Honda Prelude 2026: bukan sekadar sebuah Civic coupe
Honda sebelum ini mengesahkan model konsep Prelude yang bakal direalisasikan kelak itu akan dibina menggunakan platform Civic sedia ada.
Kini, terdapat berita baik terbang dari negara Matahari Terbit, di mana sekumpulan para pengamal media Jepun diberikan peluang untuk menguji unit protaip pra-produksi di dalam litar ujian.
Sesi pandu uji ini mendedahkan beberapa perincian menarik untuk dikongsikan kepada para pembaca, terutama bagi mereka yang sudah melihat model ini dengan lebih dekat semasa acara KLIMS 2024 berlangsung minggu lalu.
Model prototaip yang masih sarat dengan pelekat samaran itu tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara, melainkan kewujudan penderia ADAS dan cermin sisi yang lebih praktikal saiznya.
Berikut merupakan perkara baharu yang akan muncul pada Honda Prelude 2026:
1. Sistem hibrid generasi baharu
Menariknya, Honda Prelude merupakan model pertama yang akan dilengkapi dengan sistem hibrid dua motor generasi baharu.
Tiada perincian lanjut diumumkan buat masa ini, namun Honda mendakwa tetapan baharu ini menjanjikan kadar kecekapan 10 peratus berbanding sistem e:HEV sedia ada tanpa mengorbankan aspek kuasa.
Besar kemungkinan Prelude akan dilengkapi dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang dibangunkan serba baharu, dipadankan dengan unit pacuan elektrik baharu yang lebih kompak dan cekap.
Tipikal untuk sebuah kereta hibrid, anda boleh jangkakan Prelude hadir dengan transmisi e-CVT yang lebih ringkas, namun ia tetap hadir dengan ciri baharu yang digelar sebagai S+ Shift.
2. Sistem Honda S+ Shift
Bakal dimuatkan pada semua model e:HEV Honda masa depan, sistem S+ Shift ini menjanjikan pemanduan yang lebih dinamik dan mengujakan.
Dengan menekan butang khas tersebut, ia akan mensimulasikan penukaran gear menerusi getaran kecil yang terhasil ketika menurunkan posisi gear, terima kasih kepada pemetaan tork yang telah diubah dalam unit pacuan elektrik.
Ciri Active Sound Control pula akan menguatkan lagi bunyi enjin yang sporti menerusi maklum balas audio menerusi unit pembesar suara, disegerakkan dengan paparan rpm pada kluster digital.
Honda Prelude 2026 turut dilengkapi dengan paddle shifter bagi membolehkan pemandu merasai pengalaman penukaran gear yang disimulasikan dalam sebuah kereta hibrid.
3. Platform Civic
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Honda Prelude bakal menggunakan platform Civic sedia ada, akan tetapi dengan casis yang lebih tegar, aspek kestabilan stereng yang dipertingkatkan dan paling penting, 10 peratus lebih ringan.
Tidak seperti Civic, Prelude mempunyai ukuran jarak antara roda yang lebih pendek, namun jarak trek roda yang lebih lebar.
Sistem suspensi juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih sporti dan selesa seperti sebuah GT.
Saluran YouTube Ride Now melaporkan Prelude akan mendapat sistem suspensi adaptif, dan sistem stereng dua paksi daripada Civic Type R yang direka untuk mengurangkan kesan torque steer.
4. Ruang kabin
Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan model Civic sedia ada.
Cuma, ia telah dikemaskan dengan rekaan konsol tengah yang lebih tinggi, menampilkan butang kawalan baharu untuk penukaran gear serta kehadiran butang S+ Shift.
Untuk pemandu dan penumpang hadapan, Prelude menyediakan tempat duduk bucket yang sporti, diikuti dengan jahitan kontras berwarna putih dan biru.
Faktor rekaan coupe dengan bumbung yang lebih rendah dan jarak antara roda yang pendek menyebabkan ruang kepala dan ruang kaki Prelude ini nampak lebih kecil dan sempit berbanding Honda Civic, terutama untuk penumpang belakang.
5. Apa kata media Jepun?
Rata-rata maklum balas yang diterima daripada sesi pandu uji yang dijalankan di Jepun cukup positif.
Ada yang mendakwa Prelude menjanjikan pemanduan yang lebih sporti berbanding Civic (harapnya bukan Civic Type R), dan dalam masa yang sama lancar dan selesa seperti sebuah GT.
Seorang pemandu uji berpendapat tetapan stereng dan suspensi adaptif Prelude mengingatkannya pada Civic Type R.
Seorang lagi media mendedahkan Prelude menawarkan aspek pemberhentian yang lancar dan linear, terima kasih kepada sistem brek Brembo yang tersembunyi di sebalik rim hitam 19 inci dan balutan tayar Continental Premium Contact 6 itu.
Honda Prelude serba baharu ini akan dilancarkan pada tahun 2025, dan bertindak sebagai pengganti kepada model coupe Civic dan Accord yang telah dihentikan penawarannya.
Kami jangkakan Prelude 2026 akan membuat kemunculan rasmi pada Tokyo Auto Salon 2025 pada 10-12 Januari tahun depan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.