fbpx

Perodua rancang pasang EV secara tempatan, sasar harga berpatutan

Perodua EMO EV Concept 01
Perodua EMO EV Concept yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu

PERODUA mempunyai rancangan untuk memasang kenderaan elektrik (EV) secara tempatan dengan kerjasama rakan kongsinya, lapor The Edge.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu sedang mengkaji pelbagai cara untuk memperkenalkan model EV ke pasaran tempatan dengan harga berpatutan untuk rakyat Malaysia.

“Untuk mengatasi perkara ini, kami sedang berusaha untuk merapatkan jurang dengan sokongan penuh daripada rakan-rakan kongsi kami. Kami yakin dapat menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Datuk Seri Zainal lagi, Perodua sedang mengkaji pelbagai cara untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke hadapan dalam menghasilkan kereta dan memperkenalkannya ke pasaran dengan meningkatkan keupayaan vendor untuk menghasilkan alat ganti berkaitan EV.

Datuk Seri Zainal berkata buat masa ini Perodua melihat EV sebagai pelengkap kepada kereta enjin pembakaran dalaman.

“Bagaimanapun, kami berpendapat EV akan memainkan peranan yang lebih besar dalam industri automotif tempatan kerana kerajaan telah menetapkan komitmen terhadap agenda neutral karbon menjelang 2030,” katanya kepada The Edge.

Bajet 2022 memperkenalkan beberapa insentif untuk EV, termasuk pengecualian eksais dan duti import. Insentif tersebut telah membuka jalan kepada pengeluar-pengeluar EV dari negara luar seperti Tesla dan BYD untuk memperkenalkan produk mereka di Malaysia pada harga kompetitif.

Bagaimanapun, EV import tidak dibenarkan dijual pada harga bawah RM100,000 untuk melindungi operasi pemasangan kereta tempatan.

Jika Perodua boleh mengeluarkan dan memasang EV secara tempatan, ia boleh dijual pada harga bawah RM100,000. Bagaimanapun, rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu Motor Co Ltd belum mempunyai model EV.

Pesaing terdekat Perodua iaitu Proton mempunyai rakan kongsi Zhejiang Geely Holdings Group Co yang mempunyai beberapa model EV. Geely merancang untuk melabur sebanyak RM5 bilion di Tanjung Malim, dipercayai untuk menghasilkan EV.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved