fbpx

Toyota Innova Zenix dilancarkan di Indonesia – platform TNGA, enjin petrol dan hibrid

Toyota Innova Zenix 01

PT Toyota Astra Motor dengan secara rasminya telah memperkenalkan Toyota Innova generasi ketiga untuk pasaran Indonesia, di mana model itu akan dipasarkan sebagai Kijang Innova Zenix.

Jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu, Innova Zenix tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan aspek casis, reka bentuk, teknologi dan juga trenkuasa.

Salah satu perubahan besar yang dibawa adalah peralihan daripada ‘ladder frame’ IMV dan pacuan roda belakang kepada platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C dan pacuan roda depan. Menurut Toyota, ini menghasilkan overhang yang lebih pendek dan ukuran tapak roda yang lebih panjang.

Innova Zenix mempunyai ukuran dimensi panjang 4,755 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,795 mm, bermakna ia 20 mm lebih panjang dan lebar berbanding model sebelum ini iaitu Kijang. Ukuran tapak rodanya bertambah sebanyak 100 mm kepada 2,850 mm, manakala jarak lega tanah kekal pada 185 mm.

Untuk pasaran Indonesia, ia akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin, dengan lima varian kesemuanya. Varian petrol menggunakan enjin 2.0-liter empat silinder M20A-FKS yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm, dan transmisi jenis CVT.

Sementara itu, varian hibrid yang pertama kali ditawarkan pada Innova menampilkan gabungan enjin Dynamic Force 2.0-liter empat silinder M20A-FXS dan sebuah motor elektrik. Enjin tersebut menghasilkan 152 PS dan 187 Nm, manakala motor elektrik tersebut membekal janaan tambahan sebanyak 113 PS dan 205 Nm.

Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 186 PS yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi jenis e-CVT.

Harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:

2.0 G – Rp 419 juta (RM122,057)
2.0 V – Rp 467 juta (RM136,039)
2.0 G Hybrid – Rp 458 juta (RM133,418)
2.0 V Hybrid – Rp 522 juta (RM152,105)
2.0 Q Hybrid – Rp 601 juta (RM175,118)

Seperti mana bahagian luarannya yang direka semula sepenuhnya, ruang dalaman Innova Zenix turut diberikan sentuhan segar di segenap pelusuk. Konsol tengahnya kini lebih kemas dan diserikan lagi dengan kehadiran skrin infohibur berukuran 10 inci dan kawalan digital sistem pendingin hawa.

Menariknya, MPV ini turut menawarkan ciri-ciri yang sebelum ini hanya terdapat pada model-model mewah seperti kerusi kapten jenis ottoman pada barisan kedua dan skrin infohibur berkembar pada bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang depan.

Sistem keselamatan turut dititikberatkan menerusi kehadiran Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi ciri-ciri canggih seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Automatic High Beam (AHB).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved