Arkib Tag: Jepun

Diburu pihak berkuasa, bekas CEO label Nissan makin ‘membosankan’

CARLOS Ghosn terus mencetuskan kontroversi apabila melabel syarikat pengeluar kenderaan Nissan sebagai ‘membosankan’.

Bekas ketua pegawai operasi (CEO) syarikat asal Jepun itu berkata, majoriti ‘orang dalam’ Nissan tidak menyukainya malah, menentang beberapa idea diketengahkan sebelum ini.

“Nissan berjaya membangun semula pada tahun 1999.

“Bagaimanapun, syarikat itu mulai menjadi sebuah firma kenderaan yang membosankan selain sukar bersaing dalam industri automotif,” katanya.

Ibu pejabat Nissan terletak di Yokohama, Jepun. – Foto ihsan Wikipedia

Sebelum ini, Ghosn pernah mencadangkan agar Nissan menjalinkan kerjasama menerusi pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Fox Business melaporkan, Ghosn mendakwa ideanya itu bukan sahaja ditentang majoriti pemegang taruh Nissan tetapi, termasuk daripada kerajaan Jepun.

“Kerajaan Jepun dan sebilangan besar eksekutif Jepun menganggap kerjasama antara Perancis dan Jepun di dalam pakatan ini tidak akan dihormati,” katanya lagi.

Pendedahan Ghosn ini dibuat dalam buku terbaharunya “Broken Alliances”.

Kini, Ghosn menjadi buruan pihak berkuasa selepas pernah ditahan pada tahun 2018 atas tuduhan salah laku kewangan.

Pada tahun 2019, Ghosn mengejutkan dunia apabila melarikan diri dari Jepun dengan bersembunyi di dalam kotak simpanan alat muzik.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas tidak mempercayai dirinya akan mendapat pembelaan adil selain berada dalam tahanan ketat tanpa dibenarkan berhubung bersama ahli keluarga.

“Ini adalah plot yang dirancang oleh pihak tertentu. Kes ini tidak akan memenangakan mana-mana pihak,” dedah Ghosn.

Salah sebuah model kenderaan keluaran syarikat Nissan. – Foto oleh Tan Chong Group

Toyota Corolla Cross akhirnya dilancar di Jepun, ada pilihan 4WD dan hibrid, dari RM75k

SETELAH dilancarkan di pasaran-pasaran seperti Thailand, Malaysia dan juga Amerika Utara, Toyota Corolla Cross akhirnya ‘mendarat’ di negara kelahirannya iaitu Jepun. Bagaimanapun, model JDM ini mempunyai reka bentuk bahagian hadapan yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan model pasaran lain.

Rekaan lampunya masih sama namun seperti yang boleh dilihat, grilnya lebih kecil dan diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah. Bukan itu sahaja, logo konvensional Toyota telah digantikan dengan logo khusus Corolla seperti yang digunakan oleh Corolla Touring dan Corolla Sport di Jepun.

Lampu belakang turut diberikan penampilan lebih segar menerusi grafik baharu, manakala bampar belakang kini dihiasi dengan kemasan krom. Akhir sekali, tulisan ‘Corolla Cross’ yang sebelum ini berada di tengah-tengah tailgate telah dialih ke bawah lampu sebelah kiri.

Masuk ke dalam, susun atur papan pemuka dan konsol tengah dilihat tidak mempunyai sebarang perbezaan jika dibandingkan dengan model-model untuk pasaran lain. Bergantung kepada varian, SUV ini didatangkan dengan bumbung panoramik dan tailgate bebas tangan yang boleh dibuka secara automatik dengan menghayunkan kaki di bawah bampar belakang.

Bercakap tentang varian, Corolla Cross ditawarkan dalam versi petrol 1.8-liter (2ZR-FAE) dan hibrid 1.8-liter (2ZR-FXE). Versi petrol boleh didapati dalam varian X, G, S dan Z, kesemuanya dengan pacuan roda hadapan, manakala versi hibrid pula dalam varian G, S dan Z, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau empat roda (E-Four).

Dari segi kuasa, versi petrol mempunyai 140PS pada 6,200 rpm dan 170Nm pada 3,900 rpm. Versi hibrid pula mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 122PS. Enjin tersebut membekalkan 98PS dan 142Nm, manakala sebuah motor elektrik yang diintegrasikan ke dalam unit transmisi memberikan tujahan tambahan sebanyak 72PS dan 163Nm.

Menurut Toyota, varian hibrid yang dilengkapi dengan pacuan E-Four mampu memberikan bacaan kecekapan bahan api tertinggi dalam kelasnya iaitu 26.2 km/l.

Selain penjimatan bahan bakar, Corolla Cross hibrid juga mempunyai satu lagi kelebihan iaitu ia boleh dijadikan sebagai sumber bekalan kuasa elektrik dalam situasi kecemasan. Pemilik boleh menggunakan pelbagai perkakasan elektrik menerusi outlet AC 100 V/1,500 W yang disediakan.

Untuk aspek keselamatan pula, setiap varian dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Blind Spot Monitor, Back Guide Monitor dan banyak lagi.

Di Jepun, harga Corolla Cross bermula dari 1,999,000 yen (kira-kira RM75,900) bagi versi petrol dan 2,590,000 yen bagi versi hibrid. Apa yang menarik, pelanggan di negara itu boleh mendapatkan SUV ini menerusi perkhidmatan langganan Kinto One dengan bayaran bulanan bermula dari 27,390 yen (RM1,040).

Toyota dedah imej RAV4, pasaran Eropah bakal terima varian Adventure

TOYOTA buat julung kali mendedahkan imej model RAV4 2022 yang tampak lebih mempersona dan mengiurkan.

Menerusi visual dipaparkan terdapat beberapa perubahan ketara bagi model terbaharu ini.

Antara perubahan yang boleh disaksikan termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED) yang kelihatan lebih ‘garang’ sekaligus sesuai untuk golongan lebih muda.

Selain itu, paling menarik perhatian adalah penggunaan bampar depan dengan gril hexagonal yang lebih besar.

Kemasan pada fender juga nampaknya lebih lebar selain turut didatangkan dengan dua tona warna eksklusif di bahagian badan dan bumbung.

Foto ihsan Toyota

Berikut merupakan antara ciri lain terdapat pada RAV4 2022:

  • Rim aloi 10-jejari perak atau hitam
  • Kerusi penumpang dengan larasan kuasa
  • Suis tingkap dengan pencahayaan
  • Slot USB Type C
  • Model Adventure

    Foto ihsan Toyota

    Berdasarkan maklumat diberikan Toyota, pasaran Eropah juga menerima model Adventure yang lebih menarik sama seperti ditawarkan di Amerika Utara, Jepun dan Australia.

    RAV4 yang ditawarkan di Eropah didatangkan hanya dalam varian hybrid.

    Ia menggabungkan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan motor elektrik yang menjana kuasa 218 PS.

    Ini termasuk 225 PS dengan tambahan motor belakang dan pacuan semua roda.

    Varian Plug-In Hybrid pula mempunya angka janaan 306 PS dan memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 75 kilometer melalui bateri lithium-ion 18.1 kWh.

    Pasaran Eropah dijangka menerima kemasukan RAV4 baharu ini pada suku pertama tahun depan.

    GP Jepun batal lagi kerana Covid-19

    GRAND Prix Jepun dibatalkan lagi untuk tahun kedua berturut-turut susulan penularan pandemik Covid-19 di negara itu, menurut Formula 1.

    Perlumbaan dijadualkan berlangsung di Suzuka pada 10 Oktober tetapi F1 berkata kerajaan Jepun terpaksa membatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu. Jepun membuat keputusan itu selepas perbicangan antara F1 dengan penganjur.

    Difahamkan Tokyo dan beberapa wilayah diletakkan di bawah kawalan kecemasan.

    “Keputusan diambil kerajaan Jepun untuk membatalkan perlumbaan musim ini susulan wabak pandemik yang kian serius di negara itu,” kata F1 dalam satu kenyataan.

    Gambar oleh: Malay Mail

    Perlumbaan di Australia, China, Kanada dan Singapura turut mengalami nasib sama musim ini. F1 berkata keputusan untuk mengisi kekosongan perlumbaan belum dibuat.

    “Formula 1 kini mengkaji lebih lanjut perubahan kalendar perlumbaan dan akan mengumumkan keputusan dalam tempoh beberapa minggiu lagi,” kata kenyataan itu lagi.

    11 dari 23 perlumbaan untuk musim ini telah berlangsung, dengan 12 lagi dijangka menyusul dengan baki 16 minggu.

    Perlumbaan akan kembali minggu depan dengan GP Belgium selepas berehat dari cuti musim panas. Kemudian ia akan menyusul dengan GP Belanda di Zandvoort dan GP Itali di Monza.

    Gah! Toyota Land Cruiser Jepun terima ‘sentuhan’ Modellista

    PASARAN automotif Jepun menyaksikan kemunculan pertama Toyota Land Cruiser 300 baharu selepas diperkenalkan, Jun lalu.

    Didatangkan dengan varian GR Sport, model ini dilengkapi aksesori menarik daripada Modellista.

    Saiz yang begitu besar membuatkan model ini kelihatan begitu ‘gah’. – Foto ihsan Toyota

    Antara kelebihan Toyota Land Cruiser 300 baharu termasuk tambahan spoiler hadapan, ruang bukaan udara serta kemasan krom dan hiasan jalur hitam pada fender.

    Selain itu, Toyota Land Cruiser 300 baharu juga mempunyai skirting tambahan pada bampar belakang yang mempunyai kemasan seakan diffuser.

    Para pelanggan juga diberi pilihan untuk melakukan penambahan aksesori lain seperti spoiler, plet krom dan paling utama, rim 21 inci!

    Bahagian belakang Land Cruiser 300 yang sangat menawan. – Foto ihsan Toyota

    Berikut antara beberapa aksesori lain yang terdapat pada Toyota Land Cruiser 300:-

    • Lampu kaki penumpang
    • Panel besi tepi pintu,
    • Pelekat cermin cahaya infra-red
    • Lampu but

    Bagaimanapun, Toyota Land Cruiser 300 versi global tidak mempunyai spoiler, hiasan fender dan lampu tambahan bahagian dalam.

    Bahagian rekaan rim juga agak berlainan bagi unit pasaran global yang mana ia juga didatangkan dengan dua warna sama ada hitam atau perak.

    Ruang bagasi Land Cruiser 300. – Foto ihsan Toyota

    Pembeli Toyota Land Cruiser 2021 dilarang jual semula kenderaan mereka dalam tahun pertama

    TOYOTA Land Cruiser kekal popular di beberapa pasaran dan generasi terbaharu LC300 telah pun memperoleh 22,000 unit pra-tempahan di Jepun. Tetapi, Toyota Jepun melarang pemiliknya di sana menjual semula Land Cruiser ini dalam tempoh setahun pertama.

    Menurut majalah Jepun, Creative311, pembeli harus menandatangani satu surat perjanjian menunjukkan mereka bersetuju untuk tidak menjual semula Land Cruiser mereka itu.

    Dikatakan pemilik tidak dibenarkan menjual semula Land Cruiser mereka dalam tempoh 12 bulan selepas dibeli, dan jika didapati melanggar perjanjian, mereka tidak akan dibenarkan membeli Toyota lagi. Serius betul, mengapa?

    Ada beberapa sebab. Paling utama ialah Toyota mahu mengelakkan dari pemilik menjual semula ke pasaran lain yang popular dengan harga lebih tinggi. Toyota mahu SUV ini dibeli oleh mereka yang mahu betul-betul menggunakannya, jadi seorang pembeli hanya boleh beli satu unit Land Cruiser.

    Toyota juga berkata, “Terdapat risiko ia mungkin melanggar undang-undang tukaran asing, dan bergantung kepada destinasi eksport, ia boleh menyebabkan masalah yang mengancam keselamatan global.”

    Maksud tersiratnya ialah Toyota risau Land Cruiser ini akan digunakan oleh kumpulan pengganas, seperti terbukti pada versi lama yang mana SUV ini dan Hilux menjadi pilihan.

    Maka sebab itu, pembeli di Jepun harus mengesahkan pembelian itu bukan bertujuan untuk eksport atau tujuan jualan semula.

    Maserati Ghibli Fragment 2021 x Fujiwara memang ‘mantul’!

    STRATEGI pemasaran Maserati nampaknya semakin mantap menerusi kerjasama bersama ikon fesyen jalanan terkemuka Jepun, Hiroshi Fujiwara.

    Terbaharu, Maserati memperkenalkan dua model edisi istimewa Ghibli Fragment iaitu Ghibli Operanera dan Ghibli Operabianca.

    Dua model itu diasaskan dari varian GranLusso dan paling menarik hanya terdapat 175 unit sahaja dihasilkan untuk pasaran global.

    Keistimewaan Ghibli

    Kenderaan keluaran Maserati tidak dinafikan mempunyai keunikan serta ‘kemewahan’ tersendiri.

    Ini dapat dibuktikan berdasarkan ruang dalaman Ghibli yang mewah dengan campuran upholstery Alcantara dan kulit premium.

    Selain itu, tempat duduk kenderaan ini juga dihasilkan dengan cukup teliti selain terdapat sulaman “Ghibli” dan “Fragment” pada bahagian perehat kepala.

    Jika anda berminat untuk mendapat sebuah Ghibli Fragment ini, sila layari laman web Maserati untuk maklumat lebih lanjut.

    Kerusi yang cukup eksklusif untuk keselesaan pemandu dan penumpang. – Foto ihsan Maserati

    Siapa Fujiwara?

    Usaha Maserati melakukan kerjasama dengan Fujiwara merupakan satu langkah bijak.

    Fujiwara merupakan ikon budaya jalanan sangat terkenal di negara matahari terbit itu sejak awal 80-an lagi.

    Fujiwara juga merupakan  individu pertama yang memperkenal genre ‘hip hop’ di Jepun.

    Ikon berusia 57 tahun ini juga pernah menjadi produser dan pemain muzik untuk beberapa artis antarabangsa.

    Ikon terkenal Jepun Hiroshi Fujiwara. – Foto ihsan Design Boom

    GR Yaris “Morizo Selection” tampil lebih ‘padu’, dilengkapi ciri pemanduan khas

    KESELESAAN pemanduan menjadi ciri utama terdapat pada model GR Yaris “Morizo Selection” yang baru dilancarkan syarikat pengeluar Toyota di Jepun.

    Memetik laporan media negara matahari terbit itu, GR Yaris terbaharu ini mempunyai teknologi yang mampu ‘bersatu’ dengan pemandu.

    Apakah yang dimaksudkan istilah ‘bersatu’ ini?

    Menerusi perisian khas terdapat pada GR Yaris “Morizo Selection”, ia dapat menyimpan data pemandu sekaligus memberi penguasaan penuh pemanduan.

    Pemilik hanya perlu melanggan perisian atau aplikasi Kinto bagi menggunakan ciri baharu ini.

    Antara kelebihan menggunakan perisian ini adalah kenderaan dapat dikawal mengikut cita rasa pemandu dengan menetapkan fungsi atau ciri khas tertentu.

    Berikut merupakan ciri menarik lain terdapat pada GR Yaris “Morizo Selection”:

    • Spray penyejukan intercooler
    • Tayar Pilot Sport 4S
    • Spring gegelung
    • Penyerap hentak

    Selain itu, terdapat juga logo Rookie Racing yang diletakkan pada bahagian rim tayar selain emblem Morizo di cermin hadapan.

    Setakat ini, kos mendapatkan perisian adalah sekitar 54,340 yen atau bersamaan RM2,100 dengan melanggan aplikasi Kinto setiap bulan selama tiga tahun.

    Apa itu JDM? Ini sembilan fakta anda perlu tahu

    TOPIK JDM sering menjadi perbualan bagi kebanyakan ‘kaki’ kereta negara ini sejak dari tahun 90-an sehingga kini.

    Namun, bagi kebanyakan individu terutama yang bukan ‘gila’ kereta, pasti kurang arif mengenai JDM.

    Secara ringkas, JDM adalah singkatan bagi Japan Domestic Market.

    Ini bermaksud semua jenis kenderaan yang dibuat dan dijual di Jepun diklasifikasikan sebagai JDM.

    Persoalannya, apakah keistimewaan JDM? Bagaimana untuk mengetahui sesebuah kenderaan sama ada JDM atau sebaliknya?

    Sembilan fakta special tentang JDM

    Sesebuah kenderaan boleh ‘digelar’ sebagai JDM berdasarkan beberapa ciri khas.

    Terdapat pelbagai cara untuk mengetahui status kenderaan JDM. Berikut adalah sembilan fakta perlu anda tahu mengenai JDM.

    Fakta 1

    Kenderaan dihasilkan pengeluar asal Jepun tidak semestinya boleh diklasifikasikan sebagai JDM.

    Sesebuah kenderaan boleh dipanggil sebagai JDM sekiranya ia dibuat dan pernah digunakan di Jepun.

    Justeru, adakah kenderaan Honda atau Toyota di negara ini layak dipanggil sebagai JDM?

    Jawapanya, tidak!

    Fakta 2

    Jepun merupakan antara negara yang sangat menitikberatkan kualiti produk sesebuah kenderaan.

    Justeru, kenderaan yang kian ‘berusia’ kebiasaannya akan dihentikan penggunaan terutama demi menjaga alam sekitar.

    Teknologi pesat membuatkan negara itu tidak putus daripada mengeluarkan kenderaan terkini yang lebih ‘mesra’ alam.

    Maka, perkara paling mudah adalah kenderaan lama akan dijual kepada pengguna di negara lain.

    Toyota MR2 SW21 antara kenderaan yang masih bernilai tinggi.

    Fakta 3

    Semua kenderaan dihasilkan syarikat Jepun tidak semestinya memegang ‘status’ JDM.

    Jadi, bagaimana untuk memastikan sesebuah kenderaan itu adalah JDM?

    Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memeriksa nombor chassis dan dokumen kenderaan itu.

    Langkah ini dapat mengelak anda daripada ‘terkeno’ dengan penjual.

    Fakta 4

    Kebanyakan kereta JDM mempunyai speed limiter.

    Speed limiter ini hanya membenarkan sesebuah kenderaan itu dipandu tidak melebihi 180 km/j.

    Bagaimanapun, kebanyakan kereta JDM kini sudah tidak lagi didatangkan dengan speed limiter.

    Zaman berubah beb!

    Fakta 5

    Majoriti kereta JDM menggunakan komponen aftermarket keluaran HKS.

    Jangan risau jika kenderaan JDM anda mempunyai beberapa komponen HKS.

    Status JDM tidak akan terlucut kerana spare part digunakan adalah dibuat di Jepun.

    Boost Meter antara komponen jadi rebutan peminat kereta JDM.

    Fakta 6

    Kereta JDM juga sering kali dikaitkan dengan aksi drifting. Paling mudah, tonton filem Tokyo Drift.

    Memang fakta bukan auta, JDM dan drift bagai isi dengan kuku!

    Fakta 7

    Ramai juga antara pemilik kereta JDM mempunyai pelekat hijau dan kuning pada kenderaan mereka.

    Apa maksudnya?

    Pelekat hijau dan kuning bermaksud pemandu kenderaan masih dalam tempoh percubaan.

    Konsepnya sama seperti pelekat ‘P’ di negara kita. Jadi, jika anda ternampak pelekat ini, faham-faham sahajalah!

    Mungkin pemilik kereta sengaja untuk tidak menanggalkan pelekat bagi membuktikan kenderaannya adalah JDM.

    Fakta 8

    Enjin JDM tahan lama!

    Betul, enjin JDM memang terbaik. Ini kerana kebanyakan enjin kereta JDM boleh diubahsuai dua kali ganda ‘kuasa’ yang ada.

    Tidak hairan, satu dunia ‘gilakan’ kereta JDM!

    Fakta 9

    Spare part kenderaan JDM kadang kala boleh capai harga tidak masuk akal.

    Jangan terkejut jika spare part di pusat pelupusan kenderaan juga masih dijual dengan harga yang tinggi!

    Demikian merupakan sembilan fakta mengenai kereta JDM.

    Fakta lebih lanjut sila saksikan video di bawah bersama Bos Shamsul kita!

    Selamat menonton…

    Rekod dunia: Toyota Mirai jangkau jarak pemanduan 1,003 kilometer

    Sekumpulan anak muda berjaya mencipta rekod dunia dengan memandu sejauh 1,003 kilometer dengan hanya setangki hydrogen bagi kategori kenderaan produksi.

    Rekod itu dicipta menerusi sebuah kenderaan model Toyota Mirai.

    Toyota Mirai itu bergerak dari stesen pengisian hydrogen Paris commune of Orly di selatan Paris dan melalui kawasan Loit-et-Cher serta Indre-et-Loire.

    Sebelum ini, Toyota memaklumkan bahawa model Mirai mampu bergerak sejauh 650 kilometer dengan pemanduan normal.

    Toyota Mirai

    Toyota Mirai dihasilkan pada 2014 dan produksinya masih diteruskan sehingga kini.

    Pada 2019, model ini telah terjual lebih 10,250 unit seluruh dunia.

    Tahun lalu, Toyota telah melancarkan lima varian generasi baharu iaitu:

    • Mirai G 7
    • Mirai G A Package
    • Mirai G Executive Package
    • Mirai Z
    • Mirai Z Executive Package

    Antara ciri menarik terdapat pada Mirai versi baharu termasuk sistem keselamatan menyeluruh kepada pemandu dan penumpang.

    Mirai 2021 dilengkapi dengan rangkaian teknologi Toyota Safety Sense terbaharu.

    Ciri keselamatan ini termasuk sistem Pre-Collision System yang dapat mengesan keberadaan objek menghampiri kenderaan.

    Selain itu, Mirai 2021 juga dilengkapi:-

    • Driver Emergency Stop Assist
    • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
    • Adaptive High-beam System (AHS)
    • Lane Tracing Assist (LTA)

    Kereta JDM bawah RM30,000! Biar betul?

    “JDM”

    Istilah yang tidak asing bagi kebanyakan ‘kaki kereta’.

    Membawa maksud Japan Domestic Market, pelbagai model kereta dari negara ‘Matahari Terbit’ itu mula memasuki Malaysia sejak awal tahun 90-an lagi.

    Bagaimanapun,  tidak ramai dalam kalangan rakyat negara ini mampu memiliki model JDM ketika itu.

    Selain harga yang tinggi, kos servis bagi kebanyakan model JDM juga bukan ‘kaleng-kaleng’.

    Namun, zaman semakin berubah terutama dengan kewujudan istilah ‘dunia tanpa sempadan’.

    Ini secara tidak langsung menjadikan pasaran automotif kian berkembang dengan pelbagai saingan syarikat pengeluar kenderaan.

    Saban tahun, semakin ramai kalangan rakyat Malaysia mampu memiliki kereta JDM yang diidamkan.

    Maka, EnGear dengan rasa teruja ingin berkongsi kepada anda antara tujuh kereta JDM mampu milik berharga kurang RM30,000!

    Tak percaya?

    Teruskan membaca…

    Tujuh kereta JDM bawah RM30,000

    Berdasarkan kajian dan pemerhatian kami di EnGear, setakat ini terdapat lebih tujuh kereta JDM berharga bawah RM30,000.

    Seperti anda, kami juga tidak mempercayainya. Namun, itu adalah realiti pada hari ini. Ada kereta JDM harga bawah RM30,000.

    Berikut antara model tersebut:

    Honda Civic Exi masih kelihatan 'mantap'!

    Honda Civic EJ6

    Model: Civic

    Varian: Exi

    Series: EJ6

    Tahun: 1996

    Jenis: 4 pintu Sedan

    Tranmisi:m Manual, 5 speed

    Enjin CC: 1590cc

    Masih ramai yang meminati Honda Accord Euro R CL1.

    Honda Accord EURO R CL1

    Model: Accord

    Varian: Euro R

    Series: CL1

    Tahun: 2000

    Jenis: 4 pintu Sedan

    Tranmisi: Manual, 5 speed

    Enjin CC: 1997cc

    Nissan Skyline 350GT terkenal dek kepantasannya membelah jalan raya.

    Nissan Skyline 350 GT

    Model: Skyline

    Varian: 350 GT VQ35DE

    Series: V35

    Tahun: 2004

    Jenis: 4 pintu Sedan

    Tranmisi: Manual, 6 speed

    Enjin CC: 3498cc

    Subaru Legacy WRX masih menawan bukan?

    Subaru Legacy GT

    Model: Legacy

    Varian: GT

    Series: BL5

    Tahun: 1994

    Jenis: 4 pintu Sedan

    Tranmisi: Manual, 5 speed

    Enjin Cc: 1994

    Toyota Starlet Turbo yang sangat 'rare'.

    Toyota Starlet Turbo

    Model: Starlet

    Varian: GT Turbo

    Series: EP70

    Tahun: 1995

    Jenis: 4 pintu Hatchback

    Tranmisi: Automatik, 4 speed

    Enjin CC: 1331cc

    Gaya 'romeo' sebuah Toyota Celica GT.

    Toyota Celica GT

    Model: Celica

    Varian: GT-Four Turbo

    Series: T185

    Tahun: 1995

    Jenis: 2 pintu Coupe

    Tranmisi: Automatik, 5 speed

    Enjin CC: 1998cc

    Mazda RX8 idaman setiap jejaka Malaya!

    Mazda RX-8 Type S

    Model: RX-8

    Varian: Type S

    Series: SE3P

    Tahun: 2004

    Jenis: 4 pintu Coupe

    Tranmisi: Manual, 6 speed

    Enjin CC: 1308cc

    Demikian antara tujuh kereta JDM yang mampu dimiliki pada harga RM30,000 sahaja.

    Semua harga tersebut adalah hasil rujukan di laman web Mudah.my.

    Nak tahu lebih lanjut mengenai kereta JDM, saksikan video kami sediakan!

    Toyota lancar GR Corolla pada 2022, tampil lebih mengancam

    TOYOTA terus mengorak langkah dengan menghasilkan produk berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

    Terbaharu, syarikat asal Jepun itu dikhabarkan bakal melancarkan varian GR Corolla tahun depan.

    Memetik laporan Best Car Web, model GR Corolla akan mendapat beberapa suntikan sama seperti GR Yaris sebelum ini.

    Model GR Corolla memiliki rekaan memukau di samping kuasa pecutan terbaik.

    Antara ciri-ciri tersebut termasuk penggunaan enjin G16E-GTS 3-silinder 1.6L turbocaj.

    Selain itu, GR Corolla dikatakan turut menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) yang mampu menghantar 70 peratus tork kepada tayar belakang.

    GR Corolla hadir dengan dimensi badan 20mm dan 10mm lebih rendah berbanding model Corolla biasa.

    Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk saksikan model GR Corolla tahun hadapan?

    Sama-sama kita nantikan!