fbpx

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini ambil inspirasi dari Huracan STO

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini 01

KIRA-kira dua tahun yang lalu, dua jenama mewah dari Itali yang bernaung di bawah payung Volkswagen Group iaitu Ducati dan Lamborghini bergabung untuk menghasilkan Ducati Diavel 1260 Lamborghini.

Kini, gandingan itu kembali membawakan satu lagi jentera edisi terhad iaitu Ducati Streetfighter V4 Lamborghini. Jika Diavel tersebut diilhamkan dari Sian FKP 37, model terbaharu ini mengambil inspirasinya dari Huracan STO.

Seperti Diavel 1260 Lamborghini, penampilan Streetfighter V4 Lamborghini diserlahkan lagi menerusi kehadiran nombor ’63’ pada bahagian tangki. Ia merujuk kepada tahun Lamborghini diasaskan iaitu 1963.

Selain itu, pengeluaran jentera eksklusif ini juga dihadkan kepada 630 unit sahaja, dengan tambahan 63 unit khas untuk pelanggan Lamborghini. Kesemua 630 unit tersebut didatangkan dengan skema warna dwi-tona hijau dan oren atau Verde Citrea and Arancio Dac, salah satu skema warna yang disediakan untuk Huracan STO.

Sementara itu, lebihan 63 unit yang disediakan khusus untuk para pemilik Lamborghini (digelar Speciale Clienti) boleh dikonfigurasikan dalam warna yang sama dengan kereta masing-masing. Ini termasuk warna badan dan angkup brek, serta reka bentuk rim.

Di samping livery unik, Streetfighter V4 Lamborghini juga hadir dengan bahagian-bahagian yang direka berdasarkan Huracan STO seperti madgad, tangki, belly pan dan bahagian ekor. Malah rimnya juga tidak ubah seperti jentera itu, lengkap dengan nat pengunci tunggal aluminium pada bahagian belakang.

Turut disertakan adalah komponen-komponen gentian karbon dan aluminium billet. Nama model dan nombor siri pengeluar dipaparkan pada plat metal pada bahagian tengah tangki. Nombor siri tersebut juga boleh didapati pada kunci dan akan muncul pada skrin TFT apabila enjin dihidupkan.

‘Nadi’ Streetfighter V4 Lamborghini adalah enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc yang menghasilkan 208 hp. Sistem suspensi terdiri daripada unit separa-aktif Öhlins Smart EC 2.0 manakala untuk brek pula, ia menggunakan cakera berukuran 330 mm dan angkup Brembo Stylema.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved