Semua kiriman oleh Amirul Mukminin

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.

18 SmartLane diaktifkan di lebuh raya PLUS sempena Aidilfitri

DALAM usahanya untuk membantu melancarkan pergerakan trafik sempena Aidilfitri ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan ia akan mengaktifkan laluan SmartLane di 18 lokasi kritika di sepanjang lebuh raya.

Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaafar, ketika SmartLane diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan.

Tambah beliau, ia juga bagi meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.

Nik Airina berkata, PLUS juga telah menambah baik laluan SmartLane bagi menampung peningkatan jumlah trafik pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Antara penambahbaikan tersebut adalah pemasangan lampu hijau berkelip pada waktu siang untuk menunjukkan bahawa laluan SmartLane telah diaktifkan.

Selain itu, PLUS turut menambah papan tanda peringatan pembukaan SmartLane di lokasi yang telah dikenal pasti. Ia akan dipamerkan satu kilometer sebelum laluan SmartLane bermula dan 200 meter sebelum Smartlane ditamatkan.

“SmartLane hanya boleh digunakan oleh kenderaan persendirian, penumpang untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka.

Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, mana-mana individu tidak boleh menghalang kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan semasa SmartLane diaktifkan.

“Adalah satu kesalahan menghalang kenderaan lain menggunakan SmartLane yang telah diaktifkan dan tindakan akan diambil sekiranya laporan dibuat,” katanya.

Berikut adalah 18 lokasi PLUS Smartlane:

  • KM108.0 Arah Selatan (Sg. Petani Selatan) – KM112.0 Arah Selatan (Hentian Sebelah Tikam Batu)
  • KM150.4 Arah Utara (Bukit Tambun Utara) – KM146.4 Arah Utara (Plaza Tol Juru)
  • KM155.5 Arah Selatan (Bandar Cassia – KM157.2 Arah Selatan (Hentian Sebelah Sg Bakap)
  • KM303.2 Arah Utara (Gua Tempurung) – KM297.0 Arah Utara (Gopeng)
  • KM367.3 Arah Utara (Slim River) – KM354.0 Arah Utara (Sungkai)
  • KM354.0 Arah Selatan (Sungkai) – KM356.0 Arah Selatan
  • KM439.5 Arah Utara (Kawasan Rehat & Rawat Rawang) – KM435.5 Arah Utara (Sg. Buaya)
  • KM437.1 Arah Selatan (Hentian Sebelah Rawang) – KM443.3 Arah Selatan (Persimpangan Rawang)
  • KM3.3 Arah Utara (Setia Alam) – KM9.0 Arah Utara (Shah Alam)
  • KM11.2 Arah Utara (Susur Keluar Petron, NKVE) – KM13.3 Arah Utara (Subang)
  • KM280.0 Arah Selatan (Nilai) – KM276.0 Arah Selatan (R&R Seremban)
  • KM6.1 Arah Utara (OBR USJ) – KM8.1 Arah Utara (Seafield)
  • KM260.0 Arah Utara (P. Dickson) -KM263.1 Arah Utara (Seremban)
  • KM194.5 Arah Selatan (Air Keroh) – KM184.0 Arah Selatan (Hentian Sebelah Kg. Bemban)
  • KM27.0 Arah Selatan (Kulai) – KM19.0 Arah Selatan (Senai)
  • KM19.0 Arah Utara (Senai) – KM27.0 Arah Utara (Kulai)
  • KM4.5 Arah Selatan (Dato Onn) – KM1.9 Arah Selatan (Pasir Gudang)
  • KM0.4 Arah Utara (Pandan) – KM6.0 Arah Utara (Kempas)

MOSTI teroka potensi hidrogen dalam sektor mobiliti

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata kementeriannya sedang meneroka potensi penggunaan teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti.

Chang berkata, MOSTI akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi hidrogen, seterusnya mewujudkan kumpulan pengguna atau pengguna akhir (end user) di Malaysia.

MOSTI baru-baru ini telah mengadakan satu sesi demonstrasi dan pandu uji di ruang lobi Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sesi itu turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri MITI, Tengku Zafrul.

Sesi pandu uji Toyota Mirai itu diadakan bagi berkongsi mengenai potensi teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, selari dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya tahun 2050.

Ia juga sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Tambah Chang lagi, tahun ini MOSTI dijangka akan membina sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) melalui kerjasama dengan pihak swasta.

“Ini membuktikan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki oleh bakat tempatan dalam menerajui ekonomi hidrogen,” katanya dalam kenyataan.

Youtuber beli Rolls-Royce Wraith Mansory milik Marcus Rashford

SEORANG Youtuber terkenal dari United Kingdom telah membeli Rolls-Royce Wraith milik penyerang Manchester United, Marcus Rashford yang rosak akibat kemalangan.

Kejadian itu berlaku pada September tahun lalu ketika Rashford keluar meninggalkan pusat latihan Carrington di Manchester selepas tamat perlawanan menentang Burnley.

Dia dikatakan melanggar sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 74 tahun sebelum merempuh tiang lampu berdekatan.

Rashford dan wanita itu tidak cedera namun kereta bernilai £700,000 (RM4.2 juta) itu mengalami kerosakan yang agak teruk.

Disebabkan kerosakan itu, Wraith itu dilelong dalam talian dan akhirnya dibeli oleh Mat Armstrong pada harga yang jauh lebih murah iaitu £184,000 (RM1.1 juta).

Perlu diingat yang ini bukan Wraith biasa-biasa – ia dikustom oleh Mansory dan didatangkan dengan komponen-komponen forged carbon dan pelbagai lagi ciri tambahan yang menjadikan ia lebih eksklusif.

Dalam satu video berdurasi lebih 30 minit, Armstrong memperincikan setiap kerosakan yang dialami oleh kereta tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bahagian hadapan termasuk gril, bampar, lampu dan fender hilang terus, manakala cermin sisi dan tingkap sebelah kiri pecah akibat perlanggaran itu.

Lebih teruk lagi, sistem suspensi sebelah kiri juga telah patah. Bahagian belakang kelihatan masih elok cuma sebahagian besar daripada bampar terkoyak dan but pula terkeluar sedikit.

Ketika kereta ini dibeli oleh Armstrong, ia mempunyai perbatuan yang sangat rendah iaitu sekitar 1,135 batu (1,827 km) sahaja.

Enjin 6.6-liter V12 itu pada mulanya gagal dihidupkan walaupun pengimbas menunjukkan yang ia tidak mempunyai sebarang kerosakan. Namun setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin itu hidup semula.

Armstrong berkata misinya adalah untuk membaik pulih sepenuhnya Wraith itu supaya ia boleh dipandu semula. Walaupun enjin sudah boleh dihidupkan, dia masih lagi perlu mencari komponen dan alat ganti yang sesuai.

Bagi Rashford, kehilangan Wraith Mansory ini bukanlah suatu perkara yang besar kerana dia masih lagi mempunyai sekurang-kurangnya dua buah lagi Rolls-Royce dan beberapa kereta mewah lain termasuk sebuah McLaren 765LT dan Lamborghini Urus Performante.

Porsche hentikan jualan 718 Cayman, Boxster di Eropah

SEPERTI Macan, hayat 718 Cayman dan 718 Boxster di Eropah sudah berakhir kerana kedua-duanya tidak dapat mematuhi peraturan keselamatan siber Kesatuan Eropah (EU) yang akan berkuat kuasa Julai ini.

Dalam satu emel yang dihantar ke Motor1, jurucakap Porsche, Oliver Hilger mengesahkan bahawa jualan model-model entry-level itu sudah pun dihentikan di Eropah.

Bagaimanapun, jentera coupe dan convertible itu akan terus ditawarkan di pasaran-pasaran lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat.

Varian yang lebih berkuasa iaitu Cayman GT4 RS dan Boxster RS Spyder pula masih boleh dijual di benua itu memandangkan kedua-dua model berkenaan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad.

Senibina elektrikal yang digunakan oleh Boxster dan Cayman generasi keempat yang sudah agak berusia, dengan kedua-duanya diperkenalkan buat pertama kali pada 2016.

Jadi untuk menaik taraf senibina tersebut akan menelan belanja yang besar, dikatakan separuh daripada bajet yang digunakan untuk membangunkan model serba baharu.

Untuk pengetahuan, Porsche kini sedang membangunkan Cayman/Boxster generasi baharu yang akan menggunakan trenkuasa elektrik sepenuhnya, seperti Macan generasi kedua yang diperkenalkan baru-baru ini. Model baharu itu dikatakan akan memasuki pasaran pada 2025.

Penghentian jualan Cayman/Boxster di Eropah tidak akan menjejaskan sangat pendapatan Porsche, memandangkan hanya 20,518 unit model berkenaan terjual di peringkat global pada 2023. Angka ini hampir empat kali ganda lebih rendah berbanding jualan Macan iaitu 87,355 unit.

Bilik pameran Auto Bavaria Chan Sow Lin tampil kemudahan yang dinaik taraf

AUTO Bavaria, rangkaian pengedar bertauliah BMW terbesar di Malaysia, baru-baru ini melancarkan bilik pameran terbaharunya yang telah ditambah baik di Chan Sow Lin (CSL).

Bilik pameran ini menampilkan kemudahan dan perkhidmatan yang dinaik taraf, serta ruang pameran untuk barisan kenderaan BMW Premium Selection (BPS) dan MINI Used Car Next (MUCN).

Selain ruang pameran, bilik pameran yang dibina di atas kawasan seluas 35,000 kaki persegi ini menampilkan beberapa kemudahan berteraskan pelanggan seperti pentas perundingan pelanggan, ruang hospitaliti utama, bar dan ruang rehat.

Ia juga mempunyai ruang khas untuk alat ganti, aksesori dan gaya hidup, membolehkan pelanggan melakukan pemerhatian bagi pembaharuan kenderaan mereka yang seterusnya atau meneroka rangkaian barangan BMW dan MINI yang ikonik.

Dengan pasukan yang terdiri daripada enam kakitangan yang berdedikasi, Auto Bavaria CSL menawarkan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan.

Kemudahan asas seperti ruang perkhidmatan rundingan, kawasan penerimaan kereta (RATC) dan kawasan serahan pelbagai fungsi disediakan secara strategik untuk kemudahan pelanggan.

Selaras dengan dedikasi BMW Group Malaysia untuk meningkatkan aksesibiliti terhadap infrastruktur pengecas, Auto Bavaria CSL memainkan peranan aktif dalam inisiatif tersebut dengan menyediakan kemudahan pengecas AC dan DC.

Auto Bavaria CSL terletak di No. 8, Jalan Dua, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ia beroperasi setiap hari Dari 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 8 pagi hingga 12:30 tengahari pada hari Sabtu.

Chery Tiggo 7 Pro dibuka untuk tempahan, harga anggaran bawah RM130k

CHERY Auto Malaysia hari ini mengesahkan bahawa Tiggo 7 Pro akan dilancarkan ke pasaran tempatan menjelang akhir Mei ini, dengan harga anggaran bawah RM130,000.

SUV segmen C yang akan bersaing dengan model-model seperti Proton X70 dan Honda CR-V itu telah pun dibuka untuk tempahan dan akan berada di bilik pameran Chery di seluruh negara bermula April ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.

Menariknya, semasa pembentangan taklimat perniagaannya yang diadakan pada Januari lalu, Chery berkata Tiggo 7 Pro mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 8.3 saat.

Bagaimanapun, spesifikasi yang dikongsikan hari ini menunjukkan masa pecutan yang agak jauh berbeza iaitu 9.5 saat. Kami akan mendapatkan penjelasan dari pihak Chery mengenai perkara ini.

Selain itu, model ini dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum 205 km/j dan merekodkan kecekapan bahan api 7.0 liter/100 km.

Dari segi kelengkapan, Tiggo 7 Pro akan tampil dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu membelok berjujukan, kemasan ala permata pada gril dan rim aloi dua tona berukuran 18 inci.

Di dalam, anda akan menemui upholsteri kulit sintetik, paparan berukuran 24.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles 50W, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Selain itu, terdapat juga port USB Type A dan Type C, bumbung panoramik, Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock dan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Dari segi keselamatan, Tiggo 7 Pro didatangkan dengan ADAS tahap 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Multi Collision Brake
  • Blind Spot Detection
  • Door Opening Warning
  • Traffic Jam Assist
  • Intelligent High Beam Control
  • Front Collision Warning + Rear Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control + Integrated Cruise Control
  • Lane Departure Warning + Lane Departure Prevention
  • Lane Change Assist + Emergency Lane Keep Assist
  • Rear Cross Traffic Alert + Rear Cross Traffic Brake

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera panoramik 540 darjah, Hill Start Assist Control dan Hill Descent Control.

Terdapat empat pilihan warna yang akan ditawarkan iaitu Bloodstone Red dengan bumbung hitam, Vanilla Blue, Carbon Black dan Khaki White dengan bumbung hitam.

Kerajaan pertimbang beri subsidi menerusi pindahan tunai bulanan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar menggunakan model pindahan tunai bulanan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, inisiatif tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini.

“Cadangan yang diangkat kepada kerajaan sekarang, sedang dibincangkan dan akan diputuskan ialah bantuan itu adalah dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.

“Sebelum ini kalau ada bantuan kita bagi tiga atau empat bulan sekali, melalui e-wallet dan sebagainya.

“Melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kita mahu ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk tempoh jangka masa yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, kerajaan juga tidak boleh menunda tarikh pendaftaran PADU berikutan perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar tersebut ditangguhkan.

“Kos itu sangat tinggi dan itu pun jangkaan secara konservatif, sedangkan lebih baik sekiranya RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan dalam Belanjawan 2024 yang lepas bahawa tahun ini kita akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar.

“Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” ujarnya.

Isuzu rancang labur RM4.2 bilion bina kilang bateri, EV di Thailand

Isuzu Motors merancang untuk membelanjakan 1 trilion yen  (RM31.3 bilion) untuk memacu pelaburannya sehingga 2030, dengan sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk pembuatan sel bateri dan pikap elektrik di Thailand yang akan menjadi pangkalan eksport EV jenama itu.

Menurut Bangkok Post, pengeluaran sel bateri dan trak pikap elektrik merupakan sebahagian daripada bajet pelaburan 32 bilion baht (RM4.2 bilion) yang diperuntukkan untuk Thailand.

Sebahagian daripada dana itu akan digunakan untuk menjalankan projek untuk mencapai neutraliti karbon dan transformasi digital dalam sektor logistik.

“Kami sedang mempertimbangkan berapa banyak yang akan kami belanjakan untuk kilang sel bateri dan pemasangan EV. Kami juga memutuskan kapasiti pengeluaran sel bateri,” kata Takashi Oodaira, naib presiden eksekutif bahagian strategi karbon neutral dan kejuruteraan Isuzu Motors.

Setakat ini, Isuzu masih belum memutuskan di mana kilang pengeluaran baterinya akan dibina namun telah memilih kawasan Samrong di wilayah Samut Prakan sebagai lokasi untuk membina kilang pengeluaran D-Max elektrik.

Isuzu merancang untuk mengeksport pikap elektrik bateri ke Eropah pada 2025. Australia akan menjadi pasaran seterusnya di mana syarikat itu akan mengeksport trak elektriknya.

Baru-baru ini Isuzu telah memperkenalkan model konsep berkuasa elektrik D-Max BEV Concept. Ia dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 174 hp dan 325 Nm, dengan kuasa dibekalkan oleh bateri litium ion berkapasiti 66.9 kWj.

Sama seperti trak D-Max diesel, D-Max BEV mempunyai keupayaan membawa muatan sekitar 1,000 kg, dan kapasiti menunda muatan maksimum seberat 3,500 kg.

Menurut Isuzu, trak pikap D-Max BEV ini akan dilancarkan buat kali pertama di Eropah pada tahun 2025, diikuti pasaran Australia, Thailand dan beberapa pasaran utama dunia.

Rekaan luaran dan dalaman Kia K4 didedahkan

SEJAK dahulu lagi, Kia Forte/Cerato boleh dikatakan tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing sedan segmen C yang lain seperti Honda Civic dan Mazda 3.

Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah dengan penggantinya iaitu Kia K4 baharu yang tampil dengan rekaan yang lebih berani dan futuristik.

Untuk pengetahuan, model ini akan menggunakan nama K4 untuk pasaran global bagi menggantikan Forte dan Cerato. Nama K3 pula kini digunakan pada sedan segmen B yang telah diperkenalkan pada tahun lalu.

Berbalik kepada K4, model ini mempunyai bentuk badan fastback yang sejujurnya tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan K3 atau K5, cuma rekaan tiang D yang agak unik membuatkan ia lebih menonjol.

‘Wajah’ sedan ini kelihatan menyerlah terima kasih kepada gabungan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) yang diposisikan di hujung kiri dan kanan kereta untuk membuatkan ia tampak lebar.

Bahagian belakang tidak kurang menariknya dengan adanya lampu berbentuk L yang hampir bersambung di bahagian tengah bonet dan diffuser yang sporty.

Ruang dalamannya pula nampak familiar kerana ia didatangkan dengan paparan berkembar (kluster instrumen digital dan skrin infohibur) seperti yang terdapat pada model-model Kia yang sedia ada.

Walaupun papan pemuka didominasi oleh paparan tersebut, K4 masih mempunyai butang-butang fizikal untuk fungsi-fungsi seperti navigasi, media serta pendingin hawa.

Untuk menaikkan lagi seri ruang kabin K4, Kia akan menawarkan pelabgai pilihan trim, material, corak dan warna, termasuk warna Medium Gray, Slate Green, Canyon Brown, dan Onyx Black.

Informasi terperinci mengenai aspek mekanikal masih belum didedahkan. Menurut Kia, K4 akan membuat kemunculan pertamanya di New York International Auto Show yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.

Harga tiket bas eksekutif untuk Pantai Timur mungkin naik dari RM44 kepada RM75

PENGUSAHA bas ekspres di Pantai Timur dijangka menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus iaitu dari RM44 kepada RM75, dalam masa terdekat.

Perkara itu diputuskan menerusi perbincangan membabitkan pengusaha bas di Pantai Timur berikutan kos yang semakin meningkat dan negeri lain pula sudah lama menaikkan harga.

Menurut Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, bas eksekutif bermaksud bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan, manakala bas ekonomi pula membabitkan kerusi 2+2 di setiap barisan.

Katanya lagi, ketika ini pengusaha bas di Pantai Timur mengenakan tambang tiket ekonomi untuk bas eksekutif akibat persaingan yang berlaku sebelum ini.

“Namun disebabkan kos yang semakin meningkat termasuk alat ganti dan harga bas yang semakin mahal menyebabkan pengusaha bas sudah tidak mampu menampung kos operasi dan kami sepakat untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi bas ekonomi untuk perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur, harga yang akan dikenakan RM44 berbanding kini RM35, manakala tiket bas eksekutif yang akan dikenakan RM75 berbanding kini RM44.

“Kenaikan harga ini akan dibuat dalam masa terdekat dan mungkin ini Aidilfitri terakhir di mana penumpang masih membeli dengan harga tiket yang lama,” katanya.

Che Ibrahim berkata, selepas berlaku kenaikan berkenaan, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan selaras di semua negeri berbanding di Pantai Timur buat masa ini lebih murah.

200 pegawai, anggota trafik digerakkan ke 142 hotspot atasi kesesakan lalu lintas Ramadan

DALAM usahanya untuk menangani kesesakan lalu lintas sepanjang Ramadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, kehadiran pegawai dan anggota JSPT adalah bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.

“JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.

Harga rasmi Modenas Ninja ZX-25RR diumumkan – RM36,500

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini secara rasmi mengumumkan harga untuk Modenas Ninja ZX-25RR iaitu RM36,500.

Menurut EMOS, model ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.

Untuk perbandingan, satu lagi varian ZX-25R iaitu ZX-25R SE dilancarkan ke pasaran tempatan pada September tahun lalu dengan harga jualan RM33,900.

Seperti versi SE, ZX-25RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan, namun di belakang, jentera Double-R ini menggunakan penyerap hentak Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras.

Bagaimanapun, ‘nadi’ yang menggerakkan ZX-25RR adalah sama dengan SE iaitu enjin empat silinder sebaris bersesaran 250 cc yang mampu menghasilkan 46 PS pada 15,500 rpm dan 22 Nm pada 14,000 rpm.

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai ukuran panjang 1,980 mm, lebar 750 mm, tinggi 1,100 mm serta jarak roda 1,380 mm. Ia mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 785 mm, berat 184 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Tayar yang digunakan bersaiz 110/70 R17 di hadapan dan 150/60 R17 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang.

Selain itu, ZX-25RR didatangkan dengan beberapa ciri elektronik terkini termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth serta tiga mod tunggangan. Turut disertakan adalah paparan TFT dengan sambungan Bluetooth menerusi aplikasi Rideology.

