fbpx

Nenek serah semula RX-7 manual kepada Mazda Jepun sempena hari jadi ke-80

Naoko Nishimoto Mazda RX-7 (1)

Tahukah anda, Mazda RX-7 berwarna perak ini sebenarnya dimiliki dan dipandu sendiri oleh seorang warga emas, Naoko Nishimoto selama 25 tahun.

Bersempena dengan sambutan hari jadinya yang ke-80 pada 18 Disember yang lepas, Naoko membuat keputusan untuk menyerahkan lesen memandunya secara sukarela, serta menyerahkan kembali RX-7 kesayangannya kepada Mazda Jepun.

Hasratnya untuk menjual RX-7 tersebut mendapat perhatian umum apabila disiarkan di laman YouTube pada September 2024, sekaligus mencipta satu fenomena besar.

Selepas kisahnya disiarkan, Naoko menerima lebih 400 e-mel termasuklah satu daripada Jabatan Hubungan Awam Mazda sendiri.

Secara kebetulan, seorang jurutera Mazda menonton program tersebut dan segera menghubungi jabatan PR dan menyatakan, “Mazda sepatutnya ambil alih (RX-7) ini!”

Apabila Naoko membaca e-emel daripada Mazda, beliau menyatakan, “ia merupakan satu e-mel yang dipenuhi semangat dan keikhlasan, dan ia seolah-olah bersinar kepada saya.”

Difahamkan, pihak yang menghantar e-mel tersebut turut mempunyai keterikatan yang kuat terhadap Mazda RX-7.

Kisah nenek yang suka memandu RX-7 bertransmisi manual ini bermula pada usianya yang ke-55, di mana pada ketika itu kereta Corona Coupe yang dimiliknya selama hampir 10 tahun mula buat hal.

Secara kebetulan, nenek tersebut menonton siri animasi Initial D bersama anaknya, dan terus jatuh cinta pandang pertama terhadap rekaan Mazda RX-7 (FD3S).

Beliau kemudian segera ke pusat pengedar Mazda yang berdekatan untuk membuat tempahan, di mana pada ketika itu (tahun 1999) harganya sekitar 3.2 juta yen (RM91,855).

Pada awalnya, Naoko ingin memilih warna biru seperti yang tertera pada brosur produk, namun jurujual Mazda menyarankan beliau untuk mengambil warna Highlight Silver Metallic.

“Jika diingat kembali, saya rasa lega kerana memilih warna tersebut,” ujarnya.

Berkat penjagaan dan penyelenggaraan yang dibuat oleh pengedar Kyushu Mazda Akasako, kereta RX-7 Naoko ini tidak pernah mengalami masalah besar selama tempoh 25 tahun dalam pemilikan.

Angka perbatuan 77,592 km itu merupakan bukti beliau amat menggemari pemanduan RX-7 yang unik dan tidak membuatkannya rasa penat walaupun memandu pada jarak yang jauh.

Menurut Naoko, beliau amat suka dengan rekaan belakang kereta sports ini, terutama pada bahagian sayap belakang serta angka tujuh pada nombor pendaftaran.

Sewaktu urusan pembelian dibuat, kakitangan Kyushu Mazda dengan baik hatinya menguruskan segala proses pendaftaran, di mana mereka berjaya mendapatkan nombor 7 daripada Biro Pengangkutan Darat untuk dipadankan pada RX-7 tersebut.

 


Hasilnya, ia merupakan salah satu ciri yang digemari Naoko pada kereta tersebut.

Naoko juga tidak pernah merasakan satu kesukaran memandu RX-7 manual di kawasan kediamannya di Nagasaki yang mempunyai banyak bukit.

“Apabila pertama kali saya membelinya, saya rasa gementar, namun sekarang saya sudah terbiasa dan ia tidak menjadi satu masalah,” ujarnya.

Mazda RX-7 Type RB S package ini dikuasakan oleh enjin 13B-REW dengan turbo berkembar sekuential yang mampu menjana kuasa setinggi 265 PS dan daya kilas 294 Nm.

Kisah Naoko turut menarik perhatian Presiden dan CEO Mazda, Moro Masahiro di mana beliau telah mengutuskan surat penghargaan yang dibacakan oleh Kosuke Doi, Pengurus Besar Divisyen Jualan Domestik Mazda.

Dalam surat tersebut, Moro menyebut “(Mazda RX-7) merupakan model pertama yang saya bertanggungjawab kendalikan pemasarannya selepas menyertai Mazda, jadi ia merupakan sebuah kereta yang menyimpan kenangan istimewa buat saya.

“Kami akan menghargai kereta ini, bersama-sama dengan kisah-kisah ketika anda (Naoko) menjalani kehidupan yang gembira dan bertenaga.

Setelah acara serahan tersebut selesai, Naoko kemudian bergerak ke balai polis Urakami di Wilayah Nagasaki untuk menyerahkan lesen memandunya secara sukarela.

Pihak Mazda Jepun berjanji akan menjaga keadaan RX-7 tersebut sebaik mungkin dan merancang untuk memindahkan kereta sports itu ke pusat R&D di Yokohama untuk dijadikan sebagai kenderaan hubungan awam atau dipamerkan pada acara-acara rasmi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved