Arkib Tag: Jepun

Suzuki e Sky: kei car elektrik dengan jarak pandu 310 km, bakal dijual di Eropah

Selepas kemunculan BYD Racco, segmen kei car elektrik Jepun terus dimeriahkan dengan kehadiran model baharu, iaitu Suzuki e Sky.

Ia merupakan versi produksi sebenar yang mengekalkan sebahagian besar elemen rekaan yang wujud pada model konsep Vision e-Sky.

Suzuki e Sky akan mula dijual pada musim luruh tahun ini.

Menariknya, ia juga bakal dipasarkan di benua Eropah dan UK pada tahun 2027!

Spesifikasi

Menurut Suzuki, matlamat pembangunan e Sky adalah untuk membantu pemilik beralih daripada ICE kepada EV.

Disebabkan itu, ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak lari jauh daripada keperluan segmen kei car semasa.

e Sky berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460 mm.

Menggunakan platform Heartect e, Suzuki e Sky dipacu oleh e-Axle hadapan yang menggabungkan komponen motor, penyongsang dan gear.

Buat masa ini, output kuasa masih belum didedahkan secara rasmi.

Bateri & pengecasan

Kei car elektrik ini dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate 26 kWh yang mampu menawarkan jarak pandu sejauh 310 km.

Angka yang cukup impresif ini turut disumbangkan oleh berat keseluruhan e Sky cuma 1,030 kg.

Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan kelebihan 10 km berbanding e Sky.

Menggunakan outlet kuasa standard, pengecasan penuh mengambil masa lapan jam atau 4.5 jam menerusi pengecas dinding 6 kW.

Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri mencapai kapasiti 80% dalam masa 25 minit sahaja.

e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) dengan outlet kuasa AC 100v/1500W.

Kelengkapan

Reka bentuk luaran e Sky sememangnya tidak jauh beza berbanding model konsep Vision e-Sky.

Untuk versi produksi sebenar, e Sky diberikan perumah lampu LED yang lebih besar, cermin sisi, jeriji yang lebih ringkas, rim lebih kecil dan pemegang pintu konvensional.

Bampar pula menampilkan bukaan liang udara penyejukan tunggal.

Selain itu, e Sky menampilkan rekaan bumbung terapung, lampu belakang LED yang lebih besar, serta plastik pelindung bampar mengikut warna badan.

Kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tombol gear tradisional, serta panel kawalan khusus untuk iklim kabin.

Ciri lain termasuklah dulang praktikal pada papan pemuka sebelah penumpang, pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta fungsi pemanas elektrik yang amat berguna semasa musim sejuk.

Pesaing

Selain BYD Racco, Suzuki e Sky bakal memberikan cabaran kepada model kei car elektrik seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan juga Nissan Sakura EV.

BYD Racco EV 2026 rasmi di Jepun, jarak gerak cecah 320 km, harga jualan dari RM54 ribu

BYD Auto Japan secara rasmi melancarkan kei car BYD Racco EV 2026 untuk pasaran Jepun.

Terdapat tiga varian ditawarkan di sana, dengan harga jualan bermula dari 2,145,000 yen (RM54 ribu) hingga 2,497,000 yen (RM62 ribu).

Dimensi

BYD Racco EV direka untuk memenuhi piawaian kei car yang ketat di Jepun.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda 2,520 mm.

Radius putaran adalah sekecil 4.8 meter.

Unit pacuan

BYD Racco EV hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 64 PS dan daya kilas 160 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu bateri LFP 35.84 kWh dengan jarak pandu sejauh 320 km, dan bateri LFP 22.40 kWh menawarkan jarak gerak sejauh 210 km untuk sekali cas penuh.

Kei car ini menyokong pengecasan AC 6 kW, pengecasan pantas DC 50 kW serta fungsi pemanasan bateri pra-pengecasan.

Selain itu, terdapat juga fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 1.5 kW.

Tetapan casis & suspensi

Casis BYD Racco EV ini disokong oleh tetapan suspensi topang MacPherson di depan dibantu dengan sistem torsion-beam di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk kedua-dua gandar.

Kelengkapan

BYD Racco EV membawakan kelengkapan seperti unit lampu LED, rim bersaiz 15 inci, serta pintu gelangsar bebas tangan lengkap dengan bantuan projeksi logo.

Untuk ruang kabin, kei car ini mendapat ciri seperti skrin sentuh sebesar 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pemantauan keliling, serta sistem pengesanan kehadiran bayi.

Racco EV juga turut menawarkan ruang kargo sebesar 280 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,372 liter.

Selain ruang kargo yang besar, kei car ini turut menawarkan beberapa ruang storan, serta fungsi pemanas untuk pemegang cawan.

Nissan Elgrand 2027 dilancar di Jepun dengan e-Power & e-4orce, harga dari RM174k

Nissan Elgrand telah dilancarkan secara rasmi di Jepun, dengan jualan bermula bulan ini. Pertama kali diperkenalkan di Japan Mobility Show 2025, MPV premium ini hadir dengan badan lebih besar, selain membawakan sistem hibrid e-Power baharu, pacuan semua roda serta suspensi lebih pintar.

Rekaan lebih moden dengan sentuhan Jepun

Untuk bahagian luran, Elgrand menggunakan bahasa reka bentuk “Timeless Japanese Futurism” yang memberikan MPV itu penampilan lebih tajam dan tegap.

Gril hadapan diinspirasikan daripada corak pertukangan kayu tradisional Jepun, Kumiko, yang disepadukan dengan lampu utama, manakala lampu belakang pula menggunakan rekaan melintang penuh dengan corak rekaan sama. Lima pilihan warna ditawarkan termasuk kombinasi dwi-tona baharu Fuji Dawn/Shigoku.

Kabin seperti ruang istirahat bergerak

Di dalam, Elgrand menawarkan posisi pemanduan yang lebih tinggi, papan pemuka kemasan kayu dengan suis kapasitif terbina, paparan instrumen dan infotainmen bersaiz 14.3 inci, serta lampu ambien dengan 64 pilihan warna.

Semua tempat duduk menggunakan rekaan Zero Gravity, lengkap dengan perehat kaki ottoman untuk kerusi penumpang hadapan dan barisan kedua. Turut disediakan ialah sistem audio Bose 22 pembesar suara, dua pengecas tanpa wayar Qi2, tiga soket kuasa AC 100V, serta ruang kargo yang masih mampu memuatkan tujuh bagasi bersaiz kabin.

Sistem hibrid baharu, pemanduan lebih selesa

Elgrand baharu dikuasakan sistem e-Power generasi ketiga yang menggabungkan enjin 1.5-liter tiga silinder ZR15DDTe baharu dengan modul rangkaian kuasa elektrik 5-dalam-1. Jumlah kuasa tidak diumumkan namun menurut Nissan, ia menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik, operasi lebih senyap dan pemanduan lebih lancar.

Sistem e-4orce yang dipertingkat pula membantu meningkatkan kestabilan dan prestasi ketika mengambil selekoh, manakala Intelligent Dynamic Suspension melaras daya redaman setiap roda secara masa nyata untuk keselesaan lebih baik. Enam mod pemanduan turut disediakan iaitu Eco, Standard, Sport, Comfort, Snow dan Personal.

Lebih banyak teknologi untuk keselesaan dan keselamatan

Bagi meningkatkan keselesaan, Elgrand didatangkan dengan fungsi Smooth Stop yang mengurangkan hentakan ketika kenderaan berhenti, serta Advanced Active Noise Control yang dapat mengurangkan bunyi enjin dan bunyi jalan untuk kabin yang lebih senyap.

Dari aspek bantuan pemanduan pula, MPV ini ditawarkan dengan ProPilot, ProPilot with Navi-link, Traffic Jam Hands-Off Mode, Lane Change Support serta ProPilot 2.0. Turut tersedia ialah ProPilot Park dengan fungsi memori serta Intelligent Around View Monitor yang dipertingkat dengan paparan Front Wide View, Mirror Close View dan 3D View.

Harga di Jepun

Di Jepun, Nissan Elgrand ditawarkan dalam dua varian. X e-4orce dijual pada harga 6,897,000 yen (kira-kira RM174,000), manakala varian G e-4orce pula berharga 7,579,000 yen (sekitar RM191,000).

Mazda MX-5 dikemas kini di Jepun, patuh peraturan bunyi lebih ketat

Walaupun Mazda telah mengesahkan pengganti MX-5 sedang dibangunkan, model generasi keempat (ND) masih menerima kemas kini bagi memastikan ia terus boleh dijual di Jepun.

Untuk yang terbaru ini, perubahan bukan tertumpu kepada prestasi atau teknologi, sebaliknya bagi mematuhi peraturan bunyi kenderaan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Julai 2026.

Ubah suai khusus untuk patuh peraturan bunyi

Bagi memenuhi had bunyi luaran yang lebih ketat, MX-5 kini dilengkapkan dengan tayar yang lebih senyap, silencer ekzos yang lebih besar serta sistem kemasukan udara (intake) yang dikemas kini.

Untuk varian Retractable Fastback (RF), penggunaan silencer yang lebih besar menyebabkan ruang pemasangan menjadi lebih terhad, sekali gus mengurangkan sedikit kapasiti but yang sememangnya kecil.

Peraturan baharu di Jepun menetapkan had bunyi antara 68 hingga 72 dB bergantung kepada nisbah kuasa dan berat kenderaan. Tanpa kemas kini ini, Mazda tidak lagi dibenarkan menjual MX-5 di pasaran Jepun selepas peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Edisi Pure Sport untuk versi 1.5 liter

Dalam pada itu, Mazda turut memperkenalkan edisi khas Pure Sport (PS) untuk MX-5 1.5 liter.

Ia dipadankan dengan bumbung fabrik kelabu, warna badan Zinc Green Metallic, rim Rays hitam bersaiz 16 inci, brek Brembo dengan angkup berwarna perak serta penyerap hentak Bilstein sebagai kelengkapan standard.

Perubahan kecil di ruang kabin

Di bahagian dalam, perubahan agak minimum. Pure Sport menerima tempat duduk fabrik ala suede, bersama kemasan hitam berkilat pada cincin butang penghidup enjin, tombol kawalan pendingin hawa dan corong penyaman udara.

Nissan Kicks 2026 rasmi masuk pasaran Jepun, sistem e-Power dan e-4ORCE!

Nissan Kicks telah pun rasmi memasuki pasaran Jepun, menampilkan sistem e-Power generasi ketiga dan pilihan sistem pacuan semua roda e-4ORCE.

Untuk info, Kicks pasaran Jepun ini merupakan model generasi kedua yang lebih mirip kepada Kicks yang ditawarkan di Amerika Syarikat.

Ia berbeza sama sekali dengan unit generasi pertama yang ada di Malaysia yang merupakan facelift pertama dan versi facelift kedua yang baru beberapa bulan dilancarkan di Thailand.

Di Jepun, Nissan Kicks e-Power dijual pada harga bermula dari 2,999,700 yen (RM76,774) untuk versi 2WD hingga 4,248,200 yen (RM108,728) untuk varian e-4ORCE yang paling premium.

Sistem e-Power & e-4ORCE

Nissan Kicks untuk pasaran Jepun hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa e-Power yang menggandingkan lima komponen utama:

  • motor elektrik
  • unit penjana
  • unit penyongsang
  • unit pengecil
  • unit peningkat

Versi FWD dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 141 hp, sementara varian e-4ORCE pula mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang (67 hp).

Enjin 1.4 liter HR14DDe (97 hp/123 Nm) pula hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk kegunaan motor eletrik dan mengecas bateri.

Nissan mendakwa tetapan baharu ini 10 peratus lebih cekap tenaga berbanding sistem terdahulu.

Kelengkapan luar & dalam

Seperti yang disebutkan tadi, penampilan Kicks pasaran Jepun ini berbeza dengan apa yang kita ada.

Ia lebih mirip kepada model pasaran Amerika dengan struktur jeriji yang lebih lebar, lampu utama lebih nipis dan lampu nyalaan siang DRL bertindih.

Bahagian belakang pula menampilkan perumah lampu berbentuk L dengan grafik bertindih yang sama seperti unit DRL.

Ruang kabin pula menempatkan skrin paparan berkembar 12.3 inci, panel kawalan iklim, butang PRND pada konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity, serta pilihan upholsteri kulit sintetik atau fabrik.

Ciri keselamatan Pro-Pilot merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah:

  • Paparan Keliling Pintar
  • Brek Kecemasan Pintar (IEB)
  • Sistem Sokongan Pengelakan Pelanggaran Belakang Pintar (IBSI)
  • Amaran Pengesanan  Kenderaan (BSW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Nissan Kicks Rock Creek

Ini pula varian Kicks yang lebih lasak dibangunkan oleh Nissan Motorsports & Customize (NMC).

Ia hadir dengan penampilan tersendiri, disumbangkan oleh kemasan perak pada jeriji, kemasan hitam pada bampar hadapan, aksen Lava Red, skid plate aluminium dan rim aloi lima-jejari.

Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kalis air, serta kemasan jahitan Lava Red.

Nissan Kicks Rock Creek

Wing Hin Motorsports tonjol aksi cemerlang di pusingan pembukaan TGR GR86/BRZ Clubman Series Jepun

Wing Hin Motorsports menunjukkan aksi cemerlang di pusingan pembukaan Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung baru-baru ini.

Program pembangunan pemandu Wing Hin Motorsports menampilkan Mitchell Cheah (Malaysia) yang dibantu oleh rakan sepasukan Jordan Johan (TGR Indonesia).

Untuk info, Wing Hin Motorsports merupakan juara keseluruhan bagi Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung tahun lepas.

Aksi debut mantap

Biarpun kali pertama berlumba di Jepun, Chean, 28 tahun menunjukkan aksi mantap dengan menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

Menurut Cheah, antara persiapan yang dibuat termasuklah menghabiskan masa dengan simulator untuk membiasakan diri dengan Litar Autopolis.

Beliau juga turut menjalani ujian singkat dengan jentera tersebut sebelum minggu perlumbaan, memandangkan ia bukanlah sebuah kereta yang senang untuk dikuasai.

Rakan sepasukannya, Jordan Johan menghabiskan perlumbaan di tangga keenam, naik satu posisi daripada kedudukan ke-7 dalam pusingan kelayakan.

Kedua-dua pelumba tersebut dibimbing oleh Masahiro Sasaki, pelumba Gazoo Racing dan Rookie Racing yang turut menerajui usaha Wing Hin Motorsports membuka laluan pembangunan bakat Asia.

Medan sebenar tajam kemahiran pemandu

Menurut Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports, program ini bukan sekadar memberikan masa ujian dan latihan, tetapi perlumbaan sebenar untuk mempercepat pembelajaran dan mempertajam kemahiran pemandu.

“Ini merupakan keputusan yang kukuh untuk memulakan musim ini, namun proses pembangunan akan diteruskan, dan kedua-dua pemandu mengakui cabaran di hadapan akan menjadi lebih sukar.

Terdapat tujuh pusingan dalam kalendar TGR GR86/BRZ Cup 2026 untuk tahun ini:

  • Autopolis (pusingan pembukaan)
  • Sugo (16-17 Mei)
  • Okayama (27-28 Jun)
  • Tokachi (8-9 Ogos)
  • Fuji (5-6 September)
  • Suzuka (3-4 Oktober)
  • Motegi (21-22 November)

SPPF Malaysia perkenal teknologi perlindungan cat automotif generasi baharu dari Jepun

SPPF Malaysia lancar teknologi perlindungan cat automotif generasi baharu di AutoDetailer Studio baru-baru ini.

Sistem yang dibangunkan sepenuhnya di Jepun ini memfokuskan kepada ketahanan lebih tinggi, kejelasan optik lebih baik dan kemasan premium untuk pemilik kenderaan moden.

