fbpx

Jepun mahu bina sistem talisawat kargo 500 km, atasi masalah kekurangan pemandu trak

engear.tv
Sumber: CNBC

Mereka yang sudah terbiasa mengembara ke luar negara pastinya kagum dengan tahap kecekapan kakitangan dan mesin di lapangan terbang dalam mengendalikan beratus-ratus hingga beribu-ribu bagasi dalam masa sehari.

Sekarang, cuba bayangkan sistem yang sama, namun dengan jarak yang lebih jauh.

 

 

Ya, itu antara penyelesaian yang cuba dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun dalam usaha untuk menangani masalah kekurangan pemandu trak yang semakin meruncing saban tahun.

Menurut laporan Japan News, satu sistem yang dinamakan sebagai Autoflow Road, atau bahasa mudahnya sistem tali sawat akan dibina menghubungkan Tokyo dan Osaka sejauh 500 km untuk tujuan pengedaran barangan kargo.

 

Sistem tali sawat ini boleh dibina bersebelahan dengan jalan raya utama sedia ada, atau menggunakan laluan bawah tanah.

 

 

Dengan operasi tanpa henti setiap hari, secara teorinya sistem ini dapat menampung kapasiti penghantaran kargo yang sama dibuat oleh 25,000 orang pemandu trak dalam masa sehari.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Jepun bakal mengalami masalah kekurangan sehingga 36 peratus tenaga pekerja yang diperlukan untuk mengendalikan 1.40 bilion tan kargo menjelang 2030.

Dengan cara mengurangkan sehingga 25,000 buah trak dari jalan raya mungkin sekali dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik, merendahkan tahap pelepasan emisi serta membantu mengurangkan impak negatif akibat krisis kekurangan tenaga pekerja.

 

 

Penggunaan sistem tali sawat ini bukanlah satu perkara yang asing, memandangkan di negara Jepun sendiri ada menggunakan cara yang sama untuk mengangkut muatan batu kapur sepanjang 23 km yang terletak di Torigatayama.

Cabaran utama yang dihadapi sudah tentu kos pembinaan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh syarikat pembinaan, kos untuk membina terowong bawah tanah bermula dari ¥7 bilion (RM204 juta) dan mampu mencecah ¥80 bilion (RM2.3 bilion) untuk setiap 10 km.

Jadi, kos keseluruhan untuk membina sistem yang menghubungkan Tokyo dan Osaka mampu mencecah sehingga ¥3.7 trilion (RM108.2 bilion)!

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved