fbpx

Suzuki V-Strom 800DE masuk pasaran Malaysia pada harga RM60,800

Suzuki V-Strom 800DE 03

SUZUKI Motor Sdn. Bhd. (SMSB) telah melancarkan motosikal adventure baharu ke pasaran tempatan iaitu Suzuki V-Strom 800DE. Ia hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Bersempena dengan pelancaran ini, SMSB menawarkan harga istimewa bermula dari RM60,800 tetapi promosi ini adalah untuk 50 unit pertama sahaja. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Diperkenalkan buat pertama kali di EICMA 2022, V-Strom 800DE menampilkan enjin parallel twin bersesaran 776 cc dengan susun atur aci engkol 270 darjah dan sistem Suzuki Cross Balancer.

Enjin ini dikatakan mempunyai 84.3 hp pada 8,500 rpm dan 78 Nm pada 6,800 rpm, disalurkan ke roda belakang oleh transmisi enam kelajuan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk sistem suspensi, V-Strom 800DE menggunakan sistem keluaran Showa dengan stroke dan jarak gerak (travel) yang lebih panjang pada bahagian depan dan belakang – 220 mm.

Rim yang digunakan pula adalah jenis lidi berukuran 21 inci di depan dan 17 di belakang, sekaligus memberikan motosikal ini jarak lega tanah setinggi 220 mm.

Selain itu, ia dilengkapi dengan tangki bahan api besar berkapasiti 20 liter untuk memberikan keyakinan terutamanya untuk tunggangan jarak jauh.

Antara sistem elektronik yang terdapat pada V-Strom 800 DE adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) dengan Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Quickshifter dua arah, pendikit elektronik Ride-by-Wire dan Suzuki Traction Control dengan mod Gravel.

Turut disertakan adalah mod Rear ABS Cancel yang sesuai digunakan ketika menunggang di atas permukaan tidak berturap. Semua sistem elektronik tersebut boleh diakses menerusi paparan TFT LCD berukuran lima inci.

Untuk pasaran Malaysia, V-Strom 800DE boleh didapati dalam dua warna iaitu Champion Yellow No. 2 dan Glass Mat Mechanical Gray.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved