac basah dan Limited Slip Differential elektronik (e-diff) belakang yang diperkukuhkan untuk menampung 900 Nm.

Ditambah pula dengan nisbah pacuan akhir yang lebih pendek, gabungan ini membolehkan DBX707 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.3 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 310 km/j.

Aston Martin turut mempertingkatkan sistem brek SUV ini menerusi penggunaan cakera brek karbon seramik berukuran 420 mm di depan dan 390 mm di belakang, serta angkup enam piston. Ia bukan sahaja lebih berkuasa, malah lebih ringan sebanyak 40.5 kg berbanding sistem brek standard.

Selain itu, mod pemanduan GT Sport dan Sport + kini mempunyai ciri Race Start, manakala ‘transfer case’ ditala semula bagi mempertingkatkan kawalan sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih natural seperti kereta sport sebenar.

Turut ditambah baik adalah sistem suspensi udara yang kini menampilkan ‘damper valving’ dengan untuk kawalan badan yang lebih baik. Stereng kuasa elektrik juga dioptimumkan bagi mendapatkan tindak balas yang lebih baik terutamanya semasa mengambil selekoh.

Dari segi penampilan, DBX707 boleh dibezakan dengan versi standard menerusi gril yang lebih besar dengan enam bar melintang dan lampu DRL baharu. Lubang ambilan udara baharu, corong penyejukan brek dan splitter baharu pula mempertingkatkan aliran udara bagi tujuan penyejukan dan aerodinamik.

Di belakang, terdapat lip spoiler baharu yang dikatakan dapat mengurangkan efek ‘lift’ dan meningkatkan kestabilan, diffuser yang lebih menonjol serta sistem ekzos quad dengan muncung yang lebih besar.

Masuk ke dalam, anda akan menemui tempat duduk Sport, serta kemasan krom hitam dan hitam satin. Aston Martin menawarkan tiga pilihan kemasan iaitu Accelerate, Inspire dan Sport. Sudah tentu, pelanggan boleh menyesuaikan ruang kabin menerusi perkhidmatan kustom Q by Aston Martin.

Hyundai Ioniq 6 terima lebih 37,000 tempahan dalam tempoh 24 jam

37,446 – inilah jumlah tempahan yang diterima oleh Hyundai untuk Ioniq 6 dalam masa 24 jam selepas pra-jualannya dibuka di Korea Selatan.

Ini merupakan satu rekod yang luar biasa untuk syarikat itu, memandangkan Ioniq 5 menerima hanya sebanyak 23,760 tempahan pada Februari tahun lalu. Sementara itu, tempahan untuk ‘kembar’ kepada Ioniq 5 iaitu Kia EV6 hanya mencecah 21,000 pada hari pertama pra-jualannya.

Diperkenalkan secara rasmi pada Julai lalu, Ioniq 6 merupakan sedan elektrik yang turut dibangunkan menggunakan platform E-GMP seperti Ioniq 5.

Walaupun berasaskan platform yang sama, model ini mempunyai tapak roda yang lebih pendek, serta dimensi badan yang lebih panjang dan rendah. Profil sisi ala “streamliner” pula memberikannya kadar pekali seret (Cd) yang terendah dalam sejarah Hyundai iaitu 0.21.

Untuk trenkuasa, Ioniq 6 ditawarkan dengan pek bateri berkapasiti 53 kWh dan 77.4 kWh, dengan pilihan motor elektrik tunggal atau berkembar. Jarak pemanduan dikatakan boleh mencecah 610 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP.

Antara teknologi yang disertakan termasuk pengecasan pantas 350 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 18 minit, serta teknologi Vehicle-to-Load (V2L).

Selain itu, Ioniq 6 juga didatangkan dengan tempat duduk Relaxation Comfort Seats, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan enam tema, sistem audio Bose dan teknologi e-ASD yang ditugaskan untuk menyalurkan bunyi seperti kapal angkasa ke dalam kabin.

 

DRB-HICOM, Petromin jalin kerjasama tawar perkhidmatan selepas jualan pantas

DRB-HICOM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express, anak syarikat Petromin Corporation.

Usaha sama dalam bidang servis kenderaan pantas ini dicadangkan dikongsi 51:49 antara Petromin dan EON. Ia bertujuan untuk menggabungkan keupayaan dan penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi dan rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas.

Menerusi usaha sama ini, Petromin dan EON berpeluang merebut peluang segmen selepas jualan yang pesat berkembang sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak. Pasaran selepas jualan automotif Malaysia telah menjana perolehan kira-kira RM42b pada 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya usaha sama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Outlet Petromin Express

“Kerjasama Petromin dengan DRB-HICOM akan membolehkan ia memasuki pasaran perkhidmatan selepas jualan Malaysia yang menguntungkan hasil dari kerjasama dengan jenama korporat yang terkenal dan dipercayai dalam sektor automotif.”

Syarikat usaha sama ini mensasarkan untuk memulakan operasi perintis pada Januari 2023, dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan projek perintis dilaksanakan.

Berpandukan kepada model cawangan Petromin Express, yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama ini akan menawarkan perkhidmatan selepas jualan pantas dengan masa membaik pulih yang cepat untuk kenderaan lepas jaminan yang berumur antara 5 dan 10 tahun.

Maserati MC20 lebih berbisa dengan kit DMC

PERKARA terakhir yang diperlukan oleh Maserati MC20 adalah modifikasi namun ini tidak menghalang syarikat talaan dari Jerman iaitu DMC daripada membangunkan kit naik taraf untuk supercar Itali itu.

Kit berkenaan merangkumi kit badan yang lebih menonjol serta naik taraf trenkuasa yang menyaksikan enjin Nettuno itu menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi.

Bermula dengan aspek visual, kit DMC ini menyertakan splitter depan, lubang udara ala GT3 pada fender depan, gril radiator yang diperbuat daripada gentian karbon, skirt sisi dan diffuser belakang. Turut disertakan adalah spoiler tetap dan lubang inlet dan outlet pada penutup kompartmen enjin.

Sebagai pelengkap, MC20 yang ditampilkan ini turut diberikan set rim aluminium tempaan berukuran 20 inci di depan dan 21 inci di belakang. Ia didatangkan dalam warna hitam, sepadan dengan komponen-komponen tambahan tersebut.

Dalam versi standard, enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang dibangunkan oleh Maserati itu menjana 630 PS dan 730 Nm. Terima kasih kepada ECU, penapis udara dan sistem ekzos baharu, enjin tersebut kini menghamburkan 714 PS dan 875 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 84 PS dan 145 Nm.

Masa pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum tidak dinyatakan, namun dengan peningkatan kuasa yang signifikan ini, ia sudah pasti lebih laju berbanding versi standard.

Selain itu, DMC turut menyediakan naik taraf sistem suspensi sport yang mengurangkan ketinggian MC20 sebanyak 30 mm.

Lesen khas untuk supercar bakal diperkenalkan di Australia

SUPERCAR secara asasnya bermaksud kereta jalanan yang berkuasa tinggi, jadi ada logiknya juga jika pemandu diwajibkan memiliki lesen khas untuk memandu kereta jenis ini, bukan?

Inilah yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas. Dalam satu kenyataan media, Maulinaskas berkata pihaknya akan menggubal undang-undang baharu bagi memperkenalkan skim perlesenan untuk pemandu yang ingin memandu kereta sport berkuasa tinggi.

Bagi mendapatkan lesen khas ini, pemandu perlu menjalani latihan khusus serta memenuhi pelbagai lagi kriteria lain, sama seperti ketika mengambil lesen motosikal dan trak.

Selain itu, undang-undang baharu ini akan mengharamkan sistem kawalan cengkaman (traction control) yang boleh dinyahaktifkan dalam kenderaan berkuasa tinggi. Ia juga mensasarkan untuk memperkukuhkan undang-undang yang melarang pemandu yang dituduh membunuh daripada memegang lesen sehingga kes mereka selesai.

Langkah ini diambil susulan kematian Sophia Naismith, yang mana menurut ABC terbunuh selepas dilanggar oleh sebuah Lamborghini di luar sebuah restoran Cina pada 2019. Pemandu supercar itu, Alexander Campbell mengaku bersalah memandu secara berbahaya namun baru-baru ini dibebaskan daripada hukuman mati.

Selepas kematiannya, ibu bapa Naismith menjadi aktivis bagi mendesak pembaharuan. Malinauskas berkata, “Saya ingin berterima kasih kepada Pia dan Luke atas sokongan mereka, dan saya berharap pembaharuan ini akan mengelakkan tragedi sedemikian daripada berlaku ke atas keluarga lain.”

“Saya telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk segera memulakan penggubalan undang-undang dan saya berharap Parlimen akan menyokong pembaharuan penting ini,” tambah beliau.

Perundangan itu dijadualkan dibawa ke Parlimen menjelang akhir tahun ini dan Malinauskas sudah menjangkakan tentangan sengit daripada para pemilik supercar.

 

Audi sertai Formula 1 bermula musim 2026

AUDI secara rasminya mengumumkan bahawa mereka akan menyertai Kejohanan Dunia Formula 1 mulai musim 2026 sebagai pembekal unit kuasa.

Keputusan ini adalah susulan kepada penerbitan peraturan teknikal baharu Formula 1 pada awal bulan ini. Ia dirangka khusus untuk membolehkan dan menarik pendatang baharu menyertai sukan itu pada tahap kompetitif.

Untuk 2026, F1 masih akan kekal dengan enjin 1.6-liter V6 namun ia akan dipadankan dengan unit kuasa elektrik yang mempunyai output yang lebih tinggi. Menurut Audi, motor elektrik pada masa itu akan menghasilkan kuasa yang hampir sama dengan enjin pembakaran dalaman iaitu sekitar 400 kW (544 hp).

Bukan itu sahaja, sebagai salah satu prasyarat penyertaan Audi ke dalam siri perlumbaan itu, enjin tersebut juga akan menggunakan bahan api lestari.

Unit kuasa baharu itu akan dibangunkan di fasiliti Audi Sport di Neuburg yang terletak tidak jauh daripada ibu pejabat Audi AG di Ingolstadt. Ini merupakan kali pertama dalam lebih sedekad trenkuasa F1 akan dihasilkan di Jerman.

Fasa ujian untuk enjin, motor elektrik serta bateri telah pun bermula, manakala persiapan dari segi kakitangan dan infrastruktur teknikal juga sedang dilakukan dan akan dilengkapkan menjelang akhir tahun ini. Audi juga telah membangunkan anak syarikat milik penuh Audi Sport untuk projek unit kuasa tersebut.

Selain itu, syarikat itu juga telah menyatakan sokongannya terhadap pelan Formula 1 untuk menjadi lebih mampan dan efisyen dari segi kos. Sukan itu akan mengehadkan kos untuk pengeluar unit kuasa pada 2023, selain menetapkan sasaran untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2030.

Mengenai pasukan mana yang mereka akan bekerjsama bagi musim 2026, Audi berkata pengumuman akan dibuat menjelang akhir tahun ini.

Harga jualan Yamaha XMAX 250 naik RM300 – kini RM22,298

PADA Mac lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha XMAX 250 yang dikemas kini dengan enjin dan beberapa ciri baharu. Kini, syarikat itu mengumumkan pula pilihan warna baharu untuk skuter maxi tersebut.

Untuk model tahun 2022, XMAX 250 boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu merah dan hijau matte. Ia menggantikan pilihan warna sebelum ini iaitu Icon Grey dan Power Grey.

Boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula bulan ini, XMAX 250 dijual pada harga RM22,298 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak RM300 berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, dari segi mekanikal dan kelengkapan, tiada sebarang perubahan. XMAX 250 masih dikuasakan oleh enjin 250 cc silinder tunggal SOHC yang menjana 22.5 hp (16.8 kW) pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,000 rpm.

Enjin yang melepasi piawaian emisi Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi jenis tali sawat-V automatik. Kapasiti tangki bahan api adalah 13 liter.

Selain itu, ia juga hadir dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, perumah lampu yang lebih gelap dengan efek ‘smoked’, bar hendal dan penghadang angin boleh laras, panel instrumen LCD, soket 12V dan kunci pintar dengan rekaan baharu.

Di bawah tempat duduk, terdapat ruang penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar.

Untuk sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan ABS bahagian depan dan belakang, serta sistem Traction Control.

 

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ditambah baik – RM117,888

EMPAT tahun selepas dilancarkan di Malaysia, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports kini diberi penambahbaikan yang melibatkan aspek mekanikal dan juga kelengkapan.

Model ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl White Glare Tricolour dan dijual pada harga RM117,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Untuk model tahun 2022, transmisi klac berkembar (DCT) pada CRF1100L Africa Twin Adventure Sports telah ditala semula dengan tetapan yang diperhalusi untuk penukaran gear 1 dan 2 yang lebih lancar.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin penghadang angin lebih pendek berukuran 110 mm yang mempunyai lima tahap pelarasan. Menurut Boon Siew Honda, skrin ini meningkatkan keterlihatan penunggang dan pada masa yang sama menawarkan perlindungan dari angin.

Akhir sekali, badannya kini dihiasi dengan grafik ‘Cracked Terrain’ yang memberikan penampilan yang lebih menarik.

Seperti sebelum ini, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports dikuasakan oleh enjin 1,084 cc silinder berkembar sebaris yang menghasilkan 100.5 hp pada 7,500 rpm dan 105 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT enam kelajuan.

Jentera ini menggunakan sistem suspensi elektronik Showa yang berupaya untuk menguruskan daya redaman bergantung kepada mod yang dipilih iaitu Soft, Mid, Hard dan Off-Road.

Selain itu, terdapat juga ciri Intertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang ditugaskan untuk mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Cornering ABS, Rear Lift Control dan transmisi.

Penunggang boleh memilih daripada empat mod tunggangan yang disediakan iaitu Urban, Tour, Gravel dan Off-Road. Turut disertakan adalah dua mod User yang boleh disesuaikan mengikut kehendak penunggang.

Semuanya boleh diakses menerusi paparan sentuh multi-info TFT berukuran 6.5 inci yang turut menyokong Apple CarPlay, Android Auto dan ketersambungan Bluetooth. Penunggang tidak perlu risau tentang bateri telefon pintar kerana motosikal ini didatangkan dengan port pengecas USB.

Volkswagen Golf R “20 Years” jadi model R terpantas di Nurburgring

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada Jun lalu, Volkswagen Golf R “20 Years” kini dinobat model Volkswagen R terpantas di litar Nurburgring-Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 47.31 saat, empat saat lebih pantas berbanding model standard.

Jentera yang dibangunkan bagi menyambut ulang tahun ke-20 Golf R32 ini dipandu oleh pelumba dan pemandu pembangunan Volkswagen R iaitu Benjamin Leuchter. Menurut Volkswagen, ia berjaya mencapai kelajuan 265 km/j pada bahagian Döttinger Höhe di litar itu.

“Dengan kereta ini, saya boleh memandu di di Nürburgring dan perhentian seterusnya ialah kedai roti atau kedai DIY. Ia benar-benar kenderaan serba boleh yang boleh melakukan segala-galanya,” kata Leuchter.

Golf R “20 Years” dikuasakan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silinder yang telah ditala bagi menghasilkan 333 PS, 13 PS lebih tinggi berbanding apa yang terdapat pada Golf R standard. Ini menjadikannya model produksi Golf paling berkuasa pernah dihasilkan.

Di samping enjin lebih berkuasa, transmisi DSG tujuh kelajuannya juga diberikan pemetaan baharu untuk penukaran gear yang lebih agresif terutamanya ketika dalam mod S atau S+. Dengan sistem pacuan semua roda 4Motion, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

Selain itu, Golf R “20 Years” juga didatangkan dengan Driving Dynamics Manager, R-Performance Torque Vectoring dan pakej R-Performance yang merangkumi dua mod tambahan yang dibangunkan dengan kerjasama Leuchter sendiri iaitu Special dan Drift.

Untuk percubaan catatan masa ini, Leuchter menggunakan mod Special yang dibangunkan khusus untuk litar Nurburgring. Apa yang menarik, mod ini melaraskan suspensi supaya menjadi lebih lembut dan selesa bagi membolehkan ia menampung beban yang tinggi ketika memandu di atas litar yang beralun itu.

Toyota Sienta 2022 dilancarkan di Jepun – platform TNGA, enjin Dynamic Force

MASIH ingatkah anda pada Toyota Sienta? Ya, MPV kompak yang dilancarkan di Malaysia pada 2016 itu telah pun memasuki generasi ketiga dan kini ia tampil dengan platform, enjin dan pelbagai teknologi baharu.

Sienta serba baharu dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture versi GA-B seperti Yaris (model pasaran Eropah) dan Yaris Cross, namun ia lebih panjang dan tinggi dengan ukuran panjang 4,260 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,715 mm dan tapak roda 2,750 mm.

Menurut Toyota, ukuran tinggi Sienta bertambah sebanyak 20 mm jika dibandingkan dengan model generasi kedua, sekaligus menjadikan ruang kabin lebih luas dan selesa untuk penumpang.

Reka bentuk luaran Sienta dilihat lebih moden dan cantik berbanding sebelum ini, dengan motif-motif berbentuk bulat dan petak bergelar ‘Shikakumaru’ menghasilkan penampilan yang kompak serta membuatkan ia kelihatan lincah di jalan raya.

Sementara itu, papan pemuka pula memperlihatkan reka bentuk yang praktikal menerusi ruang penyimpanan yang besar di sebelah tombol gear dan depan penumpang, serta pemegang cawan pada bahagian kiri dan kanan. Bahagian atas papan pemuka dihiasi dengan upholsteri fabrik.

Bergantung kepada varian, Sienta dilengkapi dengan panel instrumen digital dan sistem Display Audio yang menyediakan ciri-ciri seperti navigasi, arahan suara dan hotspot WiFi. Turut disertakan adalah outlet AC100 V/1,500 W yang bukan sahaja boleh digunakan untuk perkakasan elektrik, malah sebagai penjana kuasa sandaran sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Memasuki kabin kini lebih mudah kerana Sienta mempunyai lantai serendah 330 mm dan pintu gelongsor elektrik pada bahagian kiri dan kanan yang boleh dibuka dengan gerakan kaki. Bukan itu sahaja, bukaan pintu berkenaan telah bertambah sebanyak 60 mm berbanding sebelum ini.

Selain itu, tinggi bukaan pintu hatch belakang dan ruang bonet masing-masing bertambah sebanyak 15 mm dan 50 mm. Ini membolehkan pengguna memuatkan sebuah basikal dengan tayar berukuran 27 inci tanpa sebarang masalah.

Untuk enjin pula, terdapat dua pilihan iaitu petrol dan petrol hibrid. Versi petrol menampilkan enjin Dynamic Force 1.5-liter M15A-FKS yang dipadankan dengan Direct-Shift CVT, manakala versi hibrid pula dikuasakan oleh enjin 1.5-liter M15A-FXE dengan eCVT dan sebuah motor elektrik yang dikatakan mampu memberikan bacaan bahan api sehingga 28.8 km per liter.

Seperti Yaris Cross, versi hibrid ini juga boleh didapati dalam versi E-Four yang secara langsung menjadikan ia model All-Wheel-Drive dengan adanya motor elektrik kedua pada gandar belakang.

Sistem keselamatan pula didahului oleh Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-collision Safety System, Proactive Driving Assist dan Advanced Park. Selain kereta, sistem Pre-Collision berupaya mengesan motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal, manakala Proactive Driving Assist pula membantu pemandu dari segi kawalan stereng dan pendikit.

Untuk pasaran Jepun, Sienta ditawarkan dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk, dengan tiga varian (X, G dan Z) masing-masing untuk versi petrol, hibrid pacuan roda depan dan hibrid E-Four. Harga bermula dari 1,950,000 yen (RM64,020) hingga 3,108,000 yen (RM102,040).

Polis Detroit berkas 3 kanak-kanak cuba curi Charger dan Challenger Hellcat

KES kecurian kenderaan sedang meningkat dengan mendadak di sekitar bandaraya Detroit dan lebih malang lagi, ada di antaranya melibatkan kanak-kanak.

Dalam kes terbaru, pasukan polis Detroit berkata mereka telah menahan tiga kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam percubaan mencuri kereta pada 22 Ogos.

Mereka diberkas ketika sedang cuba mencuri Dodge Charger Hellcat dan Challenger Hellcat di tempat penyimpanan kereta di kilang Jefferson North Assembly Plant yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Detroit.

Sumber gambar: Fox 2 Detroit

Selain Charger dan Challenger Hellcat, tempat itu juga dijadikan lot penyimpanan untuk model-model lain di bawah payung Stellantis seperti Dodge Durango dan Jeep Grand Cherokee.

Polis Detroit berkata kes kecurian kenderaan di bandaraya itu menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu namun pihak polis sedang berusaha keras untuk membanteras aktiviti itu.

Menurut ketua unit kecurian auto komersial, Clive Stewart, ini merupakan pesalah paling muda yang terlibat dalam kes seperti ini. Baru-baru ini, mereka berjaya memberkas seorang pencuri kereta berusia 14 tahun yang juga merupakan pesalah berulang yang baru sahaja tamat hukuman pada Mei lalu.

Polis Detroit mengesyaki bahawa terdapat kemungkinan yang pesalah-pesalah juvana ini terlibat dalam sindiket curi kenderaan yang diketuai oleh orang lebih dewasa.

 

Lamborghini Urus Performante – 666 PS, 0-100 km/j dalam 3.3 saat sahaja

DIPERKENALKAN empat tahun yang lalu, Lamborghini Urus mungkin sedang mendominasi segmen SUV berprestasi tinggi mewah buat masa ini namun dengan kehadiran model-model seperti Aston Martin DBX 707 dan Ferrari Purosangue, pengeluar supercar dari Itali itu tidak lagi boleh berdiam diri.

Oleh itu, Lamborghini telah memperkenalkan versi yang lebih berkuasa dan ringan yang dikenali sebagai Urus Performante. Kemampuannya telah pun terbukti apabila ia mencatat rekod baharu dalam kategori SUV produksi dalam Pikes Peak International Hill Climb Road dengan catatan masa 10:32.064.

Apakah rahsia kehebatan jentera ini? Pertama sekali, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 telah dinaik taraf bagi menghasilkan 666 PS pada 6,000 rpm, iaitu 16 PS lebih tinggi berbanding Urus standard. Jumlah tork kekal pada 850 Nm, namun pengagihannya ditambah baik dengan adanya differential baharu.

Dengan peningkatan kuasa ini, masa pecutan 0-100 km/j berjaya dipendekkan dari 3.6 saat kepada 3.3 saat, manakala pecutan 0-200 km/j pula berkurang dari 12.8 saat kepada 11.5 saat. Kelajuan maksimum meningkat sebanyak 1 km/j kepada 306 km/j.

Selain itu, Urus Performante juga telah mengalami pengurangan berat sebanyak 47 kg, sekaligus memberikannya nisbah kuasa-ke-berat yang terbaik dalam kelasnya. Ini dicapai menerusi penggunaan komponen-komponen gentian karbon dan juga sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic.

Lamborghini turut mengemas kini casis SUV ini dengan menggunakan set spring keluli baharu yang membuatkan ia 20 mm lebih rendah, serta melebarkan jarak track sebanyak 16 mm. Ia didatangkan standard dengan rim berukuran 22 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero yang dibangunkan khusus. Pelanggan bagaimanapun boleh juga mendapatkan rim 23 inci.

Dari segi elektronik pula, sistem mod pemanduan Tamburo kini mempunyai mod baharu iaitu Rally yang ditala khusus untuk pemanduan di atas litar off-road dengan kecenderungan untuk oversteer.

 

Menurut Lamborghini, penyerahan pertama Urus Performante dijangka akan dilakukan pada akhir tahun ini. Harga bermula dari 218,487 euro (RM973,333).

