fbpx

Toyota Crown Sport PHEV boleh gerak sehingga 1,200 km dengan satu tangki penuh

Toyota Crown Sport PHEV 01

TOYOTA Crown Sport, yang merupakan salah satu daripada empat model dalam rangkaian Crown, kini boleh didapati dengan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) di Jepun. Harga jualannya bermula dari 7.65 juta yen (RM248,030).

Seperti versi hibrid, trenkuasa berkenaan menggunakan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5-liter empat silinder namun dalam versi ini, enjin tersebut dibantu oleh sepasang motor elektrik.

Secara individu, enjin tersebut menghasilkan 177 PS dan 219 Nm, manakala motor elektrik depan dan belakang masing-masing menjana 182 PS/270 Nm dan 54 PS/121 Nm.

Gandingan ini memberikan Crown Sport PHEV sistem pacuan semua roda E-Four dan kuasa keseluruhan sebanyak 306 PS.

Dengan bateri litium ion berkapasiti 51 Ah, model ini mampu bergerak sejauh 90 km tanpa menggunakan setitis bahan api.

Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan menawarkan kadar penggunaan bahan api sekitar 20.3 km/l dan dengan adanya tangki bahan api sebesar 55 liter, ia boleh dipandu sejauh lebih 1,200 km dengan satu tangki penuh.

Menurut Toyota, Crown Sport PHEV menyokong pengecasan standard dan pantas. Pengecasan pantas boleh mencapai tahap kuasa 80 peratus dalam tempoh 38 minit.

Bahagian luaran model ini mungkin nampak sama seperti versi hibrid, namun apa yang tidak kelihatan adalah pendakap tambahan pada terowong lantai yang digunakan untuk mencapai keseimbangan badan yang optimum.

Bukan itu sahaja, karakteristik redaman sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih lancar dan stabil.

Selain itu, Crown Sport PHEV didatangkan standard dengan rim aluminium 21 inci, cakera brek berukuran 20 inci bersama angkup berwarna merah, skema warna hitam dan merah pada bahagian kabin, paddle shifter dan tempat duduk sport.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk Vehicle to Home (V2H) untuk digunakan dalam situasi kecemasan seperti gangguan bekalan elektrik sehingga 6.5 hari, serta My Room Mode yang membolehkan pengguna menikmati sistem penyaman udara dan audio daripada sumber kuasa luar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved