fbpx

Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition – hanya 6 unit untuk Malaysia, harga RM90k

Triumph_MY23_Street_Triple_Moto2_Edition_Static_01

TRIUMPH Motorcycles Malaysia, yang kini berada di bawah naungan Didi Group, baru-baru ini mengumumkan kehadiran model edisi Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition ke pasaran tempatan.

Daripada 765 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, hanya enam unit yang berjaya dibawa masuk oleh Triumph Motorcycles Malaysia. Harga jualan bermula dari RM89,900.

Bagaimanapun, jika anda membaca artikel ini bermakna anda sudah terlambat kerana menurut syarikat itu, keenam-enam unit telah pun dijual.

Street Triple 765 Moto2 Edition dihasilkan sempena penglibatan Triumph sebagai pembekal enjin bagi kejohanan Moto2. Ia dilengkapi dengan spesifikasi tertinggi pernah ditawarkan pada model Street Triple.

Pertama sekali, jentera ini didatangkan dengan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon serta logo Moto2 bahagian badan, bar hendal dan skrin TFT. Setiap unit juga mempunyai nombor siri pengeluaran bagi menekankan statusnya sebagai model edisi terhad.

Ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Öhlins yang merangkumi fork NIX30 dan penyerap hentak tunggal STX40, manakala untuk brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 310 mm dan angkup Brembo Stylema pada bahagian depan.

Selain itu, model ini juga mempunyai bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah berbanding varian RS. Tayar yang digunakan pula adalah jenis Pirelli Diablo Supercorsa V3.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat Cornering ABS, Cornering Traction Control dengan empat tahap, Front Wheel Lift Control dan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Street Triple 765 Moto2 Edition dikuasakan oleh enjin 765 cc tiga silinder yang ditala bagi menghasilkan 130 PS pada 12,000 rpm dan 80 Nm pada 9,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan ciri quickshifter.

Model ini diperkenalkan semasa majlis pembukaan bilik pameran Triumph Motorcycles Penang baru-baru ini. Merupakan salah satu daripada tiga bilik pameran yang dilancarkan oleh Didi Group, Triumph Motorcycles Penang dioperasikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved