fbpx

Toyota Innova Zenix dilancarkan di Malaysia sebagai MPV premium – harga dari RM165k

Toyota Innova Zenix Malaysia 02

SELEPAS dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, Toyota Innova Zenix serba baharu kini memasuki pasaran Malaysia pula.

Di sini, Innova Zenix boleh didapati dalam dua varian iaitu 2.0V dengan lapan tempat duduk dan 2.0 HEV dengan tujuh tempat duduk. Harga jualan (on-the-road tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk varian 2.0V dan RM202,000 untuk HEV.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Innova Zenix dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menggantikan kerangka jenis ladder frame pada model generasi terdahulu.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,760 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,795 mm, bermakna ia sedikit lebih panjang dan lebar berbanding model sedia ada. Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda turut bertambah sebanyak 100 mm dari 2,750 mm sebelum ini kepada 2,850 mm.

Dibangunkan sebagai model premium, Innova Zenix didatangkan standard dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, dan rim 18 inci dengan tayar berukuran 255/50.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat lima warna yang boleh dipilih iaitu Metallic Gray, Attitude Black, Avantgarde Broze, Silver dan Platinum White Pearl. Sebagai tambahan, UMW Toyota Motor turut menawarkan warna Super White untuk pelanggan fleet.

Masuk ke dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 10.1 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan multi-info bersaiz tujuh inci, dan sistem pendingin hawa automatik dengan corong pada barisan kedua dan ketiga.

Menariknya, penumpang pada barisan kedua boleh mengubah suhu dan kelajuan kipas menerusi panel kawalan yang terdapat pada bahagian belakang kotak konsol. Selain itu, terdapat empat port pengecas USB (dua di depan, dua di belakang) dan dua soket 12V.

Sebagai model tujuh tempat duduk, Innova Zenix 2.0 HEV mendapat kerusi kapten pada barisan kedua dan juga bumbung suria panoramik.

Innova Zenix 2.0V dikuasakan oleh enjin petrol M20A-FKS 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan oleh transmisi jenis Direct Shift CVT dengan 10 kelajuan.

Sementara itu, Innova Zenix 2.0 HEV pula menampilkan gabungan enjin M20A-FXS 2.0-liter empat silinder, sebuah motor elektrik, bateri jenis Ni-Mh dan transmisi e-CVT.

Gandingan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 186 PS. Selain tiga mod pemanduan standard, varian hibrid ini juga mempunyai mod EV yang membolehkan kereta dipandu menggunakan kuasa elektrik sahaja dalam jarak dekat.

Untuk sistem suspensi, Innova Zenix menggunakan topang MacPherson pada bahagian depan dan torsion beam pada bahagian belakang. Toyota mendakwa sistem suspensi ini ditala khusus mengikut keadaan jalan raya di Malaysia.

Untuk sistem keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) 3.0 yang menggunakan sensor kamera dengan sudut pengesanan yang lebih luas dan jarak pengesanan lebih jauh.

TSS 3.0 merangkumi sistem-sistem keselamatan aktif seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Auto High Beam, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist dan Road Sign Assist.

Turut disertakan adalah Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Vehicle Stability Control, Hill Start Control, Emergency Stop Signal, Tyre Pressure Monitoring System dan enam beg udara.

Seperti model-model lain yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Innova Zenix didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Untuk varian 2.0 HEV, ia juga mendapat jaminan berasingan selama lapan tahun, tanpa had perbatuan untuk pek bateri, inverter dan Power Management Control.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved