TESLA Malaysia nampaknya semakin giat menapakkan diri mereka ke negara ini. Dalam perkembangan terbaharu, Model 3 pula menjadi model kedua bakal diperkenalkan, dan ia kini sudah boleh mula ditempah!
Tesla Model 3 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM189,000 untuk RWD, dan bermula RM218,000 bagi AWD (Long Range).
Tesla Model 3 Rear Wheel Drive
Bateri: Standard Range
Jarak pemanduan: Sehingga 513km
Pecutan 0-100: 6.1 saat
Pacuan: Roda belakang
Berat: 1,765kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Tesla Model 3 Dual Motor AWD (Long Range)
Bateri: Long Range
Jarak pemanduan: sehingga 629km
Pecutan 0-100: 4.4 saat
Pacuan: Dual Motor All-Wheel Drive
Berat: 1,828kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Sama seperti Tesla Model Y yang dilancarkan baru-baru ini, Model 3 juga pastinya hadir dengan lambakan pilihan yang kita boleh tambah. Kami jangkakan pelancaran Tesla Model 3 bakal dibuat tidak lama lagi, dalam suku keempat tahun ini juga.
Kami akan laporkan lagi perkembangan seterusnya sebaik kami mendapat maklumat. Apa pendapat anda dengan langkah agresif Tesla di Malaysia ini?
SEJAK penubuhannya pada 1983, Proton telah menghasilkan banyak kereta konsep dan prototaip menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dari luar negara.
Dalam banyak-banyak prototaip yang terhasil, penulis rasa Satria Cabriolet paling menonjol dan menarik perhatian. Jika tidak silap, inilah satu-satunya kereta jenis cabriolet atau convertible yang pernah direalisasikan oleh Proton (walaupun tidak berjaya dipasarkan).
Gambar oleh: AllCarIndex
Satria Cabriolet dibangunkan sekitar tahun 1997 dan pada tahun yang sama, ia membuat kemunculan sulung bukan di tanah air tetapi di Frankfurt International Motor Show. Ya, percaya atau tidak, pengeluar kereta nasional itu pernah menyertai pameran permotoran bertaraf antarabangsa.
Namun ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana seperti yang anda mungkin sedia maklum, kereta Proton mula menembusi pasaran-pasaran Eropah termasuk Ireland dan United Kingdom sejak 1989 lagi.
Berbalik kepada Satria Cabriolet, kehadirannya di Frankfurt Motor Show secara amnya boleh dilihat sebagai langkah untuk menaikkan lagi nama Proton di Jerman. Ketika itu, Satria dijual di pasaran Jerman, Perancis dan Turki sebagai Proton 300 Series namun dalam jumlah yang kecil.
Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman
Prototaip Satria Cabriolet yang dipamerkan di Frankfurt itu merupakan salah satu daripada hanya dua unit yang dihasilkan. Ia dicat warna ungu, mempunyai rekaan bampar depan yang berbeza, rim lima jejari berbentuk bintang (yang kemudiannya ditukar dengan rim Satria GTI) dan paip ekzos berkembar.
Sudah tentu, tarikan utama kereta ini adalah bumbung convertible jenis fabriknya. Tidak banyak yang diketahui mengenai bumbung ini namun ia dikatakan dibangunkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.
Ruang dalamannya juga agak unik, dengan kemasan kulit berwarna beige dan fabrik kelabu. Selain daripada itu, rekaan papan pemuka, konsol tengah, stereng dan tombol gear dikekalkan.
Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman
Anda mungkin masih ingat kereta ini juga pernah digunakan untuk membawa Tun Mahathir mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika acara pembukaan Sukan Komanwel 1998.
Hari ini, kereta ini dimiliki oleh seorang individu bernama Muhammad Jeya Raj yang telah berjaya membaik pulihnya ke tahap yang memuaskan.
Sementara itu, unit kedua pula berwarna emas dan mempunyai ciri-ciri rekaan yang sama dengan unit berwarna ungu ini. Bagaimanapun, kelibatnya begitu jarang dilihat kerana menurut desas-desus, ia masih lagi dalam simpanan Proton.
Sayangnya, Satria Cabriolet tidak pernah dipasarkan akibat krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997. Bagi penulis, kereta ini berpotensi besar untuk laku di pasaran-pasaran yang menghargai kereta dengan bumbung yang boleh dibukanamun nasibnya agak kurang baik kerana ‘dilahirkan’ pada zaman di mana ekonominya tidak menentu.
CHERY Malaysia mengumumkan baru menyempurnakan penyerahan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.
Acara yang dijalankan di kilang CKD Chery di Inokom Kulim, Kedah itu juga menzahirkan komitmen mereka untuk operasi pemasangan tempatan serta untuk memberikan pengalaman baik kepada pelanggan.
Acara itu juga menyaksikan penyerahan replika kunci dari Pengara Urusan Inokom Corporation, Mr. Kui Seng Huat kepada Pengarah Operasi Kilang Chery Malaysia, Mr. Xu Jing Zhong, selain tetamu kehormat lain.
Unit CKD pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diserahkan secara rasmi kepada Chery Malaysia, menandakan permulaan era baharu dalam sektor automotif negara ini.
Chery jual 740,000 kenderaan untuk separuh pertama 2023
Dalam perkembangan antarabangsa, Chery Group dilaporkan telah menjual 741,400 kenderaan untuk enam bulan pertama 2023, bersamaan peningkatan 56 peratus untuk tempoh sama berbanding tahun lepas.
Data ini dikongsi oleh China Association of Automobile Manufacturers (CAAM). Menurut perkongsian itu juga, jumlah eksport China bagi suku pertama 2023 juga melebihi 1.07 juta kenderaan, melebihi angka Jepun, sekaligus menjadikan China pengeksport kenderaan terbesar di dunia.
PERODUA mempunyai rancangan untuk memasang kenderaan elektrik (EV) secara tempatan dengan kerjasama rakan kongsinya, lapor The Edge.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu sedang mengkaji pelbagai cara untuk memperkenalkan model EV ke pasaran tempatan dengan harga berpatutan untuk rakyat Malaysia.
“Untuk mengatasi perkara ini, kami sedang berusaha untuk merapatkan jurang dengan sokongan penuh daripada rakan-rakan kongsi kami. Kami yakin dapat menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat,” katanya.
Tambah Datuk Seri Zainal lagi, Perodua sedang mengkaji pelbagai cara untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke hadapan dalam menghasilkan kereta dan memperkenalkannya ke pasaran dengan meningkatkan keupayaan vendor untuk menghasilkan alat ganti berkaitan EV.
Datuk Seri Zainal berkata buat masa ini Perodua melihat EV sebagai pelengkap kepada kereta enjin pembakaran dalaman.
“Bagaimanapun, kami berpendapat EV akan memainkan peranan yang lebih besar dalam industri automotif tempatan kerana kerajaan telah menetapkan komitmen terhadap agenda neutral karbon menjelang 2030,” katanya kepada The Edge.
Bajet 2022 memperkenalkan beberapa insentif untuk EV, termasuk pengecualian eksais dan duti import. Insentif tersebut telah membuka jalan kepada pengeluar-pengeluar EV dari negara luar seperti Tesla dan BYD untuk memperkenalkan produk mereka di Malaysia pada harga kompetitif.
Bagaimanapun, EV import tidak dibenarkan dijual pada harga bawah RM100,000 untuk melindungi operasi pemasangan kereta tempatan.
Jika Perodua boleh mengeluarkan dan memasang EV secara tempatan, ia boleh dijual pada harga bawah RM100,000. Bagaimanapun, rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu Motor Co Ltd belum mempunyai model EV.
Pesaing terdekat Perodua iaitu Proton mempunyai rakan kongsi Zhejiang Geely Holdings Group Co yang mempunyai beberapa model EV. Geely merancang untuk melabur sebanyak RM5 bilion di Tanjung Malim, dipercayai untuk menghasilkan EV.
RAKAMAN suara 30 minit terakhir pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak komponen ‘memory puck’ itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.
“Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.
“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Loke sebelum ini dilaporkan berkata, data rakaman suara yang berada dalam komponen ‘memory puck’ pesawat malang itu, akan diekstrak di makmal dekat Florida, AS selepas gagal berbuat demikian menerusi bantuan makmal teknikal di Singapura.
Pasukan BSKU kemudiannya berlepas ke Florida bagi mendapatkan bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat terbabit iaitu syarikat L3Harris.
Loke berkata, rakaman suara itu sudah dihantar semula ke Malaysia dan kini sedang dianalisis oleh pasukan BSKU di ibu negara.
Bagaimanapun, katanya rakaman suara itu dihantar pulang ke Malaysia menerusi emel kerana pasukan BSKU di sana tidak dapat berlepas pulang disebabkan taufan yang sedang melanda Florida.
“Pasukan (BSKU) berdepan kesukaran untuk pulang ke Malaysia kerana ketika ini berlaku taufan di Florida, jadi mereka masih berada di sana dan sepatutnya mereka berlepas pulang selepas data diekstrak tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian.
“Namun data itu sudah dihantar pulang menerusi sistem email yang selamat dan kita sudah memiliki rakaman suara terbabit di Malaysia, walaupun ia tidak dibawa pulang secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata, langkah seterusnya selepas mendapatkan data terbabit ialah melakukan analisis dan menghasilkan transkrip daripada rakaman suara berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan laporan awal berhubung nahas pesawat terbabit dapat dikeluarkan dan dipaparkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lagi.
“Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan sekarang ini dan bukan untuk saya membuat rumusan itu. Walaupun pihak BSKU ada memberikan sedikit rumusan, saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman atau spekulasi.
“Biar pakar kita membuat analisis secara terperinci supaya laporan awal dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga pihak BSKU membuat laporan mereka,” katanya.
Sumber foto: @azmilwhoruns
Dalam insiden pada jam 2:50 petang 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Dalam tragedi itu, EXCO Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.
DIRECT Lending, platform pinjaman digital terkemuka Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Petronas AutoExpert, salah satu jenama penyedia servis kereta yang diiktiraf di negara ini.
Kerjasama tersebut untuk memberikan solusi kepada pemilik kereta dengan menawarkan pelan ansuran servis kereta sepenuhnya, digital, dan patuh Syariah.
Melalui kerjasama ini, Petronas AutoExpert telah menggunakan model ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL), sejajar dengan dedikasinya untuk menjadikan perkhidmatan servis kereta lebih ringkas dan mudah diakses, serta berharap agar ianya dapat mengurangi beban kepada pengguna.
Tersedia di mana-mana 55 pusat Petronas AutoExpert di seluruh negara, pemilik kereta dapat melakukan pembayaran mereka dalam tempoh maksimum sehingga 12 bulan, manakala pusat Petronas AutoExpert akan menerima bil invois secara penuh terlebih dahulu – yang mana ini secara tidak langsung mempromosikan aliran tunai yang sihat dan berpotensi meningkatkan jualan.
Dengan hanya tiga langkah mudah, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan dengan pantas dengan mengisi butiran mereka, menyerahkan kad pengenalan bersama penyata bank tiga bulan terkini, dan mengakhiri proses tersebut dengan membuat pembayaran pertama, menyediakan pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan – semuanya dilakukan melalui teknologi telefon pintar.
Para pelanggan Petronas AutoExpert boleh memohon pelan ansuran ini melalui imbasan kod QR yang disediakan di pusat Petronas AutoExpert yang terlibat.
Mohd Zameer Zahur Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd berkata, “Pengguna disaran untuk mengambil peluang dengan pembayaran ansuran Direct Lending di semua cawangan Petronas AutoExpert.
“Ini ternyata dapat mengurangi beban perbelanjaan dengan lebih efisien terutama di dalam penjagaan kenderaan keluarga.”
BNPL selaras dengan syariah
Pada masa kini, ramai pemilik kereta sering mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan, kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan wang tunai, dan bukan semua perkhidmatan dan jenama kereta di pasaran Malaysia menyediakan penyelesaian BNPL yang fleksibel dan mudah.
Walau bagaimanapun, tidak semua perkhidmatan BNPL mematuhi syariah atas tiga sebab: kewujudan kadar faedah, penglibatan barangan larangan dan ketidakseimbangan dalam terma dan syarat yang tidak mematuhi standard kebenaran Islam.
Hui Yik Seong, Pengasas Direct Lending berkata, “Kami berbesar hati untuk menawarkan pelan ansuran yang mematuhi prinsip syariah, memberi manfaat kepada semua, termasuk pelanggan.
“Kerjasama ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan penyelenggaraan kenderaan — komponen yang haus atau rosak boleh memudaratkan prestasi kereta, merisikokan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya.
“Kami berharap pembiayaan yang lebih inklusif dan mesra pengguna untuk rakyat Malaysia ini, dapat memudahkan perjalanan pemilikan kenderaan mereka secara keseluruhan.”
Pelan ansuran servis kereta Direct Lending ialah kemudahan pembiayaan patuh syariah yang disokong sepenuhnya oleh Amanie Advisors, firma Penasihat Kewangan Islam global yang terkemuka, memastikan aksesnya kepada semua.
Sehingga 2023, syarikat ini telah menjalankan lebih daripada 130,000 penilaian kelayakan pinjaman.
ACARA kelab kereta Puma yang sulung di Asia Tenggara yang diadakan pada Jumaat lalu menggabungkan unsur sukan permotoran, gaya hidup, hiburan dan gastronomi dengan penuh jaya.
Bertempat di Sentul Depot, Kuala Lumpur, acara tersebut dilihat sebagai bukti komitmen Puma terhadapan dunia sukan permotoran yang sentiasa berkembang, selain selari dengan slogan jenama sukan itu iaitu ‘Forever Faster’.
Pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan daripada artis-artis ternama tempatan dan antarabangsa termasuk Hullera, Pop Shuvit, Toshrock dan DJ Ashley Lau.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menguji kemahiran memandu kereta berprestasi tinggi dalam permainan Gran Turismo 7 di reruai PlayStation serta mengimbau kembali zaman kanak-kanak di litar Tamiya yang disediakan.
Bagaimanapun, acara kemuncak sudah tentu kemunculan atlet MMA terkemuka Choo Sung-hoon yang lebih dikenali dengan nama jolokan ‘Sexyama’. Atlet kelahiran Jepun itu telah dilantik sebagai duta sukan permotoran Asia Tenggara Puma.
“MMA dan sukan permotoran memerlukan daya tumpuan yang tinggi untuk melakukannya dengan baik. Saya kini semakin berusia, tetapi saya akan terus bekerja keras. Berkerjasama dengan Puma, saya rasa saya boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menjadi ikon harapan untuk lelaki pertengahan usia,” kata Choo.
Turut hadir memeriahkan acara adalah beberapa pempengaruh daripada komuniti kereta seperti Jeremy Lim, Asep Ahmad Iskandar, Remus Chang, Dato’ David Gurupatham dan Huang Ean Hwa.
Puma turut mempamerkan koleksi pakaian terbaru mereka di acara itu. Ia boleh didapati di kedai Puma terpilih dan secara dalam talian dengan harga bermula dari RM159 hingga RM729.
Mekar Angkut Sdn Bhd, sebuah syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Kota Bahru, baru-baru telah menerima 15 unit penggerak utama (primemover) MAN TGS berkuasa Euro V baharu untuk mengembangkan perniagaannya.
Trak MAN syarikat itu terdiri daripada 10 unit varian TGS 4×2 digunakan sebagai pembawa kereta dan lima unit varian 6×2 digunakan sebagai trak tangki untuk mengangkut minyak sawit.
Pada majlis penyerahan ringkas yang diadakan di ibu pejabat bersepadu baharu MAN Malaysia di Shah Alam, Pengerusi Eksekutif Mekar Angkut Che Ibrahim bin Che Ismail menjelaskan keputusan syarikat memilih trak MAN TGS baharu.
“Kami mempunyai pengalaman yang baik dengan prestasi dan kebolehpercayaan bas MAN dalam perniagaan bas ekspres kami, Ekspres Mutiara. Pada mulanya, terdapat sedikit keraguan mengenai sokongan lepas jualan kerana kami berpangkalan di Kota Bahru.
“Bagaimanapun, selepas melihat sendiri persediaan dan pelaburan semasa syarikat MAN Malaysia di Shah Alam dan menerima komitmen kukuh daripada pengurusannya, saya yakin bahawa kami telah membuat pilihan yang tepat,” kata Che Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Pak Nik.
Trak MAN dengan enjin Euro V sebagai standard mendahului dalam orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling penting, kemampanan.
RAMAI yang sering meminta model prestasi mampu milik dari jenama tempatan Proton atau Perodua, kerana merasakan kebanyakan model dijual hari ini tidak cukup “umph”.
Proton sekitar 2000 hingga 2013 banyak menghasilkan model-model R3 yang seronok dipandu, malah masih menjadi buruan di pasaran terpakai hari ini.
Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui 20 tahun dahulu, Proton pernah hampir mengeluarkan kereta sports mid-engined mampu milik untuk rakyat Malaysia. Bahkan satu unit prototaip dilaporkan telah dibina.
Kisahnya bermula apabila Proton mahu meningkatkan imej mereka dan menjadi lebih menonjol dari jenama-jenama kos rendah (terutamanya dari Asia timur), dengan membina model berteknologi tinggi dalam bentu jentera sports mid-engined (enjin tengah) 2.0-liter.
Memandangkan Proton pada masa itu masih memiliki Lotus Engineering, maka pastinya mereka mempunyai tenaga kepakaran dan kejuruteraan untuk dimanfaatkan.
Kereta sports itu sepatutnya dilancarkan pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas projek itu didedahkan, dengan designasi Proton Ultimate (PU). Tempoh ini dianggap singkat – kebanyakan R&D mengambil masa kira-kira empat tahun – tetapi ianya dikatakan munasabah kerana dua sebab.
Pertama, ia direka untuk menjadi model jumlah pengeluaran rendah dengan parameter khas spesifik, tidak seperti model pengeluaran besar-besaran seperti kereta Proton lain.
Keduanya, kebanyakan proses kejuruteraan adalah berlainan dari kebiasaan dan akan menggunakan bahan-bahan komposit ringan.
Program dengan nama dalaman ‘Project Sepang’ ini dipercayai bermula pada Februari 2000, dengan konsep casis yang telah ditetapkan. Casis yang bakal digunakan ialah ‘Monaco’ dari Lotus yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Auto Show.
Tetapi ia bukanlah sebuah kereta Lotus versi Proton, atau sebaliknya. Lotus sendiri mahu kedua-dua kenderaan ini berbeza. Pengeluar UK itu kemudiannya merealisasikan model mereka iaitu Europa pada 2006.
Dalam hal Proton, objektifnya ialah untuk menawarkan kereta sports dengan teknologi tinggi tetapi mampu milik, khasnya untuk rakyat Malaysia. Harga sasaran pada masa itu ialah RM150,000 (kira-kira RM249,000 hari ini jika ambil kira faktor inflasi).
Nampak mahal RM240,000 untuk sebuah Proton? Harus diingat, ini sebuah kereta sports dua tempat duduk mid-engined. Sedangkan SUV Proton pun sudah lebih RM120,000, ini pun perkara yang kita tida pernah fikir 10 tahun lepas.
Untuk enjin pula, beberapa pilihan untuk Ultimate telah diambil kira seperti Petronas E01 dengan 204hp dan Proton V6 yang mampu menjana sehingga 200hp.
Dikatakan Proton mahu menggunakan enjin Petronas kerana mereka kurang gembira membayar terlalu tinggi kepada Mitsubishi untuk mendapatkan enjin.
Menurut CEO Proton pada masa itu, kereta sports ini akan menggunakan banyak teknologi dan bahan ringan, tetapi masih ‘suku dari kos untuk membangunkan sedan biasa’. Ini boleh dicapai dengan menggunakan banyak komponen Proton sendiri, sebagai contoh brek dari Wira.
Pengeluaran untuk PU dikhabarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 unit dalam tempoh kira-kira lima tahun.
Semasa kereta sports ini sepatutnya dikeluarkan, Proton juga telah melabur untuk barisan pemasangan baharu mereka di kilang Shah Alam, untuk membolehkan proses pengeluaran berbeza dari model konvensional.
Sekurang-kurangnya satu unit prototaip dikatakan telah siap dengan ‘enjin Amerika’. Tidak diketahui sama ada prototaip ini masih ada atau telah dilupuskan selepas Geely masuk ke dalam Proton.
Sayang sekali program PU ini tidak dapat direalisasikan sepemnuhnya. Beberapa pembangunan lain dalam syarikat ini juga mungkin mengalih fokus mereka, selain perubahan kempimpinan yang membuatkan keutamaan bertukar.
Apa pendapat anda mengenai projek Proton Utimate ini? Jika ia diteruskan dengan generasi baharu hari ini, boleh jual dengan harga RM230,000 hingga RM250,000?
Sebagai perbandingan, harga kereta sports seperti Alfa Romeo 4C, Lotus Elise, dan Toyota GR86 adalah sekitar RM220,000 hingga RM400,000, merangkumi kereta baharu dan recond.
Artikel asal, maklumat, dan gambar dikongsi oleh rakan media kami, Chips Yap di MotaAuto.
SEMPENA sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Ducati Malaysia kini mengadakan promosi ‘Massive Deals for Merdeka’ di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk motosikal dan barangan rasmi jenama itu.
Bagi mereka yang ingin membeli motosikal Ducati yang baharu, inilah masanya kerana Ducati Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model terpilih. Tawaran ini sah hingga 30 September 2023.
Bukan itu sahaja, pelanggan dan peminat Ducati juga boleh menunggang uji motosikal Ducati untuk merasai sendiri kehebatan jentera Itali itu sepanjang tempoh kempen ini diadakan.
Di samping rebat tunai, Ducati Malaysia turut menawarkan promosi diskaun sehingga 35 peratus ke atas pakaian dan barangan rasmi Ducati, servis Desmo, aksesori dan alat ganti.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Massive Deals for Merdeka’ dan rangkaian model Ducati, layari laman web rasmi Ducati Malaysia atau kunjungi bilik pameran bertauliah Ducati di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.
UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan satu lagi model GR Sport ke pasaran tempatan iaitu Corolla GR Sport. Sedan segmen C itu merupakan model Toyota keempat yang mendapat sentuhan GR Sport selepas Vios, Hilux dan Corolla Cross.
Seperti model-model GR Sport yang lain, penambahbaikan yang dibawakan oleh Corolla GR Sport terhad kepada aspek kosmetik luaran dan dalaman, serta talaan suspensi sahaja.
Pada bahagian hadapan, model ini boleh dibezakan dengan versi standard melalui rekaan gril atas dan bawah yang lebih sporty. Gril radiator pada bahagian bawah mempunyai motif honeycomb dan lampu kabus berbentuk bulat. Turut disertakan adalah pelindung pada bahagian bawah badan.
Pada bahagian sisi, penampilan model ini diserlahkan lagi menerusi kemasan hitam pada perumah cermin sisi dan rim aloi GR 18 inci yang dibalut tayar Dunlop SP Sport Maxx berukuran 225/40.
Di belakang pula, anda akan menemui lencana GR Sport pada bahagian but dan diffuser pada bampar.
Di dalam, terdapat tempat duduk dengan balutan kulit hitam yang dihiasi dengan logo GR pada bahagian perehat kepala, serta trim dan jahitan berwarna merah yang turut boleh didapati pada perehat tangan dan pintu.
Karpet dan butang penghidup enjin turut menampilkan logo GR.
Sebagai sebahagian daripada kemas kini untuk model tahun 2023, Corolla GR Sport juga mendapat panel instrumen digital berukuran 12.3 inci. Ciri ini juga terdapat pada varian 1.8G.
Dari segi prestasi, penyerap hentak, coil spring belakang dan bar penstabil pada gandar hadapan dan belakang ditala semula untuk pengendalian yang lebih mantap.
Selain daripada itu, enjin 2ZR-FE 1.8-liter empat silinder kekal standard dengan output sebanyak 139 PS dan 172 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT yang memacu roda hadapan.
Corolla GR Sport boleh didapati dalam tiga warna iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pearl dan Attitude Black. Harga jualannya bermula dari RM152,800, iaitu RM5,000 lebih tinggi berbanding varian 1.8G.
POS Malaysia Berhad telah menerima 50 buah motosikal elektrik daripada Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan DRB-Hicom EZ Drive Sdn Bhd (AVIS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata inisiatif ini merupakan penanda penting dalam komitmen berterusan Pos Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar.
“Selain daripada jumlah keseluruhan 55 buah motosikal elektrik yang telah beroperasi di Lembah Klang, kami akan memobilisasikan 50 lagi motosikal elektrik Modenas ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.
“Matlamat kami adalah untuk mempunyai sasaran 200 buah motosikal elektrik dan 143 buah van elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2023,” katanya.
Sementara itu, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas menjelaskan bahawa MEV-1 mewakili inovasi dan penyelesaian mobiliti lestari serta melambangkan komitmen pengeluar motosikal itu untuk menyediakan alternatif pengangkutan yang mesra alam di Malaysia dan di luar negara.
“Dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang elegan, MEV-1 melambangkan lonjakan yang signifikan ke arah masa depan yang lebih mesra alam bagi landskap pengangkutan negara,” tambah Roslan.
Mohd Syahrul Yusuf, Ketua Pegawai Operasi AVIS Malaysia pula berkata, “Dengan Pos Malaysia, kami bangga untuk menyumbang secara aktif kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia. Terdapat potensi besar bagi kita untuk berbuat lebih baik untuk bumi ini dan kami ingin memastikan penggunaan bahan api dan pencemaran berkurangan, melalui penggunaan cara-cara inovatif untuk menggalakkan kecekapan tenaga.”
Pada awal tahun ini, Pos Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian pyang merangkumi pelan-pelan untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya, dengan matlamat emisi karbon bersih untuk operasinya menjelang tahun 2050.
Sasaran kelestarian ini menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menyokong usaha global dalam memastikan kenaikan suhu global adalah di bawah 1.5°C.
TERDAPAT cadangan untuk membolehkan pemegang lesen memandu kelas B2 menaik taraf lesen mereka kepada B secara automatik, lapor Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.
Tambah beliau, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.
“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 di Pekan, Pahang pada Ahad.
Majlis pelepasan membabitkan lebih 238 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada ahli Superbikers Association Malaysia (SAM) itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden SAM Datuk Abdul Halim Suleiman.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250 cc manakala kelas B membabitkan motosikal melebihi 500 cc.
Terdahulu, Abdul Halim menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.
CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyiapkan kelompok pertama Pemeriksaan Pra-Penghantaran (Pre-Delivery Inspection atau PDI) di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah.
Pencapaian ini merupakan bukti komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti dan pemasangan, selain penting bagi memastikan pengalaman pemilikan yang tiada tandingan untuk pelanggan mereka.
Menurut syarikat itu, penyepaduan prosedur PDI terus ke dalam barisan pengeluaran kilang pemasangan tempatannya (CKD) menandakan detik penting dalam usahanya untuk mendapatkan jaminan kualiti.
Dengan menjalankan pemeriksaan dan ujian yang teliti sebelum kenderaan meninggalkan kilang, Chery Malaysia
menyasar untuk menghantar kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi juga melangkaui jangkaan pelanggan.
“Kejayaan ini adalah kemuncak kerja keras dan usaha gigih kumpulan pemasangan Chery Malaysia di kilang CKD, kami akan terus berusaha untuk menetapkan standard industri baharu bagi memenuhi tahap kualiti antarabangsa.” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.
Tambah beliau lagi, komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti meliputi setiap aspek proses pembuatan dan pemasangannya.
“Kesediaan barisan pengeluaran dan pemasangan untuk PDI adalah bukti perancangan teliti serta bukti pelaburannya dalam teknologi dan proses termaju.
“Penambahan PDI dalam proses pengeluaran CKD mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama yang semakin meningkat dalam industri automotif Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan misi Chery Malaysia untuk menetapkan standard baharu bagi kualiti, keselamatan dan kepuasan pelanggan,” kata Chen.
PEMINAT kereta modifikasi dan kenderaan elektrik (EV) dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan International Modified (IAM) Kuala Lumpur dan Malaysian International Motor Expo (MIME) 2023 yang bakal diadakan dari 27 hingga 29 Oktober 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), acara ini akan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan, produk, inovasi dan perkembangan terkini dalam teknologi automotif dari pengedar kereta dan motosikal, serta pengeluar OEM.
Apa yang menjadikan IAM-MIME 2023 unik adalah gabungan tiga genre automotif di bawah satu bumbung iaitu kereta generasi baharu daripada pelbagai jenama, EV serta lebih 300 buah kereta yang telah diubahsuai. Acara itu juga akan menampilkan pameran koleksi supercar, hypercar dan kereta-kereta ikonik dari JPM Museo dan Utama Motors.
Dianggap sebagai acara kereta modifikasi dan gaya hidup terbesar di Asia Tenggara, IAM telah menjelajah lebih daripada 38 bandar di seluruh Indonesia sejak 2001 sebelum berkembang ke negara-negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand.
Diadakan buat pertama kali di Malaysia pada 2011, IAM mula bergabung tenaga dengan MIME pada 2022 di mana hampir 104,000 pengunjung membanjiri acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu. Acara tahun lalu menampilkan lebih 100 buah kereta modifikasi terbaik dan tahun ini, angka itu dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda.
Selain pameran kereta, AIM-MIME 2023 juga akan menampilkan pelbagai tarikan lain termasuk simulator perlumbaan, pameran kereta kawalan jauh, perhimpunan kelab-kelab kereta, pameran kereta eksotik diraja, festival muzik serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah.
Tiket juga boleh dibeli di kaunter pada hari pameran pada harga RM30 setiap satu. Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masuk percuma dengan pengawasan penjaga.
Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.
Beliau bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.
Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.
“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.
“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran. Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.
“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.
VERSI paling serius dan hardcore untuk Porsche 911 generasi 992, iaitu GT3 RS telah tiba di Malaysia, dibawakan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP). Ia dilancarkan serentak dengan hujung minggu Porsche Carrera Cup Asia 2023 yang dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang.
Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.
Dari segi penampilan, jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.
Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.
Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!
Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.
Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.
911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter 6-silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510PS kepada 525PS.
Transmisi PDK 7-kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296km/j.
Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.
Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.
Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter.
Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8kg lebih ringan berbanding rim standard.
Porsche 911 GT3 RS 2023 serba baharu boleh menjadi milik anda pada harga RM2,630,000.
SELEPAS melancarkan Cromwell 1200 pada Jun lalu, Brixton kini tampil dengan satu lagi model menarik untuk pasaran tempatan iaitu Crossfire 150 XS.
Harga jualan motosikal bersaiz mini ini bermula dari RM8,788 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Backstage Black, Clockwork Orange dan Cargo Green.
Crossfire 150 XS sememangnya sebuah motosikal yang kecil, dengan ukuran panjang 1,690 mm, lebar 755 mm dan tinggi 1,210 mm. Tinggi pelana adalah 770 mm, manakala beratnya adalah sekitar 111 kg.
Ia dikuasakan oleh enjin empat lejang 150 cc silinder tunggal yang menghasilkan 13.4 hp pada 9,500 rpm dan 10.5 Nm pada 3,100 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.
Untuk casis pula, ia menggunakan fork teleskopik jenis terbalik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang.
Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70-12 di hadapan dan 130/70-12 di belakang.
Selain itu, motosikal ini didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, meter analog dan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.
Dengan setiap pembelian Crossfire 150 XS, pembeli menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian.
SIME Darby hari ini dilaporkan telah membeli 61.2 peratus pegangan saham UWM Holdings Bhd dari Permodalan Nasional Bhd (PNB) bernilai RM3.57 bilion untuk mengukuhkan lagi posisinya dalam industri automotif Malaysia.
Perjanjian itu merupakan antara urusniaga terbesar di Malaysia, dan akan mengubah Sime Darby menjadi antara gergasi automotif utama negara ini dengan penambahan jenama seperti Toyota dan Perodua. Ini juga bersamaan sehingga 60 peratus dari jumlah industri automotif tempatan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan itu, Datuk Jeffri Salim Davidon berkata perolehan itu akan mengukuhkan lagi portfolio premium Sime Darby sedia ada, seperti BMW, Rolls-Royce, dan Porsche.
Beliau menjangkakan sumbangan keuntungan di rantau ini menjadi kira-kira 30:30:30, dari 15:37:35 pada masa ini (Malaysia, China, dan Australia), sekaligus memberikan profil lebih stabil.
“UMW sebuah pemain automotif dominan negara ini dengan pegangan pasaran 52 peratus, dan langkah ini dijangkan membawa pegangan itu sehingga 55 peratus.
“Entiti yang lebih besar ini akan memberikan nilai lebih baik kepada pemegang saham kami, dan membolehkan kami sebagai syarikat Malaysia multinasional memainkan peranan lebih besar dalam industri automotif negara ini,” katanya.
Jeffri berkata perjanjian RM3.57 bilion itu (berdasarkan RM5 per saham di bawah SPA), akan memberi manfaat kepada pemegang-pemegang saham Sime Darby dan juga pemegang unit PNB dalam jangka masa panjang.
MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama QJMotor di Malaysia, telah melancarkan model sportbike SRK600RC di acara KL Bike Show 2023.
Model ini dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu biru dan hitam, dengan livery yang diinspirasikan daripada pasukan Gresini Racing dalam kejohanan Moto2.
SRK600RC dikuasakan oleh enjin 600 cc empat silinder sebaris DOHC yang mampu menghasilkan 80.4 hp pada 11,000 rpm dan 51 Nm pada 10,500 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis Slipper & Assist.
Untuk casis, ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Marzocchi yang terdiri daripada fork terbalik pada bahagian depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada sistem Brembo dengan cakera berkembar berukuran 320 mm di hadapan dan cakera tunggal 260 mm di belakang. Sistem ABS disertakan secara standard.
Sementara itu, tayar yang digunakan adalah berukuran 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang.
Tinggi pelana SRK600RC adalah 800 mm, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 16.4 liter. Berat keseluruhan jentera ini adalah sekitar 225 kg.