Mercedes-Benz C-Class W206 kini dipasang secara tempatan – harga dari RM287,888

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-Benz C-Class generasi kelima dalam versi pemasangan tempatan atau CKD.

Seperti versi import CBU yang memasuki pasaran pada Februari lalu, sedan eksekutif kompak yang dipasang di Pekan, Pahang ini ditawarkan dalam dua varian iaitu C200 Avantagarde Line dan C300 AMG Line, dengan harga masing-masing bermula dari RM287,888 dan RM327,888.

Melihat kepada spesifikasi yang diberikan, C-Class CKD mempunyai kelengkapan yang sama seperti versi CBU, cuma ia telah dikemas kini dengan penambahan Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan juga sistem keselamatan Pre-Safe.

Dari segi penampilan, C200 boleh dibezakan dengan C300 menerusi kit badan Avantgarde Line dan rim aloi berukuran 18 inci. C300 pula menggayakan kit badan AMG Line yang lebih agresif, rim aloi AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi boleh lipat dan juga perlindunan bawah badan.

Ruang dalaman pula menampilkan sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci. Turut disertakan adalah sistem navigasi, modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me, Apple CarPlay dan Android Auto.

C200 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 204 hp dan 300 Nm, manakala C300 pula hadir dengan enjin 2.0-liter yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan Integrated Starter Generator yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 15 kW dan 200 Nm.

Selain itu, C200 dan C300 juga berkongsi suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, serta sistem Dynamic Select.

Mitsubishi Motors Malaysia buka pusat 3S di Rawang

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), bersama wakil pengedar rasmi Lofty Ambition (Rawang) Sdn Bhd, baru-baru ini telah melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors baharu yang terletak di Rawang.

Ia merupakan cawangan Mitsubishi Motors keempat yang dikendalikan oleh Lofty Ambition, selepas cawangan Ipoh, Taiping dan Sitiawan. Ia juga merupakan cawangan Mitsubishi Motors yang ke-16 di Lembah Klang.

Beralamat di Jalan Millenium, Pusat Perniagaan Rawang Millenium, cawangan baharu ini ditempatkan di tiga lot kedai dan kawasan berkeluasan 4,000 kaki persegi. Ia menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors yang selaras dengan slogan global ‘Drive Your Ambition’.

Di samping sebuah pusat servis yang serba lengkap dengan peralatan terkini, cawangan ini juga mempunyai ruang rehat dengan sambungan Wifi bagi memastikan keselesaan pelanggan. Waktu operasi adalah dari Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 6 petang dan Ahad dari 11 pagi hingga 4 petang.

“Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 2014 dan dalam tempoh lapan tahun ini, Lofty Ambition telah menubuhkan empat bilik pameran Mitsubishi. Ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap jenama Mitsubishi, dan komitmen untuk mengukuhkan lagi kehadiran Mitsubishi di Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Beliau menambah, “Bilik pameran baharu ini adalah untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Lembah Klang kerana kami melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya bagi trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander.”

Mengenai prestasi jualan syarikat, Shinya berkata sepanjang separuh pertama 2022, MMM berjaya menjual sebanyak 12,261 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Perkongsian pasaran MMM ketika ini adalah 4 peratus, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan di tangga tiga teratas bagi jenama bukan nasional di Malaysia.

Bugatti W16 Mistral – jentera W16 terakhir, 99 unit habis terjual

SETELAH hampir 20 tahun, Bugatti akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan enjin W16 bagi membolehkannya melangkah ke era hibrid dan elektrifikasi bersama Rimac. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan model terakhir yang dikuasakan oleh enjin quad turbo berkenaan. Memperkenalkan, Bugatti W16 Mistral.

Menurut Bugatti, W16 Mistral dinamakan sempena angin yang bertiup di lembah Rhone River. Unit berwarna hitam hangat dengan sedikit perincian coklat truffle dan aksen kuning diinspirasikan oleh Type 57 Roadster Grand Raid keluaran tahun 1934 yang kini dipamerkan di Muzium Louwman di Den Haag.

Namun seperti yang boleh dilihat, bentuk badan roadster ini membawakan elemen-elemen daripada beberapa model semasa Bugatti. Sebagai contoh, lampu belakang yang berbentuk X adalah daripada Bolide, manakala rekaan lampu depan pula adalah gabungan antara Divo dan La Vouitre Noire.

Ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Chiron, namun untuk W16 Mistral, jurureka menggunakan tombol gear yang diperbuat daripada blok aluminium yang dihiasi dengan kemasan kayu dan amber. Panel pintu pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang ditenun.

Sudah tentu, ‘nadi’ jentera ini adalah enjin 8.0-liter W16 dengan 1,600 PS. Ia merupakan versi enjin yang sama seperti pada Chiron Super Sport 300+ yang mencapai kelajuan 304.773 bsj (490.484 km/j) pada 2019. Bugatti berhasrat untuk menjadikan W16 Mistral kereta roadster terpantas di dunia bagi mengalahkan pemegang rekod semasa iaitu Hennessey Venom GT Spyder.

Pengeluaran W16 Mistral akan dihadkan kepada 99 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga 5 juta euro (kira-kira RM22.5 juta). Jangan terkejut kerana semuanya telah habis terjual!

Honda CBR250R kini dengan fork terbalik Showa – harga dari RM23,999

SELEPAS tiga tahun ‘terbiar’, Honda CBR250R akhirnya menerima kemaskini yang menyaksikan model itu hadir dengan sistem suspensi dan kelengkapan baharu.

Bagi model tahun 2022, jentera yang diberi jolokan ‘Neo Sports Cafe’ ini dijual pada harga RM23,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda selaku pengedar rasmi menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red.

CBR250R kini dilengkapi dengan fork depan terbalik Separate Function Big Piston (SFF-BP) keluaran Showa bersaiz 41 mm. Peredam pemisahan tekanan di dalam satu tabung fork dan mekanisme spring di dalam tabung satu lagi menawarkan prestasi redaman yang lebih tinggi.

Sementara itu, suspensi jenis monoshock pada bahagian belakang pula mempunyai lima tahap pelarasan untuk pra-muat spring.

Seperti sebelum ini, CBR250R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC bersesaran 250 cc dengan output 27.2 hp pada 9,500 rpm dan 23.4 Nm pada 7,750 rpm. Enjin sejukan cecair itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Assist/Slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ABS dwi-saluran yang diuruskan secara dinamik oleh sistem Internatial Measurement Unit (IMU) bagi memastikan daya brek diagihkan sama rata antara roda depan dan belakang.

Ciri ini juga berupaya untuk meminimumkan lonjakan roda belakang, sekaligus menjadikan penunggang lebih yakin di jalan raya.

Satu lagi ciri baharu adalah paparan meter LCD yang menampilkan grafik lebih moden dengan penunjuk kedudukan gear yang lebih jelas dan mudah dilihat. Turut disertakan adalah lampu LED pada bahagian depan dan belakang.

Proton akan melabur untuk bangunkan jaringan pengecasan awam dan domestik

SEPERTI yang dilaporkan semalam, Proton telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Am bersama smart Automobile Company yang akan menyaksikan syarikat itu menjual kenderaan elektrik (EV) smart #1 di Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Selaras dengan perjanjian itu, Proton merancang untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat untuk mengecas kenderaan mereka di rumah.

Dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis tandatangan tersebut, Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan tujuh hingga lapan operator infrastruktur EV.

Tambah beliau, Proton melihat dari dua sisi iaitu pengecasan di rumah dan pengecasan awam. Bagi pengecasan awam, syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan status terkini perancangan tersebut.

Secara umumnya, rangkaian pengecasan awam itu akan meliputi laluan-laluan yang sering digunakan atau popular di kalangan pengguna jalan raya, serta kawasan-kawasan luar bandar.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata beliau telah menubuhkan pasukan untuk mengkaji kebolehlaksanaan stesen pengecasan mudah alih bagi mengurangkan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) di kalangan pelanggannya.

Dibangunkan bersama oleh Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 (disebut ‘hashtag one’) akan memasuki pasaran Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

Menariknya, Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model itu dalam versi pemanduan sebelah kanan.