 

Teknologi moden lindungi cat kereta

SPPF menggunakan Paintwork Fusion Bonding, menghasilkan lapisan licin tanpa pelekat dengan ketebalan boleh laras mengikut keperluan.

Ia turut menyokong Renewable Surface Engineering, membolehkan permukaan dipulihkan berkali‑kali tanpa menjejaskan lapisan asal.

Dengan Infinite Layer Technology lapisan tambahan boleh ditambah dari semasa ke semasa untuk meningkatkan perlindungan tanpa perlu menggantikan keseluruhan sistem.

Dibangunkan dengan DNA perlumbaan, SPPF diuji dalam keadaan ekstrem sukan permotoran, menawarkan ketahanan lebih tinggi berbanding filem perlindungan tradisional.

Segmen Kejuruteraan Warna pula menunjukkan bagaimana SPPF mengintegrasikan sistem cat OEM seperti BASF Porsche dan PPG Ferrari ke dalam struktur perlindungan.

Ini membolehkan kemasan tersuai sambil mengekalkan keaslian cat asal — sesuai untuk pengumpul dan peminat automotif.

 

Aplikasi digital SPPF.co

SPPF turut memperkenalkan aplikasi SPPF.co, yang memberikan identiti digital kepada setiap kenderaan, membolehkan pemilik mengesahkan ketulenan perlindungan serta melihat rekod lengkap penyelenggaraan.

Aplikasi ini dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2026.

Toyota RAV4 PHEV 2026 boleh bekal tenaga elektrik untuk rumah selama 7 hari

Toyota akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV plug-in hybrid RAV4 PHEV 2026 serta varian GR Sport untuk pasaran Jepun.

 

Spesifikasi RAV4 PHEV

Untuk model baharu ini, ia dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid generasi baharu, terdiri daripada:

  • Enjin 2.5 liter (kod A25A-FXS), 174 hp @ 6,000 rpm, 219 Nm @ 3,600 rpm
  • Dua motor elektrik
  • Transmisi e-CVT
  • Sistem pacuan semua roda E-Four
  • Pek bateri 22.7 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 329 PS, menyumbang kepada pemanduan yang lebih bertenaga dan responsif.

Penggunaan semikonduktor silikon karbida (SiC) pada unit kawalan kuasa (PCU) menyumbang kepada jarak gerak sifar emisi sekitar 150 km.

 

RAV4 PHEV GR Sport

Untuk pasaran Jepun, RAV4 boleh didapati dalam varian Z yang hadir dengan kemasan hitam eksklusif.

Bagi yang mahukan imej sporti, terdapat varian GR Sport dengan kelengkapan istimewa seperti:

  • kit badan aerodinamik yang lebih agresif termasuklah lip spoiler dan spoiler belakang
  • GR Performance Damper oleh Yamaha
  • GR Braces
  • talaan khas pada suspensi dan stereng EPS

Menariknya, pek bateri turut digunakan sebagai struktur pengukuh casis untuk meningkatkan tahap kekakuan badan dan merendahkan pusat graviti.

 

Fungsi bekalan kuasa

Salah satu ciri praktikal yang wujud pada RAV4 PHEV ialah fungsi bekalan kuasa untuk aktiviti luar dan kegunaan rumah.

Pemilik boleh memanfaatkan ciri tersebut menerusi soket kuasa yang terletak pada ruang kargo.

Dengan unit penyambung yang boleh dicucuk terus pada port pengecasan, ia akan berubah menjadi soket luaran 100V yang mampu menyalurkan kuasa elektrik sehingga 1,500W.

Dalam situasi kecemasan, RAV4 PHEV boleh menyalurkan tenaga elektrik 400W selama 6.5 hari dengan tangki bahan api penuh dan bateri dicas penuh, atau sehingga 7 hari menggunakan mod “Power Supply Time Priority“.

 

Harga

Toyota RAV4 PHEV dijual pada harga dari ¥6,000,000 (RM151,190) untuk varian Z, sementara varian GR Sport pula berharga dari ¥6,300,000 (RM158,750).

 

Toyota RAV4 PHEV Z

 

Toyota RAV4 PHEV GR Sport

BYD Racco 2026: harga dari RM60k di Jepun, rekaan kabin turut didedahkan

BYD Jepun mengumumkan pihaknya bakal memulakan jualan model kei car BYD Racco 2026 pada tahun ini.

Pesaing kepada Honda N-Box itu dijual pada harga sekitar 2.5 juta yen (RM60 ribu).

 

Rekaan kabin didedahkan

Dalam masa yang sama, BYD turut memperlihatkan susun atur kabin kei car yang bakal dilancarkan itu.

Antara ciri yang boleh dikesan termasuklah:

  • skrin kluster LCD
  • skrin infohibur tengah
  • rekaan tempat duduk depan yang rapat
  • tuil penukaran gear di tengah
  • panel butang fizikal untuk kawalan iklim

 

Sebagai sebuah kei car, BYD Racco turut menyediakan beberapa ruang penyimpanan barang yang praktikal termasuklah dulang kecil pada papan pemuka.

Terdapat juga port pengecasan USB Type-A, USB Type C, soket kuasa 12V serta fungsi pemanas tempat duduk hadapan.

 

Spesifikasi asas

BYD Racco mempunyai ukuran dimensi sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, dan tinggi 1,800 mm.

Ia dipacu motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 27 hp.

Pek bateri LFP 20 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 180 km, serta menyokong pengecasan pantas sehingga 100 kW.

Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026

Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.

Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.

Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.

Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.

Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.

Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.

Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.

Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.

Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.

Honda N-Box kei car paling laris di Jepun untuk 11 tahun berturut-turut!

Honda nampaknya masih lagi menguasai pasaran kenderaan ringan (kei car) di Jepun.

Untuk tahun yang ke-11 sejak tahun 2015, Honda N-Box dinobatkan sebagai kereta kecil yang paling laris dengan jumlah sebanyak 201,354 unit terjual sepanjang tahun 2025.

Malah, sepanjang bulan Disember Honda berjaya menjual sebanyak 15,570 unit N-Box, mengalahkan Suzuki Spacia di tempat kedua (11,397 unit) dan Daihatsu Tanto di tangga ketiga (9,287 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kei car paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Honda N-Box: 201,354 unit
2. Suzuki Spacia: 165,589 unit
3. Daihatsu Tanto: 124,619 unit
4. Daihatsu Move: 122,349 unit
5. Suzuki Hustler: 87,972 unit
6. Suzuki Wagon R: 72,520 unit
7. Nissan Roox: 71,498 unit
8. Mitsubishi Delica Mini/ek: 58,916 unit
9. Suzuki Alto: 57,553 unit
10. Daihatsu Mira: 55,777 unit

Sementara itu, Toyota pula menguasai 8 tangga dalam senarai 10 kereta penumpang paling laris di Jepun.

Tempat pertama disandang oleh Toyota Yaris dengan jumlah jualan 166,533 unit, diikuti oleh Toyota Corolla (138,829 unit) dan Toyota Sienta (106,558 unit).

Tidak cukup dengan itu, Toyota turut menguasai segmen MPV menerusi model Alphard, Noah dan Voxy.

Honda pula menduduki tangga keenam menerusi model Freed (90,437 unit) manakala Nissan pula di tangga ke-10 dengan model Note (78,123 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kereta penumpang paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Toyota Yaris: 166,533 unit
2. Toyota Corolla: 138,829 unit
3. Toyota Sienta: 106,558 unit
4. Toyota Raize: 100,851 unit
5. Toyota Roomy: 95,221 unit
6. Honda Freed: 90,437 unit
7. Toyota Alphard: 86,959 unit
8. Toyota Noah: 80,065 unit
9. Toyota Voxy: 78,760 unit
10. Nissan Note: 78,123 unit

Nissan Serena 2026 facelift rasmi di Jepun, siap ada varian Multibox untuk peminat outdoor

Generasi keenam minivan Nissan Serena (kod C28) telah pun berada di pasaran (kecuali Malaysia) sejak tahun 2022 lagi.

Ini bermakna, sudah tiga tahun berlalu dan tiba masanya untuk Nissan mengemas kini penawaran model tersebut, serentak dengan ulang tahun ke-35 Serena yang bakal disambut tahun depan.

Ada beberapa perubahan dibawakan pada Nissan Serena versi facelift ini:

 

Luaran

Berbanding model pra-facelift, Nissan Serena facelift menampilkan jeriji hadapan baharu dengan rekaan corak V yang tidak simetri, diikuti dengan padanan rim aloi baharu.

Tidak ketinggalan, tiga warna baharu ditawarkan iaitu Moonbow Blue, Aqua Mint dan Deep Ocean Blue.

 

Infohibur dikuasakan oleh Google

Buat pertama kalinya Serena ditawarkan dengan sistem infohibur NissanConnect yang dikuasakan oleh Google.

Sistem ini menyokong aplikasi Google Maps, Google Assistant dan juga kedai aplikasi Google Play Store.

Sebagai respons kepada permintaan pelanggan, Nissan turut menambah fungsi memori untuk ciri e-Pedal di mana sistem akan mengingati tetapan mod operasi yang telah dibuat sebelum kenderaan dimatikan.

 

Keselamatan

Aspek keselamatan turut ditambah baik, terutama pada sistem pemantauan keliling pintar (IAVM) dengan fungsi pemandangan 3D, pemandangan hadapan lebar dan pemandangan sisi berkembar ketika cermin sisi dilipat.

Nissan Serena turut menyertakan fungsi peringatan sekiranya pemandu terlupa untuk mengunci pintu, menutup lampu kecemasan, menutup tingkap atau memeriksa tempat duduk belakang.

 

Varian Autech Line lebih premium

Nissan turut menyediakan pilihan varian Autech Line yang menampilkan ciri berikut:

  • kemasan metalik pada perumah cermin sisi
  • rim aluminium 16 inci kemasan dark metallic silver
  • kemasan krom gelap pada jeriji depan
  • upholsteri Tailor Fit yang lebih lembut dan selesa

 

Varian Multi Box untuk peminat outdoor

Selain varian tujuh dan lapan tempat duduk, Nissan Serena juga boleh didapati dalam varian Multi Box.

Ia menampilkan susunan tempat duduk yang boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa, dan tempat duduk baris ketiga yang digantikan dengan kotak storan berkapasiti besar.

Kotak storan itu boleh digunakan sebagai ruang penyimpanan barang, bangku dan juga meja boleh lipat.

Ruang itu juga boleh dijadikan sebagai tempat tidur, di mana pengguna boleh membentangkan alas tilam yang diperbuat daripada bahan Cordura kalis air.

 

Pilihan enjin 2.0L NA atau 1.5L e-Power

Di Jepun, Nissan Serena hadir dengan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi (NA) dengan kuasa 150 PS dan 200 Nm.

Terdapat juga pilihan nadi e-Power yang terdiri daripada enjin tiga silinder 1.5 liter bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik 163 PS dan 315 Nm.

Nissan Serena facelift dijual pada harga dari 2,856,700 yen (RM74,161).

Aspark Owl Roadster kini kereta produksi terpantas di dunia, 0-100 km/j dalam 1.72 saat!

Mahukan sebuah kereta berprestasi tinggi buatan Jepun dengan pecutan mengalahkan Rimac Nevera? Anda boleh pertimbangkan Aspark Owl Roadster.

Syarikat kejuruteraan Jepun ini mendakwa EV Owl Roadster boleh memecut sepantas 1.72 saat dari 0-100 km/j!

Dengan kelebihan sebanyak 0.02 saat, Owl Roadster ini merupakan kereta produksi paling pantas di dunia.

Terdapat sebuah lagi kereta paling pantas, iaitu McMurty Speirling yang mampu memecut 0-100 km/j sepantas 1.40 saat, namun harus diingat ia bukanlah sebuah kereta untuk kegunaan jalanan.

 

Apa yang membuatkan Aspark Owl Roadster ini begitu pantas?

Pertama sekali, ia mempunyai casis monocoque karbon dan badan gentian karbon penuh yang mempunyai berat keseluruhan 2,050 kg dan digandingkan dengan empat motor elektrik berkuasa 1,953 hp/1,920 Nm.

Ia mampu mencapai kelajuan tertinggi 413 km/j, namun dihadkan secara elektronik kepada 350 km/j untuk kegunaan di jalan raya.

Bateri 69 kWh pula menawarkan jarak pandu melebihi 250 km untuk sekali cas penuh.

Owl Roadster ini mempunyai empat mod pemanduan iaitu Rain-Snow, City-Comfort, Sport-Dynamic dan High Boost.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi double wishbone dengan ketinggian boleh laras, sayap belakang aktif, sistem brek seramik karbon (angkup 10-omboh depan/4-omboh belakang), serta rim 20 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R.

Sejak tahun 2019, Aspark memindahkan operasi pengeluaran ke Itali, dan untuk model Owl Roadster ini produksi dihadkan kepada 20 unit sahaja untuk satu dunia.

Setiap satu dianggarkan bernilai US$3.5 juta (RM14.45 juta).

Xiaomi SU7 Ultra buat kemunculan kali pertama di Jepun

Gergasi elektronik China Xiaomi buat pertama kalinya mempamerkan sedan elektrik berprestasi tinggi SU7 Ultra di Akihabara, Jepun.

Acara pameran yang berlangsung pada 26 hingga 28 September yang lepas itu turut mendedahkan perancangan Xiaomi pada masa akan datang.

Menurut laporan Kyodo News, Xiaomi akan mengembangkan jaringan runcit yang menjual peranti pintar, perkakasan rumah dan telefon bimbit di beberapa bandar besar Jepun untuk mengukuhkan kehadirannya.

Gambar hiasan. Xiaomi Store @ Shanghai.

Sama seperti pendekatan yang diguna pakai di China, Xiaomi juga akan menjual kereta elektrik (EV) menerusi kedai Xiaomi Store tanpa menyebut tarikh sebenar pelancaran model tersebut.

Buat masa ini, Xiaomi sudah membuka dua cawangan di Wilayah Saitama, dan bakal menambah tiga lagi outlet di Tokyo termasuklah Chiba menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Xiaomi juga melancarkan model die-cast skala 1:18 untuk siri SU7, dengan harga jualan 14,800 yen (RM420) untuk versi standard, dan 16,800 yen (RM477) untuk versi SU7 Ultra.

Toyota Gazoo Racing tawar pakej Aero Performance untuk GR Yaris

Anda rasa dengan peningkatan kuasa dan penawaran transmisi automatik, hot hatch Toyota GR Yaris sudah cukup sempurna?

Nampaknya sangkaan anda salah sama sekali, sekali lagi!

Individu di Toyota Gazoo Racing masih nampak wujudnya ruang untuk penambahbaikan pada model tersebut menerusi penawaran pakej “Aero Performance” untuk GR Yaris.

Dibangun menerusi pengalaman bergelumang di dalam litar lumba dan input daripada pemandu professional, pakej terbaharu ini mampu memaksimumkan prestasi aerodinamik serta aspek penyejukan hot hatch tersebut.

Terdapat enam komponen di dalam pakej Aero Performance ini, lima daripadanya direka untuk menawarkan kestabilan pada kelajuan tinggi serta prestasi aerodinamik seperti liang fender hadapan, pelindung bawah tangki bahan api, liang bampar belakang dan sayap belakang boleh laras.

Penambahan spoiler lip hadapan pula berdasarkan maklum balas daripada pelumba professional Oshima untuk mengurangkan kesan angkat pada hadapan, sekaligus menambah baik keseimbangan aerodinamik jentera ini.

Aspek penyejukan pula disumbangkan oleh hud enjin aluminium yang berliang di mana ia berkongsi bentuk hud gentian karbon yang digunakan pada model GRMN Yaris.

Spesifikasi asas GR Yaris masih kekal tidak berubah, seperti enjin G16E-GTS yang mampu menjana kuasa 304 PS dan daya kilas 400 Nm, pilihan transmisi manual 6-kelajuan atau DAT 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.

Di Jepun, Toyota GR Yaris dengan pakej Aero Performance ini dijual pada harga bermula dari 4,055,000 yen (RM115,911).

Teksi Toyota GR Corolla memang wujud di Jepun!

Cuba perhatikan gambar di atas. Perasan kewujudannya? Jika anda perasan, syabas kerana mata anda tajam.

Ya, kami ingin kongsikan kepada anda tentang kewujudan sebuah teksi berprestasi tinggi Toyota GR Corolla yang wujud di Bandar Sendai, Jepun.

Kehadiran GR Corolla yang berkhidmat sebagai sebuah teksi merupakan satu pemandangan yang cukup unik kerana rata-rata teksi di sana menggunakan model seperti Toyota Crown Comfort, Toyota Prius dan model khas Toyota JPN Taxi

Berdasarkan carian ringkas di laman X (dulunya dikenali sebagai Twitter), teksi GR Corolla itu merupakan model bertransmisi automatik lapan kelajuan (GR-DAT).

 

Malah, hot hatch itu telah menjalani proses pemasangan meter dan pintu penumpang belakang berkuasa elektrik automatik yang dibuat oleh Futaba System.

Toyota GR Corolla merupakan sebuah hot hatch kompak yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS, menghasilkan 304 PS dan 400 Nm.

 

Pada asalnya ia hanya ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan, namun menerusi pengenalan model facelift pada Ogos 2024, pembeli boleh mendapatkan GR Corolla versi Direct Automatic Transmission (DAT) lapan kelajuan yang lengkap dengan paddle shifter.

Sebagai peminat hot hatch, kami sendiri boleh bayangkan betapa terujanya para penumpang yang berjaya menggunakan perkhidmatan teksi Toyota GR Corolla ini di sana.

Selain Toyota GR Corolla, syarikat teksi Sendai itu turut mempunyai sebuah lagi model teksi unik, iaitu Subaru Levorg GT.

 

Generasi ketujuh Daihatsu Move 2025 rasmi dilancarkan di Jepun

Inilah dia generasi baharu kei car popular Daihatsu Move yang sepatutnya dilancarkan dua tahun lepas, namun perancangan tersebut tertangguh disebabkan skandal isu keselamatan yang melibatkan jenama itu.

Daihatsu Move 2025 dibekalkan dengan enjin tiga silinder 658 cc yang boleh didapati dalam dua versi.

Unit aspirasi semula jadi (NA) mampu menghasilkan kuasa 51 hp @ 6,900 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 3,600 rpm, sementara unit pengecas turbo pula menghasilkan 63 hp @ 6,400 rpm dan daya kilas 100 Nm @ 3,600 rpm.

Sayang sekali, tiada pilihan transmisi manual disediakan, pembeli hanya boleh mendapatkan kotak gear CVT, namun dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda (AWD).

Dari segi ukuran, Move mengekalkan panjang 3,395 mm, namun dengan jarak antara roda 5 mm lebih panjang (2,460 mm).

Ia juga kini menggunakan platform DNGA (sama platform dengan Hijet & Atrai), menampilkan rekaan luaran yang lebih moden dan praktikal.

Seperti contoh, unit lampu dan jeriji hadapan yang lebih kemas, bampar hadapan yang lebih sporti, serta bukaan pintu penumpang belakang jenis gelangsar.

Di bahagian belakang, perumah lampu utama kini memiliki dimensi yang lebih kecil.

Untuk ruang kabin, antara kelengkapan yang wujud termasuklah meter analog dengan skrin MID di tengah, pilihan saiz skrin infohibur 7,9 atau 10 inci, kawalan iklim dengan skrin digital, slot pengecas peranti tanpa wayar, serta kehadiran beberapa ruang penyimpanan kecil.

Seperti biasa, susun atur tempat duduk Move boleh diubah mengikut keperluan, sama ada untuk tujuan istirehat atau memuatkan barangan yang lebih besar dimensinya.

Di Jepun, pembeli boleh mendapatkan pakej luaran Dandy Sport atau Noble Chic, serta varian Move RS (enjin turbo) yang menambah pakej suspensi sport dan rekaan rim 15 inci.

Harga jualan bermula dari ¥1,358,500 (RM39,919) hingga ¥2,044,000 (RM60,108).

Nissan mungkin perlu jual HQ Jepun untuk kelangsungan operasi

Nissan dilapor mungkin perlu menjual bangunan ibu pejabat yang terletak di daerah Minoto-Mirai 21, Yokohama, Jepun.

Laporan daripada Nikkei Asia mendakwa bangunan HQ tersebut disenaraikan sebagai salah satu aset yang perlu dilepaskan oleh Nissan menjelang akhir Mac 2026.

CEO Nissan yang baru sahaja dilantik, Ivan Espinosa mengumumkan terdapat beberapa aset Nissan yang bakal dijual walaupun tidak menyebut secara spesifik bangunan kompleks tersebut.

Dianggarkan, kompleks ibu pejabat Nissan itu bernilai lebih 100 bilion yen atau RM2.96 bilion menurut seorang ejen hartanah tempatan.

Walaupun Nissan tidak lagi memiliki bangunan tersebut, syarikat itu akan terus menyewa bangunan tersebut daripada pemilik baharu untuk kekal beroperasi seperti biasa.

Ia merupakan langkah yang sama diguna pakai oleh McLaren setelah pengeluar supercar itu menjual HQ yang terletak di Woking sebagai satu cara untuk mengurangkan hutang.

Penjualan bangunan HQ merupakan salah satu cara yang diambil oleh Nissan dalam langkah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran setelah berdepan dengan kerugian $4.5 bilion (RM19.03 bilion) tahun lepas.

Nissan juga akan menutup sehingga tujuh kilang global termasuklah dua kilang domestik (dikenali sebagai kilang Oppama dan Shonan), serta membuang 20,000 pekerja.

Selain itu, pembangunan bagi sesetengah model akan dihentikan, selain meringkaskan platform sedia ada kepada hanya tujuh sahaja bertujuan untuk mengurangkan kerumitan alat ganti sehingga 70 peratus.

EV ultra kompak BYD dikesan sedang diuji, sasar pasaran kei car Jepun

Laman CarNewsChina melaporkan BYD kini sedang membangunkan sebuah prototaip kenderaan saiz mini berkuasa elektrik dengan satu matlamat: untuk menawan pasaran kei car Jepun.

Walaupun masih sarat dengan pelekat samaran, kereta tersebut mempamerkan ciri-ciri seperti pintu belakang jenis gelangsar, tiang A berkembar, serta struktur perumah kaca tingkap yang agak tinggi.

Ini membuktikan BYD serius untuk menghasilkan sebuah produk yang mematuhi peraturan dimensi yang dikenakan untuk segmen kei car di sana.

Untuk makluman, segmen kei car merupakan kategori kereta saiz ultra-kompak di Jepun, dengan dimensi panjang tidak melebihi 3.4 meter, lebar 1.48 meter dan tinggi 2 meter.

Sementara kuasa enjin pula tidak melebihi 64 hp mengikut perjanjian ahli Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA).

Biarpun BYD kini mempunyai model Seagull selaku EV yang paling kecil, saiznya masih terlalu besar untuk dikategorikan sebagai kei car.

Menurut laporan dari China, ‘kei car’ elektrik BYD tersebut akan dilengkapi dengan bateri 20 kWh yang menawrakan jarak gerak sejauh 180 km (data WLTC), serta sokongan pengecasan pantas 100 kW.

BYD merancang untuk menghasilkan kei car elektrik ini di China untuk eksport ke pasaran Jepun bermula lewat 2026, dan berazam untuk menguasai 40 peratus pasaran kei car elektrik dalam tempoh beberapa tahun berikutnya.

Buat masa ini, pasaran kei car di Jepun menawarkan dua buah model EV, iaitu Nissan Sakura dan kembarnya Mitsubishi eK X EV.

Kedua-dua model tersebut dilancarkan pada tahun 2022, menawarkan motor elektrik berkuasa 64 hp dan 195 Nm, serta pek bateri 20 kWh dengan jarak gerak sejauh 180 km.

 

Toyota GR Supra edisi penamat ini ada banyak jajan berbanding Supra spesifikasi Malaysia

Diperlihatkan buat kali pertama pada November tahun lepas, Toyota Gazoo Racing akhirnya mengumumkan penjualan model GR Supra A90 Final Edition untuk pasaran Jepun.

Hanya 300 unit model edisi pengakhiran ini akan diproduksikan, di mana 150 unit diperuntukkan untuk negara Matahari Terbit, selebihnya akan dijual di pasaran Eropah.

Apa yang membuatkan GR Supra A90 Final Edition ini lebih istimewa, ialah kelengkapan yang dibawakan secara standard dari kilang berbanding GR Supra versi biasa.

Dari segi prestasi, GR Supra A90 Final Edition ini menampilkan enjin B58 yang telah dinaik taraf kuasa kuda kepada 441 PS dan 571 Nm berbanding 387 PS/500 Nm.

Toyota juga turut mengoptimasikan sistem kemasukan dan sistem penyejukan, sebelum diakhiri dengan unit peredam ekzos titanium Akrapovic.

Tidak cukup dengan itu, casis GR Supra ini telah diperkuatkan dengan pemasangan struktur pendakap pada beberapa tempat, diikuti dengan bar penstabil depan dan belakang menggunakan kurungan yang diperbuat daripada bahan aluminium bertetulang.

Sistem suspensi KW boleh laras digunakan pada keempat-empat sudut, di mana sudut camber bagi roda depan dan belakang turut diubah sama.

Menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik ialah kawalan pembeza aktif dan sistem stereng elektronik yang telah dioptimasikan.

Rim aluminium bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang itu dibaluti dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding tetapan sedia ada.

Penampilan luaran GR Supra A90 Final Edition ini diserikan dengan penggunaan komponen gentian karbon seperti spoiler dan canard hadapan, diikuti dengan sayap belakang leher angsa.

Untuk ruang kabin pula, terdapat tempat duduk bucket penuh Recaro Podium CF, tali pinggang keledar merah, serta kemasan gentian karbon dan balutan bahan Alcantara yang menguasai ruang tersebut.

Dengan penambahbaikan yang ditawarkan pada model ini, tidak menghairankan apabila Toyota mengumumkan harga jualan sekitar 15,000,000 yen (RM443 ribu), lebih mahal berbanding GR Supra gred RZ.

Pihak yang berminat boleh mendaftarkan diri di semua lokasi GR Garage di seluruh Jepun bermula 13 April ini, namun pembeli akan dipilih berdasarkan cabutan undi. Pemenang (merangkap pemilik sah) hanya akan diumumkan pada 9 Mei ini.