Arkib Tag: LAMBORGHINI

Lamborghini Huracan Tecnica jentera RWD dengan enjin NA V10, 640hp, sistem LDVI

PADA November 2020, kita diperkenalkan dengan Lamborghini Huracan STO yang secara asasnya dibangunkan sebagai sebuah kereta lumba yang sah untuk dipandu di jalan raya.

Segelintir media antarabangsa mendakwa ia Huracan yang terbaik setakat ini namun dengan kit badan aerodinamik yang tidak ubah seperti kereta lumba sebenar, ia mungkin terlalu ekstrem untuk penggunaan harian.

Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih mesra pengguna namun tetap berbisa, di sini ada berita baik kerana Lamborghini telah memperkenalkan Huracan Tecnica. Ia boleh dikatakan perantara antara Huracan EVO dan Huracan STO dalam hierarki model itu.

Dari segi visual, kit badannya tidak seagresif STO namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah. Ini kerana, seperti STO, Tecnica dikuasakan oleh enjin 5.2-liter V10 yang menghasilkan 640PS pada 8,000rpm dan 565Nm pada 6,500rpm.

Dengan gandingan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan dan pacuan roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.2 saat. Angka tersebut menunjukkan 0.2 saat lebih perlahan berbanding STO, namun ini sudah dijangka kerana versi itu lebih hardcore.

Bagaimanapun, Tecnica menang dari segi kelajuan maksimum kerana tidak seperti STO yang boleh mencapai kelajuan 310km/j, ia berupaya memecut sehingga 325km/j.

Satu lagi ramuan penting yang ada pada Tecnica adalah sistem LDVI (Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata) yang ditugaskan untuk menguruskan setiap aspek dinamik supercar itu (stereng roda belakang, pemvektoran tork, Performance Traction Control System (P-TCS) dan sistem suspensi) menerusi tiga mod pemanduan iaitu Strada, Sport dan Corsa.

Selain itu, Lamborghini turut memasang cakera brek karbon seramik dan sistem penyejukan brek baharu yang merangkumi pemantul dan saluran angkup yang berfungsi untuk mengalihkan udara ke arah cakera.

Berbalik ke topik kit badan, Tecnica mempunyai bampar hadapan serba baharu dengan rekaan Ypsilon hitam yang menggabungkan tirai udara, serta splitter dengan bukaan udara yang lebih rendah.

Bahagian belakang tidak ketinggalan, ia kini ditambahbaik dengan cermin belakang baharu untuk pemandangan yang lebih jelas, hud enjin baharu, bampar yang direka semula, diffuser dan muncung ekzos berbentuk heksagon.

Menurut pengeluar supercar itu, model ini 6.1cm lebih panjang berbanding Huracan EVO dan profil sisinya pula diinspirasikan oleh Essenza SCV12. Semua perubahan ini meningkatkan downforce belakang sebanyak 35 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 20 peratus.

Perubahan pada ruang kabin tidak begitu ketara, dengan kebanyakan kelengkapan yang ada pada STO dibawa ke model ini. Antaranya adalah tempat duduk sport dengan pelarasan ketinggian dan skrin infotainmen yang menyokong Apple CarPlay, Android auto dan Amazaon Alexa. Turut disertakan adalah sistem telemetri dan diari on-board bagi destinasi dan catatan masa dilitar.

Seperti kebanyakan jentera keluaran Lamborghini, Huracan Tecnica boleh dipersonalisasi menerusi servis Ad Personam yang menawarkan lebih 200 pilihan warna dan pelbagai kemasan dan penyudah untuk ruang kabin.

Insiden Felicity Ace, Lamborghini terpaksa produksi semula Aventador?

LAMBORGHINI berkemungkinan terpaksa membuka kembali barisan produksi model Aventador.

Ia susulan kebakaran kapal Felicity Ace yang membawa model tersebut untuk dipasarkan di Amerika Syarikat.

Memetik laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lamborghini Amerika Andrea Baldi bagaimanapun masih belum mengesahkan jumlah keseluruhan kerugian dialami.

Sebelum ini, Lamborghini mengesahkan tidak lagi akan memproduksikan model Aventador.

Kesemua unit Aventador dikatakan habis terjual dan akan digantikan dengan model baharu.

“Ketika ini kami masih tiada maklumat lanjut dan harus berdepan dengan apa jua masalah.

“Semua unit Aventador telah habis terjual dan terdapat kemungkinan sebilangan kecil pelanggan mahukan model pengganti.

“Namun, kami berharap sekurang-kurangnya beberapa unit Aventador di atas kapal itu terselamat daripada sebarang kerosakan,” katanya.

Kelihatan Felicity Ace sedang terbakar dengan dilitupi asap tebal. – Foto ihsan Business Insider

Kapal Felicity Ace dilaporkan terbakar ketika berlayar ke Davisville, Rhode Island selepas berlepas dari pelabuhan Emden, Jerman.

Bagaimanapun, kesemua anak kapal dalam keadaan selamat selepas diselamatkan sebuah kapal tangki dan anggota keselamatan Portugal.

Felicity Ace turut dikhabarkan hanyut di lautan Atlantik memandangkan tiada sebarang kru mengemudi kapal berkenaan.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Tecnomar for Lamborghini 63 ‘mainan’ terbaharu Conor McGregor, enjin 48-liter berkuasa 4,000hp

DENGAN pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tidak hairanlah jika ikon UFC terkenal Conor McGregor gemar menunjuk-nunjuk barangan mewah miliknya seperti jam tangan, kereta, dan sebagainya.

Bagaimanapun, pembelian terbarunya ini adalah antara yang paling mahal pernah dilakukan oleh atlet seni bela diri campuran itu – ia merupakan sebuah bot laju Tecnomar for Lamborghini 63 yang bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

“Kapal layar Lamborghini saya sudah sedia,” kata atlet berusia 33 tahun itu menerusi satu kiriman di akaun Instagram miliknya.

Dibangunkan dengan kerjasama Lamborghini dan The Italian Sea Group, Tecnomar for Lamborghini 63 menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model flagship Lamborghini iaitu Sian.

Jika Sian dikuasakan oleh enjin V12 hibrid, bot laju ini pula didatangkan dengan sepasang enjin twin-turbo diesel MAN, masing-masing berkapasiti 24-liter dan mampu menjana sehingga 2,000 hp.

Dengan kuasa keseluruhan mencecah 3,945 hp (2,942 kW), ia mampu mencapai kelajuan 60 knot atau bersamaan dengan 111 km/j, menjadikannya antara yang terpantas dalam kelasnya.

Nombor ‘63’ pada namanya bukan sahaja merujuk kepada tahun jenama Lamborghini diasaskan, malah juga ukuran panjang keseluruhan bot ini iaitu 63 kaki (20.42 meter). Sementara itu, ukuran lebarnya pula adalah 17.7 kaki atau bersamaan 5.4 meter.

Unit milik McGregor ini didatangkan dalam warna hijau Verde Green, manakala ruang kokpitnya menampilkan tempat duduk daripada Huracan Evo, serta stereng daripada Aventador.

Panel instrumennya turut diinspirasikan oleh model tersebut namun ia didatangkan dalam saiz yang lebih besar.

Menurut laporan, McGregor memesan bot tersebut pada Oktober tahun lalu di ibu pejabat Tecnomar di Itali.

Daripada 63 unit yang dihasilkan, beliau mendapat unit bernombor 12 bersempena dengan syarikat wiski Proper No. Twelve yang diasaskan olehnya pada 2018. Bagaimanapun, syarikat tersebut telah dijual pada April lalu pada harga USD150 juta (RM622 juta).

Bot ini hanyalah satu lagi tambahan terbaru ke dalam koleksi ‘permainan’ mewah McGregor.

Menerusi kiriman-kiriman sebelum ini, beliau pernah menunjukkan pelbagai jenis kereta miliknya seperti Lamborghini Aventador Roadster, Urus, McLaren 650S, Rolls-Royce Ghost, Phantom Drophead Coupe, Bentley Continental GT, BMW i8 dan banyak lagi.

Lelaki pandu Lamborghini sehingga kemalangan dipenjara dua minggu

LELAKI memandu kereta mewah jenis Lamborghini Gallardo sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Tun Razak berdepan hukuman penjara dan denda.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua minggu serta denda RM9,000 terhadap Abdul Rahman Abdullah, 28.

Keputusan dibuat mahkamah selepas Abdul Rahman mengaku bersalah menyebabkan kemalangan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Majistret Amanina Mohamad Anuar turut menetapkan Abdul Rahman tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun.

Abdul Rahman juga boleh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Abdul Rahman tidak mempunyai lesen memandu didakwa menyebabkan kemalangan serta kerosakan teruk kepada enam kenderaan lain pada 8 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga termasuk dua anak.

Lamborghini Gallardo Superleggera hilang kawalan rempuh Proton Perdana hingga terbalik

SEBUAH Lamborghini dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Proton Perdana hingga sedan itu terbalik.

Dalam kejadian di Jalan Tun Razak, menghala ke Bulatan Pahang pagi ini, Lamborghini dipercaya model Gallardo Superleggera merempuh Proton Perdana berwarna kelabu dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sebelum terkena beberapa kenderaan lain di depannya.

Sumber: Facebook

Kesemua pemandu kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, “Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Lamborghini yang dipandu lelaki berusia lingkungan 42 tahun dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang.

“Sebaiki sahaja tiba di lokasi, terdapat deretan kenderaan yang berhenti akibat kesesakan lalulintas namun pemandu gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan jenis Proton Perdana dipandu wanita terbabit sehingga kenderaannya terbalik.

Sumber: Facebook

Menurutnya lagi, kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.

Tambah Sarifudin, setakat ini, pemilik tiga jenis kenderaan iaitu kereta Mazda berwarna merah, MPV Nissan Serena berwarna hitam dan trak pikap Ford Ranger berwarna biru telah hadir membuat laporan.

“Siasatan lanjut diteruskan jika terdapat lain-lain kenderaan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Sarifudin, ujian air kencing dan alkohol pemandu Lamborghini didapati negatif.

“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan di bawah Sekyen 43 ( 1 ) APJ 1987.

Anda boleh tonton video rakaman dashcam kejadian ini di sini.

Nak beli Lamborghini Countach 2022? Maaf, dah habis!

LAMBORGHINI menghidupkan semula nama Countach selepas kira-kira 30 tahun. Dengan pelancarannya di Monterey Car Week, Lamborghini hanya akan membina 112 unit Countach.

Dan seperti dijangka, semua unit telah habis dijual dan ditempah. Jadi kalau anda berminat nak beli satu, dah terlambat.

Kesemua 112 pembeli bertuah itu akan memiliki cebisan warisan antara model paling ikonik Lamborghini. Di bawah ‘kulit’ penampilan retro itu ialah Lamborghini Aventador.

Tetapi ia tetap mempunyai banyak perubahan khas untuk Countach, seperti janaan kuasa hibrid dari Sián FKP 37 yang menggandingkan enjin V12 dengan motor elektrik.

Gambar oleh: Lamborghini

Konfigurasi ini cukup untuk membekalkan 803hp dan 719Nm tork, yang membolehkan Countach melonjak ke 100km/j dalam 2.8 saat dan terus mencapai 200km/j hanya 8.6 saat.

Kotak gear automatik 7-kelajuan membantu menyalurkan kuasa ke semua roda, yang semestinya membantuk pecutan.

Antara ciri rekaan unik adalah lampu belakang, ekzos quad, dan rim 20-inci depan dan 21-inci belakang dengan tema retro.

Pemilik akan mula menerima Countach mereka hujung tahun. Harga tidak didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia melebihi USD1 juta (lebih RM4.24 juta), dan ada juga berkata ia sehingga USD3.5 juta (RM14.8 juta).

Lamborghini Countach 2022 ini supercar hibrid 800hp yang akan jadi ‘poster’ telefon pintar anda

INI dia, Lamborghini betul-betul menghasilkan semula Countach baharu sepenuhnya. Buat kali pertama, pengeluar dari Sant’Agata itu menghidupkan nama lama mereka selepas 30 tahun.

Countach dikatakan menjadi pencetus kepada segmen supercar dan terus menjadi poster bilik tidur budak lelaki pada masa itu. Mungkin Lamborghini Countach 2022 ini akan menjadi wallpaper telefon pintar pula?

Apalah sebuah Lamborghini jika kita tidak menceritakan bab enjinnya. Nadi kepada Countach baharu ini masih V12 seperti dulu, tetapi versi moden mengambil unit 6.5-liter dari Aventador. Malah, Countach LPI 800-4 ini memang berasaskan Aventador.

Gambar oleh: Lamborghini

Tetapi Lamborghini Countach ini menerima penambahan sistem hibrid pada enjinnya. V12 6.5-liter itu sahaja menjana 769hp ditambah oleh motor elektrik berkuasa 25kW (34hp), menjadikan jumlah outputnya sebanyak 803hp.

Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 7-kelajuan, membolehkan Countach ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.8 saat, 200km/j dalam 8.6 saat dan mencapai kelajuan maksima 356km/j.

Sudah tentu rekaannya perlu mengambil elemen dari kereta asal. Jadi Countach LPI 800-4 ini mendapat muncung depan yang rata dan lampu dengan posisi hampir sama (walaupun tiada lagi pop-up).

Ruang kemasukan udara sisi mempunyai rekaan segi tiga mirip corong NACA pada Countach asal, dan rekaan belakang mendapat ‘ekor’ yang leper berserta empat ekzos. Oh ya, tidak dilupakan pintu scissor untuk pelengkap gaya dramatik.

Rim Countach baharu ini mengambil bentuk dail telefon lama dan bersaiz 20-inci di depan, 21-inci di belakang.

Baik, untuk harga, Lamborghini tidak mengumumkan sebarang angka, tapi ada yang berkata ia sekitar USD1 juta (RM4.24 juta). Apa yang pasti, hanya 112 unit akan dibina. Penghantaran akan bermula pada suku pertama 2022.

Gambar Lamborghini Countach 2022 bocor! Gaya klasik sebuah ikon, tiada lampu ‘pop up’

HANYA beberapa hari selepas Lamborghini menyiarkan teaser mengenai Countach baharu, kini bocor pula beberapa gambar yang menunjukkan rupa sebenar supercar V12 itu. Countach LPI 800-4 sepatutnya dilancarkan hujung minggu ini di Monterey Car Week.

Gambar-gambar yang diperoleh daripada laman Instagram @varryx_ itu mendedahkan rupa sebenar Countach yang menunjukkan ia mendapat banyak elemen rekaan dari ‘atuknya’ yang ikonik.

Gambar oleh: Instagram – varryx_

Sayang sekali tiada lampu depan pop-up walaupun posisi lampunya mirip model asal. Di bahagian tepi pula dapat dilihat ruang kemasukan udara di belakang tingkap dan di pintu dengan bentuk seperti Countach terdahulu.

Lamborghini Countach LPI 800-4 ini berasaskan Aventador, tetapi akan menerima sumber kuasa hibrid, seperti boleh dilihat pada designasi “LPI” padanya. Enjin V12 6.5-liter itu akan menjana 789hp dengan bantuan mild-hybrid 48-volt, dan mendapat pacuan semua-roda.

Model Aventador kian sampai ke penghujung hayatnya, jadi pengenalan supercar baharu ini bersesuaian pula dengan Lamborghini yang akan menyambut ulangtahun ke-50 model Countach itu. Difahamkan hanya 112 unit akan dibina, dan pastinya sekejap sahaja habis.

Tiada maklumat pilihan warna badan, dan tiada gambar dalaman yang bocor buat masa ini.

Kami akan kongsikan lebih maklumat terperinci apabila ia dilancarkan secara rasmi nanti.

Dilelong hampir RM1.7 juta pada 2011, di mana Lamborghini Athon sekarang?

TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan kita mempunyai minat mengumpul atau menyimpan koleksi kenderaan klasik.

Bagaimanapun, minat ini sudah pasti menelan belanja besar memandangkan kenderaan klasik mempunyai nilai sangat tinggi sehingga adakala mencecah jutaan ringgit.

Jadi, kali ini jom kita kembali ke tahun 1980 untuk melihat serba sedikit mengenai sebuah kereta konsep dikenali sebagai Lamborghini Athon!

Kenali Lamborghini Athon

Model Lamborghini Athon mula diperkenalkan pada tahun 1980 ketika berlangsung acara motor show di Turin, Itali.

Ia dikatakan antara kereta konsep paling power ketika itu yang mana didatangkan dengan enjin V8 3.0-liter.

Kapasiti enjin ini menghasilkan lebih 260hp yang disertakan dengan kotak gear manual 5-kelajuan.

Pada masa sama Athon juga turut dilengkapi suspensi gantungan bebas (independent front and rear suspension) di bahagian depan dan belakang.

Kebiasaannya, kereta konsep dicipta hanya untuk dipamerkan kepada umum dan jarang sekali ia dapat berfungsi.

Bagaimanapun, Lamborghini tampil menghasilkan sebuah kereta konsep yang boleh berfungsi dengan baik malah, mempunyai kuasa pecutan menggagumkan!

Sementara itu, mengimbau sejarah pembikinan Athon, ia juga dikatakan dihasilkan bagi membantu meningkatkan jualan syarikat Lamborghini yang berdepan masalah kewangan.

Laman web Motor1.com menyifatkan Athon sebagai antara model konsep paling unik pernah dihasilkan Lamborghini kerana mempunyai rekaan futuristic.

Model Athon memiliki suntikan gaya klasik-futuristik. – Foto ihsan Wikipedia

Asal usul nama Athon

Reka bentuk Athon dihasilkan daripada garapan idea oleh Marc Deschamps.

Deschamps merupakan pereka design kenderaan cukup terkenal selain pernah menghasilkan beberapa rekaan seperti Mazda MX-81 Aria dan Citroen Camargue 1972.

Nama Athon pula diambil bersempena gelaran tuhan matahari kepercayaan masyarakat kuno Mesir iaitu “Aton”.

Kokpit Athon yang kelihatan sangat canggih bagi kereta konsep ketika itu. – Foto ihsan Wikipedia

Kehebatan Athon

Athon menjadi salah sebuah model paling hebat sekitar 1980-an.

Ia bukan sahaja mempunyai enjin menghasilkan kelajuan memukau sehingga 273.6 km/j tetapi turut dilengkapi ruang dalaman eksklusif.

Kekemasan ruang dalaman Athon menjadikan model itu bernilai cukup tinggi dan ini terbukti apabila ia berjaya dilelong pada harga AS$392,700 atau bersamaan RM1.66 juta pada 2011.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan di mana satu-satunya model ini berada dan siapakah pemiliknya.

Jika anda ada maklumat lanjut mengenai Lamborghini Athon ini, jangan malu untuk tinggalkan komen di mana-mana platform media sosial EnGear.

Setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai nasib Athon selepas dilelong pada 2011. – Foto ihsan Wikipedia

Tiada lagi ‘Aventador’, Lamborghini keluar edisi terakhir LP780-4 Ultimae

NGAUMAN enjin aspirasi natural (NA) V12 yang ‘garang’ menjadikan Lamborghini Aventador digemari ramai.

Namun, setelah lebih 10 tahun berada di pasaran sayangnya legasi supercar itu bakal berakhir bagi memberi ruang kepada model generasi baharu dengan tren kuasa hibrid dan elektrik.

Bagaimanapun, sebelum pengeluaran Aventador dihentikan buat selama-lamanya, Lamborghini telah melancarkan edisi terakhir dikenali sebagai Aventador LP780-4 Ultimae.

Lamborghini memaklumkan hanya mengeluarkan 600 unit dengan pecahan 350 bagi varian Coupe dan 250 bagi jenis Roadster.

Aventador Paling Berkuasa

Pengeluar supercar dari Itali itu berkata, Ultimae adalah model Aventador paling berkuasa pernah dihasilkan.

Ini kerana ia didatangkan dengan enjin 6.5 liter yang mampu ‘menghamburkan’ kuasa maksimum 780 PS (peningkatan 40 PS dan 10 PS jika dibandingkan dengan Aventador S dan Aventador SVJ.

Namun, tork bagi Ultimae adalah masih sama seperti SVJ iaitu 720 Nm pada 6,750 rpm.

Tidak dinafikan model kenderaan dihasilkan Lamborghini mampu ‘memukau’ mata setiap memerhati. – Foto ihsan Lamborghini

Selain itu, enjin Ultimae masih dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Terdapat pengurangan berat keseluruhan sebanyak 25 kilogram yang mana menyaksikan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 2.8 saat! Kelajuan maksimum pula mampu mencecah 355 km/j!

Apa lagi menarik yang ada pada Ultimae?

Sistem brek karbon seramik terdapat pada Ultimae membolehkan ia berhenti dari kelajuan 100 km/j dalam jarak hanya 30 meter.

Selain kuasa, perhatian turut diberikan terhadap aspek pengendalian. Sama seperti versi S, Ultimae didatangkan standard dengan sistem kawalan stereng empat roda.

Sistem ini telah dikalibrasikan bagi menyalurkan lebih banyak tork ke roda belakang.

Setakat ini, masih belum diketahui harga bagi seunit Ultimae. – Foto ihsan Lamborghini

Sementara itu, sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) pula memastikan pemandu dapat menikmati tindak balas stereng lebih tepat dan pantas ketika mengambil selekoh.

Sistem ini diuruskan oleh Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA) yang mendapat data daripada sensor diletakkan pada bahagian badan kenderaan.

Rekaan paling ‘mantul’

Menurut Lamborghini, rekaan luaran Ultimae menggabungkan elemen terdapat pada versi S dan SVJ.

‘Splitter’ dan bukaan besar pada bampar hadapan meningkatkan kecekapan aerodinamik serta membantu menyejukkan radiator.

Spoiler aktif di belakang mempunyai tiga posisi berbeza yang diaktifkan mengikut kelajuan.

Ruang Kabin Ultimae

Ruang dalaman dihiasi dengan campuran material kulit dan Alcantara dalam konfigurasi dua tona.

Ia juga menerima sentuhan perincian warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi versi Coupe.

Terdapat juga motif ‘Y’ dan cetakan ‘Ultimae’ pada tempat duduk, serta plak nombor siri pada tiang A sebelah pemandu.

Ultimae didatangkan dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan belakang.

Terdapat 18 pilihan warna standard dan 300 lagi rona unik yang boleh dipilih menerusi katalog Ad Personam.

Kereta siapa lebih power, Neymar atau Ronaldo?

RAMAI dalam kalangan rakyat Malaysia menghidap ‘demam’ bola sepak bersempena kejohanan Euro 2020 dan Copa America yang sedang berlangsung ketika ini.

Walaupun Malaysia tidak terlibat dalam kedua-dua kejohanan itu namun, kemeriahannya turut dirasai para peminat bola sepak negara ini.

Bagaimanapun, artikel ini bukan untuk bercakap mengenai sukan itu tetapi fokus kepada kenderaan dimiliki pemain bola sepak.

Dua sosok menjadi tumpuan EnGear adalah pemain kebangsaan Brazil, Neymar dan anak kelahiran Penang (Portugal), Cristiano Ronaldo!

Koleksi Neymar

Neymar memiliki sebuah Lamborghini model Veneno.

Model ini diklasifikasikan sebagai hyper car dan mempunyai berat yang sangat ringan.

Ia juga dilengkapi enjin V12 6.5 liter atau bersamaan 6,500 cc.

Venono mempunyai 750hp dan mampu mencapai kelajuan maksima 360 km/j dengan pecutan pantas 0-100 km/j selama 2.9 saat!

Macam pelesit guys!

Model Lamborghini Veneno terkenal dengan kepantasan dan reka bentuk yang unik. – Foto ihsan Facebook/Lamborghini Veneno Roadster

Selain Lamborghini, Neymar juga mempunyai sebuah kereta hyper car buatan Lubnan dikenali sebagai Lykan.

Lykan mempunyai enjin diasaskan daripada teknologi Porsche Flat 6 dengan kapasiti enjin 3.7 liter twin turbo yang menghasilkan 780hp dan kelajuan maksima 396 km/j.

Sebuah Lykan boleh mencecah RM1.4 juta dengan cukai jalan RM5,300 sebulan jika di Malaysia.

Lykan terkenal selepas muncul dalam sebuah filem Hollywood Fast and Furious 7. – Foto ihsan Facebook/Lykan

Koleksi Ronaldo

Ronaldo memiliki sebuah Aventador LP700 berwarna hitam matte black dengan enjin V12 6.5 liter dengan 740hp.

Harga di pasaran adalah sekitar $318,000 atau bersamaan RM1.4 juta.

Buat pengetahuan anda, cukai jalan bagi kedua-dua model Lamborghini dimiliki Neymar dan Ronaldo jika berada di Malaysia adalah sekitar RM18,000!

Pemain bola sepak Cristiano Ronaldo kelihatan berada dalam kenderaan Aventador miliknya. – Foto ihsan Celebrity Cars Blog

Selain itu, Ronaldo juga memiliki sebuah Bugati Chiron. Ia mempunya enjin W16 dengan 1,500hp.

Memegang rekod kenderaan terpantas di dunia, Chiron boleh mencapai kelajuan maksima 490 km/j.

Harga sebuah Chiron high spec boleh mencecah RM14 juta di Malaysia dengan harga cukai jalan RM24,000 setahun.

Bugati Chiron adalah antara kenderaan terpantas di dunia. – Foto ihsan Facebook/GT Board

Jadi, koleksi siapa lebih power? Adakah Neymar atau Ronaldo?

Ingin tahu lebih lanjut mengenai koleksi kereta mewah dimiliki Neymar dan Ronaldo sila tonton video yang telah kami sediakan.

Selamat bercuci mata guys!

Sambut gol ke-100 bersama Juventus, Dybala shopping Aventador kuning

PELBAGAI cara disambut bagi meraikan sesuatu kejayaan dalam hidup.

Ada yang berparti, menganjurkan kenduri, bercuti dan banyak lagi.

Namun, bagi pemain bola sepak Juventus Paulo Dybala, kejayaan menjaringkan gol ke-100 untuk kelabnya disambut dengan shopping kereta.

Kereta yang dibeli pula bukannya calang-calang, Lamborghini Aventandor S!!!

Jelas Dybala, kereta itu menjadi pilihannya selepas melakukan lawatan ke kilang Lamborghini di Sant’Agata Bolognese, Itali.

“Sudah lama saya menanti untuk mendapatkan kereta ini. Ia seperti satu penghormatan besar kerana dapat memilikinya,” katanya seperti dilapor Times of Malta.

Dybala merupakan pemain bola sepak kelahiran Argentina.

Berusia 28 tahun, Dybala telah beraksi sebanyak 29 kali untuk pasukan kebangsaan negaranya.

https://www.youtube.com/watch?v=IhDFUd0_s1I&t=11s

Aventador S Roadster

Aventador S Roadster merupakan supercar keluaran Lamborghini.

Mempunyai sistem stereng roda belakang, ia dijana enjin V12 berkuasa 740hp dan tork 690Nm.

Apakah kelebihan jentera ini?

Buat pengetahuan anda, Aventador S Roadster  mampu memecut 0 – 100 km/j kurang daripada tiga saat!

Kelajuan maksima yang boleh dicapai pula mencecah 350 km/j.

Setakat ini, harga bagi sebuah Aventador S Roadster mencecah $460,247 (sebelum cukai) atau bersamaan RM1,904,870.28!!!

Agak-agak bila pula kita mampu beli ya?

Lamborghini musnah terbakar dalam kemalangan di LPT

SEBUAH kereta mewah jenis Lamborghini Urus musnah dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), semalam.

Kemalangan menyebabkan kenderaan tersebut hangus 100 peratus akibat dijilat api.

Memetik laporan bomba, dua mangsa bersama seorang kanak-kanak terselamat dalam kemalangan terbabit.

“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi,” memetik laporan di Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan hilang kawalan.

Kes kartel tender kerajaan: Ferrari, Lamborghini antara dirampas SPRM

RAKYAT Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tangkapan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan individu berprofil tinggi.

Memetik laporan media tempatan, agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan beberapa individu bagi menyiasat sindiket melibatkan tender kerajaan.

Serbuan SPRM terhadap beberapa suspek membawa kepada penemuan wang tunai lebih RM3.5 juta selain beberapa kenderaan mewah.

Apa yang menarik perhatian kami di EnGear, suspek-suspek terbabit dipercayai memiliki beberapa kenderaan mewah.

Berikut antara kenderaan mewah disita pihak berkuasa untuk dijadikan bahan bukti:-

  • Nissan Skyline GTR 35
  • Range Rover Sport Autobiography
  • Mclaren 720S 4.0 Performance
  • Toyota Alphard 3.5 V6
  • Range Rover Sport SVR 2020
  • Mercedes CLA 45 AMG
  • Ford Mustang GT 5.0 V8
  • Porsche Carrera 911 4S Turbo
  • Mercedes Benz GLA 45 AMG
  • Lamborghini Urus 4.0
  • Ferrari 458 Italia
  • Benimar Tessoro (Rumah bergerak)
Gambar hiasan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam reaksinya kesal dengan perkara berlaku, lapor Berita Harian.

Justeru, Mohd Zuki mengingatkan penjawat awam agar mengekalkan integriti dan maruah diri daripada terlibat dengan kegiatan rasuah.