Proton buka pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim

PROTON hari ini mengumumkan pembukaan rasmi pusat pemasangan cermin gelap Proton yang terletak di fasiliti pengeluarannya di Tanjung Malim.

Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu memasang cermin gelap untuk sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

Pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium X90 apabila ia dilancarkan pada 7 Mei 2023.

Ini diulangi untuk S70 dengan kedua-dua varian Flagship dan Flagship X dilengkapi dengan cermin gelap keselamatan sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard.

Pilihan itu akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha Proton untuk memberikan nilai tambahan kepada para pelanggan.

Terdapat banyak kelebihan apabila pemasangan cermin gelap dikendalikan oleh OEM berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan.

Ini termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik menggunakan cetakan pra-potong, langkah jaminan kualiti yang ketat, pematuhan kepada peraturan JPJ dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya dikaitkan dengan pemasangan selepas pasaran.

Pelanggan juga boleh menikmati waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, membuktikan komitmen Proton yang menekankan kepuasan pelanggan dan ketahanan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah kata pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu Proton adalah satu langkah penting ke arah komitmen Proton untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan.

“Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti yang lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

“Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard,” katanya.

Ford Performance tawar kit supercharger Mustang – RM48k sahaja

PEMILIK Ford Mustang GT dan Mustang Dark Horse di Amerika Syarikat yang ingin meningkatkan kuasa jentera mereka kini boleh mendapatkan kit supercharger daripada Ford Performance.

Dibangunkan dengan kerjasama pengeluar supercharger terkemuka iaitu Whipple, kit berkenaan merangkumi unit supercharger berkapasiti 3.0 liter dengan rekaan twin screw, intercoolerthrottle body, palam pencucuh dan penyuntik bahan api GT500.

Bukan itu sahaja, pada harga US$9,995 (RM47,356), supercharger itu juga akan dikalibrasikan secara eksklusif oleh Ford Performance. Kit ini didatangkan dengan waranti untuk tiga tahun atau 36,000 batu (57,936 km).

Dengan supercharger ini, enjin 5.0-liter V8 yang digunakan oleh Mustang GT dan Dark Horse akan ‘diperah’ bagi menghasilkan 810 hp pada 7,500 rpm dan 834 Nm pada 4,800 rpm.

Untuk perbandingan, Mustang GT mempunyai 486 hp dan 567 Nm manakala Mustang Dark Horse mempunyai 500 hp dan jumlah tork yang sama.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa angka-angka berkenaan adalah untuk model yang dilengkapi dengan sistem ekzos aktif. Tanpa sistem ini, kuasa dihadkan kepada 800 hp.

Menariknya, kit supercharger Ford Performance sah untuk digunakan di semua negeri di AS kecuali California. Menurut Ford, kit berkenaan tidak mempunyai kelulusan untuk digunakan di California dan tidak boleh didaftarkan atau digunakan secara sah pada kenderaan di negeri itu.

Untuk pengetahuan, undang-undang emisi California adalah antara yang terketat di negara itu.

Dana hasil jualan nombor plat disalurkan ke Kumpulan Wang Disatukan, bukan MOT

KESEMUA hasil kutipan penjualan nombor pendaftaran kenderaan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan dan bukannya Kementerian Pengangkutan.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang berkata jumlah kutipan keseluruhan dari jualan nombor pendaftaran kenderaan bagi tahun 2023 ialah RM311.8 juta, termasuk penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) berjumlah RM21 juta.

Penjualan NPI bermula pada 2019, manakala tawaran bidaan melalui NPI bermula pada tahun 2023 dengan nombor siri M_M.

“Walau bagaimanapun, bagi tahun 2024 seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian penjualan NPI akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu kutipan hasil daripada tawaran bidaan NPI dan perincian inisiatif yang telah dilaksanakan kementerian, dengan menggunakan hasil kutipan NPI sejak tahun 2018 sehingga 2023.

Menurut Loke, sebahagian penjualan NPI digunakan oleh kerajaan untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain itu, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak dapat dibekalkan dan diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

“Ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, serta inisiatif pembiayaan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada hampir 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut memaklumkan kementerian baru-baru ini telah memperkenalkan NPI untuk siri GOLD, dengan jumlah kutipan bagi siri itu setakat ini berjumlah RM17 juta.

“Seperti Yang Berhormat telah maklum, nombor siri GOLD1 telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta, menyumbang kepada hasil kerajaan. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif seperti yang dinyatakan,” katanya.

Audi Q6 e-tron – enam fakta menarik yang anda perlu tahu

AUDI telah memperkenalkan model elektrik terbarunya iaitu Q6 e-tron, yang dibina menggunakan platform Premium Platform Electric (PPE) yang dibangunkan bersama Porsche untuk Macan.

Berikut adalah enam perkara menarik yang anda perlu tahu mengenai model ini:

Saiz dan posisi dalam pasaran

Q6 e-tron mempunyai ukuran panjang 4,771 mm, lebar 1,939 mm, tinggi 1,648 mm dan tapak roda 2,899 mm. Ini menjadikannya pesaing kepada BMW iX dan Tesla Model Y dalam segmen saiz pertengahan premium.

Menurut Audi, nisbah tapak roda panjang dengan overhang pendek memberikan model ini penampilan yang gagah serta dinamik seperti model-model siri Q yang lain, ditambah pula dengan elemen-elemen reka bentuk yang spesifik untuk model e-tron.

Prestasi & jarak pandu

Q6 e-tron akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Q6 e-tron quattro dan SQ6 e-tron, kedua-duanya mempunyai dua motor elektrik. Varian asas itu mempunyai 387 PS dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat. Dengan 516 PS, SQ6 e-tron hanya memerlukan 4.3 saat untuk mencapai kelajuan tersebut.

Kedua-dua varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 100 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 625 km untuk Q6 e-tron dan 598 km untuk SQ6 e-tron.

Kelebihan platform PPE

Platform PPE baharu menggunakan seni bina 800 volt yang menyokong pengecasan pantas sehingga 270 kW. Di stesen pengecas yang sesuai, bateri boleh dicas dari 1o% hingga 80% dalam hanya 21 minit. Apa yang menarik, jika stesen pengecas menggunakan teknologi 400 volt, bateri 800 volt itu akan dibahagikan kepada dua pada voltan yang sama, yang kemudiannya boleh dicas selari dengan kapasiti sehingga 135 kW.

Pengecasan AC boleh dilakukan pada kapasiti 11 kW.

Teknologi pencahayaan tercanggih

Q6 e-tron didatangkan dengan lampu Matrix LED pada bahagian hadapan yang menawarkan sehingga lapan signatur lampu digital. Di belakang pula terdapat lampu digital OLED generasi kedua yang mempunyai enam panel OLED dengan 360 segmen untuk menjana imej baharu setiap 10 milisaat menggunakan algoritma khas.

Ini membolehkan Q6 e-tron berkomunikasi dengan persekitarannya menggunakan teknologi Car-to-X untuk memberi amaran tentang kemalangan atau kerosakan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pentas Digital menghiasi ruang dalaman

Papan pemuka Q6 e-tron didominasi oleh tiga skrin iaitu kluster instrumen digital berukuran 11.9 inci untuk pemandu, skrin sentuh 14.5 inci dan paparan penumpang hadapan 10.9 inci yang boleh digunakan untuk membantu pemandu menetapkan sistem navigasi atau mencari stesen pengecas.

Selain itu, Audi turut menawarkan paparan head-up realiti terimbuh (AR) yang akan memantulkan imej besar pada cermin hadapan untuk menunjukkan info seperti kelajuan, papan tanda jalan raya dan navigasi. Menurut Audi, imej yang dipaparkan seolah-olah terapung pada jarak 200 meter dari pandangan.

Bakal tiba di Malaysia

Menurut paultan.org, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi Audi di Malaysia sebelum ini telah mengesahkan yang Q6 e-tron akan dilancarkan tahun ini.

Chery Malaysia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

CHERY Malaysia memperkembangkan perniagaannya di Malaysia Timur dengan pembukaan pusat pameran dan pusat servis Chery baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Dimiliki dan dioperasikan oleh Universal Chery Sdn Bhd, pusat 3S baharu itu terletak di Lot 7, Jalan Limau Manis Off Jalan Lintas Inanam, 88450 Kota Kinabalu.

Fasiliti yang mempunyai keluasan 1,400 meter persegi ini menawarkan pengalaman komprehensif dalam perkhidmatan pelanggan dan penyelenggaraan.

Ia mempunyai lapan ruang servis yang dikendalikan juruteknik Chery yang terlatih, dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 830 kenderaan setiap bulan.

“Kami sangat berbesar hati untuk menetapkan kehadiran kami di Sabah, dengan itu memperluaskan rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rangkaian kenderaan kami,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.

“Dengan pembukaan pusat pameran dan servis di Kota Kinabalu, ini seterusnya menunjukkan komitmen kami di Chery Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa dan kemudahan kepada pelanggan kami di Sabah. Kami juga ingin memperkenalkan jenama kami kepada lebih ramai pelanggan terutamanya di Sabah untuk memandu uji dan mengenali dengan lebih dekat lagi kenderaan Chery,” tambah beliau.

Pusat pameran ini dibuka setiap hari, dari 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), 8.30 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum).

Pusat servis pula dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Jumaat) dan dari 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu); ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Dengan pembukaan Chery Kota Kinabalu, Chery Malaysia kini mempunyai 40 wakil pengedar di seluruh negara.

Mercedes-Benz EQS 500 4Matic – S-Class versi elektrik? – Pandu Uji

Mercedes-Benz mempunyai portfolio produk yang luas, dari sekecil-kecil hatchback hinggalah sebesar-besar SUV. Seperti yang anda tahu, S-Class atau Sonderklasse merupakan penawaran tertinggi syarikat itu dalam barisan model enjin pembakaran dalamannya (ICE).

Dalam segmen elektrik, status model flagship Mercedes-Benz dipegang oleh EQS. Huruf ‘S’ pada hujung namanya mungkin membuatkan anda menyangka yang ia adalah S-Class versi elektrik. Ini ada benarnya tetapi ia tidak semudah itu.

Pertama sekali, kedua-dua model berkenaan menggunakan platform yang berbeza. S-Class dibina di atas platform Modular Rear Architecture (MRA2) manakala EQS pula menggunakan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang dibangunkan khusus untuk EV.

Kesan dari penggunaan platform yang berbeza boleh dilihat dari ukuran dimensi, di mana EQS sedikit lebih kecil daripada S-Class dengan ukuran panjang 5,216 mm, lebar 1,926 mm dan tinggi 1,512 mm. Ukuran tapak rodanya juga lebih pendek sebanyak 6 mm pada 3,210 mm.

Tidak seperti BMW 7 Series dan i7 yang kelihatan hampir 100% sama, reka bentuk luaran S-Class dan EQS juga sangat jauh berbeza – bagai langit dengan bumi, bak kata orang lama.

Tidak perlu diperkatakan lagi yang S-Class masih mengekalkan bentuk “tiga kotak” tradisional yang meletakkan model itu di peta dunia sejak ia diperkenalkan buat kali pertama.

Sementara itu, EQS pula tampil lebih futuristik dengan bentuk badan yang bujur dan garisan-garisan lembut yang mendominasi keseluruhan bahagian luarannya.

Perlu diingat yang ia merupakan sebuah EV, jadi kecekapan aerodinamik menjadi fokus utama dalam proses reka bentuk. Salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan menutup semua lubang yang ada – sebab inilah ia mempunyai ‘wajah’ yang bulat dan licin.

Sejujurnya, saya tidak begitu menggemari rekaan luaran EQS kerana ia nampak agak pelik. Bagaimanapun, rata-rata orang yang saya temui menyatakan mereka menyukai penampilan futuristik dan uniknya.

Bahagian luaran kereta ini mungkin tidak begitu menarik bagi saya namun ruang dalamannya cukup mengagumkan. Memang menjadi kepakaran Mercedes-Benz dalam menggabungkan teknologi dan kemewahan, dan ini dapat dirasakan sendiri sebaik sahaja saya masuk ke dalam EQS.

Seperti yang anda boleh lihat, tarikan utama di sini adalah paparan yang terlindung di sebalik panel kaca selebar 141 cm yang meliputi keseluruhan papan pemuka.

Digelar sebagai MBUX Hyperscreen, ia sebenarnya adalah gabungan tiga skrin kluster instrumen digital untuk pemandu berukuran 12.3 inci, skrin sentuh tengah OLED berukuran 17.1 inci dan sebuah lagi skrin sentuh OLED 17.1 inci untuk penumpang hadapan.

Seperti yang boleh dijangka dengan sistem MBUX, grafik yang dipaparkan sangat tajam dan jelas, manakala operasinya lancar tanpa sebarang isu lag. Skrin penumpang hadapan membuatkan kokpit tampak canggih namun ia tidak lebih dari sekadar gimik.

Cuma, dengan penggunaan skrin yang besar ini, majoriti fungsi kenderaan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh tengah tersebut. Ini sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan ketika memandu tetapi untuk pendingin hawa, terdapat ruang khas yang disediakan jadi pemandu boleh mengawalnya tanpa perlu memasuki menu.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan mengenai stereng, di mana Mercedes memilih untuk menggunakan panel sesentuh. Memang tidak dapat dinafikan yang ia nampak cantik dan mewah anda mungkin memerlukan sedikit membiasakan diri dengannya.

Seperti S-Class, keselesaan penumpang belakang juga menjadi keutamaan. Di samping tempat duduk empuk berserta perehat kepala yang lembut, mereka juga mendapat skrin tersendiri serta tablet yang boleh digunakan untuk mengawal fungsi kenderaan atau bermain permainan yang disediakan.

Selain itu, EQS didatangkan dengan banyak ciri-ciri keselesaan lain termasuk sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, sistem pendingin hawa empat zon, dan sistem audio Burmester 3D lengkap dengan fon kepala untuk penumpang belakang.

Bagaimanapun, saya perasan kereta ini tidak mempunyai tirai pada pintu belakang dan cermin belakang. Agak pelik kerana saya pasti privasi adalah salah satu sebab utama kereta-kereta limosin Mercedes popular dalam kalangan golongan kaya.

 

EQS 500 yang penulis berpeluang memandu uji baru-baru ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Pekan, Pahang.  Ia menggantikan varian pertama EQS yang dilancarkan di Malaysia iaitu EQS 450+ yang dibawa masuk sebagai model CBU.

Varian ini lebih berkuasa namun penampilannya tidak segarang EQS 450+ yang didatangkan dengan kit AMG Line dan rim aloi AMG berukuran 21 inci. Entah kenapa, EQS 500 hanya diberikan kit Electric Art Line dan rim 20 inci dengan rekaan yang agak konservatif.

EQS 500 dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 449 PS dan 828 Nm, 116 PS dan 260 Nm lebih tinggi berbanding EQS 450+ yang mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang.

 

Walaupun mempunyai berat sekitar 2.4 tan, limosin elektrik ini mencapai kelajuan 100 km/j dengan begitu mudah. Atas kertas, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat namun kadang-kala ia terasa lebih pantas daripada itu, walaupun ketika saya memandu dalam mod Comfort.

Dari segi kuasa, memang tidak dinafikan model ini mampu bersaing dengan kebanyakan kereta sport yang ada dalam pasaran namun bagaimana pula dari segi pemanduan?

Terima kasih kepada sistem suspensi udaranya, EQS sememangnya antara kereta yang paling selesa untuk dinaiki – tidak kira sama ada sebagai pemandu atau pun penumpang. Di lebuh raya, setiap permukaan yang beralun diserap dengan begitu lembut sekali sehinggakan perjalanan yang jauh tidak begitu terasa.

Namun ketika melalui bonggol had laju, saya sentiasa perlu berhati-hati kerana suspensi yang agak lembut akan menyebabkan bahagian bawah kenderaan terhentak jika terlalu laju.

Menariknya, walaupun mempunyai karakter yang agak matang, EQS boleh dikatakan agak lincah di selekoh. Mungkin kerana pek baterinya diletakkan pada kedudukan yang agak rendah, sedan ini bagaikan melekap di jalan setiap kali ia dipandu dengan agresif.

Selain talaan casis, satu lagi faktor penyumbang adalah sistem stereng roda belakang. Ia membolehkan roda belakang dipusing sehingga 10 darjah untuk mengecilkan radius putaran, sekali gus memberikan pengendalian yang lebih tajam.

Mengenai jarak pemanduan pula, bateri berkapasiti 108.4 kWj menjanjikan jarak gerak sejauh 696 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP yang lebih tepat.

Walaupun kitaran WLTP boleh dikatakan agak tepat, saya sudah mengetahui yang agak sukar untuk mencapai angka tersebut di dalam situasi dunia sebenar. Sangkaan saya terbukti tepat apabila saya hanya berjaya mencapai jarak kira-kira 600 km sebelum cas bateri turun ke tahap yang membimbangkan.

Bagi saya, 600 km untuk satu cas penuh sudah cukup memadai untuk kebanyakan pemandu. Melainkan anda sering keluar outstation, anda mungkin perlu mengecas EQS beberapa kali sahaja sebulan.

Jika difikirkan balik, EQS dan S-Class secara asasnya memang dua model yang berbeza namun kedua-duanya menawarkan benda yang sama iaitu kemewahan, keselesaan dan prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

Cuma, EQS sebagai sebuah EV tampil dengan pakej yang lebih unik dan futuristik, sesuatu yang dilihat akan menarik perhatian golongan pembeli yang lebih muda.

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 500 4Matic

Harga: RM648,888
Kuasa: 449 PS
Tork: 828 Nm
Bateri: 93.4 kWj
Jarak gerak: 696 km (WLTP)

Bermaz Auto dilantik jadi pengedar rasmi XPeng di Malaysia

BERMAZ Auto Berhad baru-baru ini mengumumkan ia telah mendapat hak pengedaran, penjualan alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan elektrik (EV) pintar jenama XPeng di Malaysia.

Kontrak tersebut diberikan oleh Shenzhen Xiaopeng Motors Supply Chain Management Co., Ltd., China (Shenzhen XPeng) dan Guangzhou Xiaopeng Motors Trading Co., Ltd., China (Guangzhou XPeng).

Shenzhen XPeng dan Guangzhou XPeng mengawasi pengedaran dan jualan EV jenama XPeng, jualan alat ganti dan pemasaran, serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan di peringkat global.

Kedua-dua syarikat berkenaan merupakan rakan kongsi kepada Guangzhou Xiaopeng Motors Technology Co., Ltd. (XPeng Motors), pengeluar EV pintar XPeng yang berpangkalan di Guangzhou, Guangdong, China.

XPeng Motors juga mempunyai beberapa cawangan di Mountain View, California, Amerika Syarikat dan Munich, Jerman. Sahamnya didagangkan secara terbuka di Bursa Saham New York dan Bursa Saham Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee berkata pihaknya teruja mendapat hak pengedaran XPeng di Malaysia.

“Kenderaan XPeng adalah antara EV pintar terbaik di China dan juga di seluruh dunia. Ia dilengkapi dengan ciri ciri terkini seperti teknologi pemanduan autonomi, kokpit digital dan berprestasi tinggi.

“Perisian Navigation Guided Pilot XPeng menawarkan keupayaan pemanduan autonomi dan boleh menavigasi di bandar utama di China seperti Beijing dan Shanghai,” kata beliau.

Sebelum ini, XPeng dilaporkan berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) seperti Hong-Kong, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – pakej servis 7 tahun, waranti enjin 10 tahun

CHERY Malaysia telah memperkenalkan pakej ‘Extra Peace of Mind’ yang ditawarkan khas kepada pemilik baharu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Dengan bayaran tambahan sebanyak RM11,600, pelanggan akan mendapat pakej servis selama tujuh tahun dan jaminan enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Pakej servis tersebut merangkumi penggantian item penyelenggaraan berjadual seperti minyak enjin, penapis minyak enjin, coolant radiator, bendalir brek, penapis udara, palam pencucuh, washer minyak enjin dan minyak transmisi untuk tujuh tahun pertama.

Menurut Chery, pakej Extra Peace of Mind menawarkan perlindungan hebat untuk kenderaan baharu, sekali gus membolehkan pemilik memastikan kenderaan mereka beroperasi pada tahap yang terbaik.

Komitmen ini oleh Chery tidak hanya menjamin perkhidmatan berkualiti terbaik tetapi juga meningkatkan nilai jualan semula kenderaan pada masa depan.

Bukan itu sahaja, pelanggan boleh yakin bahawa mereka tidak akan terjejas oleh peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut tentang pakej Extra Peace of Mind, layari laman https://www.chery.my/ atau kunjungi pusat pameran Chery di seluruh negara.