fbpx

Toyota Century SUV diperkenalkan, harga tidak sampai RM800k di Jepun

Toyota Century SUV 01

SETELAH hampir 60 tahun berada di pasaran sebagai model sedan, Toyota Century kini hadir dalam bentuk SUV. Ia kini dibuka untuk tempahan di Jepun dan bakal dilancarkan ke pasaran negara itu pada tahun ini, dengan harga bermula dari 25 juta yen (RM793,025).

Menurut Toyota, Century SUV dibangunkan bagi memenuhi permintaan pasaran yang berubah, di mana pelanggan masa kini dilihat ingin menghabiskan masa di jalan raya dengan lebih efektif dengan berehat atau menyertai mesyuarat dalam talian.

Tambah syarikat itu lagi, model ini boleh dikustom sepenuhnya mengikut cita rasa dan keperluan setiap pelanggan. Sementara itu, versi sedan akan terus dijual.

Century SUV sememangnya bersaiz besar, dengan ukuran panjang 5,205 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,805 mm dan jarak roda 2,950 mm. Beratnya adalah kira-kira 2,570 kg.

Selain bentuk badan, Century SUV boleh dibezakan dengan versi sedan menerusi beberapa elemen reka bentuk. Ini termasuk lampu, di mana versi ini menggunakan rekaan lampu bertindih pada bahagian hadapan dan belakang.

Bukan itu sahaja, Century SUV juga mempunyai tiga bukaan udara pada bampar hadapan, manakala kemasan grilnya juga berbeza dengan versi sedan.

Untuk memudahkan penumpang masuk ke kabin, pintu belakang boleh dibuka dengan keluasan sehingga 75 darjah, selain terdapat pemijak yang akan diturunkan secara automatik dan pemegang pada tiang C.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pintu gelongsor berkuasa yang lebih sinonim dengan MPV.

Tempat duduk belakang boleh dilipat sepenuhnya dan dari situ, penumpang boleh mengakses pelbagai fungsi yang membolehkan mereka berehat, termasuk sistem audio dengan kualiti bunyi seakan persembahan langsung.

Century SUV dikuasakan oleh enjin 2GR-FXS 3.5-liter V6 dengan sistem hibrid plug-in yang menghasilkan 412 PS. Ia dipadankan dengan transmisi E-CVT dan sistem pacuan semua roda E-Four yang mempunyai motor elektrik pada gandar belakang.

Pengendalian yang mantap dijamin menerusi sistem Dynamic Rear Steering yang berfungsi untuk meningkatkan pengendalian pada kelajuan rendah, sederhana dan tinggi.

Selain itu, mod Rear Comfort mengekalkan keselesaan penumpang belakang dengan membantu kawalan brek bagi mengurangkan hentikan apabila kereta berhenti. Toyota juga meletakkan kaca berlamina pada bahagian pemisah ruang kargo untuk mengurangkan bunyi hingar di dalam kabin.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved